Ahad, 10 April 2011

Putus asa vs gagal...


Kegagalan vs Putus Asa
Kegagalan seakan satu perkara yang telah sebati dengan kehidupan setiap insan. Namun, tiap kali kegagalan itu berlaku, ketabahan dan penerimaan masih tiada. Pasti akan disusuli dengan kekecewaan. Sedangkan ini adalah perkara lazim dalam kehidupan. Semua insan mengalami situasi yang sama. Begitulah pelajar. Terimalah hakikat masa lalu dan tebuslah dengan kejayaan sekarang dan akan datang.
Setiap kali kegagalan itu menjelma, terlalu sukar untuk diterima oleh hati. Ada saja persoalan yang ditimbulkan mempertikaikan kegagalan yang menimpa. Kegagalan itu membawa kepada rasa putus asa dalam diri. Sekadar pertanyaan, adakah berputus asa itu satu perkara yang wajar dilakukan jika kita berhadapan dengan kegagalan? Jawab lah wahai pelajarku dengan hati yang tunduk dan taat pada perintah Allah! Sedangkan, kegagalan itu bukanlah penghujung kepada kehidupan dan 'jalan mati' kepada kejayaan. Seperti yang selalu kita dengar, ramai yang berjaya selepas menemui kegagalan. kegagalan itu sebenarnya yang membuatkan pelajar lebih matang dan berhati-hati dalam menyusuri perjalanan hidup. Maka gagal dahulu lebih afdhal berbanding berjaya dahulu lepas tu gagal menimpa-nimpa.
Pernahkah anak didik berdepan dengan rasa putus asa? Setelah pelbagai rintangan dan dugaan anak didik tempuhi, tetapi dipatahkan dengan rasa putus asa yang tiba-tiba terlintas di fikiran. Bukankah itu membuatkan anak didik berada dalam kerugian?. Setelah masa dan kudrat habis pada sesuatu perkara, dengan mudah saja naluri diri kita menghasut dan menggagalkan apa yang diusahakan selama ini. Jadi, adakah segalanya berbaloi? Sama macam belajar kereta. Nak masuk gear satu bukan main payah… tapi bila dah pandai, masuk gear 2 dan seterusnya senang macam makan kacang goreng. Betul tak…?
Lawan Perasaan Putus Asa !!!
Paling penting di sini adalah untuk menghadapi rasa putus asa yang datang. Bukannya takut kepada kegagalan kerana tanpa kita sedari, putus asa adalah punca kepada kegagalan. Ramai yang salah faham selama ni menganggap kegagalan adalah punca kepada timbul rasa mudah putus asa. Kesilapan sering terjadi di situ. Putus asa bukan satu sifat yang baik di sisi Islam. Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa bersangka baik dengan Allah. Yang bagi kejayaan Allah. Yang bagi gagal pun Allah. Ingat, kita semua hamba Allah yang lemah serba serbi
Hanya yang terletak dihatinya matlamat kejayaan sahaja yang akan terus mempertahankan kekebalan semangat waja tanpa menghiraukan rasa putus asa yang sering mendatang tanpa mengira tempat, masa dan waktu. Jika semasa belajar malas, itu merupakan sikap putus asa yang membawa kepada kegagalan. Kita perlu ingat, jangan jadikan putus asa sebagai salah satu agenda dalam diari hidup kita. Tetapi pastikan rasa inginkan kejayaan dan mengejar kepada kehidupan yang lebih bermakna dan diredhai oleh-Nya sebagai matlamat hidup kita dunia akhirat. Putus asa adalah musuh yang halimunan langsung tidak kita sedari. Sikap itu datang dalam keadaan spontan. Seharusnya kita mengetahui erti rasa mudah putus asa luar dan dalam.
Secara mudah, putus asa adalah musuh utama yang akan membawa kepada pelbagai sikap negatif lain. Malas timbul kerana rasa putus asa. Hilang semangat juga timbul kerana putus asa. Semuanya bermula dengan putus asa. Jangan biarkan rasa mudah putus asa menguasai diri kerana akan membawa kesan buruk bukan saja kepada diri sendiri malah orang di sekeliling kita pun terkena tempiasnya. Marahkan kelambu nyamuk dibakar?
Ketahui sikap itu dan tanganinya. Pasti kejayaan milik kita. Insya Allah J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan