Biar bertubuh kecil,
Namun jangan disangka yang kecil ini hanya si kecil,
Tetapi si kecil belajar untuk membesar,
Besarkan semangat dan azamnya,
Yang belum tentu dipunyai pemuda dewasa.
Dalam perang Badar, ada 2 orang remaja ansar, iaitu Muaz bin Afra' dan Auf bin Afra' masing-masing berumur 15 dan 16 tahun. Tidaklah umur mereka ini boleh digelar 'si kecil' tetapi di dalam peperangan, ya, mereka adalah si kecil yang sungguh luar biasa. Mereka berdua berada bersama Abdul Rahman bin Auf. Abdul Rahman pernah berkata dalam hatinya,
"Kalau boleh, biarlah orang yang berada di kiri dan kananku adalah orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman dalam berperang"
Namun keraguan dalam hatinya hilang dengan melihat semangat yang ada pada dua orang remaja ini. Seorang daripada remaja ini bersuara, "Wahai Pak Cik, adakah Pak Cik kenal Abu Jahal? Aku dengar dia adalah orang yang banyak menyakiti Muhammad. Tunjukkan dia kepada aku. Aku ingin membunuhnya."
Abdul Rahman bin Auf terkejut dengan soalan itu. Soalan yang sama turut diajukan oleh remaja yang kedua itu. Abu Jahal dikawal ketat oleh orang-orangnya. Abdul Rahman akhirnya menunjukkan kepada mereka yang mana satu Abu Jahal. Belum sempat dia habis berkata-kata, dua orang remaja telah pun tangkas melompat menuju ke arah Abu Jahal.
Mereka merempuh barisan pertahanan yang mengawal Abu Jahal sehingga mereka berada betul-betul dihadapan Abu Jahal. Mereka memukul Abu Jahal dengan pedang mereka sehingga pukulan itu berjaya menjatuhkan Abu Jahal.
Abu Jahal yang cedera parah itu jatuh tetapi masih bernyawa.
Ikrimah, anak kepada Abu Jahal yang berada berdekatan dengan ayahnya berjaya membunuh Auf bin Afra'. Maka tamat riwayat seorang remaja, si kecil perang Badar yang gagah berani.
Muaz bin Afra' tidak patah semangat, dia segera berundur sambil memerangi tentera bukan Islam. Akhirnya, tangannya terpotong tetapi masih tergantung di badan. Segeralah dia berundur ke tempat tentera Islam.
Berundurnya Muaz bukan bererti kalah, tetapi pembakar semangatnya untuk terus berjuang di medan perang. Selepas membalut tangannya, dia kembali lagi berperang. Tangannya yang hampir putus itu mengganggu pergerakan. Akhirnya, Muaz terus memijak lalu memutuskan tangannya itu dengan kakinya sendiri supaya memudahkannya bergerak.
Muaz terus berperang sehingga syahid dalam peperangan. Syahid si kecil kedua yang gagah berani perang Badar.
Pergi si kecil tiada ganti,
Moga semangat besar berperang kerana Ilahi,
Mulai tersemai dalam hati muda mudi kini,
InsyaAllah.
Berita kecederaan Abu Jahal diketahui tentera Islam. Akhirnya, Abdullah bin Mas'ud menjumpai Abu Jahal dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Namun si Abu Jahal tetap membesarkan diri (besar yang ini yang perlu dijauhi) dengan berkata,
"Engkau (Abdullah, penjaga kambing-kambing di Mekah) sedang melakukan sesuatu yang bukan kedudukan kamu, wahai tukang jaga kambing." (kata-kata besar lagi sia-sia ini jangan kita contohi, tetapi pelajari untuk menjauhi) Pada masa itu, Abdullah bin Mas'ud memenggal kepala Abu Jahal dan membawa kepalanya kepada Muhammad.
Kemudian, setelah mengenalpasti tuan punya kepala itu, Nabi Muhammad berkata kepada para sahabat yang bermaksud, "Inilah dia Firaun umat Muhammad."
Tamatlah riwayat si pekata besar,
Besarnya hanya pada kata-kata yang tidak punya makna,
Yang diketahuinya adalah kejian dan kutukan,
Hayati pengajaran kisah,
Moga kita-kita tergolong dalam golongan yang beriman.
Waallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan