Selasa, 10 Mei 2011

Keberkatan Surah Yasin...

Ayat 9 - Untuk keselamatan diri

Ayat 12 - Merupakan Jantung Yaasiin - Rasulullah s.a.w. berharap ayat ini dihafal oleh setiap mukmin dan mukminat.

Ayat 13 - 35 - Mengisahkan orang-orang yang mati syahid.

Ayat 22 - 23 - Untuk menjaga aqidah Memberi hidayah kepada anak.

Ayat 29 - Sebagai amalan untuk mengelakkan diri dari di fitnah dan kejahatan mulut.

Ayat 30 - Untuk keinsafan - Supaya dapat dipertemukan dengan Allah s.w.t. (harus sentiasa berada dihati - beramal dengannya).

Ayat 32 - Untuk menginsafkan orang lain supaya menjadi baik. Caranya: Ingat yang segalanya datang dari Allah s.w.t. Kita umat Muhammad Kita orang Islam

Ayat 33 - 35 - Elok dijadikan amalan bagi sesiapa yang suka bercucuk tanam.Tanaman akan subur

Ayat 36 - Menerangkan yang kehidupan ataupun kejadian di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan. Ayat ini elok diamalkan bagi sesiapa yang belum berkahwin supaya di pertemukan jodoh. Caranya: Baca dan berdoa. Hembus dan sapu pada muka setiap pagi sebelum keluar rumah.

Ayat 37 - Adalah untuk menetapkan hati - aqidah diri sendiri. Hati yang kering akan hidup semula.

Ayat 38 - Mengisahkan yang bulan dan matahari pun sujud pada Allah s.w.t. yang satu.

Ayat 39 - Mengisahkan ilmu falak.

Ayat 40 - Merupakan kenyataan Allah s.w.t. yang satu.

Ayat 41 - Mengisahkan Nabi Noh a.s. naik kapal - Elok di baca sewaktu menaiki kenderaan.

Ayat 44 - Mengisahkan keseronokan hidup di dunia - Di baca untuk dijauhkan fitnah dalam hidup.

Ayat 45 - 48 - Merupakan kedegilan orang kafir kepada Allah s.w.t.

Ayat 49 - Menceritakan hari akhirat dan kehidupannya. Tiupan 1 - Datang dengan tiba-tiba, Tiupan 11 - Hancur, Tiupan 111 - Semua orang hadir dipadang Mahsyar.

Ayat 50 - Setiap orang akan dihisap mengikut amalannya.

Ayat 76 - Dibaca untuk mententeramkan diri dari fitnah orang. Dijadikan amalan.

Ayat 78 - 79 - Dikhaskan untuk sakit urat, tulang dan badan. Untuk doa bermula daripada Ayat yang bermaksud: 78. “dia berkata, Siapakah (yang dapat) menghidupkan tulang belulang padahal telah hancur? 79. Katakanlah,Yang akan menghidupkannya ialah yang menciptakannya pertama kali. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.”

Ayat 82 - Untuk Hajat, Caranya:Sembahyang Tahajjud (3x) berturut-turut, Baca pada air (100x) Dan berdoa apa sahaja hajat

Bangkitlah... Allah bersamamu..!

teman bukan insan yang sudah cukup lama hidup di muka bumi. Aku juga bukan insan yang arif dalam hal duniawi apatah lagi akhirat. Tetapi aku juga manusia biasa yang mempunyai kehidupan. Sekilas aku melihat, manusia tidak pernah lekang dari ujian Allah.

Ujian Allah ada bermacam bentuk, ada yang diuji dengan kekayaan dan sememangnya manusia mana yang tidak berasa suka dan gembira dengan nikmat kemewahan yang diberikan. Sayang sekali ada yang bongkak, angkuh dan membangga diri dengan kemewahan/nikmat yang Allah telah anugerahkan. Namun tidak semua, andai manusia tahu erti bersyukur, pasti kemewahan itu diuruskan dengan sebaik-baiknya ke jalan Allah. Itu juga adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya yang beriman.

Sesungguhnya, setiap yang beriman akan diuji oleh Allah dengan ujian yang tidak pernah diduga. Paling perit apabila, manusia itu diuji dengan musibah/bencana yang sangat berat untuk diterima dan ditempuh. Semestinya saat diuji, kesabaran yang tinggi amat diperlukan. Pada waktu itulah, kita memerlukan sokongan keluarga, saudara dan sahabat handai yang paling akrab untuk memberikan sokongan.

Sudah menjadi lumrah manusia, kita akan menangis apabila merasakan ujian Allah itu tidak tertanggung. Ingin sahaja hati ini ingin memberontak. Tetapi ingatlah kembali, sesungguhnya kita hanya hamba yang lemah. Pada suatu ketika, kita akan berada di atas, di mana kita tidak tahu bersyukur dan tidak berfikir dari mana datangnya kesenangan itu, pastinya kita berada dalam kerugian kerana melupakan Allah yang pemberi segala nikmat.

Pada suatu ketika, kita manusia akan berada di bawah, saat Allah menarik kembali kesenangan yang diperolehi maka pada saat itu, kita manusia akan menadah tangan kepada Allah dan bertanya mengapa ujian berupa derita diberikan kepada kita dan pada saat itulah baru kita ketahui wujudnya Allah sebagai Tuhan yang berkuasa dalam menentukan segalanya.

Ketahuilah, setiap yang terjadi mempunyai sebab dan semestinya perkara yang telah terjadi akan mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Sesungguhnya manusia tidak tahu apa yang terbaik disediakan untuk manusia yang lain. Tetapi, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Kerap kali kita akan mengeluh memikirkan takdir yang menimpa diri, kesedihan akan mula menguasai diri, kemalasan menguasai diri dan berasa malas untuk bangun meneruskan kehidupan, sehinggakan terkadang melupakan tanggungjawab ibadah solat terhadap Allah s.w.t.

Percayalah, Allah akan menurunkan sesuatu ujian bertepatan dengan kemampuan hamba-Nya. Setiap kita pernah merasai kesusahan, kesedihan, di mana kita sendiri merasa sukar untuk diri kita sembuh setelah berlakunya bermacam perkara yang melunturkan semangat kita. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, sebagai pesanan untuk diri sendiri juga, semestinya kita perlu berfikir, mengapa Allah menguji kita sebegitu rupa? Jawabnya tidak lain, itulah tandanya Allah masih sayangkan kita dan supaya kita sentiasa ingat kepada-Nya. Cuba kita imbas kembali, berapa banyak  kita mengingati-Nya? Dengan kerja yang berlambak, soal keduniaan kerapkali menjadi keutamaan. Allah sentiasa mengingati kita, tetapi kita lalai mengingatinya.

Allah mahu kita berfikir. Kita sendiri tahu, setiap yang berlaku tersimpan pengajaran. Maka jadikanlah pengajaran itu sebagai pedoman di masa yang akan datang. Mungkin hari ini kita dalam kesedihan dan kesusahan, tetapi akan ada masanya Allah akan memberikan kita kesenangan dan kebahagiaan yang kita sendiri tidak pernah jangka. Teruskanlah berdoa kepada-Nya, berserah kepada-Nya setelah berusaha.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar doa hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Dalam apa-apa keadaan pun, ingatlah Allah sebagai tempat pergantungan kita yang mutlak. Tanpa izin-Nya tidak akan terjadi apa yang kita mahukan. Hiduplah untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Moga hati kita menjadi tenang dalam menempuh segala jenis ujian yang diturunkan oleh-Nya.

Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan mendapat rahmat yang berpanjangan dari-Nya. Sesungguhnya manusia itu tidak lekang dari melakukan kesalahan, maka selaku sudara sesama Islam, berpesan-pesanlah kita sesama umat manusia. Jika ada hati yang merintih, mengadulah kepada-Nya dan kita di dunia laksanakanlah amanah sesama umat, bantu selagi terdaya kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membuat kebaikan demi mendapat keredhaan Allah.

Segala keburukan datangnya dari diri ini, tiada niat untuk berbangga diri. Tiada niat menunjuk hanya sekadar berkata-kata, kerana aku juga manusia biasa yang belajar dari kehidupan di bawah naungan Pencipta. Semoga beroleh manfaat dan maafkanlah andai tersilap kata dan menyinggung rasa kerana kebaikan dan kesempurnaan mutlak itu datangnya dari Allah s.w.t. Marilah bersama-sama menghayati erti kehidupan dan fikirlah betapa Allah itu sentiasa ada untuk makhluk ciptaan-Nya sama ada semasa susah dan senang. Wallahua'alam

GUru Malaysia..!!

Inilah kisah kerjaya mulia,
Mendidik mengajar selagi terdaya,
Ibarat lilin memberi cahaya,
Bukan balasan harta pintanya.

Guru itu sanggup berbakti,
Membentuk insan mulia pekerti,
Kejayaan murid sangat bererti,
Jasa dikenang sampai ke mati.

Daripada guru kita belajar,
Huruf dan angka disebut lancar,
Membaca mengira tiada sukar,
Jiwa yang lemah menjadi mekar.

Jika berkasar bukannya marah,
Dia mengajar menunjuk arah,
Masa depan hendaknya cerah,
Ke mana pergi rezeki murah.

Awal pagi guru pun datang,
Bakti dicurah sampai ke petang,
Murid disayang mahu ditatang,
Mendorong minda bijak dan matang.

Bukan kaya ukuran harta,
Murid berjaya itulah semata,
Jasa dikenang bukan diminta,
Sehingga saat menutup mata.

Sekali guru selamanya begitu,
Sentiasa berikhtiar tiada buntu,
Melepas musibah satu persatu,
Jaya akhirnya sudahlah tentu.

Tiada guru yang buruk sikapnya,
Menjadi teladan mulia hatinya,
Senang merujuk tempat bertanya,
Semua yang kusut lerai akhirnya.

Di mana sahaja sedia berkhidmat,
Tutur katanya sentiasa cermat,
Tingkah laku selalu berhemat,
Jadi ikutan pasti selamat.

Guru pemangkin hasrat wawasan,
Mendidik memimpin tiada bosan,
Mengharap balas bukan alasan,
Jadilah guru sanjungan insan.

Sering guru memberi nasihat,
Jauh segala gejala tak sihat,
Jangan dicuba tipu muslihat,
Di dalam hati terus terpahat.

Ilmu itu sentiasa dicari,
Jadilah guru manusia bestari,
Banyak membaca lengkapkan diri,
Elakkan utama kepentingan sendiri.

Jangan bezakan diri pelajar,
Semua mereka sama diajar,
Nama gelaran jangan dikejar,
Buatlah yang baik selagi wajar.

Bukan pangkat jadi taruhan,
Tetapi berkat jadi pilihan,
Buat amalan ikut suruhan,
Martabat bangsa itu tempahan.

Jika ada murid yang nakal,
Guru yang bijak mengguna akal,
Kuatkan azam hatipun cekal,
Didikan yang baik perlu dibekal.

Falsafah negara itu matlamat,
Hidup harmoni semua selamat,
Cabaran wawasan jadikan azimat,
Kukuh iltizam di hati tersemat.

Demikian sudah resamnya guru,
Yakin terpuji tiada terburu,
Sedia berbakti segenap penjuru,
Pembimbing masyarakat ke alaf baru.

Ghazali Lateh.
(Dewan Sastera, Mei 2006)

Lihatlah Alam...!!! :)


Lihat alam ini. Seluruh dan sepenuhnya dipermudahkan untuk dikuasai manusia. Haiwan dan tumbuhan seolah-olah diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Tumbuhan mengambil yang buruk (karbon dioksida) daripada manusia dan mengeluarkan oksigen yang bersih buat kita bernafas.
Kulit, daun, akar, pucuk dan segala-galanya menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, pakaian dan perlindungan untuk manusia. Begitu juga haiwan, daging, bulu dan kulitnya semuanya dimanfaatkan untuk manusia.
Ketika segala-galanya diciptakan untuk kita, maka wajar pula kita bertanya kita dijadikan untuk siapa? Ya, ada maksud besar misi kedatangan manusia ke dunia. Justeru, misi yang besar itulah segala-galanya dipermudahkan buat manusia.
Persis bekalan dan alat kelengkapan pada seorang tentera yang dihantar untuk satu operasi ketenteraan, maka begitulah manusia yang telah diberi berbagai-bagai-bagai kemudahan dan bekalan.
Untuk menjadi hamba Allah dan khalifah yang memakmurkan, mengurus dan mentadbir muka bumi ini – itulah dwifungsi utama manusia di dunia ini. Seluruh kelengkapan yang diberikan kepadanya harus menjurus dan fokus ke arah pelaksanaan misi itu.
Jangan disalah gunakan, kerana segala-galanya akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan. Akan datang detiknya, manusia akan dipanggil bersemuka dengan Allah untuk menjawab setiap titis nikmat yang telah diamanahkan-Nya itu. Alam ini bukan hanya membekalkan makanan, ubat-ubatan, perlindungan dan pakaian, tetapi alam ini juga membekalkan suatu yang sangat bermanfaat dalam menjayakan misi kedatangan manusia. Alam sebenarnya membekalkan ilmu untuk manusia yang menghuninya. Alam adalah sekolah yang mana manusia harus belajar pada setiap masa, keadaan dan suasana.
Alam adalah layar yang memancarkan kebesaran Allah untuk manusia mengenali dan mencintai Penciptanya. Bulan, matahari, bintang, tumbuhan, haiwan adalah tanda-tanda ('sign') yang boleh membuka fikiran, jiwa dan perasaan manusia untuk dekat kepada Allah. Dan dekat kepada Allah itulah sumber kekuatan, ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah.
Dua misi besar itu sangat berat dan sukar. Ia adalah amanah yang pernah ditawarkan pada langit, gunung-ganang dan bumi tetapi mereka menolaknya. Firman Allah:
"Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil." Al Ahzab 33:72
Gunung, langit dan bumi tidak sanggup menanggung misi besar itu, mereka hanya sanggup menjadi 'pembantu' manusia untuk melaksanakannya. Justeru, mereka lebih rela dikuasai daripada mengusai manusia. Mereka hanya ingin menjadi sekolah, manakala manusia menjadi pelajar-pelajarnya. Allah yang menjadi 'Guru' dalam sekolah besar (jagat raya) ini sentiasa mendidik manusia agar layak menjadi graduan yang layak mendapat ijazah keredhaan-Nya dan syurga. Sedarkah kita?
Justeru, marilah sama-sama kita mengingatkan: Alam itu sekolah insan. Jadilah pelajar yang baik. Belajarlah dari alam

Bidadari Syurga

hayatilah...mmg sebuah kisah cinta yg menarik untuk kita baca...
Ini kisah mereka.. kisah cinta yang insyaAllah membawa ke syurga. Kata mak.. Mak abah berjumpa di program. (Mungkin tamrin sebenarnya) Program akhir tahun siswa siswi universiti. Kata mak, ketika itu mak sedang menuruni tangga, dan terpandang abah. ...Itulah kali pertama mereka berjumpa mungkin. Cinta pandang pertama. Mak muslimah yang solehah, beriman. Bertudung labuh dan berjubah lembut. Mak mempunyai wajah yang indah subhanAllah. Cantik dan menyenangkan. Mak pernah dipinang, malah beberapa kali.

Alhamdulillah, mak senantiasa bergantung pada Allah. Setiap pinangan, mak akan istikharah. Pernah hadir sebuah pinangan untuk mak, yang mak istikharah ke atasnya. Dan kata mak.. "Mak mimpi mak pakai pakaian pengantin.. indah.. tapi mak pelik.. kenapa baju pengantin mak tak habis dijahit.. tak lengkap.." Dan pinangan abah datang. Hadir, Seakan angin yang menyampaikan sinar bahagia yang menenangkan.. dan pada Allah, mak bergantung harap. Mak sekali lagi istikharah. Dan Allah mengurniakan. Juga tanda dalam mimpi. Mak lihat.. "Mak sembahyang,. mak solat.. dan abah.. abah yang menjadi imam.. abah yang menjadi pemimpin.." Cerita mak sambil tersenyum.. Dengan redha, mak menerima, dengan cita-cita menjadi isteri yang solehah. Alhamdulillah. Aku pernah melihat surat mak pada abah semasa pertunangan. Surat cinta dahulu kala. Aku tersenyum. Hehe. Membahagiakan.

Aku pernah melihat buku haraki yang dihadiahkan mak pada abah, dengan kata-kata semangat seorang muslimah kepada mujahid. Agar terus tetap dalam perjuangan. Oh, bahagianya.. Mak selalu cerita tentang kenangan manisnya.. Dulu, ketika mak mengidam mengandungkan anak sulungnya, iaitu aku, mak pernah teringin untuk makan buah, dan abah belikan 2 bekas besar khas untuk mak. Ketika mak dalam pantang dan terasa meikmati keindahan minuman, abah hadir dengan satu jug besar. Cerita mak sambil tersenyum. Dan begitulah abah, terlalu baik. Amat baik. Dan hidup mak senantiasa bersama abah. Mak kadang-kadang sakit. Pernah mak pengsan dua kali. Pernah mak memasuki wad. Pernah kami sekeluarga mengalami detik-detik yang amat mensyahdukan. Abah pangku mak, dan abah menangis. Aku sebak melihat abah menangis. Dan aku tak pernah melihat abah menangis seperti itu sebelum ini. Dan abah, benar-benar menjaga mak dengan sepenuh jiwa dan raga.

Cerita mak.. Ketika sama-sama menunaikan haji. Ketika semua jemaah sudah pulang, abah masih belum pulang walaupun sudah 2 jam berlalu. Mak risau. Dan kelihatan abah.. "Abang ke mana? Risaunya ani.." "Abang buat tawaf, dua kali.. satu untuk abang, dan satu untuk ani.." kata abah sambil tersenyum. Mak terharu, biasanya tawaf setengah jam. Tapi disebabkan ramai orang, jadi sejam. Dan abah sanggup buat untuk mak. Abah dan mak selalu berlumba untuk beribadah.. "Abang buat solat sunat tasbih lagi banyak daripada ani.." "Isk, ani tak boleh sembahyang boleh lah abang potong.." Dan abah hanya ketawa. Dalam sunat tasbih, dalam solat tahajjud, dan pelbagai perkara.

Di rumah ada sebuah buku. Amalan harian di bulan ramadhan, amalan setiap hari. Dan abah dan mak selalu berebut untuk buku tersebut. Selalu bertukar tangan. Pernah mak tanya, "Abang suka ani marah-marah, tapi sihat ke.. atau ani diam, tapi ani sakit.." "Tentulah abang suka ani sihat, walaupun marah-marah.." jawab abah.. Dan bila mak teringinkan sesuatu, abah akan usaha membahagiakan mak. Abah seorang tukang masak yang baik. Amat baik. Dan abah selalu membanggakan mak. Ke mana mak pergi, mak bangga bila orang berkata. Dan selalu berkata. "Beruntung Ani dapat suami macam tu.." Mak gembira. Kadang-kadang mak pening kepala. Abah akan belai kepala mak. Bacakan ayat al-quran dengan penuh kasih sayang. Dan itu amat menenangkan mak.. Pernah mak berkata.. "Abah terlalu baik, amat baik.. Sehinggakan mak penah terfikir, jika abah mengimpikan untuk berkahwin baru. Mak akan izinkan, mak akan benarkan.. Abah terlalu baik, dan mak senantiasa inginkan kebahagiaan abah.." Dan abah selalu membanggakan mak, hingga saat terakhir.

Hingga abah kini, Sudah tiada. Pergi untuk bertemu cinta agungnya.. Abah membanggakan mak dengan senyuman manisnya walaupun abah sudah tiada. Senyuman yang meredakan tangisan kami. Abah membanggakan mak dengan pujian sahabat abah kepada jenazah. Mak sedih, terlalu sedih. Mak peluk dan belai abah. Ketika tangisan mak mereda.

Mak berkata.. "Senyuman abah sinis, seperti senyumannya selalu untuk mengusik mak.." Mak seakan tak lalu makan. Dan aku cuba menyuap. Mak menahan sambil menangis. "Jangan suap mak, mak akan teringatkan abah.." Mak tak boleh mendengar deringan telefon. "Mak berharap sangat yang telefon tu abah.." Mak terus menangis.. Sebentar mak tersenyum. "Abah terlalu baik, sehinggakan nak mencari keburukan, susah sangat.. kecuali satu.. suara abah yang tak sedap.. Itupun mak rindukan sangat suara tu..." ujar mak.. Menarik nafas. Dalam. Amat dalam. "Nadwan, mak perlu kuat kan? Sebab abah dah pergi dengan baik sangat. Jadi mak kena gembira. Mak kena gembira bila abah gembira. Abah, dah bahagia sangat hingga senyum begitu sekali. Mak juga nak jadi macam abah. Mesti abah dan dapat bidadari yang cantik-cantik kan?Agak-agak abah ingatkan mak lagi tak?.. " Mak terus tersenyum. "Mak nak buat ibadah banyak-banyak.. mak nak jadi macam abah.. mak nak masuk syurga sama-sama... sampai nanti.. insyaAllah.. mak nak jadi ketua bidadari untuk abah di syurga nanti..." Dan hati seorang isteri terus tabah. Mendamba penuh harapan dalam tangisan penuh kerinduan...
Mudah-mudahan kita juga boleh menjadi macam mereka