Saturday, 19 December 2015

Akhir zaman

IRAN AKAN JADI KUASA BESAR DUNIA
(CORETAN PERBUALAN BERSAMA TGHH)

Sudah begitu lama saya menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Ayah Chik. Hajatnya untuk meminta beliau menulis kata pengantar bagi buku usrah yang akan diterbitkan oleh Maahad Darul Quran (MDQ) awal tahun depan. Semua isi-isi telah siap sejak Ramadhan lepas. Hanya menunggu kata-kata pengantar dari beliau sahaja sebagai Penasihat Lembaga Pengarah MDQ.

Saya mendapat khabaran beliau ada di Terengganu hari ini bagi menyampaikan kuliah rutinnya setiap pagi Jumaat. Sejak 3 minggu lepas, Ayah Chik tidak berkuliah kerana berada di luar negara.

Walaupun telah berkali saya memohon untuk berjumpa sejak 2 bulan lepas, sehingga pagi tadi, saya masih belum mendapat apa-apa makluman adakah saya boleh bertemu dengannya atau tidak. Namun saya tidak meletak harapan tinggi kerana tahu beliau terlalu sibuk. Isterinya, Che Ngah memaklumkan jadualnya hari ini agak ketat. Walaupun beliau baru sahaja tiba dari KL semalam, esok beliau akan bergerak ke Johor pula dan entah bila sempat singgah ke rumah semula.

Selepas solat Jumaat, saya cuba tanya lagi kalau beliau ada sedikit ruang waktu. Malangnya beliau tiada di rumah. Tadi sewaktu berkhutbah, saya nampak mukanya agak letih. Saya fikir dia hanya akan berehat di rumah. Tapi nampaknya tugas di bahunya lebih banyak dari memikirkan waktu untuk bersantai.

Bayangkan marathon jadualnya kali ini. Selepas membahaskan bajet di Parlimen Malaysia, terus berlepas ke Turki menghadiri persidangan pemuda Islam, kemudian persidangan ekonomi ESOM, khabarnya terus ke Oman pula, naik semula ke Qatar untuk mesyuarat Kesatuan Ulama Sedunia, balik Malaysia meneruskan tugas Presiden di Pejabat Agung dan beberapa majlis besar, kemudian ke Multaqa Serantau Alumni Azhar pula menyampaikan ucaptama. Sehingga hari ini belum ada tempoh 'bernafas' yang agak baik. MasyaAllah. Hanya tuhan mampu berikan kekuatan setara itu.

Beberapa minit sebelum Asar, saya dapat makluman Ayah Chik sudah pulang ke rumah. Saya diminta untuk terus datang usai solat Asar nanti. Alhamdulillah. Sampai juga hasrat hati. Penantian bertukar kegirangan. Segera saya batalkan rancangan untuk pulang ke rumah ibubapa.

Usai Solat Asar berimamkan Ayah Chik di Masjid Rusila, saya mendapatkan masterpiece buku dari raga motor dan terus naik ke rumahnya. Saya diminta menunggu di ruang tamu. Namun sewaktu menunggu, telinga saya menangkap suara beliau berbicara dengan menantunya dari balik dinding papan yang memisahkan kami:

"Bagitahu Ayah tak sihat. Tak boleh cakap banyak."

Kegirangan saya mulai bertukar hampa. Nampaknya rancangan menemuinya akan terbatal sekejap lagi. Mungkin dia akan minta saya sampaikan hajat pada anak-anaknya sahaja. Mungkin juga dia minta saya datang lain kali. Berbagai andaian tidak enak sudah bermain di kepala.

Tidak lama kemudian menantunya muncul dari balik langsir. Seperti yang diduga, beliau mengulang apa yang sudah saya dengar tadi. Saya kelu tidak terkata. Dunia dirasakan gelap. Bilakah pula saya berpeluang untuk berjumpa dengannya.

Tiba-tiba berkumandang lagi suara garau Ayah Chik:
"Mari masuk sini."

PUCUK DICITA

Tanpa sedar, kaki saya terus meluru mendapatkan beliau. Alangkah gembira waktu itu. Tatkala menolak daun pintu, terlihat sebatang tubuh tidak bermaya berbalut pelikat dan baju panas, sedang duduk di atas kerusi urut yang entah berapa lama usianya. Kami bersalaman dan bertanya khabar.

"Tak sihat sikit. Sakit kepala." Jawabnya ringkas.

"Dah tak boleh bercakap kuat. Dah rasa sakit-sakit dada ni. Nanti nak pergi Hospital, ada temujanji." Sambungnya lagi menyatakan tarikh urusan rawatannya.

"Allahurabbi. Dah macam mana. Che Ngah kata lepas ni banyak lagi program tu." Respon saya kesayuan.

"Kalau ada lagi, memang tak boleh pergi dah. Kena rehat dulu" Balas Ayah Chik keberatan.

Sedih pula melihat keadaannya. Walaupun beliau cuba untuk senyum menyambut kedatangan saya, raut wajahnya memang sangat keletihan. Ikut hati memang tak tergamak nak bercakap lebih. Tapi memandangkan ada amanah dari pihak MDQ, saya kena sampaikan juga.

"Err. Ayah Chik. Sebenarnya nak minta tulis kata pengantar untuk buku tarbiyah kita ni. Buku syllabus usrah." Ujar saya tergagap-gagap sambil menyerahkan buku tersebut. Beliau terus membelek sepintas lalu.

"Siapa tulis buku ni?" Tanya beliau.

"Errr. Saya petik dari banyak buku-buku tarbiyah termasuk buku Ayah Chik sendiri. Kami buat sebab tengok buku-buku di luar banyak yang tak bertepatan dengan tahap dan situasi semasa kita. Lepas ini buku ini akan dijadikan teks panduan untuk usrah di MDQ. Pihak luar pun asyik tanya tak ada ke buku usrah MDQ sendiri" Terang saya kepada Ayah Chik.

"Buku ini Ustaz Husain dah tengok sikit. Mudir dan AJK tarbiah lain pun dah tapis. Cuma nak minta Ayah Chik semak dan letak sikit kata pengantar je." Sambung saya lagi.

"Tak apa. Biar Ayah Chik tengok dulu." Jawab beliau ringkas. Mendengar jawapan tersebut, hasrat saya untuk menerangkan lagi perihal buku tersebut segera dibatalkan.

Tiba-tiba terdengar suara dari luar memberi salam. Ayah Chik minta saya keluar melihatn gerangannya. Dua orang pemuda lingkungan umur akhir 20an lengkap berbaju melayu sedang berdiri dihadapan pintu sambil bertanya adakah Ayah Chik ada di rumah.

Jelas mereka, tujuan kedatangan adalah untuk air penawar dari Ayah Chik. Sebagai tuan rumah yang amat peramah, Ayah Chik minta saya jemput mereka masuk ke biliknya sementara Cik Ngah menyediakan air yang diminta. Sejak dulu lagi Ayah Chik sudah siapkan banyak air penawar di rumahnya kerana menjadi kebiasaan saban ketika, orang datang memintanya atas berbagai komplikasi yang dihadapi.

Pemuda tersebut memperkenalkan diri kepada Ayah Chik. Disebut segala nasab, sehingga tergambar urutan salasilah mereka. Rupanya datuk mereka adalah rakan bapa Ayah Chik. Apa lagi, banyaklah cerita-cerita lama yang dibukanya. Saya tumpang mendengar.

"Peringkat muda-muda ni Ayah Chik tak berapa kenal. Kena kenalkan diri baru Ayah Chik tahu." Ujarnya.

Sebelum beliau melanjutkan bicara dengan kedua lelaki itu, saya menyampuk dahulu bertanya sesuatu yang sudah lama berbuku di hati. Tadinya memang tidak tergamak nak sembang lebih dengan kondisi diringa, tapi nampaknya semakin rancak bersembang, semakin segar pula raut wajah beliau.

BICARA BERMULA

"Errr Ayah Chik. Kawan-kawan suruh tanya ni. Pasal pendirian terbaru Turki dengan Rusia. Kesatuan Ulama wajibkan sokong Turki." Soal saya membuka gelanggang.

"Haa. Turki sedang diperangkap. Kesatuan Ulama juga akan terperangkap. Tak percaya tengoklah nanti." Jawabnya laju. Sambil tersenyum, matanya dibulatkan tanda serius. Dari apa yang beliau ungkapkan, jelas menunjukkan perbezaan dengan pandangan tokoh Ulama tersohor, Dr Yusof Qardawi.

"Sekarang Erdogan sedang pulihkan hubungan dengan Israel." Bongkar Ayah Chik lagi. Saya hanya mampu beristighfar sambil menggeleng kepala.

"Kalau macam tu bagaimana pula kita dengan Rusia?" Jawapan Ayah Chik segera disambut dengan soalan lain. Saya bertekad mahu hilangkan segala yang mengganggu minda selama ini.

"Kena berhati-hatilah dengan semua pihak. Ingat dulu zaman perang dunia. Rusia dan Barat bergabung menentang umat Islam." Balas Ayah Chik lagi.

"Tapi kenapa kerajaan Chechen berpakat dengan Putin pula?" Soal saya mengatur rentak.

"Mereka terpaksalah. Politik. Tapi kita kena bezakan juga, kerajaan tu lain. Pejuang lain." Jawab Ayah Chik merujuk kepada pecahan kumpulan Islam di wilayah Autonomi Rusia iaitu Chechen atau Chenchnya. Rupa-rupanya, pihak yang menguasai Chechnya hari ini bukan mewakili pejuang Islam sebenar. Saya difahamkan, perpecahan antara umat Islam di sana berlaku atas sentimen Sufi-Salafi.

"Tapi Iran juga baik dengan Rusia sekarang." Asak saya lagi mahukan kepastian.

"Iran baik sebab Rusia juga menentang Amerika. Tapi sebenarnya Iran tak perlukan sangat Rusia tu." Jawabnya.

"Hari ini 'kita' (saya) baca berita, Jokowi (Presiden Indonesia) buat kerjasama dengan Rouhani (Presiden Iran). Dia tolak kerjasama dengan pakatan ketenteraan negara umat Islam bawah kelolaan Saudi, tapi berpakat dengan Iran pula." Bertalu-talu soalan spontan dari hati terpacul menagihkan jawapan.

"Suatu masa nanti Iran akan jadi kuasa besar. Qatar akan ikut Iran. Saudi juga terpaksa berpakat dengan Iran. Kalau tak percaya tengoklah nanti." Jawab Ayah Chik penuh pasti. Saya hanya diam seribu bahasa. Tak tahu samada perlu mengiyakan atau sebaliknya.

"Amerika sekarang takut dengan usaha Iran. Mereka tahu tahap kekuatan Iran sangat luarbiasa. Sehingga hari ini mereka tak berani isytihar perang. Apa yang dilakukan hanyalah melobi negara arab supaya menyerang Iran." Semakin rancak soalan, semakin luas jawapannya.

"Teknologi Iran lain dari apa yang dimiliki Rusia. Mereka ambil senjata Rusia, tapi diubahsuai sendiri oleh orang mereka. Dulu Amerika pernah hantar pesawat pengintip untuk masuk ke ruang udara Iran. Tetapi Iran menggunakan alat kawalan jauhnya untuk menurunkan pesawat tersebut lalu merampasnya. Sebelumnya Amerika pernah lancar peluru berpandu, tetapi Iran memintas radarnya sehingga peluru tersebut tersesat dari sasaran. Sebab itu Amerika takut sangat Iran." Ayah Chik cuba menjustifikasikan sebahagian ramalannya.

Ternyata apa yang diberitahu itu sangat berbeza dari apa yang kita perolehi melalui media. Kebanyakan agamawan hatta kalangan arab sendiripun punya pendirian berbeza dengan beliau. Namun saya lebih cenderung kepada pandangan Ayah Chik kerana beliau sendiri terlibat secara langsung dalam menguruskan konflik Asia Barat. Orang lain pula hanya bersumber media-media dan andaian sendiri.

Apa yang lebih meyakinkan, pandangan geopolitik beliau tidak lari dari panduan al-Quran dan Sunnah. Jika bukan kerana dia kurang sihat, pasti pendapatnya itu akan disertakan dengan dua tiga buah hadis akhir zaman seperti yang selalu diamalkan sebelum ini. Malah dalam beberapa ketika, dia siap membuka kitab dan menunjukkan bahagian tertentu bagi menyokong maksud yang disampaikan.

ANTARA ARAB DAN RANTAU ASIA TENGGARA

"Raja Saudi sekarang, lain ke dari yang dulu?" Saya cuba mendapat kepastian tentangnya walau beliau dah beritahu dahulu.

"Orangnya memang lain. Tapi daripada kumpulan sama juga. Pemimpin tanah arab seperti Jordan, Saudi, Kuwait, Qatar semua dah diatur penjajah. Itu semua habuan mereka selepas menjatuhkan khilafah Uthmaniyah."

"Cuba tengok tarikh hari merdeka mereka, berapa haribulan? Sempena apa?" Giliran Ayah Chik pula bertanya.

"Err. Tarikh kejatuhan Uthmaniyyah?" Jawab saya meneka.

"Ya. Memang mereka raikan kejatuhan khilafah. Sebenarnya kita ni lagi baik dari mereka. Tarikh merdeka kita sebab British keluar. Indonesia pula sempena Belanda keluar. Tapi Arab, waktu Islam jatuh!"

"Sebab tu dalam program semalam Ayah Chik sebut arab sekarang lebih teruk dari kita. Tapi wakil arab tu pula berucap membela arab dengan menceritakan jasa-jasa mereka terhadap Islam." Terang Ayah Chik merujuk kepada program Multaqa Serantau Alumni Azhar yang turut dihadiri wakil pentadbir Universiti Azhar dan PM Malaysia. Saya ketawa kecil.

Perbualan antarabangsa kami diselang seli dengan kisah beliau dengan arwah datuk pemuda yang datang sebentar tadi. Selain berkongsi cerita, beliau turut berkongsi beberapa petua orang-orang dulu. Daripada mula, bibirnya tak lekang dari mengukir senyuman membuat kami lupa, beliau itu tidak sihat. Pandai betul beliau menyembunyikan sakitnya.

"Ucapan Ayah Chik semalam kena tengok keseluruhan tu. Jangan tengok apa yang dipotong-potong dalam TV sahaja." Pesan Ayah Chik penuh cermat.

"Kenapa pula Ayah Chik pesan sebegini?" Soal saya dalam hati. Adakah dia terbaca apa yang saya tulis semalam? Memang saya petik sikit sahaja ucapan beliau, iaitu dua tiga point sebelum akhir.

"Lebih kurang 40 minit ucapan Ayah Chik semalam kan?" Ayah Chik menyoal kembali.

"Hah? Err.. ya.. ya.. lebih kuranglah." Jawab saya teragak-agak. Memang saya ikuti ucapannya secara langsung melalui hijau.fm, tetapi tak perasan pula berapa lama tempohnya.

Setelah agak lama kami bersembang, dua pemuda tadi minta izin untuk beredar. Dengan berat hati saya juga minta izin. Ikutkan hati mahu saja saya terus duduk selagi tidak dihambat keluar. Tetapi fikir beliau mahu berehat, saya kena berundur dahulu. InsyaAllah lain masa ada peluang lagi. Takkan lari gunung dikejar.

Seperti biasa, kami mengucup tangan Ulama itu sebagai tanda hormat. Saya ucapkan salam sambil melangkah ke arah pintu. Belum sempat saya palingkan tubuh, Ayah Chik sekali lagi membuka mulut:

"Nu'man bin Muqrin atau Muqarrin, bukan Maqran." Ujar Ayah Chik seolah cuba menjelaskan sesuatu kepada saya. Langkah saya terhenti kaku dek cuba memahami apa maksud kalam beliau.

Akhirnya saya teringat, rupanya Ayah Chik tegur isi kuliah Subuh saya baru-baru ini. Setiap pagi selepas Subuh hari Rabu dan Khamis, saya ditugaskan menyampaikan kuliah pendek di Masjid Rusila. Walaupun pendek, sudah tiga kitab telah saya khatamkan sejak dua tahun lepas. Kini saya membacakan kitab yang keempat, iaitu kitab berkenaan para sahabat Nabi bertajuk صور من حياة الصحابة. Setiap kali kuliah, saya kongsikan satu kisah hidup sahabat baginda SAW.

"Tapi 'kita' baca dalam kitab tu, dia bubuh baris Maqran." Saya cuba menjawab.

"Cuba tengok dalam Sahih Bukhari eja macamana. Ada seorang lagi tokoh, disebut namanya Muawiyah bin Muqarran." Ayah Chik melanjutkan penjelasannya.

"Oh ye ke. Baik Ayah Chik. Nanti saya tengok. Terima kasih." Balas saya mengakhiri bicara. Dengan jiwa yang sarat kekenyangan, saya terus menuruni anak tangga, menyarung selipar dan pulang ke rumah.

Setibanya di rumah saya segera mencapai kitab karangan Dr Abdurrahman Ra'fat Basya itu dan menyemak kembali barisnya. Rupanya memang saya silap baca. Ditulis Muqarran tapi saya baca Maqran. Saya termangu sendirian mengesali kecuaian.

Walaupun ditegur, saya tidak berasa malu atau lemah semangat sebaliknya gembira dan makin bersemangat untuk berkuliah. Walaupun Ayah Chik akan terus pulang usai mengimamkan Solat Subuh, rupanya selama ini Ayah Chik pasang telinga juga. Ingatkan beliau tak ambil peduli. Terharu pula rasanya. Lepas ini saya berazam untuk lebih berhati-hati.

Itulah serba sedikit yang boleh dikongsi berkait perjumpaan ringkas kami. Segera saya kongsikan sebelum memori indah ini luput dari ingatan. Semoga yang membaca perkongsian ini beroleh manfaat, seterusnya melanjutkan pengamatan terutama berhubung geopolitik antarabangsa. Banyak sekali perkara yang bercanggah dengan pengetahuan masyarakat umum.

Nyata penantian penuh sabar dan doa selama ini tidak sia-sia. Walaupun petang itu langit mendung tanpa kelibat mentari, tetapi suasana dirasakan cerah secerahnya dengan cahaya! Semoga peluang-peluang sebegini kan terus berulang kembali. Terlalu banyak ilmu yang belum sempat beliau kongsikan pada umat.

Sabda Nabi SAW:
(إن الله لا يقبض العلم انتزاعًا ينتزعه من العباد، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يُبْقِ عالمًا اتَّخذ الناس رؤوسًا جهالاً، فسُئِلوا فأفتوا بغير علم؛ فضلوا وأضلوا
Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan menariknya daripada diri para hambaNya, tetapi Dia mengangkat ilmu dengan mematikan para Ulama. Sehinggalah bila tiba saat tiada lagi orang Alim, orang ramai akan menjadikan orang Jahil sebagai pemimpin. Orang jahil itu akan ditanya berbagai soalan, lalu dia menjawab tanpa ilmu. Maka dia sesat lagi menyesatkan.
(HR Bukhari & Muslim)

(Alang Ibn Shukrimun)

Friday, 18 December 2015

Kimi-A! Phd

Catatan 15 December

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Lama sangat hal ini tertangguh. Mulanya saya ingin graduate (bahasa melayu??) pada 16 December 2104 tetapi supervisor saya tak galakkan. Kemudian sepatutnya saya graduate pada April 2015 tetapi saya belum dapat kerja dan gaji (walaupun sudah ada PhD). Supervisor saya cadangkan agar graduate in absentia (tanpa menghadirkan diri) sebab saya tak ada duit untuk balik kampung di New Zealand. Akhirnya saya pilih untuk balik ke New Zealand pada minggu ini untuk selesaikan beberapa perkara termasuk hadir ke graduation ceremony di Addington.

Selama 3 tahun 3 bulan saya berjuang dan bertungkus lumus dalam makmal untuk menyempurnakan PhD thesis saya. Pukul 7 pagi ke makmal, pukul 10 malam masih lagi di makmal. Adakalanya pukul 1 pagi saya terpaksa masuk lagi ke makmal untuk lakukan analisis seperti GC/FID, HPLC dan TGA. Esoknya pukul 8 pagi saya datang ke makmal untuk kutip data, buat analisis dan kemas sampel untuk orang lain guna. Cuma saya genggam erat nasihat Ustaz Dr. Zahazan semasa dia melawat kami di Melbourne. Katanya, "ilmu tidak akan diperoleh dengan tubuh badan yang bersenang lenang, malas dan manja." Sejak zaman undergrad hingga PhD, saya sentiasa menyeksa tubuh badan saya untuk belajar. Selalu juga saya tinggal di makmal (tanpa pulang ke rumah) dan tidak tidur 2, 3 hari untuk siapkan eksperimen dan analisis data. Ada masa, saya tidur sekejap di atas kerusi atau bawah meja.

Terima kasih kepada teman setia saya iaitu maggi. Saya makan hampir 4 bungkus maggi sehari semasa buat PhD untuk jimat duit dan masa apatah lagi di New Zealand harga makanan mahal. Saya juga kekal kurus (46 kg) semasa buat PhD sehingggakan kawan-kawan PhD saya kata, "Doing a PhD degree really damages your body." Terima kasih juga kepada ibu bapa dan keluarga yang banyak memberi do'a. Terima kasih kepada supervisor PhD saya yang murah hati membenarkan saya buat kajian tentang Gold Nanoparticles (gold is very expensive you know) dan banyak bersabar dengan darah muda seperti saya. Selalu juga saya bergaduh dengan supervisor kerana banyak yang saya tak bersetuju dengannya. Tetapi supervisor saya begitu banyak bersabar. Hari ini bergaduh dengan supervisor, esok pagi minum teh atau hot chocolate bersama-sama seperti tiada masalah yang berlaku. Ya, orang Barat memang professional. Di sini supervisor saya mengajar bahawa dendam bukanlah balasan terbaik untuk sebarang pergaduhan.

Jutaan terima kasih juga kepada yang banyak menemani saya, memberi sokongan dan do'a sepanjang masa. Yang tidak pernah friend dengan saya di facebook tetapi selalu mengirimkan do'a secara tersembunyi, saya berterima kasih kepada kalian. Dan tidak lupa juga kepada guru Matematik Tambahan saya, Mr How yang banyak membentuk displin saya. Pesanan beliau sewaktu di sekolah dulu ialah, "jangan tidur selagi tak selesaikan 50 soalan Matematik Tambahan sehari." Ya, budaya orang Cina memang rajin.

Nasihat saya kepada penuntut ilmu ialah jadikan maggi teman setia semasa belajar. Sepanjang 7 tahun belajar di luar negara dari First Degree (Melbourne) sampai PhD (New Zealand), saya tidak pernah sakit makan maggi. Sakit sebab minum hot chocolate itu biasa kerana saya partially lactose-intolerant. Dan yang paling penting, ilmu itu mesti dicari dengan tubuh badan yang bersusah payah. Tidak layak seseorang itu digelar penuntut ilmu kalau bangun pagi pun pukul 10 pagi, bermalas-malasan apatah lagi manja.

Perjalanan dan perjuangan selama 3 tahun 3 bulan di New Zealand. Menghadapi 2 kematian nenek di sebelah ayah dan emak. Dan juga gempa bumi di New Zealand. Duit biasiswa kena block sebab tak dapat terbitkan artikel dalam ISI-cited journal bertaraf Q1. Tetapi masih ada kawan-kawan yang setia dari makmal sebelah untuk meminjamkan duit dan memberi makan. Terima kasih Govind, Davey, Pragya dan Yusuke. Terpaksa bekerja sebagai cleaner (cuci lantai dan tandas) di tadika berdekatan Addington dari jam 5 petang hingga 8 malam. Kemudian, jam 8 malam masuk semula ke makmal untuk sambung buat eksperimen hingga pukul 11 malam. Dan akhirnya saya berjaya juga mendapatkan PhD pada umur 26 tahun. Sempat lagi kalau mahu buat PhD ke-2 dalam bidang sociology & anthropology ;-)

Ucapan graduasi kelmarin dari Chancellor langsung tidak menyentuh tentang scholars/ilmuan/ulamak. Mempunyai PhD bukan lesen untuk meminta hormat (gelaran Dr. atau sebagainya), tetapi memberi khidmat. Tugas ilmuan bukan untuk mencari kehormatan daripada masharakat tetapi berkhidmat pada masharakat. Jubah yang saya pakai kelmarin terlalu berat sehingga sakit bahu saya. Ia seolah-olah memberitahu pemegang PhD mempunyai beban ilmu yang berat dan patut tunduk hormat kepada ilmu itu sendiri, bukan meminta hormat dari masharakat. Ilmuan/ulamak patut merendahkan lutut hormat kepada ilmu, bukan menanti masharakat melutut kepada ilmuan/ulamak untuk menuntut ilmu. Chancellor menggalakkan kami agar kembali berbakti kepada universiti dan masharakat dalam apa jua bidang. Mungkin saya akan buka coffee shop di New Zealand suatu hari nanti. InshaAllah.

Dan pesan terakhir dari Dr. Matthews yang menerima Honorary Doctorate of Engineering ialah, "don't ask and expect government to help you. You should help yourself." (terjemahan: jangan minta dan harap kerajaan untuk tolong kita. Kita yang patut tolong diri sendiri.) Jangan berminda neo-feudal sangat.

Terima kasih semua. Love you all
!

Wednesday, 16 December 2015

Indah

📣Inspirasi Pagi🔊


Yang indah hanya sementara.
Yang abadi adalah kenangan.
Yang ikhlas hanya dari hati.
Yang tulus hanya dari sanubari.
Tidak mudah mencari yang hilang.
Tidak mudah mengejar impian.

Namun yang lebih susah mempertahankan yang sudah ada..
Kerana walaupun tergenggam boleh terlepas juga.

Ingatlah kata pepatah ;
"Jika kamu tidak memiliki apa yang kamu sukai,maka sukailah apa yang kamu miliki saat ini.."

Belajar menerima apa adanya dan berfikir positif.
Rumah mewah bagai istana, harta benda yang tidak terhitung, kedudukan dan jabatan yang luar biasa, namun...

Ketika nafas terakhir tiba, sebatang jarum pun tidak dapat di bawa pergi.
Sehelai benang pun tidak dapat di miliki.

Apa lagi yang mau di perebutkan?
Apa lagi yang mau di sombongkan?

Maka jalanilah hidup ini dengan keinsafan nurani.
Jangan terlalu menilai.
Jangan hanya mau menang sendiri.
Jangan suka sakiti sesama apa lagi, terhadap mereka yang berjasa bagi kita.

Belajarlah , tiada hari tanpa kasih..
Selalu berlapang dada dan mengalah..
Hidup ceria, bebas leluasa..
Tidak ada yang tidak dapat di ikhlaskan..
Tidak ada sakit hati yang tidak dapat di maafkan..
Tidak ada dendam yang tidak dapat terhapus..

Jalanilah hidup ini dengan segala sifat positif yang kita miliki...

Aaamiin.

Pesanan PSPM 1

Keputusan pspm 1 akan diumumkan. Di sini ada beberapa pesanan ringkas kepada anda

1. Jika anda adalah pelajar sekolah agama, teruskan pengajian anda di sekolah agama sehingga ke tingkatan 5. Anda akan bersyukur suatu masa nanti kerana Allah telah memilih anda untuk berada dalam suasana pengajian agama sehingga tamat tempoh persekolahan. Agama lah asbab kemuliaan manusia. Apa sahaja yg berkait dengan agama akan mulia.  Karpet murah di letak dalam masjid,  masyarakat akan menjaga dan membuka kasut selipar memijak nya,  tetapi karpet tebal di hotel 5 bintang,  di pijak pijak dengan kasut kerana tiada kaitan dengan Agama.

2. Apa pun keputusan Pspm 1 anda, pilihlah aliran yang betul bermula di IPTA. Jangan terlalu mengikut trend atau kawan-kawan apabila memilih aliran.

3. Ukur baju di badan sendiri. Sifirnya mudah. Sebagai contoh, jika anda lemah dalam mata pelajaran sains ketika PT3, elakkan mengambil kelas aliran sains tulen. Begitu juga jika anda lemah subjek matematik, jangan cari pasal dengan mengambil subjek matematik tambahan ketika di tingkatan 4 dan 5.

4. Aliran sains bukanlah semestinya aliran terbaik. Aliran-aliran lain juga sama baik, bergantung kepada kemampuan anda dan apa yang anda cari ketika peperiksaan SPM dan juga bidang yang ingin anda ceburi di universiti nanti. Anda boleh score straight A dan jadi pelajar hebat jika anda tahu kemampuan anda walaupun orang lain akan memandang anda sebagai pelajar aliran kelas kedua.

5. Uniknya sistem pendidikan di Malaysia ini ialah, sel-sel otak penggubal dasar dan sistem tidak semestinya berhubung. Anda akan dapati ada pelajar aliran sains yang akhirnya jadi orang hebat bidang agama. Anda juga boleh dapati nanti ada pelajar aliran sastera atau agama akhirnya menjadi jurutera yang bergaji lumayan. Pilihan di tangan anda.

6. Bidang agama sekarang sudah terlalu luas. Jangan dirisaukan tentang anda akan jadi guru agama atau imam suatu hari nanti kerana lulusan agama sekarang sudah boleh berkhidmat dalam pelbagai bidang profesional di sektor kerajaan dan swasta. Bukan itu saja, hakikat sebenar ialah,  anda akan dimuliakan Allah kerana ilmu agama lah sebenar benar hakikat ilmu.  Sesiapa yg menjaga agama Allah,  Allah akan menjaganya.  Kerajaan manalah yg boleh menandingi kerajaan Allah?  Jadi ahli agama yg daie dan membantu agama Allah, maka janji Allah,  Allah akan membantu anda!!.

7. Apa pun keputusan PSPM 1 anda dan aliran yang akan anda ambil nanti, semuanya tiada satu sen pun nilai jika anda tiada akhlak yang mulia dan bersifat pentingkan diri sendiri. Teruskan amal soleh anda sepanjang sebelum peperiksaan PSPM 1 dulu - Hidupkan usaha dakwah, baca AlQuran dan ajak orang baca Quran , solat jemaah dan ajak orang lain solat berjemaah,  keluar di jalan Allah,  dll - sehingga ke akhir hayat anda.

8. Setiap peringkat peperiksaan tiada kena mengena antara satu sama lain. Anda boleh menjadi orang yang hebat dalam satu peperiksaan, kemudian gagal dalam peperiksaan yang lain. Begitu juga sebaliknya. Sehingga anda sudah tidak lagi menduduki mana-mana peperiksaan.

Tuesday, 15 December 2015

Ulama

Ketika President Indonesia Soeharto datang ke Makkah untuk berjumpa Syeikh Yassin Fadani, yang dikenali musnid dunia yang telah ditabalkan oleh Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari yang ketika itu terdapat didalam majlis tersebut ratusan ulama. Kata Sayyid Abdullah Siddiq Al Ghumari, " dahulu kami berpandangan musnid dunia adalah guru kami Syeikh Rafiq Taha, kini kami isytiharkan musnid Dunia kami, yaitu akhina Al Allamah Syeikh Muhammad Yassin bin Isa al Fadani. Ketika Syeikh Yassin walaupun tidak berpakaian Ulama', kehebatan Beliau tak tersembunyi pada pandangan basirah ahli ilmu, ahli ilmu memandang beliau sebagai ulama, auliya'. Maka ketika Suharto masuk ke rumah Syeikh Yassin Fadani, maka ada seorang yang datang dengan pakaian t-Shirt pagoda, kain pelekat, melayan Soeharto dengan hidangan makanan, minuman sementara Soeharto masih lagi menunggu Syeikh yassin yang tak keluar lagi. Akhirnya setelah lama menunggu, Suharto sudah mula bosan, maka dia tanya, dimana Sheikh Yassin? Kata pelayan yang melayan Suharto tadi, akulah Syeikh Yassin.
Kata Dato Syeikh Muhammad Fuad sewaktu mengisahkan kisah ini, " Ilmu bukan terletak pada jubah, Warisan guru bukan kepada lahiriah, Hadith Nabi, ulama pewaris kepada para Nabi, Nabi tak mewarisi dirham dan dinar, yang diwariskan adalah ilmu. Mana letakkanya ilmu seseorang, ia berbentuk maknawi, yang tak boleh dipastikan dengan mata kasar. Mereka yang pakai pakaian ulama tapi tak ada ilmu yang menunjukkan kebenaran pakaian yang dia pakai, maka dia tetap bukan ulama. Adapun ulama kalau tak pakai pakaian ulama, mereka itu tetap ulama

Sunday, 13 December 2015

Suami soleh

at dia melakukan nazhor (melihat calon isterinya ) adalah wanita syar'i.

Calon isterinya bertanya : "Berapa hafalan Al-Qur'anmu ?"


Dia menjawab : "Saya tidak hafal banyak, tapi SAYA INGIN MENJADI LELAKI YANG SOLEH"

Dia lalu berkata kepada calon isterinya : "Kalau kamu ?"

Calonnya menjawab : "Saya hafal juz amma"

Calonnya kemudian bersetuju untuk menikah kerana merasakan dia ( lelaki yang datang melamar ini ) jujur.

Setelah menikah...

Si Isteri lalu memintanya untuk membantunya menghafal Al-Qur'an.

Sang suami berkata : "Mengapa kita tidak saling membantu dalam menghafal bersama-sama?"

Mereka lalu memulakan menghafal dengan Surath Maryam kemudian berikutnya dan berikutnya sehingga hafalan Al-Qur'annya selesai dan mereka berdua mendapat Ijazah hafalan Al-Qur'an.

Kemudian isterinya menawarkan : "Mungkin kita juga boleh memulakan menghafal Hadis-hadis Bukhari.."

Di sebuah kesempatan ketika dia menziarahi ke rumah mertuanya, sang suami mengkhabarkan kepada mertuanya bahawa anaknya sekarang sudah hafal Al-Qur'an Al-Karim, Alhamdulillah.

Mertuanya terkejut dengan apa yang dikatakan menantunya, dia lalu masuk ke bilik anaknya seraya memperlihatkan banyak kertas kepada menantunya.

Tersentak dan alangkah terkejut dan bingungnya sang suami, Isterinya ternyata memiliki ijazah hafalan Al-Qur'an dan Kutub Sittah (kumpulan kitab-kitab hadis) bahkan sebelum dia menikah dengannya.

SUBHANALLAH...

Dia tidak mempermasalahkan dari awal sedikitnya ilmu yang dimiliki sang calon suami, dan dia kemudian membantunya menghafalkan Al-Qur'an sebagaimana dia telah menghafalnya di saat dia merasakan bahawa memang sang suami adalah orang Soleh (Dia juga tidak berdusta ketika dia berkata saya hafal juz amma kerana dia tidak menafikan bahwa dia juga hafal surah yang lain).

Ya Allah jika aku bukan orang yang soleh maka kurniakan kepadaku isteri yang solehah yang membantuku, dan menjadikanku dekat denganMu, dan jadikanlah aku orang yang soleh...