Ahad, 19 Ogos 2012

Sunnah Raya

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman,16 Ogs 2012

Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan.

Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW menyambut Hari Raya, antaranya ialah;

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama‟ telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ia juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4. Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas‟ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik.

Kata ulama, “Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.” Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik

6. Berpakaian baru/cantik di hari raya
Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.

7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.
iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

8. Solat Hari Raya. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.

Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat kedua ada lima kali takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi SAW.

b-Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A‟la dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasyiah berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi SAW.

c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas katanya:
“Aku menyaksikan Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”

d- Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: “Telah sepakat para fuqaha‟ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”

9. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]

Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawaduk dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”

Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

10. Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

11. Zakat Fitrah. Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam al-Bukhari meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

Kesalahan yang dilakukan pada hari raya
Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita telah mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakn lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.

Semoga ‘Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan.

http://www.abuanasmadani.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan