Assalamualaikum wrt wbth
Yang Berbahagia,
Saudara Ketua Pengarang,
Utusan Malaysia.
SOROS, SAMAN MALU DAN SALAM TAKZIAH
Sejak kecil saya adalah pembaca setia Utusan. Di Kelantan, dulu Utusan sampai belah petang.
Pulang dari sekolah, sejak darjah tiga, singgah di kedai depan Sekolah Kota, sekolah saya, membimbit Utusan dan menekuninya dari laman ke laman.
Malangnya, untuk tujuh lapan tahun ke belakang, setiap kali menatap Utusan, saya merasa seakan diperlakukan sebagai pembaca terbantut akal – tidak mampu berfikir. Terasa diri diperbodohkan.
Malang, bagi sebuah institusi media yang disegani, dibina oleh pelopor dan pejuang awal, akhirnya tertiarap di kamar Mahkamah atas satu isu demi satu isu yang lain.
Hampir saban minggu Utusan didakwa atas pelbagai saman malu, fitnah dan berita bohong.
Terakhir, pengakuan Sdr Chamil Wariya, Utusan telah mengubah cerpen gubahan Chamil. Serendah itu, Utusan menjatuhkan dirinya…?
Penjuelasan beberapa paderi atas laporan Utusan yang membarakan api permusuhan agama, menjadikan Utusan kelihatan sebuah mesin propaganda murahan yang rendah mutu dan kehilangan kompas akhlak.
Saya tidak fakir itu baik untuk negara dan khususnya ummat Melayu.
Pendedahan kian tersebar bahawa PM Datuk Seri Najib menemui Soros secara diam-diam di US sewaktu Utusan menghayun serangan bertubi-tubi terhadap pelbagai pihak sebagai agen Soros untuk tujuan buruk, menemplak Utusan dengan cara yang amat menghiris maruah dan integriti.
Belum lama laporan muka depan Utusan ‘Lagi Kaitan Soros’. Kenapa Utusan tidak sanggup memuka depankan laporan pertemuan itu? Najisnya Soros pada mata Utusan seharusnya tidak membedakan sesiapa.
Bertemu, bersua muka dan ‘secara sulit beragenda’ dengan Soros, tanpa dimaklumkan kepada rakyat jelata, mejadi sebesar-besar tanda tanya: ‘dalam poket Soros kah pemimpin kita?
Apakah yang dibincangkan? Apa pentingnya PM yang baru memegang jawatan menemui ‘Penyangak Yahudi’ (Seperti logic di ketengahkan Utusan) seperti Soros?
Tidak dapat tidak kita memerlukan pendekatan rasional dan manipulasi keterlaluan akhirnya hanya menjerat leher pemasang jerat itu sendiri.
Lebih menghibakan, sekali sekala terkilas laporan muka depan Utusan berunsur seks (yang dipolitikkan) yang sangat keterlaluan. Sampai kesannya kepada generasi muda dan anak-anak kecil parahnya tidak dapat lagi dijangkau.
Sedang, pembaca jelik itu termasuk anak cucu Sdra Ketua Pengarang sendiri, anak cucu Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Utusan, mungkin terbentuk dengan bentukan liar sepanjang hayat mereka. Tidakkah terbetik di hari sdra-sdra kecemburuan terhadap runtuhnya nanti akhlak generasi yang masih putih bersih itu lantaran kegelojohan membinasakan ‘lawan’ dengan laporan-laporan resam Melayu pun menolak, apa lagi nas Tuhan.
Masih belum terlambat kembali ke pangkal jalan. Laporan berprestasi, profesional danethical.
Di dunia mendapat sanjungan, di sisi Tuhan nanti tidak terlaknat.
Islam selamanya meletakkan kebenaran, kejujuran, menolak aib, permusuhan dan keterlaluan dan itu kekal sebagai jalan selamat, bermaruah dan terhormat.
Maafkan saya,
Husam Musa
Kota Bharu,
Kelantan
25 Zulkaedah 1433 / 11 Oktober 2012