Ahad, 18 November 2012

Never never ever give up!


Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.
Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): “Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu…” (Surah al-Ghafir, ayat 60)
Firman Allah (mafhumnya): “Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Setiap orang dianjurkan untuk berdoa, akan tetapi tidak semua doa itu akan langsung dikabulkan Tuhan. Ada yang cepat dikabulkan dan ada pula yang lambat. Jika lambatnya doa itu dikabulkan oleh Allah, janganlah hendaknya berputus asa. Sebab Allah lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk hamba-Nya. Sehingga tidak mungkin Allah tidak mengabulkan doa hamba-Nya. Hanya saja diterima-Nya doa itu adalah menurut kehendak Allah, bukan menurut kehendak hamba-Nya. Firman Allah SWT : “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan permohonanmu itu”. (Al-Mukmin:60)
Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah pasti mengabulkan semua permintaan hamba-Nya. Hanya saja cara mengabulkannya itu sesuai dengan pilihan Allah tidak menurut selera orang yang berdoa. Kerana manusia tidak dapat mengetahui manfaat atau mudarat sesuatu yang diminta.
Oleh kerana itu, kadangkala ada orang yang meminta agar dimurahkan rezeki dan dikurniakan anak. Permintaannya itu didasarkan atas perkiraan, bahawa jika rezekinya murah, serta mempunyai anak, tentu akan bermanfaat dalam kehidupannya. Akan tetapi Allah tidak mengabulkan apa yang dimintanya itu. Sebab Allah lebih tahu, apa yang dimintanya itu kalau dikabulkan akan memberi mudarat bagi dirinya. Sebagaimana firman Allah SWT: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ianya amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap sesuatu yang tidak kamu ketahui.” (Al-Baqarah:216)
Jadi kalau Allah kadangkala tidak mengabulkan permohonan salah seorang hamba-Nya itu bukanlah bererti ia menolak, akan tetapi berkemungkinan ada kemudaratan yang terkandung di dalamnya yang mencelakakan hamba-Nya, justeru itu penolakkan juga bererti pemberian.
Sebagai contoh pasangan suami isteri yang menginginkan anak, sudah lama ia berdoa, memohon kepada Allah agar dikurniakan anak. Akan tetapi sudah sekian lama pula Allah tidak mengabulkan doanya. Maka bagi pasangan ini janganlah berputus asa dan berburuk sangka bahawa Allah tidak akan mengabulkan doanya. Berkemungkinan juga Allah tidak mengabulkan doanya itu kerana Dia Maha Mengetahui, jika doa itu dikabulkan, akan menimbulkan kemaksiatan dan kemudaratan bagi orang tersebut. Dengan demkian penolakkan Allah yang demikian itu pada hakikatnya sudah bererti memberi.
Dalam suatu riwayat dikatakan, bahawa pada suatu hari ada orang yang melihat Abu Abbas Al Mursi yang sedang dalam keadaan sakit, orang tersebut mendoakan supaya Abu Abbas Al-Mursi deberi kesejahteraan oleh Allah SWT. Akan tetapi Abu Abbas berkata: “Adakah kamu mengira bahawa aku tidak memohon kepada Allah untuk kesejahteraanku? Sesungguhnya saya telah meminta kesejahteraan kepada-Nya. Sebagai pengetahuanmu, penderitaanku inipun termasuk kesejahteraan pula.”
Abu Abbas Al-Mursi kembali berkata: “Untuk kamu ketahui, Khalifah Abu Bakar Siddiq juga memohon kesejahteraan kepada Allah, akan tetapi beliau mati terkena racun. Umar bin Kattab juga memohon kesejahteraan kepada Allah, akan tetapi beliau mati terbunuh. Usman bin Affan juga memohon kesejahteraan kepada Allah, ternyata beliau mati terbunuh. Begitu juga dengan Ali bin Abi Talib, ia juga memohon kesejahteraan kepada Allah, beliau juga mati terbunuh.”
Justeru, bila sesorang itu memohon kesejahteraan kepada Allah, maka mohonlah kesejahteraan menurut yang dikehendaki Allah, kerana yang demikian itulah yang paling baik bagi diri seseorang, walaupun keadaanya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsunya.
Dalam sebuah hadith Qudsi Allah berfirman yang maksudnya: “Aku tidak akan memperhatikan hak hamba-Ku, sebelum ia menunaikan hak-Ku” (HR. Tabrani)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan