Ahad, 10 April 2011

Hikmah di sebalik kegagalan...


Hikmah di sebalik kegagalan

TIDAK dapat dinafikan, kegagalan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil daripadanya boleh menyebabkan seseorang pelajar matrikulasi sangat terganggu fizikal, mental, malah juga spiritual. Gagal dalam peperiksaan PSPM atau UPS… dalam percintaan….. atau gagal menjadi yang terbaik. Daripada sudut mental, selain menjadi seseorang atau sesuatu objek yang boleh dipersalahkan, ada kalanya pelajar juga akan mengutuk dirinya sendiri atas kegagalan yang menimpa. Salah kan orang lain lagilah ramai... hehheheh.

Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa diri kepada rasa putus asa dari rahmat dan kasih sayang 4W1. Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang, seterusnya diri akan terus menjauhi masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya semasa di matrikulasi. Daripada sudut fizikal, bagi segelintir pelajar, selera menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Manakala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikalnya. Makin tombam dan berisi....

Akhirnya, tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot. Kesudahannya, kedua-duanya rebah dan sukar bangkit kembali. Daripada sudut spiritual pula, kegagalan boleh mendatangkan dosa. Ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya sudah bertemu ramai pelajar matrik yang gagal dalam program matrikulasi, terhakis keyakinan para pelajar ini terhadap konsep qada’ dan qadar Allah SWT. Iman bergoncangan. Berjaya di matrikulasi tetapi gagal layu terkulai di menara gading sebab salah strategi.

Tidak kurang juga ada pelajar yang menyalahkan Allah SWT ketika menghadapi sesuatu kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh daripada sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal, sukar dirawati. Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi sebab seseorang pelajar matrikulasi itu lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kembali kepada jalan lurus selepas bengkok lalu dia kembali bangkit dengan azam, rancangan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya. Pelajar seperti ini yang kita inginkan. Kental jati diri. Direbus tak empuk.

KEGAGALAN DAN SAYA. Saya pernah gagal dalam banyak perkara di dalam hidup yang singkat di dunia yang fana ini, namun syukur kerana ia tanda kita perlu membuat perubahan yang besar lagi signifikan bagi memperbetulkannya. Tanpa usaha itu, kegagalan akan terus bernanah dan membunuh. Biasanya, satu perubahan itu sangat perit dan berat lagi kurang selesa. Walau bagai mana berat dan sukar sekali pun, ia satu kemestian. Hasilnya, apabila tepat cara pengendalian kegagalan dan perubahan yang diperlukan, ia akan membuahkan hasil lebih baik… lebih dari apa yang kita jangkakan selama ini… percayalah. Insya 4W1. Beyond our expectation.

Tatkala itu baru kita sedari, rupa-rupanya kegagalan itu adalah satu titik kepada penyambungan titik lain dalam kehidupan kita. Macam molekul kimia organik. Bersambung-sambung. Ia seperti satu persimpangan yang menjauhkan kita daripada kesesatan atau melorongkan kita kepada satu laluan yang lebih baik demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Dulu, kini dan selamanya dunia dan akhirat yang kekal abadi.

Saya teringat betapa kecewanya hati dan perasaan saya apabila tidak berjaya memasuki program matrikulasi 12 tahun dulu. Ketika itu matrikulasi masih di bawah kelolaan IPTA. Sekarang saya sedar dan tahu betapa besar hikmah saya sambung belajar selepas SPM di Tingkatan Enam ambil STPM. Segala pengalaman yang diperoleh itu banyak mencorak kehidupan saya selepas itu. Untuk makluman anak didik yang saya kasihi, saya bertemu jodoh dengan isteri saya semasa di Tingkatan Enam Atas. Akhirnya, selepas dua tahun di Tingkatan Enam saya melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda KIMI’A” di KUSTEM. Sekarang UMT.
Saya sungguh bersyukur kekecewaan saya tak dapat belajar di matrikulasi 4W1 gantikan dengan sekarang saya menjadi pensyarah matrikulasi anda di KMPk. Macam mimpi pun ada. Ingat jika kita bersangka baik kepada 4W1, maka 4W1 juga bersangka baik kepada kita. Begitulah sebaliknya. Banyak perkara dan jenis kegagalan dan saya kini sedar hikmah dan kebaikan daripadanya, namun ia terlalu peribadi untuk dikongsikan di sini. So… anda nak kecewa lagi ke…?? Hanya orang yang pernah GAGAL kenal siapa orang yang GAGAL

Apapun, semua jenis kegagalan yang menimpa memerlukan satu proses perit yang lain. Bukankah Allah SWT sudah mengingatkan: “Sesungguhnya dengan kesukaran itu adalah kesenangan.” Apa yang mesti dan pasti, pelajar mesti meyakini kegagalan itu adalah satu proses yang perlu ditangani secara positif. Think positive… macam proton dalam nukleus suatu atom unsur di alam semesta ini. Ada ke proton cajnya negatif…?? Apa pun kegagalan adalah satu konflik hidup yang mendesak minda dan akal kita untuk lebih agresif dan kreatif bagi mencari jalan keluar. Jalan keluar…??? Ya… jalan keluar dari kegelapan, kesesatan dan kejahilan…faham..?? Tanpa disedari, rupa-rupanya tanpa kegagalan, kita mungkin akan berterusan di takuk lama dan kurang kreatif.

UCAPAN STEVE JOBS YANG HEBAT Saya sangat kagum dengan tips dan nasihat dari Steve Jobs, Pegawai Eksekutif syarikat ternama dunia, Apple dan Pixar, pengasas produk iPhone, iPod juga iPad. beliau menceritakan bagaimana beliau yang pernah gagal pengajian semasa di universiti akhirnya membuahkan idea penciptaan perisian dan komputer Macintosh, satu revolusi dalam dunia perkomputeran, malah ia adalah idea yang kemudian ditiru oleh Bill Gates, pengasas Microsoft. Kegagalan juga satu kejayaan…??? faham?

Beliau menceritakan bagaimana pada umur 30 tahun, akibat kebuntuan syarikat yang diasaskannya iaitu Apple, lembaga pengarah syarikat menendangnya keluar dari syarikat berkenaan. Hasil kegagalan itu, lahirlah revolusi kartun moden menggunakan animasi komputer. Lahirlah animasi ‘Toy Story’ yang sungguh popular. Kalau tak silap tahun 1995. Hanya menggunakan 500 GB memori. Jika tidak kerana kegagalan pertama, revolusi animasi seperti Toy Story mungkin belum pasti bila akan wujud. Selain itu, pelbagai nasihat lain diberi oleh Jobs,  termasuklah memastikan yang kita sebagai pelajar sudah menjumpai bidang yang kita CINTA & MINAT.

Tanpa minat dan kecintaan kepada tugasan kita sekarang iaitu belajar, setiap perkara akan menjadi beban. Pergi kuliah malas. Tutoran tak buat. Kelas amali ponteng. Namun bagi Muslim, minat itu mestilah dipastikan TIDAK BERCANGGAH dengan hukum Islam. Apabila haram, ia wajib diubah kepada yang halal. Ucapan beliau semakin menarik apabila mendedahkan bagaimana perasaan ‘macam nak mati dah…’ memotivasikan diri untuk membuat keputusan tepat dalam kehidupan. Jobs berkata: “Mengingati yang saya akan mati tidak lama lagi adalah alat utama yang saya tidak pernah temui untuk membantu saya membuat keputusan maha penting dalam kehidupan. “Ini kerana, hampir keseluruhan kepelbagaian perasaan luaran akan hilang di ambang kematian, yang tinggal hanya perkara paling penting. “Mengingati anda akan mati adalah cara yang saya tahu paling baik untuk mengelak diri anda terperangkap dalam pemikiran anda akan kehilangan sesuatu”

Dalam Islam, kematian memang sudah lama dijadikan prinsip oleh Rasulullah SAW untuk diterapkan kepada umatnya supaya berusaha dan berfikir sesuatu yang lebih penting dan meninggalkan yang tidak penting serta kurang penting. Bagi umat Islam, yang paling penting adalah apa yang akan kita bawa selepas MATI. Justeru, fikirkan dan berubahlah. Jangan menganggap kegagalan itu sesuatu yang terlalu besar, jadikan ia kunci untuk kejayaan seterusnya. Benar, apa saja kegagalan boleh diatasi kesan buruknya sehingga dilihat kerdil dan kecil serta boleh diatasi JIKA KITA MENYEDARI. Kematian itu pasti dan sesuatu perlu dilakukan segera untuk mempersiapkan diri kepadanya. Akhirnya, kegagalan jangan dicari tetapi apabila ia datang, ia tanda satu perubahan drastik diperlukan dalam rutin harian, mengubah zon selesa yang lapuk kepada satu zon baru yang tidak lagi gagal. Ingat jangan lari dari kegagalan. <<<Berani untuk GAGAL… GAGAL untuk Berani…>>>

Jadikanlah kegagalan sebagai ubat penawar yang maha pahit tetapi penyembuh luka yang paling dalam, terlihat dan tidak terlihat. Sesungguhnya orang mukmin itu tidak langsung berasa sedih walau sedikit pun. Tidak pula berasa takut melainkan kepada 4W1 SWT tuhan pentadbir sekalian alam. Selamat maju jaya dalam PSPM II… Yang penting buktikan yang KIMI’A’ itu MUDAH.. Insya 4W1... A..!!! Makcik cleaner pun dah tahu dan faham dengan ‘tagline’ nie... Asal KIMI’A’ ajer pasti MUDAH.. Insya 4W1. So apa lagi… buktikanlah…!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan