Walaupun Ramadan belum berakhir, tetapi tidak salah kalau kita muhasabah ke hadapan. Maksudnya, kita gerakkan hati dan fikiran kita untuk melihat apa yang akan kita ’dapat’ atau siapa kita akan ‘jadi’ pasca Ramadan ini. Supaya dengan itu, kita belajar menghargai detik Ramadan yang masih berbaki. Jangan sampai bila ia berlalu, kita menepuk dahi… kesal kenapa kita tidak mendapat apa-apa atau diri masih di takuk lama.
Bukankah Rasulullah SAW sendiri mengingatkan dalam sebuah hadisnya, betapa ada muslim yang berpuasa tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan tidak mendapat apa-apa daripada Qiamullailnya melainkan letih dan kepenatan berjaga malam semata-mata.
Apakah hasil yang kita harapkan selepas berpuasa di bulan Ramadan? Apakah bentuk manusia yang kita akan jadi selepas keluar dari ‘kem latihan’ Ramadan ini? Ya, mari bermula dengan satu pengakiran – menjangka hasil akhir ketika memulakan. Supaya dengan ini, puasa yang berbaki beberapa hari sahaja lagi ini akan kita laksanakan penuh keikhlasan dan pengharapan. InsyaAllah agar segala dosa terampun, dan kita meningkat menjadi insan yang lebih baik berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Ingatlah, bahawa tujuan berpuasa adalah untuk melahirkan taqwa. Orang yang bertaqwa itu sangat berhati-hati menjaga hukum Allah. Dia juga akan mencegah dirinya daripada berbuat sesuatu yang diharamkan Allah. Begitulahlah erti taqwa – sentiasa berhati-hati dan sentiasa mencegah diri daripada segala yang dimurkai Allah. Persis seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh Sayidina Umar tentang taqwa. Kata Ubai, “seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri.” Maksudnya, sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri!
Dan sudah sewajarnya keluar sahaja daripada madrasah Ramadan, umat Islam sudah mencapai taqwa. Dia akan berhati-hati apabila hendak bercakap, belajar, makan, bertindak, berfikir dan bertindak agar sentiasa berada dalam keredaan Allah. Dia tidak sembarangan lagi berbuat sesuka hati melainkan terlebih dahulu merujuk kepada hukum Allah yang lima – halal, haram, sunat, makruh dan harus. Daripada persoalan sekecil-kecilnya, seperti masuk ke dalam tandas sehingga mengatur dan memimpin urusan negara.
Taqwa itu berada di dalam diri. Rasulullah SAW menunjukkan ke dadanya, apabila memberi penjelasan tentang taqwa. Namun, yang di dalam hati itu akan memberi kesan kepada luaran, justeru hati itulah yang mengawal segala perlakuan. Walaupun taqwa itu nilai seseorang di sisi Allah, namun kesannya begitu besar kepada hubungannya sesama manusia. Manusia bertaqwa, akan berakhlak dengan manusia. Tegasnya, siapa yang paling akrab dengan Allah, seharusnya dia juga paling intim dengan manusia. Habluminallah dan habluminannas saling berkaitan.
Seorang wanita yang rajin bangun malam (qiamullail) dan berpuasa sunat pada malam hari, masih menjadi ahli neraka kerana mulutnya sering menyakiti hati jirannya. Demikian, seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Seorang lelaki yang ibadahnya ‘biasa-biasa’ sahaja mengikut ukuran para Sahabat, sampai tiga kali diisytiharkan sebagai ahli syurga oleh Rasulullah SAW sendiri kerana tidak memiliki sifat hasad. Fikirkan, betapa taqwa itu pasti menjana pembentukan akhlak.
Tidak hanya setakat itu, taqwa itu juga akan memberi kesan kepada pekerjaan atau peranan seseorang. Selain akhlak, buah taqwa itu adalah itqan. Apa itu itqan? Ia adalah satu sikap yang sangat iltizam (komited) dengan memperelokkan kerja. Orang bertaqwa akan membuat segala kerja yang dimanahkan kepadanya dengan itqan. Ia menjadi orang yang sangat efektif, efIisen dan berpegang kepada nilai etika yang tinggi dalam pekerjaannya.
Allah suka kepada seseorang yang apabila dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (Itqan). Itqan di dalam kerja dicapai apabila kerja itu dilakukan dengan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Sistematik dan terancang, mengambil amanat daripada Sayidina Ali, “yang hak tetapi tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.” Umat yang bertaqwa sentiasa melaksanakan kerja yang betul (berkesan) dengan betul-betul (cekap).
Jika taqwa itu darjat manusia di sisi Allah, akhlak itu nilai di sisi manusia, itqan pula ialah ukuran kecemerlangan dalam perkerjaan. Dengan taqwa dan akhlak, tercapai kesempurnaan tugasan sebagai hamba Allah. Manakala dengan itqan tercapai kesempurnaan peranan sebagai khalifah. Sebagai hamba Allah, kita menjadi manusia yang baik (soleh), sebagai khalifah kita mampu memberi kebaikan (musleh) kepada orang lain dan alam sekitar. Dengan akhlak, kita membina tamadun rohani. Dengan itqan kita membangun tamadun material . Ertinya, orang bertaqwa itu akan berjaya di dunia dan di akhirat. Umat yang bertaqwa bukan sahaja selamat, malah mampu menyelamatkan.
Lalu, mariah kita bermuhasabah – dengan fikir yang lurus, dengan zikir yang tulus, apakah tujuan berpuasa sudah tercapai? Apakah taqwa yang menjadi ‘target’ sudah kesampaian? Untuk menjawabnya, mudah… lihat pada akhlak dan itqan. Apakah akhlak sudah terbina? Apakah kita sudah mampu melakukan perbuatan baik dengan mudah, secara spontan dan tanpa perlu difikir-fikirkan lagi (seperti takrifan akhlak oleh Imam Ghazali)? Jika kita jujur, jawapannya ialah belum!
Lihat sahaja perbuatan jenayah, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pelbagai keruntuhan akhlak. Akhlak umat Islam masih jauh daripada piawaian yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dalam Al Quran dan As Sunah. Kata mengata, fitnah memfitnah, umpat mengumpat, terus berleluasa melibatkan seluruh peringkat masyarakat, terpapar dalam media masa cetak dan eletronik. Mana nilai kita di sisi manusia?
Di dalam pekerjaan, tahap kecekapan dan keberkesanan pekerja-pekerja Islam masih jauh ketinggalan. Bukan sahaja kita berdepan dengan masalah, ponteng, curi tulang, curi masa dan sebagainya tetapi tahap kemahiran dan ilmu masih tertinggal berbanding pekerja bukan Islam di negara-negara maju. Bidang penyelidikan dan pembangunan kita masih jauh ketinggalan. Al hasil, kualiti dan produktiviti produk dan perkhidmatan negara-negara umat Islam masih belum mampu menandingi negara bukan Islam.
Mana taqwa yang kita lahirkan menerusi madrasah Ramadan? Mengapa akhlak dan itqan kita masih di pinggiran? Tamadun rohani dan tamadun material kita masih rendah dan terkebawah. Puasa kita umpama pohon yang tidak berbuah. Menanam sudah selalu, tetapi pokoknya tidak berbuah. Jangankan untuk membangunkan umat yang mampu menyelamatkan… bahkan kita sendiri pun masih tidak selamat? Puaskah kita dengan puasa yang tidak membina taqwa ini? Ayuh fikirkan!
Jika belum, mari kita bermula semula. Tidak ada istilah terlambat untuk melakukan suatu yang baik. Pertama, jaga niat agar ikhlas berpuasa kerana Allah. Semata-mata kerana Allah, bukan kerana adat kebiasaan, bukan didorong semata-mata oleh fadilat atau mengharapkan hikmah di sebalik pengamalannya. Bulat tekad kita kerana Alah. Nafsu yang menjadi hijab antara kita dengan Allah selama ini kita henyak dengan lapar dan dahaga… kita tutup semua pancaindera daripada menyalurkan ‘tenaga’ kejahatan kepada nafsu. Mulut, telinga, hidung dan segala pancaindera kita kawal… jangan sekali-kali terlibat dengan dosa.
Jadilah insan yang bisu, tuli, buta, lumpuh daripada bercakap, mendengar, mencium dan menghampiri maksiat. Mujahadahlah.. walaupun sukar kerana kesukaran itulah nilai puasa kita di sisi Allah. Cinta kita jangan diserahkan kepada yang lain, maksudnya seluruh pancaindera kita itu kita ‘serahkan’ hanya kepada Allah. Jika ‘terbuat’ dosa secara tidak sengaja… segeralah beristighafar dan bertaubat. Bersihkan hati kita ketika berhubung dengan semua manusia agar suci hubungan kita dengan Allah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan