Said bin Amir al Jumahi, termasuk seorang pemuda di antara ribuan orang yang pergi ke Tan'im, di luar kota Makkah. Mereka berduyun-duyun ke sana, dikerahkan oleh para pemimpin Quraisy untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Khubaib bin Adi, iaitu seorang sahabat Nabi yang mereka hukum tanpa sebab.
Dengan semangat muda yang menyala-nyala, Said maju menembusi orang ramai yang berpusu-pusu. Akhirnya dia sampai ke depan, sejajar dengan tempat duduk orang-orang penting, seperti Abu Sufyan bin Harb, Shafwan bin Umayyah dan lain-lain.
Kaum kafir Quraisy sengaja mempertontonkan tawanan mereka dibelenggu. Sementara para wanita, kanak-kanak dan pemuda, mengiring Khubaib ke lapangan maut. Mereka ingin membalas dendam terhadap Nabi Muhammad s.a.w, serta melampiaskan sakit hati di atas kekalahan mereka dalam perang Badar.
Ketika tawanan yang mereka iringi sampai ke tiang salib yang telah disediakan, Said mendongakkan kepala melihat kepada Khubaib bin Adi. Said mendengar suara Khubaib berkata dengan mantap, "Jika kamu bolehkan, saya ingin solat dua rakaat sebelum kamu bunuh saya ..."
Kemudian Said melihat Khubaib menghadap ke kiblat (Kaabah). Dia solat dua rakaat. Alangkah bagus dan sempurnanya solatnya itu. Sesudah solat, Khubaib menghadap kepada para pemimpin Quraisy seraya berkata, "Demi Allah! Seandainya kamu tidak akan menuduhku melama-lamakan solat untuk melengahkan waktu kerana takut mati, nescaya saya akan solat lagi. "Mendengar ucapan Khubaib tersebut, Said melihat para pemimpin Quraisy naik darah, bagaikan hendak mencincang-cincang tubuh Khubaib hidup-hidup.
Kata mereka, "Sukakah engkau si Muhammad menggantikan engkau, kemudian engkau kami bebaskan?"
"Saya tidak ingin bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak saya, sementara Muhammad tertusuk duri," jawab Khubaib mantap.
"Bunuh dia! Bunuh dia!" Teriak orang ramai. Said melihat Khubaib telah dipakukan ke tiang salib. Dia mengarahkan pandangannya ke langit sambil berdoa, "Ya Allah! Hitunglah jumlah mereka! Hancurkan mereka semua. Jangan disisakan seorang jua pun! "
Tidak lama kemudian Khubaib menghembuskan nafasnya yang terakhir di tiang salib. Sekujur tubuhnya penuh dengan luka-luka kerana tebasan pedang dan tikaman tombak yang tak terbilang jumlahnya.
Kaum Kafir Quraisy kembali ke Makkah biasa-biasa saja. Seolah-olah mereka telah melupakan peristiwa maut yang meragut nyawa Khubaib dengan sadis. Tetapi Said bin Amir al Jumahi yang baru meningkat remaja tidak dapat melupakan Khubaib walau 'sedetik pun'. Sehingga dia bermimpi melihat Khubaib menjelma di hadapannya. Dia seakan-akan melihat Khubaib menjelma di hadapannya. Dia seakan-akan melihat Khubaib solat dua rakaat dengan khusyu 'dan tenang di bawah tiang salib. Seperti terdengar olehnya rintihan suara Khubaib mendoakan kaum kafir Quraisy. Kerana itu Said ketakutan kalau-kalau Allah S.W.T akan mengabulkan doa Khubaib, sehingga petir dan halilintar menyambar kaum Quraisy.
Keberanian dan ketabahan Khubaib menghadapi maut mengajarkan Said beberapa perkara yang belum pernah diketahuinya selama ini.
Pertama, hidup yang sesungguhnya adalah hidup beraqidah, beriman, kemudian berjuang mempertahankan aqidah itu sampai mati.
Kedua, iman yang telah tertancap di dalam hati seseorang dapat menimbulkan hal-hal yang ajaib dan luar biasa.
Ketiga, orang yang paling dicintai Khubaib ialah sahabatnya, iaitu seorang Nabi yang dikukuhkan dari langit.
Sejak itu Allah S.W.T membuka hati Said bin Amir untuk menganut agama Islam. Kemudian dia berpidato di hadapan khalayak ramai, menyatakan: "alangkah bodohnya orang Quraisy menyembah berhala". Kerana itu dia tidak mahu terlibat dalam kebodohan itu. Lalu dibuangnya berhala-berhala yang dipujanya selama ini. Kemudian diumumkannya, mulai saat itu dia masuk Islam.
Tidak lama sesudah itu, Said menyusul kaum Muslimin hijrah ke Madinah. Di sana dia sentiasa mendampingi Nabi s.a.w. Dia ikut berperang bersama baginda, mula-mula dalam peperangan Khaibar. Kemudian dia selalu turut berperang dalam setiap peperangan berikutnya.
Setelah Nabi s.a.w kembali ke rahmatullah, Said tetap menjadi pembela setia Khalifah Abu Bakar dan Umar r.a. Dia menjadi teladan satu-satunya bagi orang-orang yang beriman yang membeli kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia. Dia lebih mengutamakan keredhaan Allah dan pahala daripada-Nya di atas segala keinginan hawa nafsu dan kehendak jasad.
Kedua-dua khalifah Rasulullah, Abu Bakar dan Umar bin Khattab, mengerti bahawa ucapan-ucapan Said sangat berkesan dan taqwanya sangat tinggi. Kerana itu keduanya tidak keberatan mendengar dan melaksanakan nasihat-nasihat Said.
Pada suatu hari di awal pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab, Said datang kepadanya memberi nasihat. Kata Said, "Ya Umar! Takutlah kepada Allah dalam memerintah manusia. Jangan takut kepada manusia dalam menjalankan agama Allah! Jangan berkata berbeza dengan perbuatan. Kerana sebaik-baik perkataan ialah yang dibuktikan dengan perbuatan. Hai Umar! Tujukanlah seluruh perhatian anda kepada urusan kaum Muslimin, baik yang jauh mahupun yang dekat. Berikan kepada mereka apa yang anda dan keluarga sukai. Jauhkan dari mereka apa-apa yang anda dan keluarga tidak sukai. Arahkan semua kurniaan Allah kepada yang baik. Jangan hiraukan cacian orang-orang yang suka mencaci. "
"Siapakah yang sanggup melaksanakan semua itu, hai Said?" Tanya Khalifah Umar. "Tentu orang seperti anda! Bukankah anda telah dipercayai Allah memerintah umat Muhammad ini? Bukankah antara anda dengan Allah tidak ada lagi suatu penghalang?" Jawab Said meyakinkan.
Pada suatu ketika Khalifah Umar r.a memanggil Said untuk diserahkan suatu jabatan dalam pemerintahan. "Hai Said! Engkau kami angkat menjadi Gabenor di Himsh!" Kata Khalifah Umar.
"Wahai Umar! Saya mohon kepada Allah semoga anda tidak mendorong saya condong kepada dunia," kata Said.
"Celaka engkau!" Balas Umar marah. "Engkau pikulkan beban kerajaan ini di bahuku, tetapi kemudian engkau menghindar dan membiarkanku sibuk sendiri."
"Demi Allah! Saya tidak akan membiarkan anda," jawab Said.
Kemudian Khalifah Umar melantik Said menjadi gabenor di Himsh. Sesudah pelantikan, Khalifah Umar bertanya kepada Said, "Berapa gaji yang Engkau inginkan?"
"Apa yang perlu saya lakukan dengan gaji itu, ya Amirul Mukminin?" Jawab Said bertanya. "Bukankah pendapatan saya dari Baitul Mal sudah cukup?"
Tidak berapa lama selepas Said memerintah di Himsh, sebuah delegasi datang menghadap Khalifah Umar di Madinah. Delegasi itu terdiri dari penduduk Himsh yang ditugasi Khalifah mengamat-amati jalannya pemerintahan di Himsh.
Dalam pertemuan dengan delegasi tersebut, Khalifah Umar meminta senarai fakir miskin Himsh untuk diberikan bantuan. Delegasi mengemukakan senarai yang diminta khalifah. Di dalam senarai tersebut terdapat nama-nama si fulan, dan nama Said bin Amir al Jumahi.
Ketika Khalifah meneliti senarai tersebut, beliau mencari nama Said bin Amir al Jumahi. Lalu beliau bertanya, "Siapa Said bin Amir yang kamu cantumkan ini?"
"Gabenor kami!" Jawab mereka. "Betulkah Gabenor kalian miskin?" Jawab Khalifah hairan.
"Sungguh, ya Amirul Mukminin! Demi Allah! Seringkali di rumahnya tidak kelihatan tanda-tanda api menyala (tidak memasak)," jawab mereka meyakinkan.
Mendengar perkataan itu, Khalifah Umar menangis, sehingga air mata beliau meleleh membasahi janggutnya. Kemudian beliau mengambil sebuah kantung berisi wang seribu dinar.
"Kembalilah kamu ke Himsh. Sampaikan salamku kepada Gabenor Said bin Amir, dan wang ini saya kirimkan untuk beliau, bagi meringankan kesulitan-kesulitan rumahtangganya," kata Umar sedih.
Setibanya di Himsh, delegasi itu segera menghadap Gabenor Said, menyampaikan salam dan wang kiriman Khalifah untuk beliau. Setelah Gabenor Said melihat kantung berisi wang dinar, kantung itu dijauhkannya dari sisinya seraya berucap, "inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" (kita milik Allah dan pasti kembali kepada Allah).
Mendengar ucapannya itu, seolah-olah suatu mara bahaya sedang menimpanya. Kerana itu isterinya segera menghampiri seraya bertanya, "Apa yang terjadi, hai Said? Meninggalkah Amirul Mukminin?"
"Bahkan lebih besar dari itu!" Jawab Said sedih. "Apakah tentera kaum Muslimin kalah berperang?" Tanya isterinya lagi. "Jauh lebih besar dari itu!" Jawab Said tetap sedih. "Apa pulalah gerangan yang lebih dari itu?" Tanya isterinya tak sabar. "Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku. Bencana telah menyusup ke rumah tangga kita," jawab Said mantap.
"Bebaskan dirimu daripadanya!" Kata isteri Said memberi semangat, tanpa mengetahui perihal adanya kantung wang yang dihantar Khalifah Umar untuk peribadi suaminya.
"Mahukah engkau menolongku berbuat demikian?" Tanya Said.
"Tentu!" Jawab isterinya bersemangat. Maka Said memuatkan kantung wang itu, lalu disuruh isterinya membahagi-bahagikan kepada fakir miskin ... (Sumber: Kepahlawanan Dalam Generasi Sahabat Karangan DR. Abdurrahman Raf'at Basya / Nuim Hidayat)