Keputusan perpindahan guru yang diumumkan pada 3 november 2012 menunjukkan berlakunya sikap tidak adil dan zalim Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap guru j-QAF yang telah lama berkhidmat di sabah dan Sarawak. Keputusan di luar dugaan bagi kami pasangan suami isteri guru j-QAF ambilan sulung tahun 2005, iaitu kami menjangkakan kami akan dipindahkan ke semenanjung setelah lapan tahun berkhidmat di Sarawak. Apatah lagi guru j-QAF yang baru telah tiba bagi menggantikan tempat kami.
Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku malah sebaliknya iaitu guru j-QAF yang bujang dan baru berkhidmat di Sarawak dapat bertukar kembali ke Semenanjung.
Kami tidak pasti apakah yang pegawai di bahagian pertukaran kementerian pelajaran fikirkan sehinggakan sanggup melakukan tindakan tidak masuk akal dengan meluluskan perpindahan tersebut sedangkan kami yang berkeluarga ini disekat. Apakah syarat dan kriteria yang mereka lihat? Apakah pasangan suami isteri guru j-QAF yang berkeluarga serta mempunya anak seperti kami disisihkan dan dinafikan hak berpindah sedangkan dari segi kesusahan dan bebanan golongan kami yang lebih merasainya? Kami yang mempunya anak-anak sangat terbeban berada lama di bumi Sarawak ini.
Masalah dan bebanan ini jauh lebih berat berbanding masalah guru j-QAF yang bujang dan baru pula berkhidmat berbanding kami. Tidak kasihankah mereka melihat kami mengendong anak ke hulu ke hilir menaiki bot, bas dan kapal terbang setiap kali pulang ke kampung? Apatah lagi kesulitan membesarkan anak-anak di tempat orang tanpa bantuan dari keluarga? Kekadang kami terpaksa memendam kesedihan kerana tidak mampu pulang menatap wajah insan tersayang yang meninggal dunia kerana kos penerbangan kami sekeluarga sangat membebankan.
Guru yang bujang bila-bila masa dapat terbang pulang ke kampung dengan selesa. Banyak perbezaan bebanan guru yang berkeluarga berbanding guru yang bujang tetapi apa yang lebih dipersoalkan ialah kenapa tempoh berkhidmat kami tidak diambil kira.
Dulu kementerian memberi alasan kerana tiada pengganti, sebab itu kami tidak dilepaskan. Tetapi sekarang apabila sudah ada pengganti kami masih disekat malah golongan yang lain pula dilepaskan.
Kami memohon belas kasihan kementerian pelajaran menimbang dan meneliti sebaiknya keputusan yang mereka buat kerana sekiranya berlaku ketidakadilan seperti ini boleh menjejaskan semua pihak terutama kepada guru dan murid itu sendiri. Sedarlah para pegawai yang membuat keputusan ini, amalan anda yang tidak adil ini tetap dicatat oleh malaikat. Berlaku adil dan laksanakan amanah tanpa mengira kepentingan diri.
Jika mereka meluluskan perpindahan saudara mara, sahabat, kenalan mereka dengan menggunakan jawatan mereka, ketahuilah mereka telah menafikan hak orang lain. Kementerian Pelajaran perlu memandang serius perkara ini sebelum melaungkan pelan pendidikan bertaraf dunia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan