Naib Canselor Universiti Malaya mengumumkan bahawa tidak lama lagi, UM akan melaksanakan beberapa projek mega. Antara komponen projek mega ini adalah pembinaan pusat beli-belah di dalam kampus UM dan juga universiti swasta.
Perkembangan terbaru ini amat membimbangkan kita. Persoalannya adakah Universiti Malaya akan diswastakan? Perkembangan ini sekaligus mengingatkan kita pada usaha yang dilihat cuba menswastakan Universiti Malaya. Antara usaha-usaha ketara yang dibimbangi adalah:
Pada tahun 1999, terdapat usaha bagi membina restoran McDonald’s di pintu masuk UM. Ia akhirnya dibatalkan selepas dibantah oleh ramai pihak.
Pada tahun 2007 pula, terdapat cadangan bagi memindahkan Universiti Malaya ke Sepang agar tanah Universiti Malaya yang strategik dapat dibangunkan oleh sebuah syarikat pemaju hartanah. Cadangan ini dibantah oleh Lembaga Pengarah UM, malah dibantah oleh Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan kakitangan UM. Tokoh sarjana negara, seperti bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Aziz dan Dr Rozaidah Talib juga tegas membantah cadangan tersebut. Bahkan Profesor Diraja Ungku Aziz menyifatkan cadangan tersebut sebagai gila dan kurang ajar.
Kini, pada tahun 2012, dikhuatiri rancangan ini timbul kembali dengan cadangan bagi membina pusat beli-belah dan universiti swasta. Universiti Malaya, sebuah universiti awam yang bermatlamat melahirkan graduan berkualiti tinggi dibimbangi bakal menjadi organisasi yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata, lantas mengakibatkan:
1. Kos pengajian meningkat, seterusnya membebankan mahasiswa, terutamanya mahasiswa dengan latar belakang pendapatan rendah/sederhana,
2. Kemudahan-kemudahan yang diperlukan tidak dibina kerana memberi laluan kepada projek-projek yang ‘dianggap’ menjana lebih banyak keuntungan,
3. Kualiti pengajaran dan pembelajaran merosot kerana tumpuan dan sumber kewangan disalurkan kepada universiti swasta dalam UM,
4. Dan sebagainya.
Kita tidak menolak sebarang usaha bagi memperbaiki kualiti Universiti Malaya secara menyeluruh. Tetapi rancangan ini seharusnya diperhalusi supaya ia memberikan keuntungan jangka pendek dan jangka panjang kepada semua pihak, dan bukan hanya rancangan yang mementingkan aspek komersil semata-mata dan akhirnya menyebabkan Universiti Malaya diswastakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan