Selasa, 19 April 2011

Jauhi Dosa mengumpat...!!!

Dalam Islam perbuatan mencaci maki, mencerca dan menghina orang Islam yang lain adalah perbuatan keji yang pada sisi Allah dikira fasiq. Walaupun Islam melarang perbuatan itu namun perbuatan itu amat sukar dihapuskan. Persoalaannya mengapa susah sangat umat Islam meninggalkan tabiat buruk itu?Bagi menjawab persoalan ini elok kita halusi sabda Rasulullah s.a.w.


سباب المسلم فسوق وقتاله كفر - متفق عليه
Maksudnya: “Menghina, mencerca, mencaci maki seseorang Islam adalah fasiq, dan membunuh orang Islam adalah kufur.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini ada dua golongan manusia yang amat buruk di sisi Allah. Golongan itu ialah fasiq dan kufur yang kedua-duanya terdiri daripada orang Islam sendiri.
 
Fasiq ialah orang yang mengekalkan dosa kecil. Namun dosa kecil yang besar di sisi Allah ialah menghina, mencerca, caci maki dan mengumpat orang Islam. Kalau umat Islam sering terlibat dalam perbuatan itu, mereka dicap sebagai fasiq. Dan orang fasiq dalam bahasa Melayu bermaksud orang jahat.
Orang yang fasiq, cakapnya tidak boleh dipercayai maka sebab itu Allah mengingatkan umat Islam, “jika datang orang fasiq membawa berita, hendaklah kamu selidik terlebih dahulu.” Jadi, kalau pemimpin yang naik dengan cara itu, sudah tentu dia termasuk dalam kategori fasiq.
 
Kufur pula ialah orang yang melakukan dosa besar. Kufur dalam bahasa yang mudah difahami ialah golongan yang suka menyalahi dan mempertikaikan larangan Allah. Maka berdasarkan hadis di atas, orang yang terlibat dalam membunuh orang Islam adalah dosa besar. Oleh sebab itu mereka dicap sebagai kufur.
 
Walau bagaimanapun dalam senarai dosa besar, terdapat dosa besar yang kecil di sisi Allah namun besar di sini manusia. Dosa tersebut ialah membuat fitnah dan menyebar fitnah. Hal ini kerana fitnah di sini Allah adalah lebih dahsyat daripada pembunuhan. Demikian seperti yang difirmankan Allah dalam al-Quran.

Kecilkah fasiq?
 
Fasiq walaupun melibatkan mereka yang melakukan dosa kecil, tetapi tidak boleh dipandang remeh oleh umat Islam. Hal ini kerana orang yang fasiq dalam Islam tidak sah menjadi wali pernikahan anak perempuannya. Dan seseorang yang fasiq juga tidak sah menjadi saksi dalam apa-apa majlis yang memerlukan saksi.
 
Begitulah buruknya nilaian orang fasiq. Tetapi mungkin kerana umat Islam tidak sedar akan nilaian itu, maka mereka terus melakukan fasiq. Mungkin mereka beranggapan bahawa fasiq boleh terhapus dengan isytighfar. Dan dosa kecil boleh terhapus dengan wuduk, maka bolehlah dosa itu dilanggar. Inilah salah faham yang menyebabkan umat Islam terus memilih fasiq tanpa ada rasa berdosa.
 
Sebenarnya jika merujuk kepada kepada hadis di atas, Rasulullah mengingatkan umat Islam tentang dosa menghina, mencerca, caci maki dan mengumpat orang Islam. Sebaliknya dalam dalam, keburukan seseorang Islam wajib ditutup oleh orang lain. Ingatlah walaupun mendedahkan keburukan yang kita lihat pada seseorang dikira dosa kecil tetapi dosa itu berada pada tingkat tertinggi. Maknanya orang yang terlibat dalam dosa ini berada pada kedudukan fasiq yang tertinggi.
 
Jelas, fasiq bukan perkara kecil yang boleh dikecil-kecilkan oleh umat Islam. Jadi, dalam keadaan apa pun, umat Islam mesti mengawal diri daripada terlibat dalam fasiq lagi. Apalah faedahnya kita dinilai hebat di sisi manusia tetapi dinilai fasiq di sisi Allah?
 
Cuma bersoalan sekarang, berapa ramai umat Islam yang menyedari peringatan Rasulullah itu? Mengapa mereka masih mahu dicap sebagai fasiq? Mahukah mereka dihalang daripada menjadi wali atau saksi untuk sesuatu pernikahan? Atau adakah mereka sanggup dipanggil orang jahat.
 
Sebenarnya, orang yang melakukan dosa di atas pada sisi Allah seperti seseorang yang memakan bangkai saudaranya sendiri. Firman Allah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah daripada banyak bersangka-sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepada-Nya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat: 12)
 
Bayangkan ketika anda hendak mencerca seseorang, dan setiap kali anda hendak menuturkan kata-kata itu, rasakan seolah-olah anda sedang menyuapkan daging saudara yang yang baru mati ke mulut anda. Sanggupkah anda meneruskan cercaan itu?
 
Oleh sebab itu hentikan cercaan itu. Sedarlah, mereka yang terlibat, masih diberi peluang untuk bertaubat. Semoga dengan ini diri mereka boleh dibersihkan daripada dosa fasiq.
 
Selain itu, mereka yang mencintai dunia lalu tunduk kepada kehendak dunia lebih daripada kehendak Allah dan Rasul juga tergolongan sebagai orang fasiq juga. Firman Allah:
 
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk ugama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (Surah al-Taubat: 24)
 
Oleh Ust Ahmad Baie Jaafar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan