Ahad, 3 November 2013

gula gula2

Subky Latif,03 Nov 2013
Segala nikmat kecemerlangan dan syurga yang dijanjikan oleh Bajet 2014 belum dapat dikecapi atau jadi satu angan-angan, tetapi kesan awal yang bakal dihadapi segera oleh rakyat dan pengguna ialah bala dan pahit.

Berbagai-bagai janji yang disarankan dirasakan seperti  memberi  gula-gula yang tiada rasa pada lidah dan tekak  melainkan terasa ada benda pada lidah dan tekak.

Apa yang ditawar yang boleh dapat segera seperti BRIM yang dinaikkan RM150 dari RM500 kepada RM650 sekali atau dua kali setahun bagi isi rumah  yang berpendapatan  sehingga RM3,000 sebulan, pesara dapat RM250 sebulan, bonus pegawai awam antara setengah bulan gaji dan minima RM500, seramai 3,334 murid Taska anak orang berpendapatan kurang dari RM900 sebulan diberi bantuan RM250 sebulan dan macam-macam lagi.

Bunyi sedap dan menyeronokkan. Tetapi ia ibarat memberi gula-gula kerana benda yang bakal melanda pula seperti cukai GST dan mansuh subsidi gula akan menenggelamkan apa yang tawarkan itu. Yang melanda itu bala. Apabila bala itu menenggelamkan tawaran manis tadi jadilah tawaran itu ibarat gula-gula.

Gula-gula biasanya manis tetapi apabila gula naik 35 sen sekilo yang  disebut sebagai mansuh subsidi gula, maka ia menjadi gula-gula tadi tawar. Nasib baik yang tidak bergula itu tawar tetapi ada yang tidak bergula yang pahit seperti kopi. Ada yang rasa kopi pahit itu nikmat, tetapi bagaimana kalau kek dan kuih muih pahit? Segala yang tawar dan payau tak tertelan oleh tekak, apa lagilah yang pahit.

Betullah berlebih gula menjadikan kencing manis, tetapi  tiada yanag manis menyebabkan hilang tenaga dan terdedah kepada berbagai-bagai penyakit juga.

Orang Arab boleh tidak makan gula dan dapat tenaga dengan makan kurma, tetapi kurma di Malaysia tidak berbuah. Boleh kurma menggantikan gula bagi memelihara tenaga, tetapi lebih murah membeli gula tanpa subsidi daripada memberi  kurma.

Manusia dari mula tidak terpisah dengan manis. Memansuhkan subsidi gula sama seperti  mencatu atau menyekat menikmati manis. Bagi yang berada, gula tanpa sabsidi seperti mencatu manis, tetapi bagi yang tidak berada memanshkan sabsidi seperti menyekatnya menikmati manis.

Gula ada tetapi mahal. Pilihan mereka antara gula dan beras. Dengan pendapatan belum tinggi seperti yang dijanjikan sejak empat tahun  dulu, dengan pendapatan yang ada, kalau mereka beli beras secukupnya, mereka tidak boleh beli gula. Kalau beli gula dan barang yang bergula, tak boleh beli  beras secukupnya.

Untuk makan nasi tidak cukup beli beras saja. Dia mesti beli lauk dan segala yang melengkapkan sistem lauk. Jika dia nak beli beras dan gula, maka dia mesti makan nasi kurang lauk atau makan nasi tak berlauk. Musim Jepun dulu kita makan nasi berlauk ubi atau pisang muda. Bagi ia diterima tekak, ia digaul dengan garam dan minyak.

Saya pernah terima tetamu dari Timur Leste. Mereka tidak sentuh lauk yang disediakan. Mereka makan nasi putih saja. Saya dapati mereka segar. Apakah tiba masa kita jadi seperti mereka makan nasi tak berlauk dan tak berkuah?

Dengan minyak naik sebulan dua dulu, tiada jaminan ia tidak naik lagi, kita dapati kesan kenaikan barang gara-gara kenaikan minyak, kini kita hadapi kenaikan gula dengan kesan kenaikan segara makanan manis, beberapa belas bulan lagi kita hadapi pula cukai GST sedang pendapatan masing-masing belum juga tinggi, maka belum nampak sesuatu yang manis dari bajet baru itu.

Yang nampak adalah bala sedang mara dan yang dirasa setakat ini bajet itu adalah tawar, pahit dan kepahitan. Setahun lagi ada pula Bajet 2015, apa pula bala kali itu? Bala! Bala! Balak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan