Ahad, 27 Mac 2011

Fikirkan lah... bala di mana2...

Kita di Malaysia masih dipelihara daripada gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat dunia. Rakyat negara ini masih selamat, bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi.

Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyakkan melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat Yang Maha Kuasa. Apatah lagi, di akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan. Jika tidak, kemungkinan pelbagai musibah dan malapetaka bakal menimpa secara tiba-tiba tanpa disedari implikasi daripada kemurkaan Allah terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak bersyukur.

Malahan bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan mula dirasai apabila kerosakan akhlak dan moral masyarakat berada pada tahap membimbangkan. Buktinya akhbar melaporkan sejak tahun 2000 hingga 2008, kira-kira 257,000 bayi didaftarkan tanpa nama bapa oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Ia bersamaan dengan 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari iaitu tujuh bayi dilahirkan bagi setiap dua jam.

Lebih menakutkan apabila akhbar melaporkan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa 517 kes buang bayi direkodkan sejak Januari 2005 sehingga Januari tahun ini. Januari lalu, 19 kes buang bayi direkodkan di seluruh negara. Institusi kekeluargaan Islam juga turut dilanda kehancuran apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menyatakan purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit.

Malapetaka dan kehancuran di kalangan muda-mudi juga tidak dapat dielakkan lagi. Perkara haram dan dosa jadi mainan. Arak diminum seperti teh dan kopi, gejala melepak, berpeleseran jadi hobi mengisi masa lapang dan berseronok di kelab malam umpama kemestian. Kelab gay dan lesbian mula mendapat tempat dalam masyarakat kita yang berpegang kepada kepercayaan kepada Tuhan.

Rumah urut yang menyediakan khidmat seks beroperasi tanpa halangan dan banyak lagi bukti kehancuran yang dapat diperhatikan berlaku di sekeliling kita. Bukankah semua ini musibah dan malapetaka yang melanda negara? Malah jika difikirkan musibah moral dan sosial yang berlaku hari ini lebih buruk kesannya berbanding tsunami dan bencana alam lain kerana akan merebak dan berjangkit kepada generasi masa hadapan jika tidak dibendung dan dibiar berpanjangan.

Sebelum terlambat, umat Islam harus menginsafi betapa gegaran dan gempa saat berlakunya hari kiamat adalah sesuatu yang menakutkan dan tiada sesiapa akan terselamat daripada kemusnahan seluruh alam. Justeru sebelum tiba detik menakutkan itu, marilah semua bangkit daripada tipu daya dan kemewahan dunia yang sementara untuk patuh kepada Tuhan Yang Maha Esa bagi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

MOHD ALI MOHD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Johor Bahru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan