Khamis, 7 Jun 2012

kapal selam vietnam


AKHBAR online berbahasa Inggeris berpengaruh Vietnam pada 4 Jun lalu menyiarkan laporan berhubung isu skandal kapal selam Scorpene yang membabitkan orang nombor satu negara.

"Submarine deal resurfaces to haunt Malaysia’s top man" (Pembelian kapal selam timbul kembali menghantui pemimpin teratas Malaysia), itulah tajuk yang tersiar di The Phnom Penh Post.


Di bawah ini ReJaM© cuba terjemah tulisan yang dilaporkan di akhbar tersebut. Kalau ada cikgu Bahasa Inggeris di sini, tegurlah mana-mana yang silap.

Keputusan yang telah dibuat di Paris bulan lalu bermakna bahawa episod paling sensasi di rantau ini akan timbul kembali bersama dendam.

Ianya bermula 12 tahun lalu semasa Perdana Menteri Malaysia memegang portfolio pertahanan dan telah memesan dua buah Kapal Selam Scorpene dari pembuat kapal selam Perancis, DCNS berharga US$400 juta setiap satu.

Pembelian melalui orang tengah Razak Baginda, yang menerajui Institut Kajian Strategi Malaysia, yang dibiayai oleh Najib dan direka untuk memperluaskan kerjaya politiknya.

Sebagai pendedahan penuh, biar saya dedahkan bahawa saya selalu bertemu dengan Razak semasa bertugas di Kuala Lumpur sekitar tahun 1990 an dan sering bertemu beliau setiap kali ke Malaysia.

Bagaimanapun, ketika beliau dipilih untuk pembelian Scorpene, saya telah meninggalkan Kuala Lumpur dan tidak lagi berjumpa dengannya sehinggalah kami berjumpa semula di Venice, Italy sewaktu persidangan ASEAN-EROPAH 2002.

Razak hanya hadir sebentar, dan bila saya bertanya kepadanya mengapa begitu tergesa-gesa, katanya dia diperlukan di Paris untuk satu rundingan penting pertahanan.

Kemudian diketahui di parlimen Malaysia bahawa komisyen terhadap sub kontrak itu adalah 114 euro juta, atau sekitar $160 juta pada waktu itu.

Wang itu telah dibayar ke dalam sebuah akaun bank di Kuala Lumpur milik Perimekar, sebuah syarikat yang baru sahaja ditubuhkan oleh Razak sebelum kontrak tersebut ditandatangani dan ia langsung tidak memiliki rekod menguruskan perolehan pertahanan sebelum ini.

Adalah didakwa $160 juta telah dibahagi-bahagikan di antara Razak, Najib dan tokoh-tokoh lain di dalam United Malays National Organization, Umno sebuah parti yang dominan di dalam gabungan parti pemerintah Malaysia.

Berdasarkan dakwaan ini, polis Perancis telah menggeledah pejabat-pejabat DNS dan merampas longgokan dokumen-dokumen menunjukkan pembayaran rasuah yang sangat besar.

Dan bulan lalu, selepas memeriksa dokumen-dokumen tersebut, hakim Roger Le Loire telah mengarahkan satu siasatan jenayah dilakukan.

Kebarangkalian tinggi ia akan melibatkan subpoenas (memanggil sebagai saksi) kedua-dua Razak dan Perdana Menteri Najib untuk hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, sebelum menumpukan kepada isu yang dramatik itu kita harus ingat bahawa ketika rundingan dibuat terhadap kontrak tersebut, sesuatu yang luar biasa berlaku kepada Razak.

Dia telah jatuh cinta.

Meskipun Razak seorang yang mementingkan keluarga dengan imej umum yang berprofil tinggi dan sudah lama mencontohi mentornya Najib yang suka merayu wanita, hubungan kali ini jelas sekali berbeza.

Dia sudah tersangkut dan terpesona terhadap wanita itu - seorang model Monggolia yang begitu mempersonakan bernama Altantuya "Tuya" Shaaribuu.

Tidak lama selepas bertemunya di Hong Kong, Razak membawanya menjelajah ke eropah menaikki ferrari merahnya, makan dan minum (wine) di kesemua tempat-tempat menarik dan ia berakhir di Paris di mana mereka bertemu Najib.

Altantuya yang cantik manis dan memahami banyak bahasa ini juga cukup bijak dan cepat belajar tentang rasuah besar tehadap rundingan kapal selam. Dia dikatakan meminta bahagian untuk dirinya.

Namun dia tidak henti-henti mengugut Razak, manakala Razak yang bimbang perbuatan itu akan menjatuhkannya, cuba untuk menamatkan hubungan mereka.

Dia tidak akan dapat bahagiannya, dan dalam keadaan terdesak, Razak telah memberitahu Najib dan polis telah dipanggil untuk menyahkannya.

Dua pegawai Cawangan Khas telah melakukan tugas itu dan menculiknya.

Mereka merogolnya, menembak kepalanya dan meletupkan badannya dengan bom C4 yang diperolehi dari kementerian pertahanan Najib - sebagai langkah keselamatan, mereka telah memadam data kemasukan Altantuya ke Malaysia daripada rekod-rekod imegresen.

Hasilnya, Altantuya lenyap.

Namun terima kasih kepada tekanan yang berterusan daripada keluarga dan kedutaan Mongolia, jenayah tersebut akhirnya didedahkan dan mereka yang terlibat telah ditangkap - kesemuanya tentu sekali kecuali Najib.

Selepas perbicaraan panjang yang begitu mendebarkan, dua orang polis telah dihukum mati manakala Razak dibebaskan. Bagaimanapun dengan siasatan yang dilancarkan oleh hakim Le Loire di Paris, nampaknya dia akan dipanggil kembali ke mahkamah.

Dan PM Najib juga takkan terlepas begitu mudah, kerana isu ini akan dibangkitkan di parlimen minggu hadapan dan akan memberi kesan kepada pilihanraya umum yang akan datang.

Maka kematian Tuya yang begitu mengerikan tidak akan sia-sia.

Sumber: [The Phnom Penh Post]

krediT: milo suam

Selasa, 5 Jun 2012

Forex BNM

Dr. Rosli Yaakop,05 Jun 2012

Pertama, wajarkah Bank Negara Malaysia (BNM) berspekulasi di pasaran pertukaran wang asing?

Tidak. BNM tidak boleh sama sekali terlibat di dalam kegiatan spekulasi di dalam pasaran wang kerana risiko kerugian daripada kegiatan ini amat tinggi. Fungsi sebenar BNM adalah sebaliknya, iaitu, memerangi kegiatan spekulasi. Di dalam pasaran pertukaran wang asing khususnya, fungsi teras BNM ialah menjaga dan melindungi nilai Ringgit Malaysia (MYR) berbanding nilai matawang asing khususnya matawang rakan dagang utama negara seperti Dolar Amerika (USD), Ringgit Singapura, Paun British (GBP), Deutch Mark (DM), Yen, Swiss Franc, French Franc dan sebagainya. BNM mesti melindungi MYR dari serangan spekulatif dan menjaga nilai pertukaran MRY supaya sentiasa stabil dan pasaran wang setiasa cukup kecairan.

Kedua, bilakah BNM mula  terlibat di dalam kegiatan spekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing?

BNM mula melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi di pasaran pertukaran wang apabila Tan Sri Jaffar Hussien (arwah) dilantik Gabenor pada tahun 1985. Gabenor-Gabenor sebelum beliau – Tun Ismail Ali (arwah) dan Tan Sri Aziz Taha (meletak jawatan) – semuanya menentang kegiatan spekulasi matawang. Malah, mereka sentiasa mempertahankan BNM sebagai badan yang harus bebas dari campur tangan pemerintahan. Kerana tidak rela dijadikan “budak suruhan” kepada Menteri Kewangan yang mengarahkan Tan Sri Aziz berbuat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dan etika bank pusat, beliau memilih meletakkan jawatan. Mungkin, antaranya, beliau enggan berspekulasi di pasaran wang asing.

Isyarat bahawa BNM akan bersepekulasi di pasaran pertukaran wang asing disebut di dalam satu syarahan yang disampaikan oleh TSJH di Delhi dalam tahun 1989. Beliau menyebut bahawa beliau telah menambahkan dimensi ketiga dan keempat kepada pengurusan rizab BNM, iaitu, mengoptimamkan keuntungan dan membangunkan kemahiran berurusniaga di dalam pasaran wang asing.  Sebelum ini, teras utama pengurusan rizab adalah menjaga dan melindunigi nilai MYR dan mengekalkan kecairan di dalam pasaran. Sejak dari itu bermulalah penglibatan BNM dalam kegiatan spekulasi di pasaran wang asing dalam skala besar dengan tujuan menjana keuntangan maksimam sehingga mengkesampingkan teras utama pengurusan rizab.

BNM bukan lagi berspekulasi di dalam pasaran untuk menjaga nilai ringgit tetapi berjudi dengan harapan mendapat untung besar dan segera.  Bila ada pihak yang bertanya kenapa BNM berspekulasi secara besar-besaran sedangkan tidak ada mana-mana bank pusat yang berbuat demikian, maka TSJH sering memberi alasan “untuk mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi.” Ini terbukti falsu kemudiannya apabila kerugian besar akibat berjudi terdedah dan nilai pertukaran asing MYR merudum dalam tahun 1997-98 diserang spekulator.

Ketiga, Berapa besar dana digunakan BNM untuk berjudi di dalam pasaran pertukaran asing?

Kerana ketiadaan penyiasatan, jumlah dana terlibat sukar diperinci. Tetapi, pakar-pakar pasaran memang mengetahui bahawa pada satu ketika BNM (sebelum skandal terdedah) adalah pemain terbesar di dalam pasaran pertukaran wang asing di dunia. Lawannya hanyalah George Soros,  “penyangak matawang.”  Akhbar Reuter pernah melaporkan bahawa BNM adalah “sebuah kuasa yang dominan di dalam pasaran pertukaran wang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bahawa, BNM telah menjana keuntungan yang agak lumayan dari kegiatan itu sejak sebelum tahun 1992-93, telah mendorong BNM untuk bermain di dalam pasaran pertukran asing dalam skala yang semakin besar.”

Pedagang-pedagang matawang asing biasanya berjual beli dalam lot USD1 juta, USD5 juta dan paling tinggi USD 10 juta. Tetapi BNM berniaga dalam lot USD 50 juta dan kadang-kadang dalam lot USD1 bilion (dalam istilah pasaran, ini dipanggil satu ela) dalam sehari. Amat jarang sekali peniaga matawang asing berjual beli dalam lot yang besar.  Penanding yang paling hampir kepada BNM dalam kegiatan jual beli di dalam pasaran pertukaran asing ini ialah pengurus-pengurus dana Jepun. Itu pun mereka berani bermain paling tinggi dalam lot USD50 juta dan setakat sekali atau dua kali setahun. BNM bermain dalam lot-lot besar ini setiap hari.   Ertinya, BNM memang berjudi di dalam pasaran, satu aktiviti yang tidak ada kena-mengena langsung dengan fungsi “mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi.”

Strategi BNM ialah membeli dahulu sesuatu matang wang dalam jumlah beberapa bilion USD dan setelah urusan pertama ini selesai (selang beberapa minit sahaja), ia akan membeli beberapa billion USD lagi. Ini menjana kejutan di dalam pasaran dan pedgang-pedagang lain menjadi panik dan akan tergesa-gesa membeli matawang berkenanan. Akibatnya, harga akan naik dan ketika itulah BNM menjual pegangannya dan menjana keuntungan lumayan. Akhirnya, pedagang-pedagang lain akan tahu helah ini dan bila mereka tahu, mereka akan bertindak balas. Maka bertemulah buku dengan ruas.

Dalam tahun 1992, BNM berjudi di dalam Paun British (GBP). Ia membeli dengan jangkaan GPB akan naik nilai. Pada masa yang sama, George Soros membuat “short selling” ke atas GBP (jual dulu dan beli kemudian) kerana dia menjangka nilai GBP akan jatuh di masa hadapan. Jangkaan soros tepat. Nilai GBP jatuh. BNM rugi USD5.5 bilion dan Soros untung USD1.7 bilion. TSJH berbohong dengan mengumumkan bahawa BNM hanya rugi di atas kertas sebanyak RM9.3 bilion. Hanya kemudian (dalam tahun 1993) beliau mengakui BNM rugi RM10.1 bilion.

Pakar-pakar membuat anggaran bahawa kerugian sebesar itu hanya boleh terjadi kalau BNM berspekulasi dalam pasaran sebanyak US27-33 bilion. Jumlah ini 5 kali ganda jumlah rizab BNM pada masa itu dan lebih besar dari nilai asset BNM, iaitu, USD20.7 bilion ketika itu, bermakna BNM sudah bankrap. Ini bukan hendak menjaga nilai ringgit dan mengawal inflasi, ini berjudi sakan.

Perjudian BNM di dalam pasaran pertukaran wang asing ini telah dikesan oleh bank pusat Amerika (Federal Reserve Bank) dan Gabenornya pada masa itu, Alan Greenspan telah menggesa BNM menghentikan segera perbuatan itu. Tetapi, BNM buat pekak badak. Ia terus bermain judi dan akhirnya rugi besar lagi dalam tahun 1993.

Akhbar “Malaysia Business” melaporkan bahawa pada kemuncaknya, BNM pernah berspekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing sehingga RM270 bilion (USD90-100 bilion). Pedagang-pedagang matawang asing BNM amat agresif dan digelar “pembuli pasaran” (market bully). Mereka seolah-oleh diberi oleh bos mereka cek kosong, berbelanja ikut suka. Yang sebenarnya, yang berjudi itu seorang sahaja, iaitu Nor Mohamed Yakcop. Khabarnya (berita yang hangat di kalangan kakitangan BNM), apa yang beliau buat ialah beliau berjual beli menggunakan komputer orang lain - pegawai-pegawai di bawah beliau. Beliau akan bergerak dari satu komputer ke satu komputer sehingga pasaran melihat BNM mempunyai ramai pedagang matawang asing yang agresif walhal yang agresif hanya seoarng sahaja. Beliau selalu datang mesyuarat lambat dan ketika mesyuarat sedang berjalan, keluar pergi ke kamar dagangan (dealing room). Beliau membuat laporan palsu kepada Gabenor tetapi kerana dia licik, maka Gebenor percaya semua laporan sehinggalah “nasi telah menjadi bubur” barulah Gabenor sedar orang yang dipercayainya selama ini telah bermain kayu tiga dengan beliau, buat cerita dongeng.

Keempat, berapa besarkah kerugian yang ditanggung BNM akibat dari perjudian itu?

Memang sukar diketahui dengan tepat tanpa penyiasatan. YB Lim Kit Siang pernah menyebut di parlimen bahawa jumlah kesemua kerugian ialah RM30 bilion, satu jumlah yang amat menggerunkan. Inilah jumlah kerugian yang paling kerap disebut di kalangan pemain pasaran.

BNM mengakui kerugian sebanyak RM10.1 bilion dalam tahun 1992 dan RM5.7 bilion dalam tahun 1993.  Jumlahnya RM15.8 bilion, kira-kira setengah dari anggaran pakar. Jumlah yang diakui oleh BNM itu memang secara muslihat direndahkan. Sebahagian kerugian itu disorokkan melalui menilai semula pegangan emas BNM pada harga pasaran yang telah menjadi lebih tinggi berbanding harga mula-mula ia dibeli dan menilai pelaburan BNM dalam saham tersenarai dan beberapa lagi harta yang lain. BNM juga menggunakan “creative accounting” bagi menyorok kerugian. Kerugian telah ditukarkan menjadi “harta” dengan mencipta istilah baru perakaunan, iaitu, “deferred expenditure” atau “perbelanjaan tertunda” – wang telah dibelanjakan dahulu tetapi akan dibayar secara ansuran kemudian. Ini adalah penipuan. TSJH, seorang akauntan bertauliah, telah menderhakai profesyen beliau sendiri.

Kelima, siapakah yang bertangungjawab di atas kerugian?

BNM berjudi sakan di pasaran pertukaran matawang asing semasa Tun Daim Zainuddin (TDZ) menjadi Menteri Kewangan. Semua orang maklum, TDZ ini seorang spekulator besar dalam pasaran saham.  Beliau menjana kekayaan melalui spekulasi di pasaran saham. Dengan nada angkuh beliau pernah dilaporkan berkata: “Apa yang saya jana di pasaran saham itu hanyalah duit poket saya.”

Diyakini bahawa arahan “pergi buat duit di pasaran pertukaran asing” kepada BNM datangnya dari TDZ dan tentunya direstui oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad (TMM).  Umum mengetahui kedua-dua mereka rapat, bagaikan isu dengan kuku.  Arahan itu dilaksanakan kerana BNM memiliki seorang Gabenor yang berwatak “Yes Man” bukan macam Tun Ismail Ali  dan Tan Sri Aziz Taha.  Harus diingat TDZ – kerana gagal menundukkan Tan Sri Aziz Taha dengan arahan tidak munasabah - telah berjaya menekan Tan Sri Aziz sehingga beliau meletak jawatan. Gabenor TSJH pula mempunyai “Yes Man” lapisan kedua, iaitu, Nor Mohamed Yakcop.

Pada peringkat BNM, kerugian gergasi ini adalah tanggungjawab TSJH dan Nor Mohamed Yakcop sepenuhnya. Mereka, walaubagaimana pun mengambil arahan  daripada dan membuat laporan terus kepada TDZ dan TMM mengenai permainan mereka di pasaran matawang ini. Pegawai tinggi BNM yang lain tidak tahu apa-apa. Timbalan Gabenor pada masa itu, Tan Sri Dr. Lin See Yan diketepikan.  Sesungguhnya, mereka berdua telah terpesong  jauh dari batasan (went overboard) dalam memperjudikan harta BNM di pasaran pertukaran asing. Mereka bukan berspekulasi tetapi berjudi secara cuai dan tidak bertanggung jawab dengan tidak mengendahkan langsung tentang keselamatan harta BNM dan harta negara.  Mungkin mereka bernafsu besar untuk mengalahkan Goerge Soros yang dikenali sebagai “raja perompak” (robber baron) itu bertujuan memenangi hati bos mereka bahawa mereka mempunyai kepakaran tanpa tolok banding di dalam urusniaga matawang asing.

Jadi, empat orang adalah orang yang harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas kerugian gergasi yang ditanggung BNM akibat perjudian di pasaran pertukaran asing – Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad,  Menteri Kewangan, Tun Dain Zainuddin, Gabenor, Tan Sri Jaffar  Hussein dan Nor Mohamed Yakcop.

Bila Dato Sri Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai Menteri Kewangan dalam tahiun 1991, BNM memang sudah terperangkap di dalam perjudian di pasaran. Beliau dinafikan maklumat mengenai keterdedahan BNM dalam pasaran pertukaran asing – berapa besar pelaburan, untung  atau rugi, semuanya disembunyikan dari beliau. Beliau mendapat maklumat serpihan dari pihak ketiga.

Beliau, seperti yang diakui. pernah meminta maklumat terperinci dari Gabenor TSJH tetapi beliau disuruh pergi memintanya daripada Perdana Menteri. Bila DSAI dilantik Menteri Kewangan, kerugian telah menggunung - “nasi telah menjadi bubur.” Apa yang boleh beliau buat hanyalah memberhentikan pendarahan dan itu beliau telah berjaya buat.

Beliau “membuang” Gabenor dan Nor Mohamed Yakcop dari BNM pada pertengahan tahun 1994 selepas pembentangan laporan Tahunan BNM 1993 yang mendedahkan kerugian dari spekulasi wang asing itu. Beliau juga melarang sama sekali BNM dari bersepekulasi di pasaran matawang asing. Larangan ini berkuatkusa hingga kini.

Penganalisis merasakan beliau akhirnya membayar kos yang tinggi atas tindakan beliau itu – difitnah, dibuang kerja dan dipenjara 6 tahun.

Orang yang memberi  arahan supaya BNM berspekulasi di pasaran wang asing adalah TMM dan TDZ dan “kerja kotor” diserahkan kepada TSJH dan NMY untuk melaksanakannya.  Jadi, TSJH dan NMY mempunyai pelindung.  Sebab itu mereka bebas, tidak didakwa langsung.

Keenam, Kenapakah orang yang bertanggungjawab dibiarkan lepas-bebas?

Nor Mohamed Yakcop dipaksa meletak jawatan pada Julai 1994, satu hukuman yang amat ringan berbanding jenayah yang telah beliau lakukan terhadap negara. Malah, beliau kemudiannya diberi habuan lebih besar – kembali ke BNM dan menjadi menteri kabinet.

TSJH juga dipersilakan meletakkan jawatan tetapi dengan segera beliau dilantik menjadi Timbalan Pengerusi  PNB sebagai habuan. Sejak dari itu, beliau hidup murung – jarang mendapat liputan media - dan dua tahun kemudian beliau menginggal dunia akibat penyakit barah.

Perdana Menteri dan TDZ pula tida siapa yang berani sentuh. Buat penyiasatan mereka tidak mahu. Mereka tidak lut undang-undang.

Ketujuh, kenapakah skandal kerugian pertukaran asing BNM tidak disiasat?

Ini adalah kerana, pertama, pemimpin tertinggi negara nampaknya terlibat dan bersekongkol dalam perjudian ini. Kedua, penyiasataan mungkin mendedahkan banyak kepincangan dan perkara buruk yang boleh membawa kacau bilau politik kepada golongan berkuasa. Ketiga, perincian-perincian skandal ini mungkin terlalu mengerikan (too gruesome) kepada umum dan boleh menyebabkan malu besar kepada golongan berkuasa, sekiranya didedahkan. Keempat, wujud unsur-unsur jenayah di dalam skandal berkenaan yang boleh menyebabkan orang bertanggungjawab masuk penjara bukan masuk kabinet seperti yang berlaku sekarang.

YB Lim Kit Siang telah mencadangan di Parlimen supaya Suruhanjaya PenyiasatanDiraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal kerugian pertukaran asing ini tetapi cadangan tidak langsung diendahkan.

Kelapan, patutkah PR (jika memerintah) menyiasat kembali skandal ini?

Di Mongolia, dua orang bekas Gabenor dan tiga orang kakitangan bank pusat negara itu telah didakwa dimahkamah atas tuduhan kecuaian dan melebihi kuasa sehingga menyebabkan kerugian USD90 juta di pasaran pertukaran asing.  TSJH dan NMY telah melakukan kesalahan yang lebih besar dan menyebabkan kerugian gergasi, maka sudah sewajarnya mereka di bawa ke muka pengadilan. Mereka mestilah disiasat. Jenayah yang terlibat termasuklah kecuaian, menyalahgunakan kuasa, memalsukan akaun, memesongkan maklumat, pecah amanah, konspirasi dan rasuah.

Aktiviti spekulasi yang dibuat sebenarnya berlawan dengan prinsip-prinsip utama bank pusat. Bank pusat sepatutnya membanteras spekulasi. Manakan boleh BNM melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi di pasaran matawang asing secara besar-besaran?

Kerugian wang rakyat terlalu besar untuk dilupakan begitu sahaja. Maka wajiblah kerajaan PR menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal ini walaupun ia telah terlewat 20 tahun.

Penulis mengucapkan terima kasih kepada Penang Institute kerana memberi ruang kepada penulis untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai.

malang K-POP


Syamila Najman,05 Jun 2012


KOMENTAR Nampaknya kerajaan BN diterajui Umno terperangkap lagi. Himpunan Jutaan Belia jauh sekali mahu menandingi Bersih 3.0 atau Himpunan Hijau di Alor Setar.

Malang sungguh bukan keberkatan dicari, sebaliknya bala diundang. Bayangkan kos sehingga USD300,000 (RM900,000) semata-mata membawa tiga kumpulan pop Korea (K-pop) membuat persembahan pada program tersebut.

Jumlah berkenaan didedah Ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed. Itu belum lagi cerita soal maruah agama yang digadai.

Bagi menutup malu menteri berkaitan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf, seperti dilapor media massa.

Sebelum itu beliau memberitahu kos bagi membayar kumpulan Dal Shabet, Teen Pop dan U-Kiss - akan ditanggung penaja, Stadium First Sdn Bhd.

Hari ini semua pihak kecoh. Lagi kecoh di laman Facebook. Walaupun ada yang melatah dengan pembatalan ceramah Ustaz Azhar Idrus di Putrajaya sehingga memaksa penganjur memindahkan ceramahnya ke sebuah masjid di Puchong.

Di halaman depan Mingguan Malaysia terpampang dengan gahnya sekeping gambar “jutaan” belia sedang mendengar ungkapan keramat Datuk Seri Najib Razak.

Mereka dilihat membawa bendera negeri masing-masing. Belia dibekal t-shirt bertulis “Saya sayang PM”. Mereka bertanding banner untuk menentukan siapa yang lebih sayang PM.

PM pula memuji sakan. Katanya, inilah belia yang boleh menjadi contoh untuk menjamin masa depan negara.

“Yang sopan, yang berperaturan, dan boleh digantung harap. Belia yang menendang polis bukanlah yang boleh menjamin masa depan negara,” ujar Najib di majlis itu.

Pada awal mungkin ada yang teruja dengan kehadiran belia di himpunan jutaan terbabit apabila media tradisional cuba memberi gambaran kehadirannya seumpama Bersih 3.0.

Sebaliknya tiba-tiba semua orang terkejut besar. Sekeping gambar muncul di Facebook (FB). Kemudian muncul lagi beberapa lagi gambar artis-artis kecil dan mulus dengan pakaian lucah naik ke pentas. Mereka menari ala erotik di hadapan PM kita.

Tarian penuh aksi. Tidak tahulah wasotiyyah mana yang digunapakai Najib di saat itu. Astaghfirullahal azhim. Inilah yang disajikan kerajaan BN kepada belia kita di atas nama IMalaysia.

Satu Malaysia terbeliak mata. Gara-gara FB kerajaan BN jadi kaget. Menteri pun jadi gelabah. Banyak suara termasuk mufti bangkit menyatakan rasa kesal dan jijik.

Jijik kerana kerajaan sanggup menghidangkan menu lucah untuk belia. Tidak cukup dengan sukan lasak, persembahan tarian, artis, drag race, teater Menora, drift, pemilihan pelakon secara terbuka, artis-artis genit dari Korea diundang khas bagi menjamu mata.

Rupa-rupanya kata PM Najib, ia semata-mata demi orang muda. Kalau begitu, benarlah laungan PM, "Kita harus tahu memilih antara intan dan permata, siapa yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini."

Nampaknya strategi memancing orang muda tidak mengena, bahkan jadi senjata makan tuan. Malang sungguh PM kita semua yang dibuat tidak menjadi.

**(Penulis seorang pelajar sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi awam)

WWW 1


Subky Latif,06 Jun 2012

DULU plat motokar nombor MCA1 dibida hingga RM300,000. Untuk plat nombor WWW1 ia dibida setinggi RM520,000.

Siapa yang berjaya membidanya tidak penting, tetapi ia menggambarkan bahawa negara dan bangsa kita sudah masuk ke  alam seperti itu dan ada orang yang sedia membida setinggi itu malah mungkin lebih tinggi dari itu hanya untuk satu nombor motokar.

Ia terjadi begitu ialah sistem yang  terpakai di negara ini oleh orang-orang yang membenarkan sistem itu begitu.

Ia halal dan dibenarkan oleh undang-undang. Tetapi adakah ia benda yang betul  dan bijaksana?

Sistem menjual nombor plat yang elok dengan harga yang setinggi itu tentulah disebabkan JPJ merasa  sukar untuk memberi nombor yang elok-elok oleh  disebabkan ramai orang yang mahukannya.

Kalau yang mahukan nombor yang elok itu adalah orang awam biasa, maka mudah kepada pemberi nombor memberi kepada siapa yang dia suka. Kalau yang memohon itu orang bernama, maka payah bagi memberinya, apa lagi kalau ia adalah raja-raja.

Kalau seorang raja yang memohon maka ia mudah  diperkenankan, tetapi kalau serentak sekalian Sultan memohonnya, maka kepada raja yang hendak diberi.

Maka diadakan sistem membida. Siapa yang boleh memberi tender yang tertinggi, maka orang lain tidak boleh takwil. Jika ia diberi percuma, maka ditakuti ada orang dalam bermain kayu tiga secara gelap atau pintu belakang,  mengambil  harga untuk diri  sendiri. Siapa yang boleh menyogok sekian banyak, maka dia boleh dapat nombor itu.

Bagi mengelakkan berlaku bentuk rasuah yang demikian, maka ia tawarkan kepada semua di pasaran terbuka untuk membida. Gara-garanya ada bida sampai setengah juta.

Orang seperti Robert Kuok, Ananda Krishnan, Tony Farnandez, Vincent Tan dan Syed Mokhtar tak terasa apa sekali pun membida pada harga sejuta atau lebih. Duit mereka tidak luak.

Tetapi adakah bijak dan waras membida setinggi itu sedang dalam masyarakat kita penuh  dengan serba ketempangan.  Orang yang memerlukan duit, makanan, pakaian dan lain-lain begitu ramai sedang duit yang banyak digunakan untuk membeli satu nombor motokar.

Dari mana duit itu diperolehi tidak penting. Adakah dari duit loteri, menang judi, atau keuntungan perniagaan dan sebagainya, tetapi apakah ia satu amalan yang wajar?

Jika dengan setengah juta digunakan untuk menghantar orang yang belum pernah haji menunaikan haji, besar mana ganjaran pahala yang diperolehi. Seorang haji perlu RM10 ribu, dengan bida itu boleh hantar 50 jamaah. Segala ibadat dan pahala wajib haji setiap orang itu  akan diperolehi oleh orang yang menghantarnya.

Setiap hamba Allah akan  ditanya dari mana hartanya diperolehi dan bagaimana ia digunakan. Seorang kaya yang soleh setengah hari lewat masuk syurga dibandingkan dengan orang miskin yang soleh. Sebab Allah tanya cara dia berbelanja atas hartanya.

Nabi Sulaiman a.s. adalah maksum, kerana baginda adalah orang terkaya di dunia, baginda ditanya setiap kekayaannya digunakan, maka baginda menunggu 40 tahun masuk  syurga selepas nabi-nabi lain.

Bagaimana sekalian membida nombor itu berbelas dan berpuluh ribu hendak menjawab apakah masing-masing telah menggunakan wang secara betul?

Kerajaan dan JPJ yang membenarkan amalan itu telah menyebabkan begitu  ramai orang yang terlibat dalam perkembangan yang tidak sihat itu.

Kalau raja-raja  terlibat membida, maka yang pertama dipersoal bukan  raja-raja, tetapi ialah pihak yang menyediakan sistem hingga kejadian yang tidak sederhana berlaku. Islam yang sederhana tetapi yang melampaui tahap kesederhanaan.

Kita telah tercebur dalam amal kapitalisme yang parah.

Jiran yahudi


"Seorang wanita tua selalu menyakiti Baginda dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas, Bagindai SAW sentiasa bersabar. Akhirnya apabila wanita tua itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan merawati menunjukkan kasih sayang terhadapnya,dengan keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,lalu terbukalah pintu hidayah lantas wanita tua tersebut memeluk Islam di tangan Baginda.

Kisah yang seakan sama berlaku pada masa kini di Amerika Syarikat. Diceritakan oleh Suhaib Webb antara beberapa siri ceramah beliau di Youtube.

Suhaib menceritakan seorang Islam dari Sudan menetap di kediaman yang banyak kes jenayah iaitu di Bronx, New York. Jiran warga Sudan itu ialah seorang wanita tua Yahudi.

Warga Sudan dan isterinya sering menyapa dan memberi makanan kepada jiran Yahudi tersebut. Tetapi wanita Yahudi itu mencampakkan segala pemberian dan sering memarahi mereka. Tetapi keluarga warga Sudan itu terus menyantuni jirannya, kerana ini adalah tuntutan Islam dalam hak berjiran.

Pada satu hari wanita tua Yahudi itu dirompak, lalu warga Sudan tersebut ternampak dan menyelamatkannya. Akibat kecederaan wanita tua Yahudi itu terlantar di hospital. Di hospital tiada siapa yang menziarahinya, hanya warga Sudan itu sahaja. Tetapi wanita tua Yahudi itu masih tetap memarahinya.
Apabila sihat, wanita tua Yahudi itu kembali ke rumah, namun warga Sudan tersebut masih berbuat baik kepada jirannya walaupun wanita tua Yahudi itu tidak menyukainya.

Akhirnya wanita tua Yahudi tersebut jatuh sakit. Sekali lagi dia terlantar di hospital dan tiada sesiapa juga yang menziarahinya hanya warga Sudan dan isterinya sahaja. Dengan keperibadian Islam yang ada pada warga Sudan tersebut menarik perhatian wanita Yahudi itu, lalu bertanyalah kepada warga Sudan tersebut mengenai Islam, Akhirnya terbukalah pintu hidayah lalu wanita tua Yahudi itu memeluk Islam. Subhanallah….

Tiga hari selepas memeluk Islam, wanita tua Yahudi itu tadi menemui ajal, menghadap Allah SWT.

Apabila dibacakan wasiat, wanita tua Yahudi itu telah menyerahkan semua hartanya kepada warga Sudan tersebut.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Baqarah: 195)

Islam menyeru umatnya berbuat baik sesama makhluk, baik berupa manfaat ilmu, harta benda dan juga yang berbetuk nasihat ke agamaan, sepertimana sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan atas setiap sesuatu.” "