Pesbuk oh Pesbuk…
Engkau datang ke dalam hidup insan penuh dengan sensasi,
Semua orang cakap pasal dirimu setiap hari,
Yang dewasa, remaja dan kanak-kanak pun tak terkecuali,
Malah para pemimpin mempromosi dirimu ke seluruh negara dan negeri,
Pesbuk sebagai medium bersosial terkini.
Pesbuk oh Pesbuk…
Bukan setakat itu sahaja,
Malah ramai ulama berbincang baik dan buruknya,
Samada memberikan manfaat atau memudharat sifatnya,
Ibarat pisau yang memotong makanan atau meluka manusia,
Ia berbalik pada niat dan cara si pengguna.
Pesbuk oh Pesbuk…
Engkau dibuka manusia hampir setiap waktu,
Ada yang berdakwah, ada yang merapu,
Ada yang berukhuwwah, ada yang jadi seteru,
Dulu hanya di depan komputer manusia mengadapmu,
Kini dalam telefon bimbit ke sana ke sini asyik denganmu.
Pesbuk oh Pesbuk…
Banyak aib manusia telah engkau dedahkan,
Aurat si gadis dan wanita menjadi tontonan,
Masalah rumahtangga habis ditelanjangkan,
Hilanglah malu, tergadailah maruah ramai insan,
Zaman fitnah semakin jelas kelihatan.
Pesbuk oh Pesbuk…
Akal dan nafsu selalu berperang tatkala menggunakanmu,
Kaum Adam dan Hawa berbual kurang malu,
Ada yang nakal terus tersangkut melulu,
Syaitan ketawa kerana ‘ikan dah masuk bubu’,
Gejala sosial ganda beribu-ribu.
Pesbuk oh Pesbuk…
Banyak rahsia dan cerita manusia telah terdedah,
“Hari ni aku makan di restoran Mak Kiah”,
“Oh, aku sangat rindukan si Milah”,
“Alamak, bulu hidung aku panjang sebelah”,
“Fuyyo, dahsyatnya kereta orang jiran sebelah”,
“Ah, aku kesedihan hari ini kerana dimarahi mak dan abah”,
“Cit, kucing tu berak lagi…aarghhh!”
“Best, hari ni RM50 aku sedekah”
Macam-macam gelagat manusia terkisah,
Ada yang betul caranya dan ada yang salah.
Pesbuk oh Pesbuk…
Engkau beri juga ruang untuk kongsi tips dan juga nasihat,
Supaya terpapar hal bermanfaat untuk dunia dan akhirat,
Mengingatkan manusia yang leka dan selalu tak ingat,
Kerana sedar ia adalah tuntutan syariat,
Menjadi bekalan hasanah, membaiki diri dan masyarakat.
Pesbuk oh Pesbuk…
Keasyikan terhadapmu membuatkan ramai gian,
Walaupun niat di hati nak berdakwah dan buat kebajikan,
Ada yang sampai anak dan isteri dilupakan,
Mereka lupa itulah permata hati dan warisan,
Dakwah yang paling utama dan mesti didahulukan.
Pesbuk oh Pesbuk…
Engkau membuatkan manusia selalu sibuk dengan Pesbuk,
Tengah berbual dengan kawan di gerai, orang berPesbuk,
Tengah makan dengan anak dan isteri, sempat lagi berPesbuk,
Tengah mesyuarat pun ada orang berPesbuk,
Tengah berbincang dengan mak ayah pun, tangan menaip di Pesbuk,
Tengah pensyarah memberi ilmu, aik sempat lagi Pesbuk?
Aduh, kenapa begitu sekali wahai Pesbuk?
Ramai orang tidak lagi di alam nyata, mereka asyik di alam Pesbuk,
Makan: Pesbuk, minum: Pesbuk, bermain: Pesbuk, berjalan: Pesbuk…
Pesbuk…Pesbuk…Pesbuk!
Engkau kini semakin dahsyat,
Memberi kesan baik dan buruk pada masyarakat,
Terpulang pada kami untuk memanfaatkan atau ditimpa mudharat,
Mudah-mudah engkau akan menjadi saksiku di akhirat,
Bahawa aku telah menggunakanmu untuk berbuat T A A T.... :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan