Rabu, 29 Ogos 2012

aktif kreatif

Perkataan lain bagi istilah 'teguran' adalah 'kritikan'. Lazimnya kita yakin bahawa dengan memberikan teguran dan kritikan, kita dapat membantu orang yang ditegur itu supaya memperbaiki dirinya. Berdasarkan keyakinan seperti itu banyak penceramah, ketua, guru dan ibu bapa banyak menggunakan teguran. Maka minda kita selalu mencari-cari
 perkara-perkara yang dapat dikritik, dengan niat dan harapan perkara itu akan diperbaiki. Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad tidak menggunakan teguran dan kritikan bagi tujuan mendorong perubahan tingkah laku daripada yang buruk kepada yang baik.

Aktiviti mengemukakan teguran dan kritikan berfokus pada perkara-perkara di bawah:

a. Mencari apa yang belum betul.
b. Mencari apa yang belum sempurna.
c. Mecari apa yang salah.
d. Mencari apa yang lemah.
e. Mencari apa yang tertinggal.
f. Mencari apa yang cacat.
g. Mencari apa yang terlupa.
h. Mencari apa yang berbeza.

Dalam catatan di bawah ini, berlaku peristiwa bagaimana Umar bin Khatab mengucapkan kata-kata teguran. Tentu sekali, di sebalik teguran beliau itu adalah niat yang baik. Namun niat baik beliau itu tidak menghasilkan perubahan yang baik, malah sebaliknya. Meskipun kata-kata Umar itu betul, dan niat beliau juga betul, tetapi akibatnya pemuda yang ditegur itu bukan mengucapkan terima kasih kepada Umar, sebaliknya dia angkat kaki dan pergi meninggalkannya.

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.

Dalam catatan sejarah di atas, Saidina Umar al-Khattab mengkritik tingkah laku si pemuda itu yang telah mendedahkan aibnya sendiri. Dalam lain perkataan, Umar mengatakan kepada pemuda itu bahawa dia telah melakukan suatu kesalahan, iaitu mendedahkan aibnya, sedangkan dari segi syarak perbuatan begitu hukumnya tidak boleh. Itulah kritikan Umar. Dalam bahasa modern hari ini, kritikan Umar itu adalah contoh 'kritikan membina' kerana dengan kritikan itu sepatutnya si pemuda faham di mana dia telah melakukan kesilapan.

Saidina Umar mengkritik perbuatan pemuda itu dengan niat yang murni, hati yang ikhlas, kata-kata yang jujur. Beliau mengemukakan hujah daripada maksud ayat dalam al-Quran. Hujah itu adalah hujah yang betul dan hujah yang sangat kuat kerana tidak ada hujah yang lebih kuat daripada al-Quran. Barangkali, berdasarkan hal itulah maka Nabi Muhammad diam sahaja apabila mendengar kata-kata Umar itu.

Apabila pemuda itu angkat kaki dan pergi dari situ, maka kita dapat tafsirkan bahawa kritikan Saidina Umar itu tidak berkesan, walaupun Umar telah menggunakan hujah dari al-Quran.

Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh supaya pemuda itu dipanggil balik. Kali ini Nabi Muhammad membacakan kepada pemuda itu sepotong ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad tidak mengkritik langsung kesilapan pemuda itu. Beliau hanya memberitahu bagaimana dia dapat menyelesaikan masalahnya dengan menggunakan cara-cara yang diterangkan dalam ayat al-Quran itu.

Dalam peristiwa itu ada perbezaan antara feedback yang diberikan oleh Saidina Umar dan feedback yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Saidina Umar menggunakan hujah dari al-Quran bagi mengkritik kesilapan pemuda itu. Nabi Muhammad pula, beliau menggunakan al-Quran bagi membantu pemuda itu menyelesaikan masalahnya.

Kesimpulannya:

1. Nabi Muhammad tidak mengkritik pemuda yang bersalah itu, manakala Umar telah mengkritik pemuda itu.

2. Umar telah menggunakan al-Quran bagi tujuan mengkritik perbuatan pemuda itu, manakala Nabi Muhammad menggunakan ayat al-Quran bagi memberikan jalan penyelesaian kepada pemuda itu.

3. Nabi Muhammad tidak mengkritik Umar yang telah melakukan kesilapan.

Dalam hadith ini kita dapat lihat 2 cara menggunakan al-Quran apabila kita melihat kesalahan.

Pertama, Quran digunakan sebagai sumber hujah bagi mengkritik pemuda yang melakukan kesalahan itu. Di sini Quran digunakan secara pasif-reaktif.

Kedua, Quran dijadikan sebagai sumber mencari jalan menyelesaikan masalah akibat kesalahan yang telah dilakukan oleh pemuda itu. Di sini Quran digunakan secara aktif-kreatif.

Rujukan: psikologihadith.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan