Sabtu, 9 April 2011

RAHSIA KEJAYAAN SEBENAR PELAJAR DI IPT…LUAHAN HATI SEORANG PENSYARAH

by Ikram Shah Alam
Pelajar baru mula mendaftar di UiTM seluruh Malaysia untuk kemasukan Disember 2010. Ibu bapa serta ahli keluarga (termasuk Tok & Tok Wan) turut mengiringi cucu kesayangan ke  UiTM..

Mereka berasa amat bernasib baik kerana di beri peluang untuk mengikuti kursus yang dipilih walaupun tidak berjaya untuk kemasukan Julai yang mana persaingan akan lebih hebat dan sengit.

Maka rebutlah peluang dan ruang yang telah diberikan Allah SWT agar menjadi mahasiswa cemerlang dunia dan akhirat. Sesungguhnya ALLAH SWT telah mencipta manusia sebaik-baik kejadian sebagaimana yang termaktub dalam surah At-Tin:4 yang bermaksud..”Sungguh..Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.”

Lumrah dalam kehidupan manusia, remaja pelajar dalam lingkungan umur 18 hingga 22 tahun ada kalanya  terdorong menjadi lalai dan alpa di pertengahan jalan, hasil pertembungan budaya dan cara hidup yang berbagai, seperti rakan taulan, teman sebilik dan sebagainya. Ada juga yang di hanyutkan oleh suasana kampus yang agak danggal dibandingkan dengan suasana kampung, ada juga yang terbawa-bawa dengan hasutan dan desakan kawan.

Apakah peranan dan tanggungjawab anda sebagai seorang pelajar? Pertamanya, sedarilah bahawa seorang pelajar yang ikhlas mesti merasai tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pelajar di menara gading. Sebagai seorang Muslim, anda sepatutnya dan mesti memperagakan pekerti seorang Muslim tulin, tanggung jawab terhadap Maha Pencipta, ALLAH SWT mesti di tunaikan setiap waktu dan ketika. Keduanya, anda seharusnya memilih sahabat karib yang dapat mengingatkan hubungan hamba dengan ALLAH SWT sangat perlu diambil berat. Anda dianjurkan agar merebut peluang untuk menguasai diri dan memimpin pelajar-pelajar lain kearah kebaikan dan kebajikan. Sedarilah, bahawa ramai lagi insan lain yang tidak diberi peluang untuk menjejak kaki ke menara gading. Justru menafaatkan masa anda sewaktu di kampus dan perkukuhkanlah minda anda untuk menjadi pelajar yang terbaik sementara peluang masih ada.

Kejayaan pelajar sebenar berada di tangan anda masing-masing. Kami, sebagai pensyarah yang telah mengajar puluhan tahun di kampus, mempunyai banyak kesah benar tapi pelik, kisah kisah yang boleh di kongsi bersama sebagai inspirasi untuk anak-anak agar terus bangun dan cipta kejayaan dalam kehidupan. Kami hanya boleh membantu anda untuk mendapat KUNCI KEJAYAAN dan kunci tersebut boleh dalam berbagai bentuk samada dari emas, perak atau gangsa. Anda sendiri yang akan menentukan jenis  kunci kejayaan anda, pergunakanlah peluang dan masa dengan sepenuhnya, dengan sungguh sungguh, sementara kami pensyarah akan pimpin dan berikan halatuju kearah kejayaan anda.  Di antara syarat  kejayaan adalah:
  1. Kebolehan diri (Ability) dan Kesesuaian kursus
  2. Kehendak tinggi dalam bidang yang diminati
  3. Kesungguhan berterusan
  4. Kebergantungan tinggi pada Allah SWT
  5. Keseimbangan dunia akhirat
Sebagai inspirasi dan iktibar, kami perturunkan beberapa kisah benar yang boleh membakar semangat anda untuk terus bangun menempa kejayaan, agar tidak sesekali mengaku kalah selagi mampu menghirup udara TUHAN:
  1. Pelajar A telah di tawarkan biasiswa untuk terbang ke luar negara sebelum keputusan SPM diumumkan oleh kerana keputusan cemerlang semasa tingkatan 4 & 5.  Namun “cuaca panas yang  disangka hingga  ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari”.  Pelajar A terlalu terpengaruh dengan pertembungan persekitaran dan budaya di bumi baru telah gagal seawal semester 2 dan di hantar balik oleh penaja. Walaupun terlalu malu dengan kegagalan ini, namun digagahi diri beliau telah mendaftar diri di UiTM. Dengan kesedaran baru, beliau lalu bangun semula dengan penuh keinsafan, menggugahkan diri, mengkoreksi diri dan terus menempa kejayaan yang dicita cita seperti yang di dambakan akhirnya.
  2. Pelajar B telah di tawarkan ke Pusat Persediaan Pelajar (Program Persediaan untuk luar negara). Namun atas faktor yang melalaikan pelajar B, beliau dapat keputusan yang tidak mencukupi untuk  terbang ke luar negara. Nasib tidak selalu menyebelahi beliau dan seharusnya menjadi iktibar. Beliau mendaftar diri semula dengan UiTM sebagai pelajar baru. Dengan  kesedaran  beliau terus  membela diri dan qalbu, lantas mekar hingga menggarap harapan baru dan azam, beliau mencapai cita-cita  ijazah pertama, kedua dan akhirnya menerima ijazah Kedoktoran.!!
  3. Pelajar C berada di tahun akhir di salah sebuah IPTA. Namun cita-citanya menjadi  “mimpi di siang hari” apabila keputusan tidak memuaskan, dan berakhir dengan di buang keluar tanpa belas kasihan. Beliau gagal sekali, tetapi ini bukan bermakna gagal seumur hidup. Pelajar C cuba merebut peluang sekali lagi lalu mendaftar diri dengan UiTM pada kali kedua, dalam bidang berlainan…Beliau terus fokus dan menyusun strategi kehidupannya, dan tidak mahu gagal kali kedua ..Pelajar ini akhirnya berjaya dengan cemerlang dan kini jadi jurutera perunding yang sangat berkerjaya tinggi.
  4. Pelajar D adalah seorang yang sederhana dan biasa-biasa sahaja ketika di sekolah rendah dan menengah. Namun, UiTM adalah satu-satunya IPTA yang menerima dengan keputusan SPM yang tidak seberapa menyerlah itu. Setelah menyedari di mana dirinya telah ditaqdirkan Ilahi, beliau terus merebut peluang terakhir ini untuk sampai ke peringkat Diploma, terus menyambung ke Ijazah pertama, ijzah kedua dan kini sedang menghabiskan Ijazah Kedoktoran.
  5. Pelajar E tidak berapa berjaya sewaktu di sekolah menengah dan hanya mampu mendaftar diri di UiTM sekadar jurusan sains sosial seperti seni lukis, seni kasut, seni grafik dan yang seumpanya. Namun usaha gigih yang berterusan dan keyakinan bahawa ALLAH SWT tidak akan mensia-siakan usaha hambaNYA yang telah meluhurkan jiwanya. Beliau terus membangunkan  potensi dirinya dan dengan tekun membentuk keyakinan bagi memantapkan langkah  menuju kejayaan akhirnya hingga buka syarikat/ firma sendiri.
Senario di atas menunjukkan setiap pelajar adalah juga manusia yang mempunyai potensi diri, yang telah dibekalkan oleh ALLAH SWT. Namun manusia tetap manusia,  di kala umur muda manusia tetap mempunyai sifat alpa, lalai, cuai dan kadang-kadang terbabas. Justru, jika seorang insan itu digugah hati dan jiwanya hingga mampu bangun semula, mereka mencuba dan terus mencuba di samping istiqomah dan tawakkal kepada YANG MAHA KUASA, insan tersebut akan mampu mencipta sejarah dalam kehidupan yang akan datang.
Anda harus ingat bahawa, mereka yang berjaya dalam kehidupan adalah  juga mereka yang pernah melalui kegagalan sekali and beberapa kali dalam kehidupan mereka, namun kita perlu BANGUN SEMULA & MENCUBA DAN TERUS MENCUBA HINGGA BERJAYA,  selagi mampu menghirup udara TUHAN Rabbul Jalil. Ini juga membuktikan bahawa ALLAH SWT tidak pernah menghampakan kesungguhan hambaNYA yang sentiasa rapat  denganNYA dan mengharapkan pertolongan kepada YANG MAHA KUASA,  MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.
Maksud surah al Mukmin :60  Dan Tuhanmu berfirman, “ Berdo’alah kepadaKU, nescaya akan AKU perkenankan bagimu……….”

Hidup berpandukan Syari’at pasti Berkat
Selamat Maju Jaya  Dunia dan Akhirat.


Prof Madya Pauziah Mohd Arsad
Ketua Wanita IKRAM Shah Alam

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"

1 ulasan:

  1. entri ni mmbakar semngat..
    mohon update mngenai kolej matrikulasi :)

    BalasPadam