Selasa, 5 Februari 2013

salah dalam solat



Solat merupakan antara kewajipan paling penting dalam kehidupan umat Islam. Nabi SAW diisrakkan ke langit untuk menerima perintah solat. Solatlah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama baiki mutu solat kita. Maksud hadis:

    “Amal seorang hamba yang pertama kali dihisab kelak ialah solat, jika solatnya rosak, maka amal lainnya pun akan rosak.” (HR Thobrani)

Berikut merupakan kesalahan-kesalahan solat yang tidak kita sedari, berdasarkan hasil pembelajaran dan kajian saya selama ini. Semoga post kali ini memberi manfaat kepada kita, insya Allah…
    
1. Tidak berdiri lurus. Berdiri lurus bagi yang berkemampuan merupakan salah satu rukun solat. Apa yang diperhatikan, seseorang yang sakit tidak berdiri lurus semasa solat. Mereka terus duduk, tanpa berdiri lurus. Sewajibnya, mereka berdiri lurus dahulu, kemudian, barulah mereka boleh duduk. Ini adalah kerana mereka masih boleh berdiri dan berjalan! Macam mana mereka ke masjid sekiranya mereka tidak boleh berjalan? Perkara ini terkecuali sekerinya seseorang itu memang betul-betul tidak mampu untuk berdiri.
    
2. Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).

3. Terdapat kesalahan dalam al-Fatihah. Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.

4. Tidak thomakninah (berhenti seketika) dalam rukuk dan sujud. Kadar minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan kadar lafaz “subhanallah”. Maksud hadis:

    “Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Sahabat bertanya, “Bagaimana caranya mencuri solat itu wahai Rasulullah?”
    “Yaitu, yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan di dalam solatnya” (HR Ahmad)
 
5. Sujud yang tidak sempurna, anggota sujud tidak dikenakan ke atas lantai. Tujuh anggota sujud tersebut adalah: muka (termasuk dahi dan hidung); kedua tapak tangan; kedua lutut dan penghujung 2 tapak kaki (ibu jari), sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

    “Aku telah memerintahkan agar sujud keatas tujuh tulang: keatas dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, 2 tangan, 2 lutut dan pada penghujung 2 tapak kaki (ibu jari).” (Muttafaqun ‘Alaih)
 
6. Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat. Namun begitu, amat sukar untuk diterangkan berkaitan lafaz tahiyyat akhir yang betul di dalam ruang yang terbatas ini. Sebaik-baiknya, rujuklah guru agama yang hak.
   
7. Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat. Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.
    
8. Tangan berayun-ayun semasa i’tidal. Pergerakan anggota besar 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Tak tahulah kenapa orang suka sangat ayun tangan semasa i’tidal, yang macam buayan tu.
   
9. Tidak berhenti seketika, yakni i’tidal selepas rukuk.
    
10. Dada berpaling dari kiblat

hukum isteri meminta cerai



Soalan:

Saya sedang membaca berkenaan hukum seorang isteri meminta cerai daripada suami. Saya dapati terdapat hadis-hadis yang melarang daripada meminta cerai. Pada waktu yang sama terdapat sebuah hadis di mana seorang isteri dengan mudah telah meminta cerai daripada suaminya di hadapan Rasulullah, dan baginda mengizinkannya. Jadi bagaimanakah cara yang betul untuk memahami hadis-hadis ini?

Jawapan:   

Perceraian adalah satu perkara yang dibolehkan oleh Islam jika semua usaha untuk membaik-pulih hubungan suami-isteri menemui jalan buntu. Hadis-hadis yang melarang perceraian, dimaksudkan ialah sengaja meminta cerai tanpa sebab-sebab yang munasabah. Di antaranya ialah hadis berikut: Para isteri yang meminta cerai ialah wanita-wanita yang munafiq. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1186] Namun hadis berikut lebih terperinci dalam menjelaskan bentuk tuntutan cerai yang dilarang oleh Islam:

Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2226]

Maksud alasan yang munasabah ialah umpama suami yang kaki judi, merampas wang isteri, minum arak, kaki pukul isteri atau apa-apa pelanggaran syari’at yang lain. Termasuk pelanggaran syari’at ialah apabila suami secara sengaja tidak melaksanakan peranannya sebagai qawwamun ke atas isterinya.

Ada pun hadis berkenaan seorang isteri yang dengan mudah meminta cerai di hadapan Rasulullah, saya percaya hadis yang dimaksudkan ialah seperti berikut: Sesungguhnya isteri Tsabit bin Qais datang kepada Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Tsabit bin Qais tidak aku cela dalam akhlak dan agamanya, akan tetapi aku tidak menyukai kekufuran di dalam Islam.”

Rasulullah bertanya: “Apakah engkau (sudi) mengembalikan kebunnya kepada (Tsabit, yang sebelum itu diberikan sebagai mas kahwin)?” Isteri Tsabit menjawab: “Ya.”

Rasulullah bersabda (kepada Tsabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5273]

Zahir hadis menunjukkan Rasulullah membenarkan seorang isteri meminta cerai meskipun suaminya tidak memiliki masalah dari aspek akhlak dan agama. Akan tetapi hakikat sebenar tidaklah sedemikian. Isteri Tsabit adalah seorang yang mulia, beliau tidak mahu mendedahkan aib Tsabit kepada Rasulullah atau orang lain. Namun apa yang sebenarnya berlaku antara beliau dan Tsabit dapat diketahui melalui sebuah riwayat lain:

Daripada al-Rubayi’ binti Mu‘awwidz, bahawa Tsabit bin Qais memukul isterinya hingga tangannya patah. Isterinya (bernama) Jamilah binti Abdullah bin Ubay.

Kemudian datanglah saudara lelaki (Jamilah) kepada Rasulullah mengadu berkenaan sikap suami tersebut (Tsabit). Maka Rasulullah mengutus seseorang kepada Tsabit…… [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3497]

Berdasarkan riwayat di atas, kesalahan Tsabit bin Qais memang diakui syarak lagi munasabah untuk Jamilah (isterinya) meminta cerai daripadanya. Meskipun Jamilah ingin menutupi aib suaminya di depan Rasulullah, baginda sudah pun mengetahui tentang kesalahan Tsabit setelah dikhabarkan oleh saudara lelaki Jamilah. Oleh itu Jamilah tidak meminta cerai daripada Tsabit tanpa apa-apa sebab yang syar’e atau munasabah.

Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah. Namun hendaklah ingat bahawa ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi yang awal. Semua perkahwinan akan menghadapi konflik dan cabaran, tidak ada yang terlepas daripadanya. Apa yang membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain ialah usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pasangan untuk saling memperbaiki suasana dan belajar dari kesilapan masing-masing.

fizikal Nabi SAW



Bismillah walhamdulillah. Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad, kama sollaiTA `ala Ibrahim wa `ala ali Ibrahim. InnaKA Hamidun Majid.

Berikut ini saya petik beberapa hadith yang menerangkan ciri-ciri fizikal insan yang kita telah banyak terhutang budi dengannya, insan yang kita cinta, insan yang kita kasih, insan yang kita ikut, iaitu Rasulullah SAW.   

Hadith-hadith ini telah saya salin dari kitab yang sangat terkenal iaitu kitab Syama’il Muhammadiyah (kesempurnaan Nabi Muhammad) yang disusun oleh Imam at-Tirmidzi. Kitab ini menyenaraikan sifat-sifat fizikal, sifat-sifat akhlaq dan cara kehidupan Nabi Muhammad SAW secara agak terperinci.

Hadith 1:

Jabir bin Samurah radhiAllahu `anhu berkata:

    “Aku melihat Rasulullah pada suatu malam yang diterangi bulan purnama. Pada waktu itu, Baginda memakai pakaian berwarna merah. Aku memandang Baginda dan bulan silih berganti. Bagiku, Baginda lebih indah daripada bulan purnama” (HR at-Tirmidzi)

Hadith 2:

Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:

    “Rasulullah bukanlah orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan tidak juga lurus. Baginda diutus oleh ALLAH menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun. Baginda diwafatkan oleh ALLAH dalam usia enam puluh tahun, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan janggutnya.” (HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi)

Hadith 3:

Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:

    “Rasulullah adalah seorang yang mempunyai tubuh yang sedang, tidak tinggi dan tidak rendah, bentuk tubuhnya bagus. Rambutnya tidak kerinting dan tidak lurus. Warna kulit Baginda putih kemerahan. Jika berjalan, pergerakannya condong ke hadapan.” (HR al-Bukhari dan at-Tirmidzi)

Hadith 4:

Al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:

    “Rasulullah merupakan seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambut yang lebat terurai ke bahu sampai ke telinganya. Apabila Baginda memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya.” (HR at-Tirmidzi, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud)

Hadith 5:

Al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:

    “Aku tidak pernah melihat orang yang memiliki rambut yang menyentuh sehingga bawah telinga (antara cuping telinga dan bahu), dengan memakai pakaian yang berwarna merah, yang lebih tampan daripada Rasulullah. Baginda memiliki rambut yang mencecah kedua-dua bahunya. Kedua-dua belah bahu Baginda bidang. Baginda bukanlah seorang yang rendah dan bukan juga tinggi.” (HR Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi)

Hadith 6:

Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu berkata:

    “Rasulullah tidak tinggi dan tidak rendah. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal (dagingnya) namun lembut. Kepalanya besar, tulang sendi besar. Terdapat bulu yang jelas dari dada sehingga pusatnya. Apabila Baginda berjalan, pergerakannya condong ke hadapan seolah-olah sedang turun dari tempat yang tinggi. Tidak pernah aku lihat orang yang setanding dengan Baginda, samada sebelum (Baginda lahir) mahupun selepas (Baginda meninggal dunia)” (HR at-Tirmidzi)

Hadith 7:

Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu bercerita tentang sifat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:

    Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu pendek. Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya. Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak juga lurus kaku, melainkan ikal beralun. Badannya tidak gemuk, bentuk wajahnya tidak bulat, tetapi bujur telur.

    Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Tulang sendinya gagah, bahunya bidang. Badannya bersih daripada bulu dan rambut, tetapi mempunyai bulu yang memanjang dari dada sampai pusat. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal.

    Apabila Rasulullah berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi. Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak (seluruh badannya turut berpaling). Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian nabi. Rasulullah merupakan seorang manusia yang hatinya paling pemurah. Baginda adalah orang yang kata-katanya paling jujur.

    Manusia yang perangainya paling lembut dan paling ramah dalam pergaulan. Sesiapa yang melihatnya buat kali pertama, pasti akan menaruh rasa hormat dan segan kepadanya. Sesiapa yang berkenalan dengan Baginda tentu nanti akan mencintainya. Orang yang menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata “Belum pernah aku melihat seseorang yang setanding dengannya, samada sebelum kelahirannya ataupun sesudah Baginda meninggal dunia.” (HR at-Tirmidzi)

Hadith 8:

Hasan bin Ali berkata, “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah kepada pakcikku yang bernama Hind bin Abu Halah (yang memiliki nama samaran Abu `Abdullah). Hind bin Abu Halah adalah orang yang banyak mengetahui sifat Rasulullah. Aku sangat berharap Hind dapat menceritakan beberapa sifat Rasulullah kerana aku mahu mencontohi Baginda. Inilah yang dikisahkan oleh Hind:

    “Rasulullah adalah seorang lelaki yang berwibawa. Wajahnya cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari. Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana dan lebih rendah daripada orang yang tinggi. Kepalanya besar (padan dengan dadanya yang bidang dan tubuhnya gagah).

    Rambutnya beralun. Apabila rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat belahan dua. Jika tidak membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping telinga, namun tidak melepasi had itu. Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh (rambut tidak lebih telinga). Warna kulitnya putih kemerah-merahan.

    Dahinya luas. Keningnya panjang melengkung bagaikan dua busur panah yang terpisah. Di antara kedua-dua keningnya, ada urat yang kelihatan memerah ketika sedang marah. Hidung Rasulullah mancung, di hujung hidungnya ada cahaya yang memancar, sehinggakan orang yang melihatnya betul-betul, akan menyangka hidung Baginda lebih mancung (daripada yang sebenarnya).

    Janggutnya tebal, kedua-dua pipinya mulus, mulutnya lebar. Giginya agak jarang, namun teratur rapi. Bulu dadanya halus. Lehernya indah, tegak dan kuat.

    Bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata. Dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan tulang sendinya besar. bahagian badannya yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan bersih bercahaya.

    Dari pangkal leher sampai pusat, bulu yang tebal tumbuh seperti garisan. Kedua-dua puting susu dan perutnya bersih. Kedua-dua bahu dan dada bahagian atas berbulu halus.

    Kedua-dua ruas tulang tangannya panjang, telapak kakinya lebar. Kedua-dua telapak tangan dan kakinya terasa tebal, jari-jarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah. Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak melekat di kulit kakinya.

    Apabila Rasulullah berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan. Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang dan tawadhu`. Jika Baginda berjalan, pergerakannya cepat seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi. Apabila dipanggil, Baginda akan memalingkan kedua-dua bahunya serentak.

    Pandangan matanya terarah ke bawah. Baginda menundukkan kepala menatap ke arah bumi lebih lama daripada memandang ke langit.

    Apabila ada sahabat berjalan, Rasulullah akan berjalan di belakangnya. Apabila bertemu dengan orang lain, Baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam.” (HR at-Tirmidzi)

Itulah antara beberapa hadith yang dimuatkan di dalam Syama’il Muhammadiah yang sempat saya salin berkenaan rupa bentuk fizikal Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Nombor-nombor hadith yang saya sebut di atas tidak mengikut susunan seperti dalam kitab tersebut.

syeikh salim abad bazid



berada di masjid seri jugra ceramah agama oleh syeikh salim abad bazid penceramah dari yaman. pada masa yg sama datuk dr Harun Din menyampaikan ceramah sempena maulidur Rasul di masjid kg Olak lempit (sungai berlipat2)

antara isi ceramah yg disampaikan... jadilah seorang mukmin yg kuat, bhikmah, lemah lembut

yakin dpt mjadikan perkara ghaib mjadi nyata. yakin sebenar2 yakin akan janji Allah segala kebathilan akan musnah. Allah saja yg kekal segala makhluk akan musnah

rezeki yg haram mbawa ke neraka. carilah rezeki halal... biar sikit tp berkat utk anak isteri. byk kan sedekah... rezeki Allah yg bg... manusia hanya asbab

redha akan taqdir yg Allah dah tentukan utk kite. mintalah pd Allah... bukan pd makhluk... perancangan Allah yg terbaik!

hati mesti tenang. jgn lari dr taqdir Allah. yakin dgn sebenar2 yakin akan taqdir Allah!!

kes di britain air zamzam dgn izin Allah pesakit koma boleh sembuh. dgn cara masukkan air zamzam dlm beg darah. yakin dgn Allah

Ajal tak leh tangguh. satu kisah seorang ibu dengar ramalan kaji cuaca. hati si ibu rasa berdebar. Anak nak naik kapal terbang. takut berlaku bencana buruk... anak mati dalam nahas kapal terbang. maka si ibu pun melambatkan jam dgn harapan si anak terlewat bangun dari tidur dan terlepas  penerbangan. namun anaknya mati dalam tidur... mati tetap mati tetap tak boleh elak

kisah hasan basri ketika btemu yusuf alhaj pemerintah yg zalim. hingga tlupa niat mjemput hasan. asbab yakin kpd Allah yg Allah akan lembutkan hati yusuf.


baca dgn merengkan kepala.... :)

saja nak amik plat baru selangor

suasana ceramah bertajuk yakin dgn Allah!

sapa nak teka tangan sapa nie?

kumpulan qasidah sekolah tahfiz darul faqeh tongkah morib

2 penceramah yg sudi berkongsi ilmu dgn teman dan sumer jemaah yg hadir

maqam Ibrahim



Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah s.w.t. menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.

Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda. Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah s.w.t. yang bermaksud,

    “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah s.w.t. sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah s.w.t.

 Apabila agama Islam datang, Allah s.w.t. mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang.” (surah al-Baqarah ayat 125).

Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim. Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh.” (surah al-Haj ayat 27).

Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah s.w.t., “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana.” Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan. Allah s.w.t. menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.

Bacaan talbiah antara lainnya, “Labbaikallahhummalabbaik” yang bermakna, “Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah.” Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya.

Ramai orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.

Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.

Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat. Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah s.w.t. sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna. Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.

Wallahu’alam….