Rabu, 22 Februari 2012

HUDUD


Bayangkan jika Malaysia menjalankan hukuman hudud seperti di atas. Sudah tentu ribuan akan hadir ingin melihatnya dari dekat. Dan jutaan akan melihatnya melalui siaran langsung melalui kaca TV. Agak-agaknya beranikah lagi bakal pencuri/perompak/penyamun ingin melakukan kerja-kerja tersebut. Beranikah bakal perogol/penzina/pelaku maksiat melakukan kerja-kerja terkutuk berkenaan?

Bayangkan sebaik sahaja ia dilaksanakan sudah tentu kesannya sangat besar kepada kehidupan masyarakat secara keseluruhannya. InsyaAllah aktiviti jenayah dan maksiat akan turun mendadak secara 'drastik'. Masing-masing akan takut direjam dan dipotong tangan. Polis tidak lagi sibuk untuk menangkap penjenayah kerana tidak ada lagi jenayah yang keterlaluan. Penjara pula lama-lama akan kosong dengan penghuni. Tidak ada lagi pembaziran membina penjara dan menanggung makan percuma penjenayah dengan wang cukai rakyat.

Sudah tentu rakyat akan selesa kerana negara akan aman. Peniaga dan hartawan tidak lagi risau tentang pencuri. Kedai-kedai/rumah boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana orang akan berfikir berpuluh kali untuk mencuri. Anak dara dan teruna tidak lagi berani untuk berkepit kerana masing-masing malu kerana akan dipandang serong oleh masyarakat dan mereka takut kalau-kalau terjebak dengan penzinaan.

Justeru itu, lihatlah apa yang berlaku pada hari ini di Malaysia. Pembunuhan boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari. Rogol, zina, buang anak dan sebagainya boleh dikira mengikut kiraan 'minit'. Pihak berkuasa sudah mati akal nak membasmikannya. Kenapa? Kerana mereka 'sombong'. Tidak mahu mengikuti perintah Allah. Jadi tunggulah saat kemusnahanan yang pasti akan tiba dengan lebih parah lagi.

isteri nabi SAW

"ISTERI-ISTERI NABI MUHAMMAD SAW.

Isteri pertama: Siti Khadijah binti Khuwailid. Manusia pertama masuk Islam. Rasulullah tidak berpoligami semasa hayat Siti Khadijah. Berusia 40 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Wanita paling terhormat di kalangan kaumnya dari segi keturunan, kekayaan dan kepintaran. Meninggal tahun ketiga sebelum hijrah.

Isteri kedua: Saudah binti Zam'ah. Wanita pertama dinikahi selepas kewafatan Siti Khadijah. Berusia 65 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Rasulullah meminangnya untuk menjaga anak-anak Rasulullah dengan Khadijah.
Isteri ketiga: Aisyah binti Abu Bakar. Satu-satunya isteri yang dikahwini semasa anak dara. Rasulullah mengahwininya bagi merapatkan lagi hubungan dengan Sayidina Abu Bakar. Berusia sembilan tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Wanita paling alim dalam pengetahuan agamanya.

Isteri keempat: Hafsah binti Umar. Untuk merapatkan hubungan baik dengan bapanya, Sayidina Umar, dan memuliakan suaminya yang syahid dalam perang Uhud. Berusia 21 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Pandai menulis dan berbahasa.

Isteri kelima: Zainab binti Khuzaimah. Rasulullah menikahinya demi memuliakan suaminya yang syahid dalam Perang Uhud. Berusia 29 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Beliau digelar ummu al-Masakin (ibu orang-orang miskin) kerana sikap penyayang dan kelembutannya terhadap mereka.

Isteri keenam: Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah. Berusia 34 tahun ketika berkahwin dengan Nabi bagi memecah tembok permusuhan dengan kabilah Bani Makhzun terhadap Islam dan memadamkan kebencian mereka. Wanita pertama hijrah ke Habsyah. Paras cantik dan akal pintar.

Isteri ketujuh: Zainab binti Jahsy. Seorang yang sangat kuat beribadah, paling banyak bersedekah dan memuliakan orang miskin. Berusia 35 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Perkahwinan dengan Rasulullah adalah perintah langsung daripada Allah.

Isteri kelapan: Juwairiyah binti Al-Harith. Tawanan perang bani Mustalaq yang dibebaskan oleh Rasulullah dan kemudian dinikahi Baginda. Berusia 21 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Banyak berpuasa dan beribadat.

Isteri kesembilan: Safiyyah binti Huyai. Pembebasan daripada tawanan perang. Berusia 17 tahun dan sudah menjanda ketika berkahwin dengan Nabi. Beliau bersifat lemah lembut dan bersikap benar.

Isteri ke-10: Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufiyan. Berusia 31 tahun ketika berkahwin dengan Nabi bagi memperbaiki hubungan dengan Abu Sufiyan. Berhijrah ke Habsyah bersama suaminya dan suaminya meninggal di sana. Nabi meminang beliau menerusi raja Najasyi.

Isteri ke-11: Maimunah binti Al-Harith. Berusia 25 tahun ketika berkahwin dengan Nabi bagi menyebarkan syiar Islam. Paling bertakwa dan bersungguh-sungguh menyambung silaturahim.

Isteri ke-12: Mariah binti Syam'un. Hadiah daripada Raja Muqawqis.Satu-satunya isteri yang mempunyai zuriat selepas Siti Khadijah.

ANAK-ANAK NABI
1. Zainab (hayat - 31 tahun)
2. Al-Qasim (hayat - kurang setahun)
3. Ruqaiyyah (hayat - 24 tahun)
4. Ummu Kalthum (hayat - 28 tahun)
5. Fatimah (hayat - 29 tahun)
6. Abdullah (hayat - kurang setahun)
7. Ibrahim (meninggal semasa kecil)
(Kesemua, kecuali yang ketujuh, adalah hasil perkongsian dengan Siti Khadijah. Ibrahim adalah hasil perkongsian dengan Mariah binti Syam'un)

ANTARA CUCU NABI
1. Al-Hassan bin Ali (hayat - 46 tahun)
2. Al-Husain bin Ali (hayat - 55 tahun)

Zaid bin Sanaah


Diriwayatkan oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antaranya Ali bin Abi Thalib r.a.

Tiba-tiba datang menemui beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu berkata; "Ya Rasulullah. di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk Agama Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka semua peluk Islam, terjadilah musim kering dan panas yang bersangatan sehingga mereka ditimpa bahaya kelaparan.

Saya khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal perut. Saya ingin agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk mengatasi bahaya kelaparan yang menimpa mereka itu."

Mendengar keterangan itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali mengerti maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya Rasulullah, tidak ada lagi bahan makanan pada kita."

Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan orang Badwi dan jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka, akan saya belikan kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli padaku dengan hutang dan dengan perjanjian begitu, begini."

Berkata Rasulullah s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku berhutang kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjam dari engkau."

"Baiklah." jawab Zaid bin Sanah.

Zaid bin Sanah pun membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja Rasulullah s.a.w menerima kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma tersebut diserahkan dan dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana itu.

Berkata Zaid bin Sanah, "Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh perjanjian pengembalian pinjaman seperti yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Rasulullah s.a.w keluar menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang sahabat yang lain.

Setelah selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w pergi ke suatu sudut untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan memegang erat-erat bajunya dan berkata kepadanya dengan sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu selalu melengah-lengahkan masa untuk membayar hutang!"

Mendengar kata-kataku yang kasar itu, wajah Umar bin Khattab merah padam kemarahannya, lalu berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata begitu kasar terhadap Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau tidak kerana rasa hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di sini, sungguh tentu akan ku potong lehermu dengan pedangku ini."

Rasulullah memandang Pendita Yahudi tersebut dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu berkata kepada Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma, bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah untuk menghilangkan rasa marahnya."

Setelah Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin Sanah pun bertanya kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata Umar, "Diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan kemarahan engkau."

"Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak." Jawab Umar.

"Akulah Pendita Zaid bin Sanah."

"Engkau ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya." Jawab Zaid bin Sanah ringkas.

"Kenapa engkau berlaku demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau berlaku begitu kasar dan begitu menghina?" Tanya Umar lagi.

Zaid bin Sanah menjawab, "Hai Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain dua perkara yang aku sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah iaitu bahawa perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin marah orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang yang marah itu.

Dengan kejadian itu hai Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan lihat sendiri kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku bersumpah di depanmu hai Umar, bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabi dan ikutanku."

Umar dan Zaid bin Sanah pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik saja berhadapan dengan Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah, "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya."

Zaid bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang Tabuk.

Demikianlah caranya bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi menganut Agama Islam , beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah akan membela Islam sehingga akhir hayatnya

Selasa, 21 Februari 2012

kematian

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah
Setiap manusia akan mati sama ada orang tua, dewasa, orang muda, atau kanak-kanak. Kematian seorang manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT dan telah tertulis di Loh Mahfuz dan semasa dalam kandungan seorang ibu ajal maut seseorang telah pun ditetapkan.
Inilah saat dinanti-nantikan setiap manusia, tidak kira agama apa yang dianuti, pastinya mati akan datang menjemput kita. Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai kehidupan, kematian, dan kehidupan selepas mati wajib dilalui semua manusia.

Bagaimana sihat seseorang, berkuasa dan dilimpahi dengan kekayaan, manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini.  Malah, Nabi dan Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan, bahkan yang menjadi kekasih Allah pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di Padang Mahsyar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)

Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur dan roh keluar dari badan manusia.

Kubur atau alam barzakh adalah tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.

Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan berjalan pulang, maka suasana gelap, dua malaikat Munkar dan Nakir datang menghampiri serta mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah, alam barzakh adalah episod ngeri hingga datangnya hari kiamat.

Mereka berkeadaan seperti orang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan. Ingatlah wahai sekalian umat Islam bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang yang bercakap mengenai kematian, alam barzakh dan Mahsyar kerana sibuk dengan kelazatan kehidupan dunia.

Akhirnya mereka terkejut besar apabila Malaikat Izrail datang mencabut nyawa.

Saidina Ali pernah berkata: “Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Kesibukan mencari keseronokan dunia adalah penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Contohnya, penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan.

Perbuatan ini seolah-olah menggali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung seksaan hidup dengan penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.

Berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ada ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadang kala lebih hebat daripada Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar ketika berdepan kewafatan Nabi SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab yang masih terkejut seraya berkata: “Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.”
Sahabat yang dimuliakan,
 
Marilah sama-sama kita membuat persiapan sebelum saat kematian datang menjemput kita. Ketika saat itu datang sedangkan kita masih terleka dengan keseronokan dunia dan masih tidak menyediakan bekalan yang cukup untuk satu perjalanan yang jauh maka kitalah yang akan rugi dan menyesal. Ketika berada di alam barzakh ketika itu tidak berguna lagi peneyesalan dan tidak ada taubat lagi ketika itu, apa yang berguna adalah amal soleh yang kita kerjakan semasa di dunia. 

Oleh itu perbanyakkanlah amal ibadah, amal soleh, amal kebajikan dan sedekahlah sebanyak yang mampu kerena sedekah yang ikhlas akan meringankan azab di alam barzakh dan hari akhirat. Sedekah jariah yang berterusan akan mendapat perlindungan Arasy di Padang Mahsyar dan membatu ketika timbangan amal (Mizan), terdapat pintu khusus di syurga untuk mereka yang banyak bersedekah ketika di dunia. Mereka yang banyak bersedekah dengan rahmat Allah SWT akan diizinkan masuk kepintu tersebut dengan hati yang tenang dan gembira.

wanita insaf