Sabtu, 10 September 2011

CCTV

Ustaz Mohammad Zaini Yahaya

CCTV adalah singkatan daripada closed circuit television iaitu sistem televisyen litar tertutup. Ia adalah satu sistem untuk menjaga keamanan. Sebenarnya CCTV tidak dapat mencegah salah laku dan jenayah secara terus dengan diri sendirinya. Kaitannya dengan penjagaan keamanan hanya boleh dilihat dari beberapa sudut, antaranya:
1. Untuk membantu penyiasatan jika berlaku jenayah.
2. Untuk dijadikan bukti.
3. Untuk menimbulkan rasa gerun kepada pesalah.
Keberkesanan CCTV dalam mencapai matlamat pertama dan kedua tidaklah mudah sebagaimana yang dijangkakan. Pesalah atau penjenayah boleh mengelak daripada dikenali hanya dengan memakai topeng atau topi keledar. Hal ini menyebabkan penyiasatan menggunakan CCTV sering kali menghadapi jalan buntu. Mungkin dalam kes lalu lintas, CCTV banyak membantu kerana kenderaan menggunakan nombor pendaftaran yang mudah dikesan. Namun pemantauan selama 24 jam tidak mampu dilakukan oleh manusia kecualilah setiap CCTV itu dipantau oleh dua orang manusia secara bergilir-gilir. Hal ini kebiasannya tidak berlaku kerana melibatkan pembaziran kos yang ketara. Kebiasaannya beberapa CCTV itu dipantau sekaligus oleh beberapa orang manusia. Paparan yang dilihat oleh pemantau juga dilakukan secara rotation antara CCTV-CCTV yang disambungkannya. Oleh itu kemungkinan pesalah akan terlepas daripada kawalan manusia amatlah tinggi. Kecualilah jika berlaku kes-kes jenayah yang mendesak supaya rakaman CCTV dimainkan semula. Jika begitu keadaannya, banyak kes-kes kecil yang diabaikan. Justeru bolehlah dikatakan walaupun CCTV beroperasi 24 jam, sebenarnya pemantauannya tidaklah sampai 24 jam.
Untuk mencapai matlamat yang ketiga iaitu menimbulkan rasa gerun kepada pesalah juga terlalu sukar, kecuali dalam kes-kes lalu lintas sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. Kebiasaan pesalah terlepas dan sukar dikesan identitinya menyebabkan ia tidak digeruni melainkan oleh orang awam yang bukan penjenayah.
Itulah kelebihan dan kekurangan CCTV. Belum lagi dilihat kepada kos yang perlu dikeluarkan untuk membeli dan menyelenggarakannya serta tahap ketahanannya.
Sedarkah kita bahawa di sana ada satu sistem yang menyerupai CCTV tetapi berjuta kali lebih canggih daripadanya. Tiada manusia yang akan terlepas daripada rakaman dan pengesanan kesalahan. Malah ia digunakan bukan sekadar untuk mencari kesalahan manusia malah juga digunakan untuk mencari kebaikan. Sistem yang amat ampuh ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim menerusi firman-Nya:
Ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir.
(Surah Qaf: 17-18)
Itulah dua malaikat yang sentiasa mencatatkan amalan manusia siang dan malam tanpa terlelap walau sesaat. Sistem ini dijamin kualitinya oleh Allah SWT. Memadai dengan dua malaikat tersebut menimbulkan rasa gerun di dalam hati manusia jika dia benar-benar beriman kepada perkara-perkara ghaib. Manusia yang beriman yakin dengan tugas dua malaikat ini yang sedang berada berhampiran mereka sekarang ini. Mereka sedar segala catatan amalan tersebut akan diadili secara terperinci di hadapan Allah SWT.
Ingatlah kegerunan yang terdapat dalam hati manusia itu bukan boleh diciptakan oleh manusia. Ciptalah alat secanggih mana dan guballah undang-undang seketat mana pun tetapi selagi ia tidak dapat menimbulkan kegerunan dalam diri manusia pasti alat dan undang-undang tersebut akan gagal.
Lihatlah pada hari ini! Jenayah menjadi-jadi. Mencuri, merompak, merogol dan membunuh tak kira kecil atau besar sehingga bayi yang masih bertali pusat . . . entah apalah kesudahannya masyarakat kita. Pelbagai cara dan pendekatan telah diambil namun tidak kelihatan ia akan berakhir . . .
Hanya dengan kembali kepada hidayah Allah SWT sahaja dapat menyelesaikannya. Kembalilah kepada hukum dan undang-undang Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT lah yang mampu menimbulkan rasa kegerunan dalam hati manusia. Bukankah Allah SWT Maha Bijaksana dalam menentukan hukuman kepada manusia? Firman Allah SWT yang bermaksud:
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(al-Maidah: 38)
Artikel ini hanya sekadar membuat analogi antara dua sistem yang berbeza. Satu sistem keamanan (security) lahiriah dan satu lagi batiniah. Ia tidak menafikan kepentingan CCTV dn sumbangannya dalam menjamin keselamatan dan keamanan. Namun, analogi ini dibuat untuk menimbulkan kesedaran dalam diri kita betapa canggihnya sistem keamanan Allah SWT dan betapa lemahnya sistem manusia. Justeru, kita mesti tunduk dan patuh kepada segala peraturan dan hukum-hukum Allah SWT. Apatahlagi hukum-hukum yang didatangkan dengan jelas di dalam al-Quran sebagaimana ayat 38 daripada surah al-Maidah yang lalu.
bhttp://islamamatindah.blogspot.com/2011/09/cctv-paling-canggih-tetapi-percuma.html?spref=fb

