Ahad, 10 April 2011

dosa dan pahala milik Allah...!!

Fitnah adalah menyebarkan yang tidak benar atau belum disahkan kebenarannya. Lebih menyayatkan, ia sehingga menyentuh soal-soal yang jawabannya telah dinyatakan secara jelas oleh al Quran. Pun begitu, sebahagian mereka enggan menerima. Apabila diberi nasihat dan teguran, mereka berusaha menghasilkan deretan hujah yang menggambarkan seolah-olah merekalah penyelamat negara daripada kerosakan. Tentunya mereka sedang dilamun cinta iblis kerana sedang menghujah kekuasaan al Quran dan merasakan mereka lebih benar dan lebih tahu hukum Allah daripada Allah sendiri.

Ketahuilah bahawa dosa dan pahala adalah milik Allah. Dia yang menulis dan Dialah yang membalasnya nanti. Kita tidak pun pernah dan akan tahu berapakah jumlah dosa dan pahala kita sekarang. Sebabnya, ia melibatkan syarat keikhlasan yang duduknya di dalam hati. Seribu tahun kita bersolat tidak bererti semuanya berpahala, bahkan ia diikat keikhlasan diri. Walaupun seribu kali kita mengaku ikhlas, seribu kalilah dakwaan kita itu tidak terpakai. Hak menentukan keikhlasan adalah milik Allah semutlaknya.

Kerana itu Allah tidak pernah menuntut agar kita menulis pahala dan menganugerahi seseorang kerana pahala yang dilakukannya. Begitulah kita juga tidak dituntut menulis dosa dan menghukum seseorang kerana dosanya. Bagaimanakah kita layak dan berhak menganugerahi atau membalas jahat seseorang yang berpahala atau berdosa sedangkan kita sendiri gagal mengesan dan melihat keikhlasan, pahala dan dosa diri sendiri? Maka dosa dan pahala adalah milik Allah semutlaknya. Nanti, Dialah tuhan yang akan membalasnya dengan nikmat atau azabNya di akhirat nanti.

Apa yang kita ada di hadapan ialah kebaikan dan kejahatan yang dilihat. Atau keadilan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Di sinilah penganugerahan baik dan pembalasan buruk dituntut oleh Allah daripada manusia. Kita dituntut untuk menganugerahi kebaikan dan keadilan yang dilakukan manusia setimpalnya. Begitulah kita juga dituntut membalas keburukan dan kezaliman yang dilakukan manusia setimpalnya. Kebaikan, keadilan, keburukan dan kezaliman adalah suatu yang zahir dan dilihat oleh manusia. Ia tidak memerlukan syarat keikhlasan untuk membalasnya, baik atau buruk.

Adakah seorang pekerja dipotong gajinya kerana mengajar tidak ikhlas? Tidak bukan? Mereka digaji kerana kebaikan mereka menuruti perintah yang diarahkan. Juga, mereka dihukum kerana perlanggaran terhadap amanah yang diberikan. Itulah yang kita harus fahami daripada asas syariat bahawa pembalasan sesama manusia hendaklah diukur pada zahirnya, bukan batinnya. Manusia apabila memasuki ruang batin, mereka akan mendakwa dan menghukum di dalam kekeliruan, kesamaran dan kepalsuan.

Maksiat peribadi yang tersembunyi adalah perbuatan yang melibatkan dosa, bukan kezaliman sesama manusia. Maka ia adalah hak Allah dan kita sama sekali dilarang menghukumnya. Zina, minum arak, tidak solat dan sepertinya adalah dosa peribadi yang tidak menzalimi orang lain. Maka Allahlah yang akan mengadilinya. Tetapi jika zina bertukar kepada rogol, atau mabuk arak sehingga mengganggu ketenteraman awam, atau tidak solat secara terbuka yang memalukan, melukakan dan menyebarkan kefasikan di dalam masyarakat Islam, maka ia telah bertukar bukan hanya sekadar maksiat peribadi, bahkan ia telah mencetuskan kezaliman di dalam masyarakat. Saat itulah, Allah menuntut kita bertindak memadamkan kezaliman dan fitnah tersebut.

Begitulah kesalahan lain yang lebih jelas kezalimannya terhadap sesama manusia samada ianya ikhlas atau tidak, tertutup atau terbuka seperti menipu, mencuri, merompak, merasuah, membunuh dan memfitnah. Bayangkan pula jika ianya melibatkan jutaan manusia seperti merompak wang rakyat, merasuah jutaan ringgit dan memfitnah pemimpin rakyat yang membawa kesan buruk yang lebih besar.

Mereka bertanya, jika begitu bagaimana kita mampu menyekat budaya zina yang kian menular di dalam masyarakat? Tidakkah zina biasanya tersembunyi? Ya, selagi ianya tertutup, ia kekal jangan dibuka bongkar. Budaya zina hari ini pula telah melewati batasan keperibadian dan kesembunyian. Ia telah merebak ke ruang terbuka melalui kejelekan muqaddimahnya dan akibat buruknya. Pergaulan bebas begitu ketara, berpacaran dan berpelukan di khalayak ramai begitu terbuka dan akhirnya jenuhlah anak luar nikah, pembunuhan terhadap bayi dan pengguguran kandungan luar nikah.

Membasmi budaya ini bukanlah dengan cara menyerbu dan mengintai orang berzina, tetapi dengan nasihat dan dakwah, juga dengan menutup, menghalang dan mengawasi lokasi-lokasi yang menjadi punca berleluasanya aktiviti terkutuk itu. Jika zina tertutup itu telah diketahui di luar kerana ada yang melaporkannya, atau tempat itu telah terkenal dengan aktiviti tidak bermoral, maka adalah hak bagi pihak berkuasa untuk bertindak memadamkannya samada menangkap, mengawasi atau menutupnya terus. Zina tersebut telah melangkaui sempadan kesembunyian kepada kezaliman terhadap masyarakat. Sebuah masyarakat Islam yang bersih akan terganggu dengan mengetahui dan mendengar maksiat yang berlaku di sekitarnya tanpa tindakan menutupnya.

Mereka bertanya lagi, bagaimana jika ia melibatkan pemimpin yang kejahatannya walaupun bersifat peribadi adalah penipuan dan pengkhianatan terhadap rakyat? Saya menjawab, ya, ia kekal peribadi. Semua kita adalah pemimpin terhadap anak buah masing-masing. Jika maksiat peribadi pemimpin harus dibezakan, maka izinkanlah anak-anak kita sendiri mengintai maksiat kita kerana kita telah mengkhianati mereka. Mahukah?

Mereka enggan berhenti daripada bertanya, video telah tersebar dan ditontonkan secara terbuka. Tidakkah itu telah menjadi maksiat terbuka yang mesti dihukum? Saya menjawab, orang yang sedang melakukan maksiat terbuka itu adalah penontonnya, apatah penyebarnya. Adapun pelaku didalamnya, ia kekal maksiat tertutup yang telah pun berlalu penulisan dosanya oleh Allah. Mungkin juga dia telah pun bertaubat semasa anda menonton video tersebut. Anda menghukumnya sedang Allah telah memaafkannya. Alangkah tuhannya anda!

Kemudian, orang mukmin sudah cukup dirinya sendiri menjadi saksi. Orang mukmin itu amanah sifatnya selama mana tiada kecalaran di dalam rekod zahirnya. Tetapi, pada peringkat tuduhan zina, Allah menuntut empat saksi untuk membenarkannya. Tidakkah anda melihat betapa di antara hikmah yang nyata adalah kerana Allah sendiri enggan maksiat hambanya yang bersembunyi itu disebarkan oleh sesiapapun, apatah dengan tujuan menjatuhkan maruahnya. Adakah saat kita menuduh orang berdosa, kita tidak pernah pun berbuat dosa? 

Ah, jikalah tidak kerana kelebihan Allah dan rahmat kasih sayangNya ke atas kita, maka tiadalah siapa pun di antara kita mampu menjadi bersih dan dilihat bersih selama-lamanya. Tetapi Allahlah yang membersih kita dengan menjauhkan kita daripada dosa dan menutupi dosa yang telah kita lakukan.

Apabila anda memahami fiqh dan kehikmatan ini, maka anda akan dapat melihat sejalur hikmah mengapa mengumpat, mengadu domba dan menjaga tepi kain orang adalah diharamkan dan dosa kesalahannya adalah besar di sisi Allah. Mengumpat dan seumpamanya, walaupun jika benar sekalipun adalah terlarang kerana ia banyak melintasi garis peribadi yang tak pun menjejaskan awam.

Itu jika benar, apatah jika ianya adalah satu fitnah! Rakaman video hanyalah fitnah! Seratus kamera yang merakam sekali pun, ia bukan galang ganti seorang mukmin apatah empat orang mukmin yang dituntut oleh Allah. Tidakkah satu kepastian yang nyata bahawa orang mukmin yang amanah tidak akan melakukan perbuatan merakam video perbuatan maksiat tertutup tersebut?! Jadi, bagaimana dibenarkan penghukuman zina oleh saksi fasik dengan bahan bukti tertolak?

Mereka terus tidak berpuas hati kerana fitnah sedang melanda negara, lalu ia memakan dan memamah apa saja yang mampu dimakannya samada kayu atau besi. Mereka bertanya lagi, bagaimana jika video itu benar sebenar-benarnya dan asli seasli-aslinya? Tidakkah dengan tidak mempercayai atau tidak bertindak ke atasnya maka terdedahlah kita dengan penipuan dan pengkhianatan yang menanti jika pemimpin itu naik? Saya menarik nafas kewaspadaan dan kesabaran. Saya berkata, mari saya ajarkan kamu satu sunnah Allah di muka bumi bagaimana Allah menjatuhkan dan menaikkan seseorang hambaNya.

Apabila Allah ingin menjatuhkan seorang yang zalim, maka dihantarnya orang mukmin atau orang jahat untuk memeranginya. Jika Allah menghantar orang jahat, maka ia akan memeranginya dengan cara yang jahat juga. Maka itulah seburuk-buruk kesudahan. Tidakkah anda melihat Saddam yang zalim itu dibunuh oleh Amerika yang lebih jahat daripadanya. Maka alangkah buruknya kesudahan ke atas rakyatnya!

Jika Allah menghantar orang yang baik, maka ia tidak akan memeranginya kecuali secara yang diizinkan syarak. Maka itulah sebaik-baik akibat. Tidakkah Mekah yang paling zalim ahlinya itu dibebaskan oleh hamba Allah yang paling baik, lalu alangkah baik akibatnya juga. Lihat juga Mesir, pemimpin yang baik-baik memimpin rakyat melakukan perubahan, lalu semakin baiklah Mesir dan rakyatnya.

Maka ketahuilah, di negara kita, jika kita menginginkan kelebihan dan kebaikan yang lebih baik untuk masa depan negara, bergeraklah sebagai orang baik dan hendaklah terpimpin oleh orang yang baik-baik. Ulama adalah orang yang terpercaya di sisi Allah. Mereka telah menasihati agar jangan mempercayai fitnah. Rakaman video yang begitu terdedah kepada pengaburan dan pemalsuan hanyalah akan mengundang fitnah lebih besar jika diterima. Maka jangan menghukum pemimpin dengan fitnah yang terlarang oleh syarak.

Maka, orang mukmin tidak boleh menyebarkan sekali pun rasa percaya. Jika ianya nyata palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika ianya benar pula, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka? Justeru jauhilah politik kotor yang mengundang bala tuhan.

(Artikel adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah)
http://nikabduh.wordpress.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan