Ahad, 17 November 2013

bacalah

Wahai anakku,
Bagaimana hal kamu jika kamu menerima surat dari orang yang kamu sayang? Tentulah engkau membacanya dengan penuh perasaan. Tentulah engkau akan mengulang-ulangi bacaan itu, dan tentulah engkau akan cuba memahami setiap kalimah yang ditulis. Betapa hal kamu bilamana engkau menerima risalah dari Tuhanmu, berapa kali kamu membacanya dan apakah kamu berusaha untuk memahaminya?

Wahai anakku,
Al-Quran adalah risalah dari Tuhanmu. Jangan engkau membiarkannya tanpa dibaca. Engkau sepatutnya rasa bersalah bilamana engkau membiarkannya lebih dari tiga hari. Ia pelembut hatimu. Membacanya berulang kali akan melembutkan jiwamu dan menambah kasihmu kepadaNya. Bacalah dan renungilah setiap kalimahnya, kerana ia adalah sebaik-baik pengajaran. Ikutilah arahannya kerana ia sebaik-baik petunjuk.
Wahai anakku,
Aku sangat dukacita melihat banyaknya Al-Quran yang langsung tidak diusik. Setiap kali engkau menghampirinya, ia meminta agar engkau mengambilnya. Andainya engkau rindu kepada Tuhanmu, bacalah kalimahNya. Dan andainya engkau ingin berbicara dengan Tuhanmu, hayatilah setiap kalimahNya.

Wahai anakku,
Janganlah engkau gopoh-gapah sewaktu membacanya, kerana perbuatan itu menyebabkan engkau tidak merasai kemanisan setiap ayatnya. Renungilah hadis Rasulullah bilamana Baginda menyatakan setiap huruf diberi pahala oleh Allah. Maka setiap huruf mempunyai hak pada sebutannya dan hukumnya. Maka sempurnakan haknya nescaya engkau akan merasai kelazatan menyebut setiap kalimahnya.

Wahai anakku,
Jangan sesekali kamu terpedaya dengan bisikan syaitan yang membisikkan perasaan malasmu untuk membaca Al-Quran. Syaitan terkadang menanam perasaan tidak pandai membaca untuk menjauhkan kamu dari Al-Quran. Sedangkan engkau membaca dengan mengeja satu persatu diganjar pahala dua kali ganda oleh Allah. Lantaran itu, berusahalah mempelajarinya. Jangan kamu merasa malu mempelajari Al-Quran, kerana tiada manusia dilahirkan dalam keadaan alim.

Wahai anakku,
Aku sangat bahagia mendengar bergemanya Al-Quran dari suara anak-anakku. Kerana itu adalah hiburan yang amat indah yang akan mengundang rahmat Allah dalam rumah dan memberkati semua penghuninya. Janganlah engkau biarkan rumahmu bergema muzik, dan sunyi dari Al-Quran. Kerana rumah yang tidak dibacakan Al-Quran, dan sunyi dari zikrullah adalah kuburan.

Senyumlah nescaya engkau mendapat kasih sayang Allah.
Senyum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan