Oleh Safar Jumaat
Para pekerja di negara ini diajar untuk bersyukur. Walaupun mereka bergaji kecil, tetapi mesti bersyukur kerana ada orang yang tidak dapat kerja. Bila ada pekerja yang bersungut kerana harga barang naik, nanti mereka akan dikecam sebagai golongan yang tidak tahu bersyukur, tidak berjimat dan lebih pentingkan diri daripada mengutamakan kepentingan negara.
Malah, ada yang dituduh, sudah termakan hasutan pembangkang, sering membuat desakan tanpa meningkatkan produktiviti. Jadi, kerajaan mahukan apa daripada pekerja? Berdiam diri sebagai tanda bersyukur, kerana ketika orang lain tidak bekerja, mereka sudah dapat kerja.
Walaupun gaji mereka kecil, mereka harus berjimat untuk meneruskan kehidupan di zaman yang serba mahal ini. Ketika yang sama, kerajaan terus boros, menghabiskan pelbagai peruntukan untuk memperkuatkan kedudukan mereka dan menarik pengundi menyokong Barisan Nasional (BN).
Jangan langsung bercakap soal menuntut kenaikan gaji. Jangan langsung sebut harga barang naik. Jangan ada sesiapa menyebut harga minyak naik dan jangan sesiapa mahu mempertikaikan soal gaji kecil yang mereka dapat.
Mahu menjadi pekerja di Malaysia, satu hal yang mereka kenal ingat, mesti bersyukur. Kalau tidak minat bekerja, boleh berundur dan ada orang lain mahukan kerja itu. Maknanya, pekerja sentiasa diugut dan ditekan. Jangan komplen dan nantinya akan dicop sebagai termakan hasutan pembangkang.
Siapa yang tersenarai sebagai si muflis jika bukan pekerja? Jumlah mereka besar kerana mereka terpaksa hidup di luar kemampuan. Mereka memang cuba berjimat, tetapi disebabkan desakan hidup, membayar hutang, perbelanjaan anak-anak bersekolah dan sakit-pening, akhirnya golongan ini berhutang dan terus berhutang.
Kerajaan akan memberi pelbagai alasan, negara ini akan muflis jika menurut kehendak pekerja. Tetapi, ketika mereka boros berbelanja, lawatan ke luar negara dan menghabiskan duit untuk kempen 1Malaysia, mereka tidak pernah memikirkan kepentingan dan keperluan pekerja yang hidup di atas sedikit dari paras kemiskinan.
Bagi mereka yang hendak membeli rumah, wang muka dan yuran guaman sahaja sudah cukup menjerut leher. Jika mereka menyewa rumah, wang cengkeram dan bil-bil yang datang setiap bulan, termasuk air dan api, bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan, kecuali mereka bersedia untuk dipotong bekalan.
Mereka akan disuruh bersyukur, kerana ada orang yang masih tidak bekerja. Mereka disuruh bersetuju apa sahaja yang kerajaan putuskan, kerana jika mereka menyatakan mereka tidak bersetuju, bererti mereka sudah termakan hasutan pembangkang.
Nah! Begitu rupa-rupanya nasib pekerja di Malaysia. Mereka tidak boleh langsung bercakap soal gaji mereka yang kecil dan tidak mencukupi kerana jika terdengar pihak berkuasa, nanti mereka akan digelar sebagai golongan pekerja yang tidak tahu bersyukur.
Kalau harga minyak naik, diam sahaja. Kalau harga gula naik, tutup mulut rapat-rapat. Kalau gaji pekerja tak naik, bersyukur dan jika gaji mereka tidak cukup, bandingkan dengan mereka yang tidak dapat kerja. Maknanya, nasib pekerja tidak dapat dibela. Jika ada sesiapa membela, mereka akan dianggap sebagai tidak mengenang budi, termakan hasutan pembangkang dan golongan yang tidak tahu bersyukur.
Jangan ada sesiapa nak tunjuk perasaan membuat desakan menuntut kenaikan gaji pekerja kerana mereka akan dianggap sebagai golongan yang tidak pernah bersyukur. Jauh sekali, jika ada sesiapa yang berpiket kerana ia akan menyebabkan pelabur takut masuk membuat pelaburan.
Jadi, kalau gaji rendah, diam. Kalau harga barang keperluan naik, anggaplah sebagai sesuatu yang lumrah kerana kemajuan dan perubahan memang menuntut kenaikan harga barang-barang keperluan. Nanti, bila harga sayur naik, menteri yang berkenaan akan menasihatkan rakyat menanam sendiri sayur-sayuran.
Jika harga minyak naik, nanti kerajaan akan mengeluarkan cadangan, gunakan pengangkutan awam. Bila ada komplen mengatakan pengangkutan awam kurang efisen, mereka akan beli bas dan keretapi baru, yang mereka dapat komisen dan serahkan kepada syarikat pasarana negara.
Opp! Jangan kata macam tu kerana itu fitnah. Kerajaan tidak begitu. Kerajaan meletakkan kepentingan rakyat paling utama – slogan yang sedang dikempenkan… rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mereka juga yang kenyang dengan komisen. Ini bukan cerita komisen kapal selam, ini bukan cerita komisen membeli senjata api, ini bukan cerita komisen membeli kapal terbang dan jet pejuang, tetapi ini cerita membeli bas dan keretapi demi kepentingan rakyat terbanyak.
Nanti kerajaan akan memberi nasihat, rakyat kena berjimat. Dalam masa yang sama, kerajaan terus boros. Kerajaan sibuk dengan cerita Menara 100 Tingkat… kerana ia penting untuk sebuah negara bernama Malaysia. Nanti apabila Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) menganjurkan peluang mencari kerja, sambutan besar-besaran dihebahkan oleh media massa pro kerajaan.
Padahal, sambutan itu sebenarnya membuktikan bahawa pengganguran cukup buruk di Malaysia. Kebanjiran buruh asing dan mereka yang masuk tanpa permit kerja yang sah sudah tidak terhitung lagi. Kadar jenayah cukup mengerunkan, walaupun polis sering menafikannya.
Pengedaran dadah juga, termasuk keldai dadah terus meningkat, ketika kerajaan bertempik memberitahu bahawa rakyat cukup selesa dengan pendapatan mereka. Apakah mereka yang menjadi keldai dadah terdiri dari golongan yang tidak bekerja?
Bukan. Mereka adalah kalangan yang mempunyai pekerjaan tetapi disebabkan gaji mereka tidak mencukupi, mereka mengalihkan perhatian kepada usaha menambah pendapatan. Ah! Jangan bising-bising. Jangan cakap soal kerja yang kurang selesa. Jangan bercakap soal gaji kecil, jangan berbicara soal harga barang yang mahal dan jangan sesekali sesiapa bercakap mahu membuat tuntutan kenaikan gaji.
Nanti mereka akan dianggap sebagai tidak tahu bersyukur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan