Pelajar UPSI Belum Tentu Jadi Guru: Info Buat Graduan UPSI, Peringatan Buat Pelajar IPG
sumber: http://www.ar-rifke.com
Guru merupakan satu bidang profesional yang sangat digemari oleh rakyat Malaysia. Rata-rata sudah mengetahui bahawa profesion keguruan merupakan profesion yang sangat mulia dan di negara kita sendiri, guru diibaratkan seperti sesuatu yang berharga dan tidak terhingga nilainya.
Tanpa guru, maka tiadalah peguam yang petah berbicara, tidak akan ada doktor yang berkarisma, tidak juga wujud ahli perniagaan yang berjaya, tidak mungkin akan lahirnya hakim yang adil, dan tanpa guru maka akan porak perandalah sesebuah negara itu. Itulah guru, yang dianggap seperti cahaya dalam kegelapan dan kerana itulah profesion keguruan menjadi pilihan pelajar-pelajar cemerlang sama ada dari MRSM, SBP, Sekolah Harian Biasa dan mana-mana graduan yang menyambung pelajaran mereka dalam bidang pendidikan.
Namun begitu, sekarang timbul 1 isu dimana benarkah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris ini belum tentu menjadi guru? Satu topik yang patut diketengahkan oleh kita semua dan semestinya menjadi bualan hangat para bakal graduan UPSI. Sebelum itu, adakah semua orang tahu apa itu Universiti Pendidikan Sultan Idris?
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang penting dalam sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah kolej kepada sebuah universiti. Agak menarik meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama. Secara kronologi, perkembangan UPSI telah melalui tiga era, iaitu era SITC (29 November 1922 -1957), era MPSI (1957 – 1987), dan era IPSI (21 Februari 1987 – April 1997). Tiga era ini juga memperlihat wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun. Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 dan 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.Laman web UPSI
Pernah satu ketika apabila ada pelajar yang ingin memasuki UPSI dan tujuannya hanya satu iaitu untuk bergelar menjadi guru. Ya, mungkin dahulu boleh dikatakan impian pelajar ini akan tercapai apabila dia tamat belajar di UPSI dan bergelar sebagai graduan UPSI. Namun sekarang?
Selalu kedengaran cerita mengenai graduan UPSI yang mengambil jurusan pendidikan masih gagal mendapat tempat untuk mengajar walaupun sudah lama tamat belajar. Adakah senario ini benar-benar berlaku? Dari pengalaman aried, perkara ini sebenarnya pernah berlaku dan mungkin sedang berlaku dimana ada graduan yang mengambil jurusan pendidikan masih belum ditawarkan untuk mengajar pada hari ini walaupun sudah beberapa bulan tamat pengajian. Ya, memang diketahui bahawa untuk mendapat tempat mengajar maka graduan lepasan UPSI perlu melalui beberapa perkara wajib dahulu dan kebanyakkan perkara inilah yang akan mempengaruhi keputusannya.
Kenapa ini berlaku? Satu persoalan yang mungkin kita akan jumpa diakhir perbincangan ini.
Jika dibandingkan dengan pelajar IPG, mereka ini lebih beruntung kerana selain dari fokus kepada pengajian Perguruan, mereka juga mendapat elaun dari Kementerian Pendidikan Malaysia semasa mereka belajar, Selain elaun yang diberikan, pelajar IPG ini sebenarnya seperti sebelah kaki mereka sudah berada di sekolah iaitu hanya tunggu masa untuk menamatkan pengajian dengan jayanya dan kemudian menunggu untuk dihantar bagi mengajar dimana-mana sekolah diseluruh Malaysia. Berbanding dengan pelajar UPSI yang terpaksa menunggu lebih lama(kebanyakkan kes) kecuali pelajar yang mendapat tajaan KPM.
Namun begitu, kita tidak boleh menyamakan pelajar IPG dengan UPSI kerana pelajar IPG ini mendapat tawaran selepas SPM(kecuali KPLI). Tawaran yang disediakan pula adalah sangat terhad dan mereka yang ingin mendapat tempat di IPG mestilah mempunyai keputusan yang cukup cemerlang terutama pelajar di Semenanjung Malaysia. Ada sahaja kes yang aried jumpa dimana pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang masih gagal untuk mendapat tempat di IPG. Selain pelajar cemerlang dalam SPM diambil untuk mengisi tempat bagi major sains, matematik dan bahasa inggeris, major lain juga menitikberatkan keputusan SPM dan beberapa ujian lain lagi. Mungkin syarat ketat inilah yang menyebabkan pelajar IPG lebih istimewa. Ya, mungkin sahaja.
KLIK juga LINK berikut untuk ketahui lebih lanjut SILA BACA --> Wahyu Terakhir Nabi Muhammad dan Misi Gereja Vatican | Dialog Bishop 1/3
Namun begitu, kita hari ini bukanlah ingin membezakan graduan UPSI mahupun IPG kerana graduan UPSI juga tidak kurang hebatnya. Tidak adil jika kita menyatakan bahawa pelajar IPG lebih cemerlang dari UPSI jadi mereka diberikan pelbagai kelebihan. Namun, setiap perkara itu sudah semestinya ada hikmah dan sebabnya yang tersendiri. Aried begitu yakin bahawa graduan UPSI dan IPG merupakan pilihan tepat kerajaan untuk menjadi pendidik anak bangsa kita yang akan menjadi pemimpin negara suatu hari nanti.
JIKA anda bercita-cita menjadi guru dan ditawarkan belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), jangan cepat teruja. Ini kerana, anda belum tentu lagi menjadi guru sekalipun anda berjaya mendapat segulung ijazah dari universiti ini.
Masyarakat masih beranggapan bahawa nasib graduan ijazah pertama UPSI sama seperti graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) iaitu mereka akan menjadi guru dan ditempatkan di sekolah-sekolah Malaysia. Anggapan ini salah. Semakin hari, UPSI semakin melupakan peranannya mendidik dan melahirkan guru Malaysia dan semakin ghairah menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru.
UPSI meminggirkan bidang pendidikan siswazah guru secara sistematik dengan berselindung di sebalik nama perancangan penjenamaan dan penstrukturan semula fakulti. Semua kursus-kursus yang berkaitan dengan subjek mata pelajaran sekolah di kesemua lapan fakulti yang ada sebelum ini mula dipinggirkan dengan melonggokkannya di satu fakulti saja iaitu Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.
Tindakan peminggiran ini jelas apabila pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus-kursus Sains dan Matematik untuk bakal-bakal graduan guru sekolah dikeluarkan dari Fakulti Sains dan Teknologi serta dilonggokkan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.
Alasannya, pensyarah-pensyarah ini fokus kepada subjek Sains dan Matematik yang akan diajar di sekolah-sekolah dan seharusnya dipindahkan ke fakulti berkenaan. Saki baki Fakulti Sains dan Teknologi yang tertinggal diberi penjenamaan semula dengan nama Fakulti Sains dan Matematik.
Jika berasaskan kepada sebab yang diberikan, ini bermakna Fakulti Sains dan Matematik hanya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru sahaja. Jika UPSI membuat pengkelasan berdasarkan kriteria sebegini, kesannya nanti, hanya tinggal Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia sahaja yang mendidik graduan bakal guru manakala lapan fakulti lain yang selebihnya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka.
Layakkah UPSI terus memegang gelaran universiti pendidikan jika nanti hanya satu daripada sembilan fakultinya yang fokus kepada pendidikan guru? Apa akan jadi dengan tujuh fakulti lama yang tinggal dan satu fakulti baru yang telah ditubuhkan? Semuanya untuk pasaran terbuka bukan guru?
Sebenarnya, penstrukturan semula fakulti lebih kepada gimik pihak pengurusan untuk mengaburi mata masyarakat yang kononnya telah berlaku perubahan besar di UPSI. Kenyataannya, perubahan hanya kepada kedudukan bilik-bilik pensyarah akibat dipindahkan ke ‘fakulti longgok’. Mereka masih mengajar mata pelajaran yang sama kepada pelajar. Tidak ada apa-apa nilai tambah yang diperoleh daripada penstrukturan ini, selain menyusahkan pihak-pihak yang terlibat. Inilah penjenamaan semula dan penstrukturan semula fakulti yang UPSI banggakan sekarang.
UPSI kini berhasrat untuk menggadaikan warisan tradisinya mendidik guru. Sedangkan universiti-universiti lain berusaha untuk menawarkan lebih banyak kursus pendidikan tetapi UPSI sendiri mula meminggirkan bidang pendidikan guru yang menjadi darah daging UPSI sejak zaman SITC tahun 1922 lagi.
Inilah salah satu contoh masalah yang berlaku.
Barangkali UPSI berpendapat, hak untuk menawarkan sebarang kursus adalah hak UPSI. Masalah untuk menempatkan graduannya di sekolah-sekolah adalah masalah Kementerian Pelajaran. UPSI tidak perlu fikir itu semua sebab yang paling penting, UPSI boleh nampak gah menawarkan kursus-kursus yang tidak ditawarkan oleh Institut Pendidikan Guru atau mana-mana IPTA lain. Masalah penempatan guru untuk graduannya, biarlah kementerian berkenaan yang selesaikan.
Nyata sekali, UPSI tidak pernah mengkaji sedalam-dalamnya pasaran guru untuk kesemua graduannya. Semakin hari, semakin galak UPSI merancang dan menawarkan pelbagai kursus yang tidak relevan dengan keperluan kurikulum sekolah-sekolah di Malaysia. UPSI semakin lupa diri dan merasakan ia perlu sama dengan IPTA lain. Sebab itulah UPSI ingin sama-sama berlumba dengan IPTA dan IPTS lain dalam menawarkan lebih banyak kursus untuk pasaran bukan guru.
Sifat angkuh UPSI sekarang yang enggan memahami keperluan kementerian adalah punca utama masalah penempatan graduannya di sekolah-sekolah.Untuk mengubat hati, UPSI mengatakan bahawa graduannya masih boleh menjadi pensyarah di politeknik.
Sebenarnya, peratusan graduan UPSI yang berjaya menjadi pensyarah di politeknik amatlah kecil. Jika benar peratusannya tinggi, hebahkanlah jumlah peratusannya kepada masyarakat supaya boleh menjadi kebanggaan. Masyarakat di luar sana berhak tahu kerana mereka yang akan menghabiskan banyak duit menghantar anak-anak mereka belajar di UPSI.
Kepada anda yang benar-benar bercita-cita menjadi guru, anda berhak membuat pilihan yang lebih tepat. Ketika ini, pilihan terbaik anda adalah Institut Pendidikan Guru (IPG) kerana selain mendapat bantuan elaun semasa belajar, peluang untuk ditempatkan di sekolah-sekolah juga jauh terjamin berbanding graduan UPSI. Setidak-tidaknya, anda tidak akan menganggur untuk satu tempoh yang lama sambil menanggung beban dengan hutang PTPTN. Semak semula surat tawaran anda jika ditawarkan ke UPSI dan fahamilah erti sebenar ‘kursus terbuka’ jika tertulis di dalamnya. Pilihan sebenar di tangan anda
Tiada ulasan:
Catat Ulasan