Friday, 31 August 2012

Krisis 98


Rahsia Tun Dr Mahathir Mohamad yang ramai tak tahu.
Sama2 sebarkan pada senua..

Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad – Pada Mei tahun itu (1997), saya mengambil keputusan untuk bercuti selama dua bulan dan menyerahkan tanggungjawab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemangku Perdana Menteri. Saya menganggap ini sebagai satu peluang baik untuk memerhati bagaimana beliau menjalankan tugas kerana saya sudah pun berfikir untuk bersara pada tahun berikutnya. Saya mahu pastikan yang apabila Anwar mengambil alih, beliau mampu mentadbir negara dengan baik.

Ketika berada di Bledisloe dalam daerah Cotswolds, England, saya menerima berita mengenai serangan ke atas baht Thailand oleh peniaga mata wang. Apa yang berlaku adalah ahli perniagaan Thai telah meminjam sejumlah besar mata wang asing pada kadar faedah yang rendah berbanding pinjaman dalam mata wang baht.

Mereka boleh membuat keuntungan segera daripada perbezaan dua kadar faedah itu dengan syarat nilai baht stabil. Peniaga mata wang antarabangsa adalah orang yang mencari keuntungan dengan memerhati dan mengambil kesempatan daripada ketidakwajaran dan kelemahan seperti yang berlaku di Thailand ketika itu. Ia diibarat pucuk dicita ulam mendatang kepada kegiatan mereka.

Mereka menyebarkan berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara itu mustahil dapat dipertahankan. Mereka kemudian menjual sejumlah besar baht menyebabkan nilainya merosot berbanding dolar Amerika. Kejatuhan nilai baht menyebabkan orang Thai yang meminjam dolar menghadapi kesulitan.

Mereka terpaksa mendapatkan lebih banyak baht bagi membayar balik pinjaman mata wang asing mereka kerana kalau keuntungan perniagaan mereka tidak mencukupi, mereka mungkin tidak dapat membayar balik pinjaman.

Sekiranya mereka gagal membayar balik hutang maka terbukti benarlah dakwaan peniaga mata wang bahawa ekonomi Thai lemah.

Kemudian mereka melambakkan lebih banyak baht menyebabkan nilainya merudum lagi. Maka semakin ramailah orang Thai yang meminjam mata wang asing gagal membayar balik hutang mereka. Sementara itu, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah mereka tidak ada kaitan langsung dengan krisis berkenaan. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar bertindak balas. Hakikatnya, merekalah yang mencetuskan malapetaka itu.

Kitaran tindakan kejam (vicious cycle) ini pantas merebak. Lebih teruk nilai baht menyusut, lebih ramai peminjam yang gagal membayar balik hutang dan semakin lemah pula ekonomi Thailand.


Kerajaan Thai cuba membeli baht bagi mempertahankan nilainya dengan menggunakan rizab dolar. Bagaimanapun, peniaga mata wang nampaknya memiliki bekalan baht yang tidak terbatas untuk terus dilambakkan dalam pasaran.

Akhirnya, kerajaan Thai dibebani rizab baht yang banyak, tetapi bernilai rendah manakala simpanan mata wang asingnya merosot teruk. Ini mencetuskan satu lagi pusingan penjualan baht apabila ia menjadi lebih lemah akibat tanggapan bahawa ia tidak disokong oleh rizab mata wang asing yang secukupnya.

Apabila saya pulang daripada bercuti pada bulan Ogos, di Thailand sangat teruk. Kita mengambil keputusan untuk meminjamkan mata wang utama bagi memperkuatkan rizab antarabangsanya, tetapi tidak berhasil. Nilai baht terus jatuh.

Kewangan Malaysia berada dalam keadaan baik pada masa itu kerana kerajaan dan peniaga tidak perlu meminjam dengan banyak mata wang asing. Kadar faedah kita sentiasa rendah dan pinjaman mata wang asing tidak akan memberikan apa-apa kelebihan. Rizab mata wang asing Bank Negara juga mencukupi, setidak-tidaknya cukup untuk menyokong ringgit kalau diserang. Namun, itu hanyalah andaian.

Kita juga tidak membuatkan diri kita terdedah seperti orang Thai dengan meminjam mata wang asing dan berurus niaga dengan peniaga mata wang, jadi apa yang harus kita bimbangkan?

Kemudian kita mula mendengar mengenai jangkitan kewangan, iaitu bagaimana masalah jiran kita mungkin menjangkiti kita. Walaupun ekonomi dan kewangan kita nampak sihat, ringgit mungkin akan diserang juga.

Kalau peniaga mata wang mencetuskan kehilangan keyakinan terhadap Malaysia, nilai ringgit akan turut jatuh. Saya langsung tidak faham mengapa hal seperti ini harus berlaku, tetapi pakar ekonomi pasti ia akan terjadi.

Mereka betul. Peniaga mata wang mula menjual ringgit secara besar-besaran menyebabkan nilainya merosot. Sebelum serangan itu bermula pada pertengahan 1997, kadar mata wang kita ialah RM2.50 bagi satu dolar Amerika. Bagaimanapun, menjelang hujung tahun nilai ringgit tinggal separuh sahaja. Kita tidak tahu siapa yang menjual ringgit atau kepada siapa mereka menjualnya.

Saya diberitahu mengenai seorang lelaki bernama George Soros yang pernah menyerang paun British dan lira Itali. Kedua-dua buah negara itu menghadapi saat genting mempertahankan mata wang mereka yang disusutkan nilainya secara paksa.

Tanpa mengetahui peniaga mana yang terbabit, saya mengandaikan bahawa Soros adalah salah seorang daripadanya. Tidak kira siapa mereka, saya amat marah.

Bagaimanakah orang luar boleh dengan sewenang-wenangnya memiskinkan negara dan rakyat kita? Bagaimanakah mereka tergamak berbuat demikian secara sedar dan sengaja? Sekalipun itu bukan tujuan utama mereka, mengapakah mereka memilih untuk menjahanamkan kita sebagai produk sampingan strategi perniagaan mata wang mereka? Semua ini tidak masuk akal kepada saya, sama ada dari segi ekonomi mahupun moral.

Rakyat Malaysia, khususnya golongan peniaga mula merasai kesan penurunan nilai ringgit. Pengimport misalnya, tidak dapat mengumpulkan cukup ringgit untuk membeli dolar yang mereka perlukan bagi membayar kos barangan yang dipesan daripada pembekal asing. Akibat kekurangan wang, mereka gagal membayar balik hutang.

Rakyat Malaysia yang gemar ke luar negara pula mendapati kos perjalanan mereka terlalu mahal. Eksport kita biasanya menggunakan dolar. Jadi, dengan kenaikan nilai dolar kita sepatutnya memperoleh lebih banyak mata wang ringgit daripada eksport.

Pembeli asing pula mahu membayar harga yang lebih rendah untuk eksport kita. Mereka mendakwa kos pengeluaran kita telah berkurangan kerana nilai ringgit merosot. Apa yang mereka tidak sebut adalah, akibat kenaikan nilai dolar maka bahan mentah, komponen dan barangan modal (capital goods) yang kita import menjadi lebih mahal.

Kejatuhan nilai ringgit tidak menjadikan kita lebih berdaya saing, terutama jika dibandingkan dengan jiran kita yang nilai mata wang mereka juga jatuh.

Kita berasa tidak berdaya apabila nilai ringgit terus merosot dan ekonomi menuju ke arah kemelesetan. Sebelum itu, selama hampir 10 tahun berturut-turut, ekonomi kita berkembang pada kadar lapan peratus setahun.

Kini, kita berdepan dengan kemungkinan pertumbuhan negatif. Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai peniaga mata wang – setiap kali saya membuat kenyataan terbuka, nilai ringgit jatuh lagi.

Pada 17 Jun 1997, sebelum serangan ke atas mata wang Asia bermula, Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) waktu itu, Michael Camdessus memuji Gabenor Bank Negara kerana pengurusan ekonomi dan kewangan Malaysia yang baik.

Pujian itu dibuatnya pada Majlis Hal Ehwal Ekonomi Dunia, Los Angeles. Katanya: “Malaysia adalah negara contoh di mana pihak berkuasanya sedar mengenai cabaran menguruskan tekanan akibat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mengekalkan sistem kewangan yang sihat di tengah-tengah pengaliran masuk modal yang banyak dan pasaran hartanah berkembang pesat.”

Inflasi, kata beliau, adalah rendah dan tukaran ringgit kekal pada kadar RM2.50 kepada AS$1 untuk jangka masa yang lama. Ringgit, tambah beliau lagi, adalah mata wang yang benar-benar kukuh yang mencerminkan kemantapan kewangan Malaysia.

Namun, apabila serangan ke atas mata wang Asia berlaku, orang yang sama berkata ekonomi kita terlalu panas dan ini menyebabkan mata wang kita merudum diserang oleh peniaga mata wang. Saya tidak percaya yang nilai ringgit susut kerana ekonomi kita lemah atau kerana pasaran hilang keyakinan terhadap Malaysia.

Saya membeli beberapa buah buku mengenai perniagaan mata wang untuk lebih memahami mekanismenya. Saya yakin punca kejatuhan ringgit adalah dagangan mata wang bukannya ekonomi atau mata wang kita.

Saya pernah bertemu dengan Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya seorang yang baik. Anwar yang ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lebih kerap berjumpa beliau.

Saya meminta Anwar merayu kepada Camdessus supaya berusaha menghentikan dagangan mata wang. Saya berkata, kegiatan itu tidak perlu dan merosakkan ekonomi negara membangun. Saya tidak tahu sama ada Anwar menyatakan atau tidak hal itu kepada Camdessus, tetapi tidak ada usaha diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.

Bagi saya, mendagangkan mata wang seolah-olah ia satu barangan adalah tidak masuk akal sama sekali. Kopi, gula, getah dan seumpamanya adalah barangan sebenar dan mempunyai kegunaan yang sahih, tetapi mata wang tidak mempunyai nilai secara sendiri. Ini adalah perantara bagi mendapatkan komoditi sebenar. Ia tidak boleh digunakan dengan cara lain dan tidak boleh dimakan.

Kita bukan lagi berada pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) di mana ekonomi Eropah tidak mempunyai sebarang mata wang yang diyakini. Ketika itu, peniaga-peniaga di pasar Perancis menggunakan lada hitam dari Asia Tenggara sebagai mata wang dan pertukaran barang. Hari ini, kita guna lada hitam dan rempah ratus untuk menambah kesedapan makanan dan kita guna wang untuk membeli-belah.

Saya teringat pernah membaca mengenai orang Brazil mencampakkan kopi keluaran mereka ke dalam laut sewaktu bekalan bahan itu berlebihan dan harganya murah. Ia bertujuan untuk mewujudkan kekurangan bekalan dan dengan itu dapat menaikkan harganya.

Bagaimanapun, apakah kita perlu mencampak atau membakar wang untuk menaikkan nilainya? Dalam hal mata wang, keadaan sebenar yang berlaku adalah lebih teruk kerana wujud lebih banyak wang dalam edaran berbanding yang diterbitkan oleh bank pusat dan lembaga mata wang.

Bekalan yang berlebihan itu berlaku kerana bukan mata wang sahaja digunakan untuk jual beli, tetapi juga cek, kad kredit dan pemindahan elektronik. Jumlah yang diwakili oleh instrumen tersebut pastinya melebihi jumlah mata wang kertas yang dikeluarkan dan berada dalam edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar bentuk menjadi maya (virtual).

Apabila menoleh ke belakang sekarang, jelaslah saya menerima secara literal klise ekonomi, iaitu wang adalah darah daging kepada sistem kewangan dan ekonomi.

Sebagai seorang doktor, saya tahu tentang wujudnya sejumlah darah yang berpusing dalam badan seseorang pada setiap masa (walaupun kadangkala ia terpaksa ditambah melalui pemindahan darah).

Bagaimanapun, saya belajar untuk tidak mengguna pakai kiasan itu secara literal dalam hubungannya dengan ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana wujud lebih banyak hutang daripada jumlah wang dalam edaran bagi menyokong dan menyukatnya. Cara pakar ekonomi berfikir berbeza daripada doktor. Bagi mereka, dua campur dua kadangkala boleh menjadi lebih daripada empat.

Setelah Amerika Syarikat muncul daripada Perang Dunia Kedua sebagai kuasa tentera dan ekonomi dominan, dunia menerima dolarnya sebagai mata wang rasmi bagi perdagangan antarabangsa dan juga sebagai mata wang rizab.

Perjanjian Bretton Woods (1) telah menetapkan nilai dolar pada kadar AS$35 bagi setiap auns emas. Kemudian, semua negara menetapkan nilai mata wang mereka berdasarkan nilai dolar yang pada asasnya bermakna nilai emas.

Ekonomi dunia selepas perang kembali pulih dalam jangka masa peraturan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, apabila pada 1971, Amerika keluar daripada piawaian emas, umumnya bagi membiayai kos perbelanjaan Perang Vietnam yang bertimbun, maka kedudukan mata wang dunia menjadi tidak stabil. Kuasa pasaran kini menentukan kadar tukaran mata wang dan kebanyakannya “terapung” dalam hubungan antara satu sama lain.

Bagi saya, tindakan ini merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan negara terdedah kepada kezaliman pasaran serta ketamakan manusia. Orang tamak tidak akan peduli tentang kebajikan orang lain, dan pastinya juga tidak peka kepada keperluan negara membangun. Mereka akan menjahanamkan mana-mana negara dan memiskinkan penduduknya atas nama keuntungan.

Kita terpaksa menerima keadaan itu walaupun kita tahu mekanisme dan kuasa pasaran boleh dimanipulasikan. Ia tidak mengambil masa yang lama bagi spekulator untuk mula menyalahgunakan sistem berkenaan. Sebelum itu, mereka telah mencipta kaedah jualan singkat komoditi dan saham. Kini, mereka mencipta pula jualan singkat mata wang.

Mereka mengaut keuntungan besar dengan membuatkan negara muflis, terutama negara membangun. Tindakan mereka ini jelas satu pembunuhan kewangan. Mereka menubuhkan dana lindung nilai atau hedge fund dan mempelawa golongan kaya untuk mencarum. Umumnya, pulangan yang diterima jauh lebih besar daripada pelaburan lain, tetapi operasi dana itu tidak menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan oleh pasaran atau orang ramai.

Paling tidak pun tindakan yang boleh diambil adalah mengawal selia kegiatan tersebut, tetapi masalahnya orang yang menuntut ketelusan bagi setiap urusniaga dan rancangan orang lain itu sendiri yang membenarkan operasi dana diselubungi misteri. Bukankah pelabur serius tidak akan sanggup mengambil risiko ke atas wang mereka dalam kegiatan yang penuh rahsia?

Namun, pengendalian dana tersebut terus dibenarkan menjadi satu misteri. Siapakah peniaga itu? Daripada manakah mereka memperoleh modal? Berapa banyak mereka meminjam? Kepada siapa mereka menjualnya dan siapa yang membeli mata wang yang mereka jual itu?

Kita tidak tahu jawapan kepada semua soalan ini. Dana itu boleh diniagakan sehingga 20 kali ganda modalnya. Bagi pengurus tabung ini, perkara paling penting dalam ekonomi adalah perluasan hutang yang jauh melebihi bekalan mata wang sehingga tidak ada kaitan lagi antara kedua-duanya. Kesan operasi mereka mengakibatkan kebinasaan.

Camdessus adalah orang Perancis, dan saya dengar beliau bersahabat dengan Presiden Chirac. Jadi, disebabkan saya kenal baik dengan Chirac maka saya menulis kepada beliau mengenai penjarahan oleh peniaga mata wang dan saya meminta beliau bercakap dengan Camdessus agar membantu menghentikan kegiatan itu.

Kemudian, sewaktu Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM) di Edinburgh, Scotland pada 1997, saya bertemu Tony Blair yang baru sahaja menjadi Perdana Menteri Britain bagi membincangkan perkara itu. Saya menjelaskan dengan panjang lebar kesan mata wang dan meminta beliau membawa perkara itu kepada IMF. Bagaimanapun, segala usaha saya di peringkat itu tidak menghasilkan apa-apa.

Sebelum itu, Malaysia memperoleh sedikit pengalaman dalam perniagaan mata wang. Kita mengambil bahagian dalam kegiatan itu bagi memastikan nilai rizab antarabangsa kita tidak susut akibat naik turun nilai mata wang yang kita simpan.

Ketika itu kita hanya berurusan dengan menggunakan mata wang negara-negara maju sahaja. Seperti mana orang lain, kita juga membuat spekulasi, tetapi tidak memanipulasi. Apa yang kita lakukan adalah memperincikan risiko yang kita ambil, tetapi apabila salah satu spekulasi kita songsang, kita telah kehilangan sejumlah besar wang. Selepas pengalaman itu, kita keluar daripada perniagaan mata wang.

Pada September 1997, saya dijemput berucap pada mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF di Hong Kong. Saya mengambil kesempatan membelasah peniaga mata wang dengan menuduh mereka telah memiskinkan lagi negara-negara yang sedia miskin di dunia. Saya menyebut nama Soros sebagai salah seorang peniaga yang memanipulasi mata wang negara-negara Asia Tenggara dan menggangu gugat pembangunan mereka.

Hari berikutnya, Anwar berucap pada mesyuarat yang sama. Ketika itu, saya sudah berlepas ke Sabah dan beliau menelefon saya. Nada suaranya seperti orang marah. Beliau memberitahu saya bahawa ucapan saya menyebabkan nilai ringgit bertambah susut, cuma beliau tidak memberitahu saya agar jangan bercakap lagi. Namun, saya terus mengkritik IMF dan peniaga mata wang.

Dalam satu perjumpaan di Santiago, Chile, saya mengulangi kutukan ke atas mereka dan sekali lagi nilai ringgit jatuh. Perkembangan itu membuktikan kepada saya bahawa peniaga mata wang adalah punca yang menekan turun nilai ringgit.

Ia tidak mungkin disebabkan oleh reaksi pasaran kerana tindak balasnya begitu pantas. Ini juga bukan disebabkan persetujuan am pasaran, tetapi kerja beberapa pemain utama yang mempunyai pengaruh besar terhadap pasaran. Dan atas alasan mereka yang tersendiri, saya mendapati sesetengah orang sengaja cuba menyekat saya daripada bercakap mengenai peniaga mata wang.

Di dalam negara, Anwar memulakan apa yang dikenali sebagai “penyelesaian IMF tanpa IMF.” Pada dasarnya, kita tidak dilanda masalah ekonomi yang teruk. Kita tidak perlu meminjam daripada IMF bagi melangsaikan hutang luar kerana kita tidak banyak berhutang. Antara hutang yang ada masih belum sampai masanya untuk dibayar balik. Hutang yang telah sampai masanya untuk dibayar balik pula sudah pun kita langsaikan.

Namun, sama ada kita perlu meminjam daripada IMF atau tidak, Anwar berpendapat bahawa Malaysia perlu menerima nasihat IMF. Beliau percaya bahawa untuk mengekalkan keyakinan antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi kita, kita perlu melakukan apa yang diberitahu oleh mereka dan menguruskan ekonomi kita mengikut cara yang mereka kehendaki.

Anwar berpendapat yang ubat IMF adalah baik untuk kita dan akan membantu kita pulih daripada penyakit antarabangsa walaupun kita sebenarnya belum lagi jatuh sakit. Jadi, beliau menaikkan kadar faedah dan memotong perbelanjaan kerajaan.

Saya memberi amaran kepada Anwar yang tindakannya itu mungkin menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang diperlukan bagi membayar gaji kakitangan awam.

Beliau juga cuba memendekkan tempoh ingkar pembayaran balik hutang daripada enam bulan kepada tiga sebelum mengisytiharkannya sebagai hutang lapuk. Ini sekaligus menaikkan nisbah hutang lapuk bank dan menyebabkan ramai peminjam muflis. Perniagaan merosot. Penyakit yang kita cuba elakkan, muncul.

Ubat IMF gagal menghalang penyakit itu, sebaliknya menjadi punca penyakit. Dalam pada itu pun, Anwar tetap meneruskan dasar pro-IMF beliau.

Ekonomi kita jelas menuju ke arah kemelesetan. Banyak syarikat muflis manakala yang lain gagal melangsaikan hutang bank, lebih-lebih lagi selepas Anwar memendekkan tempoh ingkar bayar hutang daripada enam bulan kepada tiga dan menaikkan kadar faedah kepada 12 peratus.

Kita memutuskan supaya ditubuhkan sebuah badan operasi seperti Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan untuk menangani kesan rusuhan kaum pada 1969. Bagi mengurangkan perbalahan politik maka kita menjemput semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, termasuk daripada PAS untuk menganggotai sebuah badan yang kita panggil Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) (2). Pemimpin kesatuan sekerja dan perniagaan serta ketua badan pemikir juga diajak bersama.

Dengan itu, kita dapat menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi oleh negara dan mendengar pandangan mereka mengenai cara menanganinya. Bagaimanapun, disebabkan bilangan ahli yang ramai maka Majlis itu tidak dapat bermesyuarat lebih kerap. Jadi, saya memutuskan supaya diwujudkan sebuah panel penasihat kecil untuk memantau perkembangan, di samping mencadangkan cara mengatasinya.

Ia perlu disokong oleh keseluruhan Kabinet walaupun hanya sebilangan Menteri sahaja yang menganggotainya. Mujurlah Kabinet tidak mempersoalkan bidang kuasa atau syarat-syarat penubuhan badan yang berpengaruh itu.

Anggota panel penasihat termasuklah Anwar; Datuk Mustapa Mohamed, iaitu seorang ahli ekonomi yang dihormati dan kini berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Samsuddin Hitam; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Fong Weng Phak (entah apa sebabnya, Gabenor tidak pernah menghadiri mesyuarat kami); Ketua Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman; Oh Siew Nam, seorang eksekutif sektor swasta yang arif mengenai perbankan dan pasaran kewangan serta Ketua Pengarah ISIS, Tan Sri Dr Noordin Sopiee.

Panel penasihat kecil itu bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga jam setiap pagi di pejabat saya. Kami meneliti semua perangkaan mengenai ekonomi dan mentauliahkan penyelidikan berhubung sebarang isu yang kami rasa mungkin mempengaruhi prestasi ekonomi atau prospek negara.

Kami memanggil pakar bagi memberi penerangan dan membuat cadangan mengenai perkembangan semasa. Kami mendengar banyak taklimat dan sering membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan.

Mujurlah kita tidak mengalami ketegangan sosial sewaktu krisis kewangan. Rakyat Malaysia mungkin telah terjejas teruk akibat krisis tersebut, tetapi keganasan bukanlah tindak balas mereka. Pada masa yang sama, kita sedang membuat persiapan akhir bagi Sukan Komanwel yang akan diadakan pada tahun berikutnya, jadi, kita tidak mampu untuk menghadapi sebarang bentuk ketidakstabilan.

Sambil menangani krisis itu, saya meneruskan tugas ke luar negara untuk melaksanakan usaha ekonomi dan diplomatik. Saya berada di Buenos Aires, Argentina apabila saya tiba-tiba teringat kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai operasi perniagaan mata wang Bank Negara sewaktu kita mengalami kerugian.

Saya ternampak beliau sedang berjalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum saya berlepas ke Buenos Aires. Wajah beliau muncul dalam fikiran saya dan saya memutuskan yang beliau mungkin boleh memberi penjelasan mengenai perniagaan mata wang serta mencadangkan cara untuk mengatasinya.

Urus niaga mata wang asing kita yang merugikan itu mungkin boleh menghasilkan suatu kebaikan dan menyelamatkan kita pada saat-saat kita dikepung oleh peniaga mata wang.

Perkara itu amat mendesak dan saya tidak boleh menunggu sehingga pulang ke tanah air, lalu saya meminta pejabat saya mencari dan menerbangkan Nor Mohamed ke Argentina. Tidak lama selepas itu, beliau dan saya duduk di dalam bilik hotel saya dan beliau menjelaskan selok-belok perniagaan mata wang serta sebab kita mengalami kerugian.

Saya bertanya, apakah pengajaran daripada pengalaman itu yang boleh kita gunakan untuk mengatasi masalah yang sedang kita hadapi?

Beliau mencadangkan agar kita mengenal pasti beberapa buah institusi yang memiliki sumber kewangan yang besar dan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membeli ringgit. Kita terima cadangan itu dan melaksanakannya.

Namun, sekali lagi kita tidak dapat melawan kekuatan peniaga mata wang. Mereka boleh membuat spekulasi sehingga 20 kali ganda modal mereka dan kita mungkin kehabisan rizab antarabangsa kalau kita cuba melawan mereka dengan cara itu. Kita bukan berdepan dengan sebuah dana spekulasi mata wang, tetapi beberapa buah.

Ternyata percubaan kita itu gagal. Saya tahu yang Nor Mohamed berpengetahuan lalu memutuskan untuk melantik beliau menjadi Penasihat Kewangan saya dan salah seorang anggota MTEN.

Kita mengajukan banyak soalan kepada beliau dalam usaha untuk memahami dan mengawal perniagaan mata wang. Saya perlu memahami sedalam-dalamya mengenai sistem perbankan dan kewangan, dan Nor Mohamed berjaya memperjelaskan semuanya.

Disebabkan kita tidak faham selok-beloknya maka kita telah memperkenalkan langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan. Pada satu peringkat, terlintas dalam fikiran saya untuk menurunkan nilai ringgit dan menaikkan gaji bagi mengimbangi kesan penyusutan nilainya.

Apabila saya membincangkan idea itu dengan beberapa orang kawan dan Menteri, mereka berkeras mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan. Namun, saya terus yakin mesti ada sesuatu yang boleh dilakukan secara sah oleh kerajaan bagi menghentikan manipulasi mata wang kita. Sehingga saat itu, saya masih beranggapan yang mata wang sebenar telah bertukar tangan dalam urus niaga berkenaan.

Saya masih belum memahami perdagangan mata wang yang dijalankan dalam bentuk abstrak dan maya serta bagaimana transaksi atas kertas yang bernilai berbilion-bilion dolar boleh mengalir merentasi dunia dengan lebih pantas berbanding kita membayar RM10 untuk membeli sayur di pasar.

Itulah sebabnya apabila kita diberitahu yang mata wang kita dibawa keluar, kita menyangka orang yang terlibat benar-benar membawa wang kita ketika mereka keluar dari Malaysia. Jadi, kita meminta pegawai kastam di pintu keluar supaya memeriksa beg pengembara. Kita kehairanan kerana tidak ada wang tunai yang cuba dibawa keluar.

Bagaimanapun, kita mendapati jumlah wang dalam edaran di Malaysia berkurangan dengan begitu banyak dan berjuta-juta ringgit Malaysia telah mengalir ke Singapura. Atas sebab itulah kita meminta kerajaan Singapura mendepositkan sejumlah pegangan ringgit mereka ke dalam bank Malaysia.

Kita juga hairan bagaimana peniaga mata wang di luar Malaysia boleh memiliki berbilion ringgit duit kita untuk dijual. Saya tertanya-tanya dari mana penyerang mata wang antarabangsa itu memperoleh ringgit?

Mereka melakukan jualan singkat dengan mengikat kontrak untuk menyerahkan ringgit yang sebenarnya tidak mereka miliki. Bagaimanapun lambat-laun mereka perlu juga membuat penyerahan.

Saya bertanya kepada Nor Mohamed bagaimana sejumlah besar mata wang kita boleh meninggalkan Malaysia tanpa dikesan dan bagaimana peniaga boleh membawa keluar berbilion-bilion ringgit. Kita juga tidak mempunyai rekod pembelian ringgit sebelum mereka mula memperdagangkannya sebagai satu komoditi dan dalam proses itu merosakkan kestabilan kadar tukarannya.

Pada satu peringkat, saya membuat kesimpulan bahawa mereka tentu telah membeli sejumlah besar ringgit sebelum memperdagangkannya di pasaran.

Nor Mohamed menjelaskan kepada MTEN bahawa sebenarnya tidak ada wang tunai yang dipindahkan. Sejuta ringgit, walaupun dalam bentuk wang kertas RM100, sudah cukup berat untuk diangkut. Jadi, tentulah mustahil untuk memindahkan ratusan juta ringgit, apatah lagi berbilion ringgit. Lagipun, ringgit hanya sah diperlakukan di Malaysia. Ia tidak boleh digunakan di luar negara.

Bank dan penukar wang di negara lain mungkin menerima ringgit untuk ditukarkan dengan mata wang tempatan, tetapi jumlahnya kecil sahaja. Di penghujungnya, mereka pasti memulangkan mata wang kertas itu kepada Malaysia untuk ditukarkan dengan mata wang pilihan mereka. Bagaimanapun, ini jelas tidak berlaku. Kalau berlaku pun, kita tentu dapat melihat barisan van perisai berulang-alik di antara Singapura dan Malaysia.

Jadi, apakah mata wang yang diperdagangkan sebenarnya? Nor Mohamed menjelaskan bahawa tidak ada wang yang terlibat secara fizikal. Sebaliknya wang sebenar ada di dalam bank-bank Malaysia, kebanyakannya di dalam akaun pemilik wang itu.

Saya bertanya kepada kepada Nor Mohamed apa yang berlaku apabila wang itu dijual atau dibeli. Menurut beliau, sejumlah kecil daripadanya mungkin dimasukkan ke dalam bank atau diambil sebagai tunai. Namun, biasanya wang itu dikreditkan ke dalam akaun penerima atau didebitkan daripada akaun pembayar. Tidak ada transaksi wang tunai berlaku sama sekali. Jual beli dibuat di atas kertas semata-mata. Yang berubah hanyalah angka-angka di dalam akaun bank.

Apabila ringgit didagangkan, tidak ada wang yang menyeberangi sempadan. Dalam erti kata lain, tidak ada wang yang keluar dari Malaysia ataupun masuk ke dalam Malaysia secara fizikal. Proses itu mungkin rumit sedikit bagi dagangan yang melibatkan akaun mata wang asing di bank-bank asing. Begitu pun, ringgit yang diperdagangkan tidak akan sama sekali meninggalkan Malaysia.

Saya sedar bahawa itu mestilah caranya. Jadi, kita meminta Bank Negara menarik balik wang kertas bernilai RM500 dan RM1,000 bagi menyekat orang ramai menyeludup keluar wang. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku selama ini adalah ringgit Malaysia yang diperdagangkan itu kekal di dalam akaun orang asing di bank-bank Malaysia. Disebabkan wang itu dimiliki oleh orang asing, maka kita tidak boleh menggunakannya.

Ini adalah sesuatu yang baru kepada saya. Saya bukan seorang ahli perbankan dan urusan saya dengan bank juga terhad. Saya selalu membuat pembayaran menggunakan cek tanpa memikirkan bagaimana angka di dalam akaun saya berubah. Transaksi saya umumnya kecil dan diuruskan oleh pembantu peribadi saya.

Saya mula berasa gerun apabila menyedari yang saya telah membelanjakan begitu banyak wang negara tanpa mengetahui apa-apa mengenai operasi bank. Namun, sejak mempelajari bahawa ringgit yang diperdagangkan itu tidak pernah keluar dari Malaysia secara fizikal dan jual belinya hanya membabitkan pemindahan hak milik daripada satu akuan kepada akaun yang lain di dalam bank, maka saya mula berfikir bagaimana kerajaan boleh menggunakan kuasa kawalan Bank Negara ke atas bank-bank di Malaysia untuk menghentikan perniagaan mata wang.

Saya yakin ramai rakan-rakan saya di dalam MTEN tahu bahawa sistem kewangan mewujudkan lebih banyak kredit berbanding mata wang yang dikeluarkan oleh bank pusat. Bagaimanapun, mereka tidak nampak bagaimana maklumat itu mungkin boleh membantu mewujudkan kawalan rasmi ke atas perdagangan mata wang. Mungkin ada baiknya juga kejahilan saya mengenai sistem kewangan sebelum ini kerana ia memberi saya peluang untuk melihat dengan persepktif baru tentang bagaimana boleh menggagalkan peniaga mata wang.

Saya bertanya Nor Mohamed sama ada kerajaan boleh mengarahkan bank agar tidak memindahkan hak milik apabila peniaga mata wang membeli dan menjual ringgit. Beliau menjawab, boleh. Saya pun memikirkan kemungkinan untuk melaksanakannya.

Serentak itu, Tun Daim, Nor Mohamed dan ahli-ahli perbankan di dalam MTEN mula membincangkan kemungkinan menyekat peniaga mata wang daripada memperoleh ringgit. Pada masa yang sama, kita perlu menghentikan jual beli saham syarikat Malaysia melalui Central Limit Order Book (CLOB) di Singapura atau apa yang disebut sebagai dagangan “atas kaunter.”

Ia diwujudkan oleh Singapura untuk meneruskan kegiatan jual beli saham-saham Malaysia selepas kita memisahkan bursa saham kita daripada bursa saham Singapura pada 1989. Urus niaga CLOB menyebabkan harga saham kita merosot terus-menerus.

Indeks Komposit kita, iaitu Kuala Lumpur Composite Index (KLCI) berada di sekitar 1,200 mata apabila serangan ke atas ringgit bermula. Bagi mengelakkan kehilangan wang yang dilaburkan di Malaysia, maka pelabur asing berpusu-pusu keluar dengan menjual saham milik mereka dan menukar ringgit yang mereka peroleh kepada dolar Amerika atau mata wang lain.

Penjualan ini menyebabkan kejatuhan harga saham kita menjadi lebih teruk. Pada satu peringkat, ia jatuh sehingga di bawah 300 mata. Modal pasaran saham yang disenaraikan di bursa saham kita tinggal satu perempat sahaja daripada nilai sebelum krisis.

Kita mendapati bahawa saham yang diniagakan melalui CLOB telah didaftarkan atas nama syarikat-syarikat pemegang amanah. Amalan ini sah dari segi undang-undang, tetapi apabila saham itu dijual dalam lingkungan syarikat pemegang amanah maka pemilikannya tidak berubah; ia kekal dalam tangan syarikat pemegang amanah terbabit. Atas dasar itu maka jual-beli tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Yang menjadi masalah adalah penjualan berterusan saham-saham itu menyebabkan harganya jatuh. BSKL tidak dapat berbuat apa-apa mengenai kegiatan CLOB. Transaksi saham-saham Malaysia di CLOB tidak perlu didaftarkan dengan BSKL selagi ia kekal sebagai urusan atas kertas oleh syarikat pemegang amanah yang sama.

Kita perlu menghentikan amalan itu dan memutuskan bahawa tidak ada jual-beli akan diiktiraf kecuali pemilik sebenar mendaftar dengan BSKL. Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menyebabkan transaksi berkenaan tidak diiktiraf dan saham yang terlibat, dari segi undang-undang akan dianggap sebagai hak milik penjual.

Sebaik sahaja kita mengenakan syarat itu, saham-saham tidak mungkin boleh diniagakan lagi di CLOB tanpa mendaftarkannya dengan BSKL. Tiada siapa akan membeli kalau saham itu tidak menjadi milik mereka dari segi undang-undang. Ini memaksa pemilik sebenar untuk mendaftar urus niaga mereka dengan BSKL sebagai syarat untuk mendapatkan pengiktirafan.

Tindakan kita itu berjaya menamatkan peranan syarikat pemegang amanah sebagai orang depan dalam perdagangan CLOB. Semua pemilik perlu mendaftar dengan BSKL. CLOB tidak lagi berperanan menjual-beli saham Malaysia. Ia terpaksa ditutup.

Sementara itu, kita juga memutuskan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika – satu langkah yang pastinya menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, kita perlu menentukan kadar tukaran ringgit sebaik sahaja selepas mengarahkan bank agar tidak memindahkan wang akaun mereka dalam sebarang transaksi.

Kita juga perlu menyediakan rizab mata wang asing, terutama dolar Amerika yang mencukupi dalam bank tempatan dan di Bank Negara sekiranya diperlukan oleh pedagang bagi membayar import mereka. Dan sudah tentulah kita perlu menjamin bekalan ringgit yang mencukupi di bank untuk ditukarkan dengan mata wang asing pada kadar yang kita tetapkan.

Kita sentiasa mendesak agar pendapatan penjualan barangan buatan Malaysia kepada pembeli asing dibawa balik dan didepositkan di dalam bank Malaysia. Sesetengah negara membangun seperti Argentina membenarkan pendapatan eksport disimpan di luar negara.

Dalam kes negara pengeluar minyak Timur Tengah pula, sebahagian mereka tidak pernah membawa pulang perolehan eksport minyak mereka. sebaliknya, mereka membiarkan pendapatan eksport minyak mereka yang sering disebut sebagai “petrodollar”, mengelilingi dunia mencari pelaburan yang paling menguntungkan.

Bagi kita pula, kalau kita benarkan hal ini berlaku maka ia akan mengakibatkan pengaliran keluar yang berterusan pendapatan eksport negara. Kalau kita tidak dapat menggunakan tukaran asing hasil eksport kita, maka kita tidak akan dapat membayar kos import atau melunaskan hutang.

Kesan daripada amalan membawa balik pendapatan eksport itu menyebabkan Malaysia sentiasa mempunyai rizab mata wang asing yang mencukupi untuk digunakan oleh pengimport bagi membeli barangan dan perkhidmatan asing. Apabila kerajaan menetapkan kadar tukaran, ia harus menjamin bekalan mata wang asing yang mencukupi untuk membayar kos import utama pada kadar yang ditetapkan itu.

Kita mungkin boleh memperkayakan diri kita dengan mengukuhkan ringgit kepada paras sebelum krisis, iaitu RM2.50 bagi satu dolar Amerika memandangkan pada masa itu ringgit sudah mula pulih perlahan-lahan. Pada kadar paling rendah, nilai ringgit susut kepada hampir RM5 bagi setiap dolar Amerika. Ia kemudian berkisar sekitar RM3.80 dan RM4.

Kalau ringgit terlalu kukuh pula kerana kita menetapkan kadar tukaran yang amat tinggi maka produk Malaysia tidak dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa dengan produk yang serupa dari Thailand, Filipina dan Indonesia. Kita perlu menetapkan kadar tukaran yang tidak terlalu memiskinkan kita dan pada masa yang sama menjamin persaingan produk keluaran kita. Oleh itu, kita memutuskan kadar RM3.80 bagi satu dolar Amerika.

Kita merahsiakan perkara itu, tetapi kita mahu Bank Negara dan BSKL melaksanakannya. Kerajaan perlu menyelia pelaksanaan rancangan itu hampir setiap minit.

Apabila kita mula melaksanakannya, kita tidak pasti sama ada kawalan itu akan memberi sebarang kesan atau tidak. Kita pun tidak tahu sama ada keputusan mengenai pendaftaran wajib jual-beli saham CLOB boleh dilaksanakan atau terbukti tidak praktikal.

Perlu ditegaskan bahawa sewaktu kita mengambil keputusan tersebut di dalam MTEN, Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau tidak membantah rancangan untuk menyekat kegiatan peniaga mata wang dan mengawal urus niaga CLOB.

Dr Noordin Sopiee tampil dengan lebih 30 sebab mengapa kita tidak harus melaksanakan semua rancangan itu. Tidak semestinya beliau tidak bersetuju dengan hujah itu, tetapi beliau mengemukakannya bagi mencabar pemikiran kita.

Saya terpaksa berhujah mematikan setiap bantahan yang beliau kemukakan. Ahli MTEN yang lain menunjukkan tahap sokongan berbeza-beza, dengan sesetengahnya mengatakan bahawa langkah yang kita cadangkan itu tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum ini.

Memang betul ia berisiko, termasuklah kemungkinan keutuhan mutlak mata wang ringgit. Pasaran gelap mungkin muncul bagi menjual ringgit dengan harga yang lebih murah daripada kadar yang kita tetapkan. Kewangan dan ekonomi negara mungkin menjunam dan tidak boleh dikawal lagi.

Kita sama sekali tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi. Bagaimanapun, hujah yang mengatakan kita tidak patut melakukannya kerana ia belum pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini mungkin sesuai bagi orang yang penakut dan berfikiran kolot. Pendirian itu pastinya tidak sesuai bagi seorang yang bertanggungjawab kepada negara dalam menghadapi saat kesukaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Ada orang membangkitkan bahawa wujud keadaan di mana penduduk di kebanyakan negara membangun enggan dibayar dalam mata wang tempatan, sebaliknya mereka mendesak agar dibayar dengan dolar Amerika. Ringgit juga mungkin ditolak sebagai bayaran. Jika ini berlaku maka nilainya tidak lebih tinggi daripada harga kertas yang diguna untuk mencetaknya.

Saya mendapat tahu kemudian bahawa setengah ahli MTEN telah memberitahu beberapa orang Menteri Besar supaya menghalang saya daripada meneruskan langkah yang dirancang. Malangnya, mereka tidak bersedia untuk berdepan dengan saya bagi berbahas mengenai perdagangan mata wang dan CLOB kerana mereka tidak memahaminya.

Malah, pemahaman mereka juga sangat kurang mengenai betapa kompleksnya langkah yang sedang kami rancang dan risikonya. Kalau pun ada antara mereka mempunyai keraguan yang berasas, mereka tidak berkebolehan untuk menyatakan pandangan mereka.

Keadaan itu memberikan kelebihan kepada saya. Saya berasa lega dengan keputusan yang diambil, tetapi itu bukan bermakna saya tidak bimbang dengan kemungkinan rancangan kita akan membawa bencana kepada negara.

Saya berasa gerun mengambil tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan konvensional serta bercanggah dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.

Strategi kita tidak syak lagi bercanggah dengan pendapat umum yang dilabelkan oleh pengkritik ekonomi sebagai “contrarian”. Ia bertentangan dengan amalan konvensional dan kalau ekonomi kita runtuh akibat daripadanya maka tidak ada sesiapa pun yang akan menolong kita. Saya sendiri mungkin terpaksa berundur dalam keaiban – sesuatu yang amat saya takuti.

Bagaimanapun, saya lebih takut kepada kemungkinan kita akan hilang kawalan ke atas negara kita sendiri seperti kerajaan Indonesia yang hilang kuasa kepada IMF. Saya amat tidak suka melihat gambar Camdessus berdiri berpeluk tubuh bersebelahan Presiden Suharto ketika menyaksikan pemimpin Indonesia itu menandatangani perjanjian dengan IMF.

Camdessus kelihatan begitu puas dan sinis menyaksikan Presiden Suharto melepaskan kawalan ke atas ekonomi Indonesia yang berupa asas kedaulatan negara itu – kedaulatan yang diperjuangkan dengan begitu gigih dan berani menentang Belanda pada 1940-an.

Saya tentunya tidak mahu Malaysia menderita nasib yang sama. Kita telah cuba memujuk Indonesia agar tidak menyerah kepada IMF.

Menteri Kewangan Indonesia ketika itu, Marie Muhammad berhubung rapat dengan Anwar yang mengatakan beliau ada meminta Marie supaya menasihatkan Suharto agar tidak menurunkan tandatangan.

Saya diberitahu bahawa menjelang waktu itu. Presiden Suharto sudah tidak boleh tidur. Seramai kira-kira 40 juta rakyat Indonesia telah hilang pekerjaan. Rupiah sudah runtuh. Nilainya merudum daripada 2,000 bagi setiap satu dolar Amerika kepada 16,000.

Rusuhan tercetus di ibu negara, Jakarta. Kedai dibakar dan ramai yang terbunuh. Rakyat peribumi Indonesia menyalahkan krisis itu kepada orang Cina Indonesia. Mereka tidak menganggap Amerika dan penguasaannya ke atas IMF sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap krisis mata wang.

Apabila IMF mengambil alih kawalan ke atas kewangan Indonesia, langkah yang mereka paksakan terhadap Indonesia seperti menghentikan subsidi makanan dan minyak telah memburukkan lagi penderitaan rakyat dan lebih banyak rusuhan berlaku.

Thailand dan Filipina yang turut menyerah kepada IMF juga menerima nasib serupa. Hanya Korea Selatan berjaya melakukan pemulihan ketara selepas menyerah kepada IMF.

Saya tidak sedikit pun yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF yang dipaksakan oleh Anwar ke atas negara. Menteri-menteri mula mengadu bahawa mereka tidak ada peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan. Semua faedah dan keistimewaan dikurangkan dan langkah jimat cermat mula memberi kesan negatif.

Anwar mahu melihat lebihan belanjawan di mana pendapatan mengatasi perbelanjaan, tetapi mustahil boleh dicapai memandangkan kemerosotan kuasa membeli mata wang ringgit. Jadi, beliau mengurangkan peruntukan belanjawan sebanyak 25 peratus. Kalau kita terus mengurangkan belanjawan maka akan tiba masanya nanti kita kehabisan wang di dalam Perbendaharaan. Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan kita mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita kepada pihak luar.

Saya berazam untuk meneruskan pelaksanaan strategi penyelesaian yang telah dipersetujui. Kemudian pada saat akhir, Anwar menelefon saya untuk memberitahu yang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Timbalannya, Fong Weng Phak telah menghantar surat peletakan jawatan. Saya terkejut, tetapi tetap bertekad mahu melaksanakan langkah yang telah diputuskan.

Saya meminta pegawai ketiga paling kanan di Bank Negara supaya datang menemui saya. Pada masa itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi, operasi luar dan pasaran mata wang serta kawalan tukaran asing .(3)

Saya kenal beliau, tetapi tidaklah rapat. Kita kesuntukan masa untuk mencari Gabenor baru, jadi saya serta-merta melantik beliau menjadi Pemangku Gabenor. Beliau datang ke kediaman saya dan saya jelaskan kepadanya apa yang sedang berlaku serta apa yang harus beliau lakukan.

Mujurlah beliau seorang yang berkebolehan dan memberikan sepenuh kerjasama. Menurutnya, beliau akan menghubungi bank dan menghentikan semua pemindahan besar wang yang terbabit dalam perdagangan mata wang. Dalam pada itu, beliau juga akan memastikan pembayaran untuk transaksi perniagaan biasa diteruskan.

Pada 1 September 1998, Zeti secara rasmi mengumumkan pelaksanaan kawalan mata wang dan ikatan ringgit kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu media massa: “Kita perlu bertindak bersendirian memandangkan masyarakat antarabangsa telah gagal mengemukakan sebarang penyelesaian yang bermakna kepada keadaan huru-hara kewangan global. Sebaik-baiknya dunia patut bertindak seiringan dan bukannya memaksa negara bertindak sendirian.”

Zeti yang kemudiannya dilantik menjadi Gabenor telah dijemput untuk menyertai MTEN. Beliau memberi maklum balas yang baik mengenai keadaan semasa pasaran dan pergerakan ringgit. Sejak menjadi Gabenor, Zeti telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa kerana kepemimpinannya di Bank Pusat.

Antara perkembangan lain yang diperhatikan adalah kemungkinan munculnya pasaran gelap mata wang ringgit. Kita memantau harga barang bagi memastikan tidak ada pihak cuba membuat keuntungan berlebihan. Kita memastikan bekalan semua barang keperluan utama adalah mencukupi.

Mesyuarat harian MTEN diteruskan. Bank disyaratkan supaya mendepositkan semua tukaran asing yang mereka terima di Bank Negara. Dengan itu, kita tidak pernah kekurangan mata wang asing untuk dijual kepada pengimport tulen. Ikatan ringgit kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar telah dikuatkuasakan dengan begitu tegas sekali dan ini terbukti baik bagi pengimport serta pengeksport.

Kalangan ahli perniagaan gembira menerima ringgit pada kadar RM3.80 setiap kali mereka menukar dolar Amerika atau mata wang lain. Mereka juga selesa dengan jaminan bahawa kita akan mengekalkan kadar tukaran sehinggalah keadaan menjadi stabil semula. Mereka kini boleh merangka belanjawan untuk sepanjang tahun tanpa perlu membabitkan diri dalam kegiatan melindungi nilai ringgit. Ini secara langsung mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Tindakan mensyaratkan pemilik saham mendaftar dengan BSKL dan menghentikan penjualan saham Malaysia yang dipegang oleh syarikat pemegang amanah juga telah membantu menyekat kejatuhan harga di BSKL. Dalam jangka masa singkat, indeks komposit BSKL yang jatuh di bawah 300 mata telah naik semula kepada lebih 800 mata.

Jumlah hutang lapuk turut berkurangan selepas tempoh gagal bayar dinaikkan semula kepada enam bulan dan ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Sewaktu krisis, kita memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan masalah yang tercetus. Misalnya, apabila jualan hartanah membeku maka kita menganjurkan kempen pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju, pembeli, pembiaya, pegawai kerajaan dan peguam. Pada pameran promosi pertama, kira-kira RM3 bilion hartanah dijual.

Bagi menggerakkan semula industri pembinaan maka kita memutuskan supaya dibina 40,000 unit pangsapuri untuk menempatkan penghuni setinggan. Memandangkan jualan runcit tidak berkembang mengikut keadaan yang sepatutnya maka kita menyediakan tempat pameran untuk peruncit dan di mana perlu, kita membantu mereka merundingkan bekalan pada harga yang lebih murah.

Di samping itu, kita meneliti laporan penggunaan elektrik, pergerakan kargo dan kontena di pelabuhan, ketibaan pelancong, penumpang kapal terbang, pendaftaran kenderaan baru dan banyak lagi. Jadi kita tahu secara terperinci prestasi ekonomi dan sering mencari jalan untuk merangsangnya.

MTEN memberi perhatian utama kepada operasi Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat yang semuanya ditubuhkan untuk menangani masalah hutang lapuk serta permodalan semula bank.

Kita tidak membenarkan penjualan serta-merta saham yang diperoleh melalui CLOB kerana ini akan menyebabkan kejatuhan harga semua saham. Pemilik saham juga perlu mendaftar terlebih dahulu dengan BSKL. Kemudian kita menubuhkan pula sebuah syarikat khas untuk membeli saham berkenaan, memantau kepulangannya dan akhir sekali menjualnya secara beransur-ansur supaya tidak mengganggu harga saham di BSKL.

Pada mulanya, pemilik saham CLOB itu tidak begitu gembira. Namun, hasil pemulihan pesat BSKL menyebabkan harga saham naik 200 peratus sewaktu syarikat khas yang kita tubuhkan itu mula membeli saham-saham CLOB.

Jadi, mereka terselamat daripada mengalami kerugian besar kewangan yang amat mereka takuti. Mereka juga menunggu seketika sebelum menjual saham mereka dan memperoleh keuntungan besar. Syarikat khas berkenaan turut membuat keuntungan dan kerajaan mendapat balik modalnya yang diberikan dalam usaha menyelamat yang berani.

Dunia mengutuk kawalan mata wang yang kita lakukan dan ramai ahli ekonomi berkata bahawa ia tidak selari dengan sistem perdagangan terbuka. Pakar-pakar meramalkan kemusnahan Malaysia dan dengan gembira menunggu kepulangan kita ke pasaran dunia sebagai pengemis.

Kita bagaimanapun tidak gentar. Kita percaya yang kita telah menemui jawapan tepat kepada penjarahan negara kecil oleh peniaga mata wang. Cara kita mungkin tidak konvensional, tetapi berkesan.

Biarlah orang lain mempertahankan doktrin ekonomi, tetapi bagi kita, yang lebih utama adalah menyelamatkan negara dan diri kita. Akhirnya, kita pulih dengan lebih cepat daripada semua negara yang menerima pinjaman IMF, sama ada secara sukarela atau kerana tekanan. Negara-negara itu telah menyerah diri kepada langkah penyelesaian yang sama untuk semua.

Peniaga mata wang menghentikan operasi mereka. bahkan IMF pun akhirnya mengakui yang cara kita berkesan walaupun mereka tidak memperakukannya kepada negara lain. Pakar ekonomi dan pemenang Hadia Nobel, Joseph Stiglitz menyokong pandangan kita.(4)

Malah, Soros turut mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul dengan tidak menyerah kepada IMF.

Dasar yang kita laksanakan berkesan untuk negara kita, tetapi tidak banyak negara membangun berada dalam keadaan yang serupa dengan kita. Ia berkesan bagi kita kerana selain keazaman politik dan kepakaran merangka dasar yang praktikal, kita juga mempunyai simpanan mata wang asing yang banyak di Bank Negara untuk digunakan bagi melindungi kedaulatan ekonomi kita. Selain itu, kita mempunyai simpanan yang besar hasil pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab selama ini.

Kejayaan kita menyekat kemaraan peniaga mata wang dan menolak campur tangan IMF bukanlah semata-mata kerana tindakan tegas kita pada masa itu. Ia sebaliknya berpaksikan kepemimpinan ekonomi yang mantap oleh kerajaan dan ketetapan dasar yang dilaksanakan, khususnya dalam dekad 70-an dan 80-an.

Bagaimanapun, krisis mata wang bukanlah satu-satunya masalah yang terpaksa kita tangani. Sehari selepas Zeti mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya dengan Anwar meletus.

(1) Perwakilan daripada 44 buah negara bertemu tidak lama sebelum Perang Dunia II untuk berbincang bagaimana memulihkan semula ekonomi dunia.
(2) MTEN ditubuhkan pada 7 Januari 1998 untuk menasihat kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan krisis kewangan.
(3) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah satu-satunya Gabenor wanita Bank Pusat di Asia. Beliau adalah anak kepada Profesor Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, pakar Ekonomi Melaya negara yang pertama dan bekas Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau juga adalah cucu saudara Datuk Onn Jaafar, Pengasas UMNO.

 — 

Thursday, 30 August 2012

khas utk pelajar baru IPT


"Universiti atau IPT sepatutnya menjadi tempat membina manusia yang bertaqwa kepada ALLAH kerana di sana berkumpulnya ramai ilmuan dan majlis-majlis diskusi ilmu selalu dilakukan.  Apa yang menyedihkan kita ialah ada sebahagian besar pemuda/i yang semakin lari dari tarbiyah agama apabila berada di IPT.  Bagaimana caranya agar mereka istiqamah dengan hidup beragama tatkala di IPT dan setelah keluar dari IPT?

1) Luruskan niat.

Dalam apa-apa perbuatan pun, persoalan niat mesti diutamakan dan diberi penekanan. Niat merupakan sebab kepada perbuatan itu samada diterima atau ditolak, samada untung atau rugi. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

ِاِنَّمَا الاَعْمَالُ بِالنِّيَّات

“Semua amalan adalah dinilai dengan niat.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, luruskanlah niat kalian. Dan niat yang paling lurus dan beruntung ialah apabila kita niatkan kerana ALLAH Ta`ala. Tidak kiralah apa pun jurusan yang kalian ambil, luruskanlah niat kalian kerana ALLAH Ta`ala. Dunia ini milik ALLAH dan jiwa kita adalah milik ALLAH. Maka sepatutnyalah kita belajar untuk berkhidmat kepada ALLAH Ta`ala.

2) Fokus kepada matlamat.

Selain niat, matlamat perbuatan juga mesti jelas. Matlamat dapat memandu kita ke arah tempat yang dituju. Tanpa matlamat, tentu perjalanan kita akan hilang arah.

Masalah yang berlaku kepada saya dan orang ramai bukanlah tiada matlamat, tetapi tidak fokus kepada matlamat. Disebabkan tidak fokus, perjalanan dalam dunia belajar di universiti bisa tersadai atau kurang cemerlang keputusannya. Justeru, kalian mesti fokus dengan matlamat kalian.

Kalian tentu sahaja mempunyai matlamat masing-masing yang telah terbit dari hati nurani kalian. Terpulanglah, asal sahaja matlamat itu tidak merosakkan diri kalian. Samada matlamat kalian belajar di universiti ingin mendapatkan habuan dunia atau akhirat, semuanya mesti fokus. Jika hilang fokus, maka matlamat akan kabur.

Dan ingin saya mengingatkan kalian akan matlamat kepada semua matlamat yang telah difirmankan ALLAH `Azza wa Jalla kepada RasulNYA sallAllahu `alaihi wasallam:

ِوَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْن

“Dan tidak AKU telah jadikan golongan jin dan golongan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (kepadaKU).”

(Adz-Dzariyaat, 51:56)

Sepanjang menjalani kehidupan di universiti, jangan sekali-kali kalian hilang fokus dari matlamat yang ini. Ia matlamat yang paling utama. Ia matlamat kenapa kita dijadikan. Ia matlamat sepanjang hidup. Samada kalian cemerlang di universiti atau kurang cemerlang atau tidak cemerlang, matlamat inilah yang kalian mesti fokus betul-betul.

3) Jagalah syariat ALLAH

Seterusnya, jagalah syariat dan hak ALLAH seperti tidak sesekali mensyirikkanNYA dengan sesuatu, jaga dan kerjakan solat-solat yang difardhukan, puasa Ramadhan, menutup aurat dan semua yang wajib dalam ajaran Islam.

Jika kalian menjaga syariat dan hak ALLAH, pastinya perjalanan kalian semasa di universiti dijagai ALLAH Ta`ala. DIA akan memberikan kepada kalian petunjuk kepada kebenaran, jalan keluar dari bermacam-macam masalah dan rezeki dari berbagai-bagai punca. Lalu memudahkan kembara ilmu kalian semasa di universiti nanti, insyaALLAH.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menjanjikan hal ini dengan katanya:

َاِحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْك

“Jagalah ALLAH, nescaya DIA jaga kamu.”

(HR at-Tirmidzi, katanya hasan sahih)



Jagalah hak ALLAH, nescaya DIA akan jaga kalian dunia dan akhirat. InsyaALLAH akan terbit jati diri yang jitu dari dalam diri kalian jika kalian benar-benar berdisiplin dan jaga sungguh-sungguh akan hak ALLAH. Kalian tidak akan tergelincir. Dan jika kalian tergelincir pun, kalian akan mudah bangun kerana ALLAH jaga kalian.

4) Pilih kawan dan lingkungan yang baik.

Ramai yang berubah disebabkan oleh kawan dan lingkungan. Jika berubah kepada yang lebih baik, tentu sahaja ia suatu yang baik. Apa yang dikhuatirkan ialah jika perubahan yang menimpa diri kalian ialah perubahan yang negatif.

Bukan sedikit yang berubah dari baik kepada kurang baik atau tidak baik. Ia banyak sekali. Mata ini telah melihat banyak sekali perubahan tersebut. Dan majoriti sebab kepada perubahan itu ialah akibat dari pengaruh kawan atau lingkungan.

Di universiti ada banyak persatuan, pergerakan dan kumpulan yang boleh disertai secara langsung atau tidak langsung. Kesemuanya boleh mempengaruhi cara kalian bersosial dan berinteraksi. Ia boleh dijadikan medan yang baik untuk kalian membentuk karisma diri dan pola fikir sebelum kalian masuk ke dunia yang penuh cabaran iaitu dunia pekerjaan, rumahtangga dan kemasyarakatan. Universiti adalah mini masyarakat yang di dalamnya kalian boleh memainkan peranan masing-masing.

Tapi awas, dalam keenakan kalian bersosial sesama sendiri, semuanya itu akan terkesan pada diri kalian. Jika kawan atau lingkungan yang kalian pilih itu suka enjoy, maka enjoylah kalian. Jika mereka kaki games/movies, maka ber’games/movies’lah kalian. Jika mereka kuat berjalan, maka berjalanlah juga kalian. Jika mereka selalu berbohong, maka berbohonglah kalian. Jika mereka selalu bicara tentang wang, wanita dan kedudukan, maka begitulah juga kalian.

Tetapi jika sebaliknya kawan atau lingkungan kalian selalu berbicara tentang perjuangan, tentang amanah, tentang masa depan, tentang pembangunan masyarakat, tentang hidup bermaruah, tentang agama, tentang keadilan, tentang syurga, tentang neraka, tentang ALLAH, maka insyaALLAH kalian akan begitu juga. Ma sha’ ALLAH, beruntunglah kalian.

Hal mengenai pengaruh kawan atau lingkungan ini pernah disabdakan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang lebih kurang maksudnya:

“Kawan yang soleh ibarat penjual minyak wangi. Jika dia tidak memberimu minyak wangi, kamu akan dapat mencium keharumannya. Sedangkan kawan yang buruk ibarat tukang besi. Jika kamu tidak terkena apinya, kamu tentu akan terkena asapnya.”

(HR al-Bukhari)

Jadi, berhati-hatilah dalam memilih kawan dan lingkungan. Sungguh, pemilihan kawan dan lingkungan sangat penting dalam pembentukan diri. Jika tidak 100% ia memberi kesan kepada kalian, pasti tertempias juga barang sedikit. Tidak salah cerewet dalam hal memilih kawan dan lingkungan. Kerana cerewet dalam hal yang boleh menyelamatkan diri dari kebinasaan adalah cerewet yang mulia.

5) Mintalah hidayah dan taufiq dari ALLAH sepanjang masa.

Perjalanan hidup kalian di universiti hendaklah diiringi sepanjang masa dengan permohonan hidayah dan taufiq daripada ALLAH Ta`ala. Hasrat hati mahu berjaya dikhuatiri diacu oleh iblis yang dilaknati ALLAH. Kita risau sepanjang perjalanan mengecap kejayaan itu kita langgar perintah ALLAH, kita cuai suruhan ALLAH dan terhijab dari kebenaran dari sisi ALLAH.

Betapa ramai yang terpesong dalam perjalanan mereka menuju kejayaan yang dihajati. Dan betapa ramai juga yang terpesong jalan mereka setelah berjaya memeluk kejayaan yang mereka impikan.

Mintalah pada ALLAH akan hidayah dan taufiqNYA. Mohonlah perlindungan ALLAH dari keburukan diri kalian dan kejahatan amal perbuatan kalian. Di dalam solat sentiasa kita memohon dengan ALLAH akan hidayah dan taufiq melalui surah al-Fatihah yang kita baca setiap rakaat. Jika 17 rakaat kita solat sehari semalam, maka 17 kali jugalah kita meminta dengan ALLAH akan petunjuk. Jika solat lebih dari itu, maka lebih banyaklah kekerapan kita memintanya.

ََاِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْم

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”

(Surah al-Fatihah)

Pintalah juga dari ALLAH agar DIA tidak membiarkan kalian melangkah sendirian dalam mengejar cita-cita kalian. Pohonlah agar ALLAH sentiasa membimbing dan memperbaiki kita. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah mengajar kepada Fatimah akan suatu doa yang sangat syahdu maknanya, iaitu:

َيَا حَيُّ يَا قَيُّوم بِرَحْمَتِكَ اَسْتَغِيث اَصْلِحْ لِي شَأنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي اِلَى نَفْسِي طَرْفَة عَيْن

“Wahai Yang Maha Hidup, wahai Yang Maha Berdiri Sendiri. Dengan rahmatMU aku memohon pertolongan, perbaikkanlah untukku urusanku seluruhnya. Dan janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

(HR Nasa’i, al-Bazzar & al-Hakim, dinilai hasan oleh Nasiruddin al-Albani)

Doa ini juga baik untuk dibaca selalu dengan penuh pengharapan:

َ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك

“Ya ALLAH wahai Tuhan Yang Membolak-balikkan Semua Hati, tetapkanlah hatiku ini di atas agamaMU.”

(HR at-Tirmidzi)


Doa di atas selalu dibaca oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan diikuti amalan ini oleh para sahabat, tabi`in, tabi`ut tabi`in dan orang-orang soleh selepas mereka. Justeru, amalan memohon kepada ALLAH agar ditetapkan hati di atas agamaNYA sewajarnya dipohon selalu oleh kita.

Dan doa berikut ini mesti dibaca setiap waktu dan dihayati sungguh-sungguh akan maknanya serta dipinta kepada ALLAH dengan penuh baik sangka, harap dan tawakkal, iaitu:

ِرَبَّنَا اَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Tuhan kami, kurniakanlah buat kami di dunia dengan kebaikan dan di Akhirat dengan kebaikan dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

(Surah al-Baqarah, 2:201)

Pada doa ini terhimpun semua kebaikan padanya. Jika doa-doa yang lain tidak sempat hendak dipohon, memadailah doa ini merangkum semua hajat-hajat kita yang baik-baik melalui doa di atas.

Berdoalah kepada ALLAH sungguh-sungguh dengan penuh sedar dan harapan. Jangan sambil lewa ketika meminta daripadaNYA.

6) Tambahi ilmu agama dan fahamkannya.

Semasa berada di universiti kalian bukan berada di gedung-gedung beli-belah, pasar-pasar atau majlis keraian. Tetapi kalian sedang berada di dalam gedung ilmu yang suasananya suasana ilmu, ruhnya ruh ilmu. Justeru, manfaat sungguh-sungguh akan suasana keilmuan yang ada padanya ketika kalian berada di dalamnya.

Selain ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran yang kalian cuba dalami dalam bidang masing-masing, jangan lupakan pada ilmu-ilmu agama yang merupakan sebab untuk kalian mendapatkan kebaikan dari sisi ALLAH.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ada bersabda mengenai hal ini iaitu:

ِمَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّين

“Barangsiapa yang dikehendaki ALLAH kebaikan pada dirinya, dia akan difahamkan pada agamanya.”

(HR al-Bukhari & Muslim)


Rapatkan diri kalian kepada masjid, majlis ilmu, kitab-kitab agama dan orang-orang berilmu tatkala kalian di universiti. Jangan buang peluang ini apabila berada di universiti. Ketika inilah kalian berpeluang memperbaiki amal dan menambah ilmu dan memantapkan kefahaman agama. Sibukkanlah diri kalian bagi memahamkan diri kalian akan agama kerana ia ‘benchmark’ ALLAH mahukan kebaikan buat kalian.

Jika masa kalian ALLAH sibukkan dengan peningkatan diri terhadap ilmu agama, maka ketahuilah bahawa ALLAH sedang meletakkan kebaikan kepada diri kalian. Tetapi jika sepanjang kalian tinggal di universiti kalian sibuk dengan hal-hal lain, maka muhasabahlah diri. Dikhuatiri ALLAH sedang membiarkan kalian tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang mahu diberikan kebaikan dari sisiNYA.

Antara doa yang baik dibaca ialah:

اَللَّهُمَّ رَبِّيْ زِدْنِيْ عِلْمًا وَ ارْزُقْنِيْ فَهْمًا

“Ya ALLAH, Tuhanku, tambahilah diriku akan ilmu dan kurniakanlah buatku kefahaman.”

7) Risau dan harap

Ada yang mengatakan dia risau, seram dan takut untuk berhadapan dengan kehidupan di universiti. Jika kalian berasa risau, seram atau takut akan cabaran yang bakal terhidang di dalam dunia universiti, ya ia perasaan yang wajar ada pada diri kalian. Kerana telah ramai yang gagal mengawal diri lantaran jati diri yang lemah. Kehidupan universiti yang agak bebas telah mencabut perasaan malu dari banyak pemuda dan pemudi. Ramai hilang kawalan dipandu nafsu.

Jadi, perasaan risau atau takut yang ada pada diri kalian akan membuatkan kalian sentiasa awas dan waspada. Kalian tidak akan semborono di sana. Kalian akan menempuhi kehidupan di universiti ibarat berjalan di jalanan yang penuh duri. Hati-hati dan penuh waspada.

Cuma, janganlah keterlaluan dalam mempunyai perasaan risau dan takut itu. Datangkanlah juga perasaan harapan yang menggunung di dalam hati kerana kehidupan di universiti juga tersedia di sana seribu perkara positif dan indah untuk dinikmati dan dipelajari.

Sepanjang menjalani kehidupan di universiti, jalanilah ia dengan rasa risau dan harap berselang-seli secara sederhana. Mungkin ada yang rasa terlalu risau dan takut ketika berada di sana. Dan ada pula yang terlalu yakin lantaran besarnya harapan dalam hati untuk berjaya. Imbangilah rasa risau dan harap itu dengan sederhana.

Rasa risau kepada kegagalan akan membuatkan kalian berhati-hati dan waspada terhadap semua yang menanti di hadapan. Kalian tidak akan terlalu yakin sehingga menyebabkan kalian terbabas.

Rasa harap kepada kejayaan akan membuatkan kalian segar bugar dan bermotivasi untuk mengecap kejayaan. Kalian tidak akan terlalu murung lantaran terlalu risau dan takut kepada kegagalan.

Gabungan kedua-dua rasa risau dan takut ini secara seimbang dan sederhana insyaALLAH akan menatijahkan kebaikan buat kalian. Kalian akan memperolehi emosi dan fikiran yang rasional menghadapi semua mehnah yang tersedia di sepanjang jalan perjuangan ketika di universiti, insyaALLAH.

8) Tawakkal kepada ALLAH.

Sifat tawakkal kepada ALLAH iaitu berserah diri kepada ALLAH selepas melakukan usaha yang gigih adalah suatu sifat yang penting mesti ada pada diri kalian sepanjang kehidupan di universiti. ALLAH akan mencukupkan kalian jika kalian bertawakkal kepadaNYA. ALLAH Ta`ala berfirman:

ُوَمَن يَّتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُه

“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka DIA akan mencukupkan (keperluan)nya.”

(Surah at-Tolaq, 65:3)

Natijah samada baik atau tidak hasil dari usaha kalian belajar dan hidup di universiti itu, serahkanlah pada ALLAH. Pasti ada hikmah pada apa yang berlaku pada diri kalian hasil dari bertawakkal kepada ALLAH. Dengan syarat, tawakkal itu tawakkal yang betul iaitu menyerahkan urusan yang kalian lakukan itu kepada ALLAH selepas berusaha dengan penuh sungguh-sungguh, tekun dan betul cara dan kaedahnya.

Itulah sebahagian nasihat umum yang sangat asas yang mampu saya kongsikan dengan adik-adik sekalian yang bakal melanjutkan diri ke universiti. Banyak lagi tips-tips dan nasihat-nasihat boleh diperolehi daripada orang lain jika kalian bertanya dengan mereka.

Apa yang tersenarai di atas bukan sahaja boleh dipakai nasihatnya untuk dijadikan bekalan menempuh universiti iaitu institusi tempat kalian bakal belajar di sana. Tetapi juga boleh dijadikan panduan dan bekalan untuk menempuhi ‘universiti kehidupan’ yang jauh lebih mencabar dan penuh ujian, insya ALLAH.

Semoga ALLAH pelihara kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin.

Sekadar berkongsi,

muzir.wordpress.com
7 Syawwal 1433
25 Ogos 2012

berani berubah!

Haram  kita tunduk kepada penjajah, kerana penjajahan selari dengan kezaliman. Tidak boleh sama sekali kita tunduk dan patuh kepada penjajah dan redha apa yang dilakukan oleh penjajah. Kedatangan Islam ialah ialah untuk membebaskan manusia daripada belenggu manusia untuk mengabdikan diri  kepada Allah SWT. Ucapan Rubai bin Amir  kepada Rustam adalah kayu ukur kita ketika memperkatakan konsep kemerdekaan.

Rustam bertanya kepada beliau, "Apa tujuan mereka datang ?

Dengan penuh izzah (bangga)  Rubai menjawab dengan kata-kata yang masyhur: "Allah telah mengirim kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri   kepada Allah, dan dari sempitnya dunia menuju keluasan  akhirat, dari penyimpangan agama-agama yang ada menuju keadilan Islam”.

Sebab itu di negara umat Islam majoriti, perjuangan kemerdekaan dipelopori oleh orang-agama kerana mereka lebih memahami erti  kemerdekaan dan arahan agama kepada mereka. Ia membabitkan dosa dan pahala. Berkompromi dengan penjajah dan membiarkan negara,agama dijajah adalah merupakan kemurkaan Allah SWT.

Atas kesedaran ini ulamak membangkitkan kesedaran beragama di kalangan rakyat untuk menentang penjajah. Berada di bawah ketiak penjajah bermakna membiarkan bangsa dan tanah air berada dibelenggu kezaliman penjajah, perbuatan ini adalah haram. Islam mengajar penganutnya tidak boleh sama sekali berkompromi dengan kezaliman dan penindasan. Firman Allah SWT bermaksud

“Jangan kamu cenderung kepada kezaliman, nanti akan disambar oleh api neraka” (Surah Hud 11:113)

Penjajah adalah lambang kerakusan di dalam sebuah negara. Ia memeras ugut rakyat jelata dan menghisap segala hasil bumi.

Tokoh-tokoh awal yang menggerakkan kemerdekaan negara yang terpahat di sejarah perjuangan melawan penjajah di peringkat awal ialah mereka yang terdidik dengan suasana keagamaan dan roh jihad.

Tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman dan lain-lain adalah tokoh yang bangkit menghalau penjajah walaupun dengan kapasiti yang kecil tetapi telah memberi kesan kepada penjajah di negara ini.

Kemunculan golongan reformis (Islah) yang pulang daripada Timur Tengah telah  merancakkan lagi kesedaran berpolitik dan bernegara. Nama-nama seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Tahir Jalaludin yang mendapat aspirasi daripada Syeikh Mohamad Abduh di Mesir telah menggerakkan kesedaran untuk menuntut kemerdekaan melalui gerakan organisasi yang tersusun di negara ini.

Slogan yang mereka uar-uarkan kepada masyarakat ialah, bangsa Melayu maju jika ia berpegang kepada Islam yang syumul. Melayu tidak gagah dan perkasa jika meninggalkan Islam.

Daya usaha merekalah, timbul kesedaran berorganisasi. Munculnya Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Umno (1946), Hizbul Muslimin (1948) dan Parti Islam Semalaysia (1951).

Memang jelas mereka yang memahami Islam yang sebenar tidak akan berkompromi dengan penjajah dan anak didik penjajah. Sebab itu penjajah cukup takut dengan ulamak seperti ini kerana mereka bukan sahaja mengajar tetapi juga meniupkan semangat perjuangan kepada anak muridnya. Ini yang menjadi kerisauan kepada penjajah.

Apa erti kemerdekaan jika agama masih dikongkong oleh pihak yang berkuasa. Agama menjadi dagang di negeri sendiri. 55 tahun merdeka masjid masih berkunci dan tidak berfungsi, masjid mati sebelum orang mati kerana ditadbir oleh orang yang bukan ahlinya.

Kecantikan Islam tidak dapat dijelmakan dalam bentuk yang praktikal, ia hanya terdapat di dalam liapatan sejarah dan kitab feqah sahaja.

Oleh itu menuntut kepada kita mendapat kemerdekaan kedua iaitu untuk menuntuk kebebasan kepada penganutnya untuk menghayati Islam yang sebenar. Kini Islam berada di kandang orang salah. Islam dihukum bukan menghukum. Islam menjadi tetamu, bukan sebagai tuan rumah.

Tidak ada makna tangan kanan melaungkan kemerdekaan, sedangkan tangan kiri yang menekan rakyat supaya jangan bersuara lebih dariapda kehendak kerajaan. Kebebasan rakyat untuk bersuara disekat atas alasan keselamatan negara. Walaupun realitinya kerana keselamatan kuasa BN yang memerintah pada hari ini.

Amat malang kepada kita, ketika negara menyambut kemerdekaan kerajaan mengetatkan kebebasan untuk bersuara dan bebas mendapat maklumat. Kerajaan memperkenalkan  Seksyen 114A Akta Keterangan yang menjadi ancaman Kepada Rakyat khususnya kepada warga siber dan ia bertentangan dengan hak setiap individu untuk di anggap tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahan.
Sebaliknya seksyen 114A Akta Keterangan ini lebih bersifat prejudis dengan meletakkan beban pembuktian kepada orang yang kena tuduh dan bukan kepada penuduh iaitu pihak berkuasa.
Tidak cukup lagikah kerajaan dengan Akta OSA, Akta Hasutan, Akta Penerbitan untuk mengongkong rakyat. Ini bukan bermakna tidak perlu ada kawalan dan mengambil tindakan kepada penyebar fitnah. Akta ini orang yang dituduh terpaksa membuktikan yang beliau tidak bersalah. Sudah tentu ramai akan terperangkap apabila ruangan komen Face Book kita ditulis dalam bentuk fitnah dan provokasi yang bakan didakwa ialah pemilik FB. Kesemua ini memerlukan kos untuk pemilik FB  membuktikan mereka tidak bersalah. Sedangkan mungkin beliau tidak melakukan. Persoalannya di manakah ongkos yang perlu di biyai di mahkamah. Sebenarnya ini adalah satu usaha untuk menakutkan rakyat terutama kerajaan yang BN menghadapi PRU 13. Jika PRU 12 kerajaan diancam dengan blog dan portal yang mengimbangi dan menjawab pembohongan media kerajaan. PRU akan datang, kerajaan gerun menghadapi fenomena face book, yang begitu pantas menyiarkan maklumat dan menjawab tuduhan dan fitnah kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya kerajaan BN yang sama dengan mazhab mana-mana diktator dunia yang takut menghadapi kebangkitan rakyat, akan menggunakan kuasa untuk menjajah otak rakyat supaya jangan menerima selaian daripada resipi BN. Walau bagaimana pun kerajaan BN perlu ingat, mereka boleh memaksa kuda pergi minum air, tetapi tidak boleh paksa kuda minum air.

setia


Pada suatu hari ada seorang gadis buta yang sangat membenci dirinya sendiri. Disebabkan dirinya yang buta. Dia bukan sahaja membenci dirinya sendiri, tetapi dia juga membenci semua orang kecuali kekasihnya.

Kekasihnya selalu ada disampingnya untuk menemani dan menghiburkan hatinya. Dia berkata akan menikahi gadis itu kalau gadis itu mampu membuka mata melihat dunia.

Suatu hari, ada seorang mendermakan sepasang mata kepada gadis itu, akhirnya dia mampu melihat semua benda, termasuk kekasihnya itu tadi.

Kekasihnya bertanya kepada gadisnya itu, "Sayang, sekarang sayang sudah mampu melihat dunia. Apakah sayang mahu menikahi diriku?” Gadis itu terkejut apabila mengetahui lelaki itu buta. Dan dia menolak keinginan lelaki itu walaupun lelaki itu sangat setia sekali sehingga sanggup mendampingi hidup gadis itu selama si gadis itu buta matanya.

Dan akhirnya lelaki itu pergi dengan menitiskan air mata, dan kemudian menuliskan sepucuk surat ringkast kepada gadisnya itu, “Sayangku, engkau jaga baik-baik kedua-dua mata yang telah aku berikan kepadamu.”

Gadis itu menangis dan menyedari kebodohannya, betapa besar pengorbanan kekasihnya selama ini tapi kekasihnya telah pergi dengan membawa luka dihati.

* Cerita ini banyak versi dan olahan, mungkin cerita ini sama dengan cerita yang lain. Namun, anggaplah cerita ini sebagai ikhtibar untuk kita, bila dah berjanji, kotakan janji, bila setia... teruskan setia... ingat, cinta itu datang dengan mudah, namun pengorbanan itu susah, hargailah insan yang anda sayang. :)

urut badan vs urut hati


Gentarasa

Urutannya tidak seperti biasa. Kali ini agak perlahan dan kurang bermaya. Sambil mengurut, dia bercerita. Cerita sedih yang dialaminya menjelang Hari Raya. “Wak” begitulah panggilan mesra saya kepadanya. Dia seorang pendatang dari negara seberang yang bekerja sebagai buruh binaan di projek perumahan berhampiran dengan rumah saya.

“Saya tidak sangka ustaz, isteri saya buat begini…” katanya sambil mengurut tangan kanan saya. Saya mula mengenali Wak sejak anak lelaki saya tergeliat kakinya dan kami sama-sama mencari tukang urut. Kami temui Wak melalui perbualan dengan seorang kawan tentang adanya seorang tukang urut yang ‘handal’ di pinggir taman tempat kami tinggal. Sejak hari itu, dia akan datang mengurut secara tetap sebulan sekali di rumah saya. Kadangkala bukan kerana sakit, tetapi hanya untuk mengekalkan hubungan saudara seagama.

“Hampir sepuluh tahun saya bekerja di sini, hampir semua hasil pendapatan saya kirimkan kepadanya. Ustaz pun lihat betapa saya begitu berjimat kerana hendak menyenangkan hidup isteri di kampung.”

“Wak memang suami yang setia…” balas saya.
“Malangnya, isteri saya tidak ustaz. Saya dikhianati!”

Setelah sepuluh tahun bekerja di Malaysia, Wak tekad untuk membawa isterinya hidup bersama diperantauan. Biar susah senang, hidup bersama. Begitu azam Wak. Lalu dia bekerja lebih keras lagi, mengumpul wang untuk mendapat visa, tambang dan segala prasarana buat isteri tinggal bersama di Malaysia. Disediakannya bilik dan segala peralatan yang perlu di celah-celah rumah kongsi di tepi tapak projek perumahan dia bekerja. Wak impikan isteri menjadi ‘ratu’ penghias istana hatinya!

Akhirnya Wak berjaya membawa isterinya ke Malaysia. Betapa gembiranya dia saat itu dapat saya rasakan semasa dia mengurut saya sebaik sahaja pulang daripada ‘mengambil’ isterinya.

“Isteri saya sudah di rumah sekarang. Bulan hadapan dia akan mula bekerja.”
“Tahniah Wak,” kata saya sambil merenung matanya yang bersinar. Bayangkan selama sepuluh tahun berjauhan (pulang hanya sekali setahun), kini Wak tinggal bersama isteri. Biarlah bilik di rumah kongsi itu sempit, tetapi bagi Wak, dapat bersama isteri itupun sudah satu kelapangan.

Namun sayang, hanya 6 bulan kemudian… Menjelang Hari raya…
“Dia lari ikut lelaki lain ustaz. Saya ditinggalkan. Saya dapat tahu juga semua harta yang saya belikan untuknya di kampung halaman kami pun turut dijualnya. Saya kosong ustaz. Hati saya kosong, harta saya kosong,” luah Wak hampir menangis.

Spontan tangan saya memegang tangannya. Saya pegang dan genggam erat tangannya. Saya terlupa bahawa saya masih diurut.

“Wak… Allah ada, akhirat ada.”
Itu sahaja yang dapat saya katakan. Saya juga kehilangan kata-kata.
“Ustaz, saya tak layak bersamanya… Saya tak segak. Saya tak kaya. Saya hanya buruh.”

“Tidak Wak. Bukan Wak yang tidak layak dengannya tetapi dia yang tidak layak untuk Wak!” jawab saya tegas. Mata Wak yang redup saya renung. Kulit tangannya yang kasar dan lengannya yang calar balar kerana bekerja keras itu saya pegang. Terasa dia seperti adik sendiri. Ya Allah, berikan ketabahan buat hamba-Mu yang satu ini.

Bukan sehari dua saya mengenal Wak. Dia kuat berpegang kepada agama. Dia tidak merokok, berjudi, minum arak jauh sekali. Solat dan puasanya dijaga. Walaupun dia tinggal bersama kawan-kawan yang berbagai-bagai ragam, di tempat yang terdedah dengan pelbagai kejahatan dan maksiat… tetapi Wak ada ‘class’ tersendiri. Dia umpama permata di celahan kaca. Jangkamasa sejam, kadangkala sampai mencecah dua jam, sepanjang mengurut saya sering dipenuhi oleh ‘diskusi’ agama. Saya dapat banyak maklumat dan ilmu tentang Islam di kampung halamannya.

Wak juga sebenarnya pelajar ‘separuh jalan’ pesantren (semaam pondok agama) di kampungnya. Kesempitan hidup ditambah kedua orang tuanya yang tidak mampu bekerja lagi menyebabkan Wak merantau ke Malaysia. Dia ‘talian hayat’ untuk membantu keluarganya yang melarat.  Bayangkan, dengan rezeki hasil membanting tulang empat keratnya, akhirnya dia bukan sahaja dapat membina rumah untuk orang tuanya tetapi dapat menghantar ayahnya mengerjakan haji.

“Wak ingat cita-cita Wak yang pernah Wak ceritakan pada saya?” kata saya memecah kesunyian akibat melayan fikiran dan lamunan maing-masing.
“Ingat ustaz, saya ingin menunaikan haji!”

“Ya, inilah masanya. Sekarang Wak hanya ada satu cita-cita sahaja… pergi haji. Pergi menuju Allah,” giat saya bersemangat.
“Wak, Allah sedang uji Wak… Uji cinta namanya,” tambah saya lagi.

“Ah, ustaz… saya sudah tua. Cinta bukan untuk saya lagi,” kata Wak tersenyum. Gembira hati saya melihat dia senyum, walaupun saya percaya itu susah sungguh. Tetapi bagi saya itulah senyum yang paling mahal… senyum ketika diasak kesedihan. Kulit pipi Wak yang kering kerana sentiasa dipanah sinar matahari sewaktu bekerja itu nampak berseri.

“Allah putuskan cinta Wak dengan isteri untuk Wak menyambung cinta dengan Allah.”

“Ustaz, saya tak pernah salahkan Tuhan atas apa yang menimpa saya ini. Saya sabar ustaz. Mesti ada yang baik-baik, yang belum saya ketahui di sebalik yang pahit-pahit ini.”

“InsyaAllah, Wak. Kita yakin Tuhan tidak menzalimi kita. Tetapi Tuhan sedang dan sentiasa mendidik kita. Kita usaha jadi orang baik Wak, insyaAllah orang yang baik-baik akan menjadi pendamping kita. Nak jadi baik, susah… nak dapat yang baik pun susah…perlu diuji.”

“Itulah ustaz, ada kawan-kawan saya datang mengapi-apikan saya…”
“Apa mereka kata Wak?”

“Mereka cadangkan saya bertindak. Cari lelaki dan isteri saya dan hukum atas kecurangan itu.”
“Apa kata Wak?”

“Bukan mudah mencari mereka. Malaysia luas. Masa dan pergerakan saya terbatas. Kerja saya banyak. Lagipun, ibu saya di kampung sakit… perlu biaya. Saya perlu terus bekerja. Kalau saya caripun, jika dapat, tapi kalau hati dia sudah tidak suka pada saya, apa gunanya? Saya sudah banyak kehilangan masa, harta disebabkan dia. Biarlah ustaz.”

“Wak, dia tidak layak buat Wak. Sekarang tekad, pertama cinta Allah. Kedua, cinta ibu-bapa. Kumpul duit untuk dua perkara itu saaja. Satu, untuk pergi haji. Kedua, untuk biaya berbakti buat orang tua. Jaga Allah Wak, nanti Allah jaga kita…” kata saya memberi semangat. Jauh di lubuk hati saya, saya berharap akan ada orang yang akan berkata begitu apabila saat saya diuji. Saat itu pasti tiba, kerana hidup memang untuk diuji.

“Apa doa atau bacaan untuk tenangkan hati ustaz?”
“Wak jaga solat. Kemudian, kuatkan doa. Doa pertama, minta supaya Allah beri kecintaanNya. Kedua, minta Allah berikan cinta orang yang menyintaiNYa. Dan ketiga, minta diberi segala jalan dan perbuatan yang boleh membawa kepada kecintaanNya. Pokok pangkalnya ini semua doa cintalah Wak!”

Wak termenung. Diam. Tetapi wajahnya tidak semuram sebelumnya.
“Wak, luka hati ini mengambil masa sedikit… tetapi saya yakin Wak akan sembuh dengan cepat.  Bila susah, datang rumah ni. Saya nak urut lagi. Kerja pun satu cara penyembuhan. Bila sibuk kerja, tak sempat rasa sedih.”
“Betul ustaz. Saya urut badan, ustaz urut hati saya…”

Saya senyum. Tetapi di dalam hati diterjah satu pertanyaan. Saya? Siapa pula yang urut hati saya apabila diuji? Justeru, bukan sahaja Wak yang telah diuji

Kita semua pasti diuji… ujian cinta!