10 benda vs D U E T


DUIT, di zaman materialistik sekarang ini, semua orang mahukan duit. Orang dewasa, remaja bahkan kanak-kanak kecil sekalipun kenal dengan sekeping kertas yang diberi nama “duit”. Memang duit penting dalam kehidupan, tanpa alat tukar ini kita tidak boleh memenuhi keperluan hidup. Duit membuatkan manusia melakukan perkara yang diharamkan, manusia menjadi rakus kerana duit, manusia pecah amanah, rasuah, merompak, melacur malah membunuh manusia lain kerana duit. Kejayaan orang di zaman kini juga diukur dengan banyaknya duitnya.

Tetapi walau bagaimana pentingnya duit, masih ada benda yang tidak boleh dibeli dengan duit.

1. Masa
Duit tidak akan dapat mengembalikan masa yang telah berlalu. Setelah hari berganti, maka masa 24jam tersebut akan hilang dan tidak akan mungkin akan kembali lagi. Oleh itu gunakan setiap kesempatan yang ada untuk menyatakan perhatian dan kasih sayang anda kepada orang yang sangat anda sayang dan anda cintai, sebelum waktu itu berlalu dan anda menyesalinya.Begitu juga dengan tanggungjawab dengan Allah, jika kita terlepas waktu Subuh pagi tadi, ia tidak dapat ditukar dengan berapa juta pun wang untuk kembali ke waktu Subuh tadi.

2. Kebahagiaan
Memang kedengaran pelik, tapi inilah kenyataannya. Duit memang boleh membuat anda merasa senang kerana anda boleh bercuti mewah, memberi laptop dengan kemudahan yang sangat canggih, atau membeli kereta dan rumah mewah 8 tingkat sekalipun. Tetapi duit tidak boleh menghadirkan sececah kebahagiaan dari dalam lubuk hati kita. Berapa ramai orang kaya yang tidak boleh tidur walaupun dalam aircond yang sejuk dan dalam bilik yang super mewah yang katilnya berharga berpuluh ribu ringgit.

3. Kebahagiaan Anak
Untuk membeli makanana dan pakaian yang bagus-bagus untuk anak tercinta memang memerlukan duit. Tetapi anda tidak boleh menggunakan wang untuk memberikan rasa aman, tanggungjawab, sikap yang baik serta kepandaian pada anak anda. Hal ini memerlukan waktu dan perhatian yang anda curahkan untuk mereka dan amalan baik yang anda ajarkan. Duit memang membantu kita memenuhi aspek penjagaan, tapi waktu telah membuktikan bahawa keperluan asas tiap anak adalah berapa banyak masa yang diberikan orangtuanya, bukan “duitnya”.

4. Cinta
Cinta tidak boleh dibeli dengan wang, akuilah hal ini benar. Memang dengan duit kita boleh membuat orang tertarik, tapi cinta berasal dari rasa saling menghargai, perhatian, berbagi pengalaman dan kesempatan untuk berkembang bersama. Itu sebabnya banyak pasangan yang berkahwin kerana duit, tidak bertahan lama atau pun tidak merasa bahagia.

5. Persahabatan
Untuk diterima oleh lingkungan pergaulan dengan sahabat, anda tak perlu duit. Apabila anda ingin diterima, fokuskan tenaga anda untuk membuat diri anda berharga bagi lingkungan sekitar dengan menjadi teman dalam suka dan duka.

6. Kesihatan
Kita memerlukan duit untuk membiayai rawatan dan membeli ubat, tapi duit tidak boleh menggantikan kesihatan yang hilang. Itu sebabnya pepatah lebih baik mencegah daripada mengubati .

7. Kejayaan
Beberapa orang memang ada yang mencapai kejayaan dengan menyogok, tapi ini adalah pengecualian. Kejayaan hanya berasal dari kerja keras, kemahuan, dan rezeki yang tertulis. Ada aspek kecil dari usaha menuju sukses yang boleh didapatkan dengan duit, misalnya mengikuti kursus atau membeli peralatan, tapi kejayaan lebih banyak berasal dari usaha yang anda lakukan sendiri.

8. Bakat
Kita dilahirkan dengan bakat tertentu. Dengan duit, yang boleh kita lakukan adalah mengasah bakat tersebut, misalnya belajar muzik. Namun para pakar mengatakan, untuk menjadi pakar di bidangnya, kita memerlukan bakat semulajadi.

9. Sikap yang baik
Banyak orang yang kaya raya tapi sikapnya kasar,sombong dan cakap besar. Tak sedikit juga orang yang sederhana yang tutur katanya sopan dan menunjukkan rasa hormat pada orang lain. Jadi, jumlah duit yang dimiliki bukan penentu sikap seseorang.

10. Kedamaian
Bila wang boleh membeli kedamaian, barangkali kita tak lagi mendengar tentang perang. Tetapi yang sering terjadi sebaliknya, duitlah yang menjadi sumber pertikaian dan permusuhan.

7 rombongan iblis di saat sakaratul maut


Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, mulai dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hingga ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut.


Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah S.A.W. menerangkan:
"Ya Allah aku berlindung kepada Engkau dari tipuan syaitan diwaktu sakaratul maut. "

Rombongan 1
Akan datang Iblis dengan berbagai rupa aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan haloba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barang-barang Iblis itu, pada waktu itu nyawanya putus dari tubuh. 
 
Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular yang berbisa. Yang apabila orang yang sedang sakaratul maut itu memandang ke binatang itu, maka dia pun menjerit dan melompat sekuat hati. 
 
Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan menyerupai binatang kesayangannya. 
 
Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. 
 
Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5
Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan penuh kasih 
 
"Wahai anakku inilah saja makanan dan bekal yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga. "

Maka dia pun sudi mengikut tawaran itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6
Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulama'-ulama' yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: "Wahai muridku, lama sudah kami menunggu akan dikau, ternyata kamu sedang sakit di sini, kerana itu kami bawakan kepada kamu doktsr dan ubat untukmu. " Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang lagi.

Lalu datang pula Iblis yang menyerupai ulama' dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?"
 
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: "Aku tidak tahu. "

Berkata ulama' Iblis: "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulama' yang tinggi dan hebat, baru saja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami. "
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis untuk tujuan menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut). 
 
Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulama' palsu:
 
"Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena.

Lalu berkata ulama' palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. "
 
Ketika tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Berkata Iblis: "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah. "
 
Berkata orang yang dalam sakaratul maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai enam sisi, iaitu benda besar ini ada kiri dan kanannya, mempunyai atas dan bawah, mempunyai depan dan belakang.

Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini. "

Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7
Rombongan Iblis yang ketujuh ini terdiri dari 72 barisan sebab dari menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad S.A.W bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 barisan). Satu barisan/golongan yang benar iaitu ahli sunnah waljamaah, 72 yang lain masuk ke neraka karena sesat.

Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlainan di dalam waktu manusia sakaratul maut. 
 
Oleh kerana itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Disebutkan dalam sebuah hadith yang artinya: "Ajarkan oleh kamu (orangyang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.

Tanah Melayu

Oleh: edyesdotcom

"Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Bukan Profesor Zainal Kling sahaja yang bersetuju dengan hakikat ini. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana bangsa kita dan Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Kita cuma dijadikan rakan dan diberikan Tuan oleh British untuk mengusahakan Tanah Melayu beberapa ratus tahun lamanya. Kita harus bangga dan merasa hebat dengan pencapaian kita, tidak pernah dijajah British.

Hebatnya Tanah Melayu, apabila rakyatnya berganding bahu dengan kerajaan British membangunkan negeri-negeri di Tanah Melayu. Jangan sekali-kali kita meragui sejarah kehebatan melayu. Mari renung kembali bagaimana kedudukan orang melayu ketika zaman British datang melawat suatu ketika dahulu.

Segala cukai yang dibayar kepada pentadbiran British itu adalah hadiah dan sedekah, setelah berasa sangat terhutang budi kepada British yang sanggup datang dari jauh ke Tanah Melayu demi untuk hidup bersama dengan orang melayu. Segala tanah ladang dan estet yang diusahakan oleh British dengan memasukkan orang-orang India itu adalah sa-buah usahasama yang sangat menguntungkan.

Beruntungnya Tanah Melayu, tidak pernah dijajah British malah menjadi rakan kongsi 'melangsaikan' segala hasil hutan, segala hasil ladang, segala hasil padi dan apa jua usahasama dikongsi sama-rata. Segala kekayaan hasil perniagaan dalam negeri di Tanah Melayu dibahagikan sama-rata, separuh untuk Queen of England, separuh lagi untuk raja-raja melayu. Untuk rakyat pula, akan mendapat suku daripada separuh punya separuh dibahagi dengan separuh.

Sungguh mewah hidup kita ketika era 'perkongsian' dengan British. Setiap kali tiba musim perayaan, rakyat akan berpesta bersama-sama dengan pegawai British dan tenteranya. Ia termasuklah tentera gurkha dan Fiji. Kita saling ziarah menziarahi, rumah terbuka di sini dan sana. Tentera British yang ada dalam negara adalah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara dari dicerobohi penjajah lain. Mereka tidak jajah, cuma jaga sahaja.

Orang melayu menjadi kerani dalam pejabat pemerintahan British, bergaji besar berumah bungalow. Maksudnya berumah bungalow itu ialah, orang melayu menjadi orang gaji, menjadi drebar, tukang kebun dan tukang pencacai najis kepada pegawai British di kebanyakkan rumah-rumah bungalow. Negeri Tanah Melayu ini melayu yang punya, tetapi hebat kerana boleh dikongsi bersama British hinggakan kita memanggil mereka sebagai Tuan, sambil berdiri tegak dan menunduk hormat. Baiknya orang melayu kita, kaya dengan budi bahasa.

Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, tentera British bermati-matian mempertahankan Tanah Melayu. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi Tanah Melayu sehingga amat payah bagi pihak Jepun untuk menjajah, opss maksudnya menjadi rakan kongsi di Tanah Melayu. Orang melayu ketika itu juga membantah kemasukkan Jepun walaupun adanya slogan asia untuk asia, kerana orang melayu di zaman itu rupa wajahnya tidak seperti orang asia tetapi pan-europian-asia.

Ketika Jepun tewas di Tanah Melayu, orang-orang melayu begitu merindui kehadiran British dan tenteranya lalu mengalu-alukan kedatangan semula British ke Tanah Melayu. Orang melayu dan Tanah Melayu tanpa kehadiran British bagaikan polong tak bertuan. Panggilan Tuan ke atas pegawai British begitu mengasyikkan sekali.

Oleh kerana baiknya rakyat Tanah Melayu terhadap British sepanjang lawatan mereka selama beberapa ratus, maka British menghadiahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui sekumpulan elit melayu bangsawan yang taraf kehidupannya hampir setaraf dengan British. Biasanya negara yang diberi kemerdekaan adalah negara yang telah dijajah, tetapi Tanah Melayu cukup istimewa di mata British. Kemerdekaan yang diberi kepada Tanah Melayu adalah di atas dasar 'you help me, I help you'.

Tanah Melayu akhirnya merdeka dan menjadi satu-satunya negara yang merdeka tanpa penjajahan. Lebih istimewa, Tanah Melayu yang akhirnya membentuk negara Malaysia telah dijemput menyertai negara-negara Komanwel. Mengapa istimewa? Kerana semua negara yang menyertai negara-negara Komanwel adalah merupakan negara bekas jajahan British, kecuali Malaysia.

Sebagai tanda terima kasih Malaysia ke atas British kerana meluangkan masa yang begitu lama berkhidmat di negara kita, maka segala undang-undang dan perlembagaan negara dibangunkan mengikut acuan British termasuklah menjaga semua kepentingan-kepentingan British. Ia berlanjutan hingga ke hari ini apabila masih banyak harta dan kekayaan dalam negara ini milik British dan bangsa asing.

Sehubungan itu, janganlah kita menyorokkan fakta penting betapa negara kita tidak pernah dijajah oleh British, malah diberi layanan yang cukup istimewa. Setiap rakyat yang hidup ketika British menumpang-tadbir negeri Tanah Melayu akan berasakan kehidupan ketika itu sangat baik biarpun berbanding hari ini kerana ketika itu kita mempunyai Tuan. Melayu yang punya Tuan adalah melayu hebat.

Sesungguhnya fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik. Malaysia Boleh!

Edyes @ edyesdotcom
satira kebangsaan "

Zakat


Antara Yang ditangkap di gereja baru-baru ini

Lanjutan dari artikel Kisah Murtad Dan Kesalahan Diri Kita Umat Islam untuk lebih memahami.

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

Sedih

Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya.Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Tangkap

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.

Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.
Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’.

Semasa saya menziarahinya (tanpa notis awal) dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.


Salah Siapa?

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.

Zakat

Zakat mestilah diagihkan seadilnya

Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?
Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya):

“(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.
(Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.:

“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” 
(Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah)

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin