Jumaat, 19 Julai 2013

surah Yusuf

Ustaz Mohd Azmir bin Maideen,19 Jul 2013
Pengarang kitab tafsir kontemporari berjudul “Fi Zilalil Quran”, Sayyid Qutb menyatakan bahawa antara surah yang Allah turunkan kepada Rasulullah SAW pada masa-masa sukar dalam sejarah dakwah dan kehidupannya, adalah surah Yusuf. Surah ini diturunkan antara ‘amul huzni (tahun duka cita kerana kematian Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid) dan antara baiah ‘Aqabah pertama yang dilanjutkan sehingga ke baiah ‘Aqabah kedua.

Pada saat itu, baginda Rasulullah selain mengalami kesedihan kerana ditinggalkan dua orang yang menjadi sandarannya, baginda turut mengalami kepedihan akibat pemulauan masyarakat jahiliyyah yang terdiri daripada kaumnya sendiri, bangsa Quraisy. Maka Allah menceritakan kepada Nabi-Nya yang mulia, kisah Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim, yang juga mengalami berbagai-bagai ujian dan cubaan yang getir.

Saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri sanggup menghumbankannya ke dalam sumur agar menjadi umpan haiwan-haiwan liar dan buas, dengan harapan hilanglah Yusuf daripada perlindungan dan perhatian orang tuanya iaitu Ya’qub AS. Nabi Yusuf hidup dalam gelandangan, dan terus diuji dengan tipu daya isteri penguasa Mesir. Baginda selanjutnya dihumban ke dalam penjara setelah sebelumnya hidup dalam kemewahan istana sang penguasa.

Kepahitan tersebut ditempuhi dengan tabah dan sabar, di mana selepas itu Nabi Yusuf diuji pula dengan kemakmuran dan kekuasaan yang mutlak di tangannya. Nabi Yusuf ditugaskan mengatur urusan sosial dan perekonomian masyarakat. Akhirnya Nabi Yusuf kembali menghadapi saudara-saudaranya yang dahulu telah cuba memerangkap untuk membunuhnya, dalam pada masa yang sama mereka jugalah yang menjadi sebab ujian-ujian dan penderitaan dalam kehidupan Nabi Yusuf sehingga mencapai puncak kekuasaan.

Sekalipun saudara-saudaranya membenci dan mencemburuinya, apa yang mustahak di sini adalah bagaimana semua ujian itu dihadapi Yusuf dengan penuh sabar sambil terus melanjutkan peranannya menyampaikan dakwah tauhid dan menyelamatkan masyarakat dari kesengsaraan. Surah ini (surah Yusuf), kata Sayyid Qutb, bertujuan menghiburkan serta memantapkan hati orang yang diuji dengan pengusiran dan pemulauan. Bagaimana Nabi Yusuf menyelesaikan semua masalah yang menimpanya dengan satu kalimah, iaitu ‘sabar’.

Di dalam surah Yusuf, mengandungi isyarat tentang berlakunya sunnatullah ketika para Rasul  merasa putus asa menghadapi kaumnya, bahawa akan ada jalan keluar yang membawa kepada kegembiraan yang didambakan setelah sekian lama mengalami ujian dan cubaan. Penceritaan kisah Nabi Yusuf bukan hanya sekadar bertumpu kepada ketampanannya sahaja, malah seharusnya kita merasai momentum perjuangan Nabi Yusuf AS menghadapi tekanan dan cabaran.

Surah Yusuf adalah kisah yang paling lengkap dari segi liputannya. Lantaran itu, di dalam surah Yusuf disebut oleh Allah antara ‘ahsanul qasasi’ (kisah yang terbaik), kerana di dalamnya banyak mengandungi ‘ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang beriman dan memanfaatkan akal dengan membawa pesan induknya iaitu; maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika berkuasa.

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (surah Yusuf : ayat 3)

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah Yusuf : ayat 111)


Secara khusus surah ini menjadi bekalan yang sangat berharga kepada pelanjut perjuangan harakah Islamiyah, untuk menyiapkan kesabaran di atas kesabaran dalam mengharungi medan perjuangan di jalan dakwah. Barangkali, masalah-masalah yang menimpa kepada harakah Islamiyah adalah petanda masih ada resepi-resepi kejayaan yang belum selesai kita capai, atau masih belum sampai tahap kepiawaiannya.

Kerana kesabaran Yusuf AS, Allah menyiapkannya ujian untuk mencapai hikmah dan ilmu. Sayyid Qutb berkata, “Inilah Yusuf! Saudara-saudaranya menghendaki sesuatu terhadapnya, tetapi Allah menghendaki sesuatu yang lain untuknya. Kerana Allah itu berkuasa atas segala urusan-Nya. Sedangkan saudara-saudara Yusuf tidak berkuasa atas urusan mereka sehingga Yusuf dapat lepas daripada tangan mereka dan bebas dari apa yang mereka kehendaki terhadapnya.”

Jadi, makar (muslihat busuk) kaum pendengki kadangkala menjadi transisi menuju kemenangan dan kemuliaan daripada Allah. Makar yang mereka rencanakan dijadikan jalan oleh Allah untuk membina kehebatan insan yang dikasihi-Nya.

“Dan merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan kami merencanakan makar (pula), sedang mereka tidak menyedari.” (Surah an-Naml : ayat 50)


Ketika saudara-saudara Yusuf datang memohon pertolongan. Disinilah Nabi Yusuf diuji, apakah ia tetap sabar atau melempiaskan kemarahannya ke atas perilaku zalim saudara-saudaranya itu? Ternyata Yusuf memilih kesabaran dan memaafkan saudara-saudaranya itu.

“Dia (Yusuf) berkata; Pada hari ini tiada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia-lah Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Surah Yusuf : 92)


Begitulah luasnya samudera kemurnian hati Rasulullah SAW ketika baginda berkata di saat Fathu al- Makkah kepada musuh-musuhnya, “Hari ini aku katakan sebagaimana saudaraku Yusuf AS bahawa tiada cercaan terhadap kamu, pergilah kalian kerana kalian adalah orang-orang yang bebas.” - rujuk sirah Ibnu Hisham

“Tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

“(Sifat-sifat yang baik itu) tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan juga tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang mempunyai kelebihan yang besar.” (surah Fussilat : ayat 34-35)

Dalam jalan dakwah ini, seorang aktivis mesti memiliki persiapan spritual dan mental untuk menghadapi makar para pendengki atau musuh dakwah. Kerana makar itu adakalanya merosakkan reputasi kehormatan dan menjadikan kita terhina. Namun yakinlah, selama kita ikhlas dalam melangkah, Allah sentiasa membimbing dan menolong kita. Yakinlah ujian dan cubaan, hanyalah untuk sementara waktu sahaja sifatnya.

Keyakinan ini mendokong peribadi Nabi Yusuf AS untuk meninggalkan legasi moral kemanusiaan yang cukup memberikan inspirasi kepada umat Muhammad SAW bahawa pada saat paling genting, masih ada rahmat Allah, ketika pada saat susah, masih ada sifat pemurah, ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian. Semoga kita mendapat iktibar daripada ‘ahsanul qasasi’ surah Yusuf ini untuk terus bergerak menyongsong kegemilangan masa hadapan.

Kesimpulan daripada artikel ini maka dapatlah kita mengambil beberapa pelajaran;

1.Sabar menghadapi makar perancangan musuh dengan memohon pertolongan Allah Taala. Sesungguhnya kesabaran itu akan mengiringi kita kepada kebangkitan. “Pahlawan bukanlah orang yang berani menetakkan pedangnya ke bahu lawan, tetapi pahlawan sebenarnya ialah orang yang sanggup menguasai dirinya dikala ia marah.”
2.Makar para pendengki kadang-kadang menjadi kesempatan bagi para pendakwah untuk menjana kekuatan. Ia menjadi wahana tarbiyah rabbaniyyah dalam rangka mematangkan persiapan mengharungi medan yang lebih luas.
3.Islam tidak mengajarkan umatnya berputus asa, sebaliknya mestilah terus berusaha mencari jalan untuk keluar daripada kesempitan.
4.Apapun bidang keahlian dan kerjaya kita, tidak pernah walau sesaatpun Yusuf AS melupakan misi asasinya iaitu dakwah dan tarbiyah membina ummah.

http://www.tarbawi.my

bonus 2013...

BONUS....Akhirnya, 2 kali bonus untuk semua. 
Confirm.. !!! 

Berikut adalah beberapa garis panduan pemberian dan penerimaan bonus sebelum hari raya tahun 2013.

1. Bonus pertama akan masuk dalam tempoh 10 hari sebelum hari raya bermula 29 Julai 2013.
2. Bonus kedua akan masuk pada 8hb Ogos 2013.
3. Dibayar tahun ini juga.
4. Kadar penerimaan bonus tidak berasaskan penilaian atau gred gaji semasa.
5. Pekeliling umum sudah dikeluarkan.
6. Pemberian bonus bersyarat & terma.

Berikut adalah terma dan syarat yang ditentukan pembahagian dan penerimaan bonus tahun ini : 

1. Bonus pertama berupa malam lailatul qadar yang melebihi 1000 bulan beribadat. 
2. Bonus kedua merupakan sambutan hari raya yang akan disambut pada 1 Syawwal
3. Bersungguh2 memenuhi malam2 10 terkhir dengan amalan yang dianjurkan nabi.
4. dilakukan dengan ikhlas dan penuh pengharapan kepada Allah sebagai seorang hamba. 
5. Bonus tertakluk kepada kehendak Allah SWT kerana Dialah Yang Memberi dan menjadi tanggugjawab hamba untuk mencarinya. 

bonus orang berpuasa dan yang mencari lailatul qadar sahaja. kejar beb. jgn tak kejar.. asyik kira duit jek kan... sesekali kira la pahala yang ada. cukup ke nak peroleh kasih sayang Allah dengan bonus2 duit selama ni ?

Khamis, 18 Julai 2013

imsak

Apa itu IMSAK ?

Imsak hanya dikenal di Asia Tenggara (Khususnya Indonesia), kemungkinan yg Membuat Ajaran Imsak Ini Berniat Baik Agar Kita Ada Waktu Untuk Bersiap Diri Melaksanakan Sholat Dan Mempersiapkan Waktu Terbitnya Fajar. Namun dia lupa Bahwa Islam yg diajarkan Rasulullah Saw Sudah Sempurna Sehingga Tidak perlu ditambah atau dikurangi.

Akibatnya pada hari ini Banyak umat menganggap batas akhir makan sahur adalah Imsak Sehingga menghilangkan Ajaran Rasulullah Saw yg Sesungguhnya.

Dalil: "Jika salah seorang dari Kamu Mendengar Adzan Sedangkan ia Masih
Memegang Piring (Makanan), Maka Janganlah Ia Meletakkannya Hingga Ia Menyelesaikan Hajatnya (makannya). [HR.Imam Ahmad, Abu Dawud, Hakim, dishahihkan oleh Adz Zahabi]

Ibnu Umar berkata, "Alqamah Bin Alatsah Pernah Bersama Rasulullah, Kemudian Datang Bilal akan mengumandangkan adzan, kemudian Rasulullah Saw Bersabda, "Tunggu sebentar wahai bilal..!, Alqamah sedang makan sahur".[Hadist ini dihasankan oleh Syaikh Al Albani]

"Dan Makan Dan Minumlah Kamu Hingga Terang Bagimu Benang Putih Dan Benang Hitam Yaitu Fajar". (QS Al Baqarah 2 : 187).

Jadi sahabatku, Batas Santap Sahur Adalah waktu fajar (saat adzan subuh/fajar), Bukan IMSAK.

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah. Dan apa yang dilarang bagimu maka tinggalkanlah". (QS Al Hasyr 59 : 7)

Mohon disebarkan, agar
tidak makin tersebar kesalahan dan kekeliruan di masyarakat, terutama keluarga kita dalam melaksanakan amalan di bulan Ramadhan.

Rabu, 17 Julai 2013

Ed Husic


SETIAUSAHA PARLIMEN AUSTRALIA, ED HUSIC
Dikecam kerana bersumpah menggunakan Al Quran sewaktu perlantikan beliau.

Menteri Muslim pertama yang menjawat jawatan tinggi di struktur kerajaan Australia, diserang secara rasis di jejaring sosial media hanya disebabkan beliau mengangkat sumpah menggunakan
Al-Quran dan tidak menggunakan Kitab Injil.

“Saya adalah saya,” kata Ed Husic, yang diangkat sebagai Setiausaha Parlimen kepada Perdana Menteri Kevin Rudd pada hari Isnin.

“Jelas Saya tidak akan bersumpah menggunakan kitab Injil ” Ujarnya.

“Tapi saya juga berfikir bahwa anda pasti akan memiliki, dari waktu ke waktu, di sekeliling anda ada orang-orang yang ekstrim, ada orang-orang ekstrim di dalam agamanya dan ada orang-orang yang ekstrim di luar itu dan mereka akan selalu mencari cara-cara untuk mempengaruhi orang lain. ” katanya.

Husic, yang berasal dari Bosnia, adalah Muslim pertama yang diangkat sebagai Setiausaha Parlimen kepada Perdana Menteri Australia. Beberapa jam setelah ia mengangkat sumpah di hadapan Gabenor Jeneral Quentin Bryce, di halaman Facebooknya, beliau telah menerima ratusan komen-komen dari mereka yang marah dan tidak bersetuju dengan keputusannya untuk menggunakan Al-Quran, dan bukan Kitab Injil seperti kebiasaanya yang digunakan untuk mengangkat sumpah.

“Anda telah melakar sejarah terburuk, bersumpah menggunakan Al-Quran!! Ini adalah Australia dengan Hukum Australia,” kata seorang komentar yang menggunakan nama FB Dinki Di Sheila.

“Bersumpah untuk melayani Australia dengan menggunakan ‘buku teroris’, buku yang sama yang digunakan oleh Al-Qaeda.... Menjijikkan,” antara komen yang lainnya.

“Memalukan, Memalukan, Memalukan,” tulis Ross.

“Saya sangat kecewa dengan kerajaan sperti mereka tidak memiliki tulang belakang untuk berdiri dengan cara hidup Australia.”

“Anda harus merasa malu sebagai bangsa yang besar. Politik Australia telah mengikuti anjing, dan melakukan tindakan khianat dengan bersumpah dengan Al-Quran, Anda adalah anjing kampung terbesar di halaman rumah!, ” kata Pengguna lain, Steve Kerr

Husic, berusia 43 tahun, melakar sejarah pada tahun 2010 ketika beliau telah terpilih sebagai anggota parlimen bagi Sydney barat. Beliau mengangkat sumpah dengan tangan kanannya memegang kitab Alquran.

---------------------------------------------------------------------------

Ayuh nyatakan solidariti kita selaku muslim terhadap seorang saudara Muslim yang bernama Ed Husic!!
Teruskan Ed Husic, Warga Muslim bersama anda...

soal hati

Ketika berhias diri di hadapan cermin, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku.” Secara tidak langsung doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.
Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).
Ini menunjukkan nilai seorang manusia bukan pada wajah lahirnya tetapi pada wajah batinnya.
Ketika manusia jahiliah tenggelam dengan pelbagai kenikmatan dunia, Rasulullah s.a.w. menyampaikan peringatan dan amaran daripada Allah bahawa kehidupan dunia itu tiada apa-apa nilai melainkan mata benda yang menipu daya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-Hadid 57:20)
Rasulullah juga memperkukuhkan peringatan itu dengan satu metafora melalui sabdanya yang bermaksud: “Jika kehidupan dunia itu lebih bernilai di sisi Allah melebihi nilai sehelai sayap nyamuk, maka Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air.” (Riwayat Ibn Majah no. 4110)
Hasilnya, orang Islam dapat memanfaatkan kebaikan dunia untuk kebaikan akhirat. Malah dunia itu penting kerana adanya akhirat. Jika semasa orang Islam berasa tertekan dengan kehebatan dan keangkuhan orang kafir yang menindas mereka, Allah memujuk mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa takut, kamu adalah tinggi jika kamu beriman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 139)
Bahkan Allah menegaskan tidak ada bezanya nilai darjat orang Arab dengan orang ajam (bukan Arab) melainkan taqwa yang dimiliknya. Firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Hujurat 49: 13)
Oleh sebab itu, Sayidina Bilal yang berkulit hitam, berbibir tebal dan berambut kerinting, tidak berasa hina diri (inferiority complex) kerana Allah dan Rasulullah telah memuliakannya dengan iman dan taqwa. Dengan penuh syukur dia berkata, “Dulu aku hamba, Allah telah bebaskan aku dengan Islam. Dulu aku hina, Allah telah muliakan aku dengan iman.”

Justeru, sering diungkapkan; tidak mengapa jika kakimu yang sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi, dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai orang yang mempunyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun dikelilingi keseronokan.
Allah Yang Maha Adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Allah tidak zalim kerana meletakkan kebahagiaan pada ketenangan “hati emas” – hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita dan hamba atau raja.
Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan disesah oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan berganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalan-Nya.
Apabila tiba saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Bersedia dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar yang paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat! Sering dikatakan oleh ahli kebijaksanaan, “jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya!”
Apabila sudah tiba di dasar paling bawah, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka pada ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar “yuran” untuk kejayaan. Kita sudah merasai kepahitan pada ubat yang ditelan. Itulah ubat hati, yang pahit, pedih dan menyakitkan tetapi itulah ubat dan penawar yang akan melegakan.
Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mihnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada “universiti mujahadah”. Tiada gelaran, tidak ada sanjungan… hadiahnya hanya; hati emas!
Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres dan kebosanan.
Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuhkan solat lima waktu dengan sunat rawatib. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan lisan. Bercakap hanya yang baik atau diam.
Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu daya dan kezaliman.
Hayatilah sebuah sabda; jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!

Inilah persoalan yang mendasar buku “Semuanya Soal Hati” yang sedang anda baca sekarang. Ia mengajak kita semua, bersama-sama melihat, menghitung dan menyelesaikan soal hati. Dalam dunia materialistik dan individualistik ini, soal hati tidak mendapat tumpuan yang sewajarnya. Ini kerana soal hati adalah soal yang maknawi – tidak ketara dan tidak dapat dipandang dengan mata. Pada hal perkara-perkara yang tidak nampak itulah yang lebih dominan dan berkuasa dibandingkan soal-soal lahiriah. Kerana soal hatilah yang menguasai dan mendasari semua perlakuan manusia.

Kedatangan Rasulullah SAW itu untuk menyempurnakan akhlak manusia.  Akhlak itu juga hakikatnya dibentuk oleh kebersihan hati. Justeru, Allah berfirman:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad, s.aw.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya),dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (Pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” Al Jum’ah:2

Melalui buku ini insyaAllah, kita akan sama-sama menyorot mengapakah soal hati ini sangat penting… Apakah peranan hati dalam kehidupan ini? Apa yang sepatutnya disemai dan dituai di dalam hati orang mukmin.? Dan apakah pula racun atau sifat-sifat mazmumah yang boleh mengotori dan mematikan hati.  InsyaAllah, semuanya ditulis dengan bahasa yang mudah. Mudah-mudahan dapat dihadamkan dengan pantas oleh akal, dapat dirasai dengan mendalam oleh hati, dan dapat pula dilaksanakan dengan tangkas oleh seluruh pancaindera.

Buku ini bukanlah kitab tasawuf yang membincangkan soal hati secara terperinci. Namun, soal hati ini cuba diungkapkan dengan bahasa yang mudah, pendekatan yang santai dan mesej yang jelas.  Justeru, kerap juga isi yang sama saya ulang-ulangkan  beberapa kali dalam tajuk yang berbeza bagi menteladani kaedah Rasulullah SAW dalam mendidik. Al Tarmizi meriwayatkan dari Anas, bahawa dia berkata:”Rasulullah sering mengulang-ulang perkataannya sebanyak 3 kali agar setiap perkataan baginda difahami.”

“Ilmu itu…” menurut ahli bijak pandai, “ialah ketibaan makna pada hati.” Mudah-mudahan apa yang telah kita fahami di dalam kepala (melalui pelbagai bacaan, wacana dan perbahasan) boleh diresapkan secara mendalam ke dalam jiwa,  seterusnya melahirkan tindakan-tindakan yang  bermanfaat.

Ya, manusia bertindak bukan atas dasar apa yang difikirkannya, tetapi mengikut apa yang dirasainya.  Rasa itu lebih dominan daripada fikir. Rasa itu di hati, fikir itu di kepala. Justeru, menangani soal hati menjadi lebih utama daripada sekadar menyelesaikan soal fikiran. Tetapi ini tidak menafikan langsung kepentingan akal… bukankah akal itu adalah pelita hati? Namun jika kita hanya terhenti pada soal kepala, dan tidak cuba menyelongkar soal hati, kita akan kecewa kerana kita hanya tahu kebaikan sesuatu perkara tetapi tidak mahu apalagi mampu melaksanakannya!

Buku ini bukanlah kitab Tasawuf yang sarat dengan nasihat, panduan dan kaedah membersihkan hati dengan begitu terperinci. Namun, ia mengenegahkan satu pendekatan yang tersendiri yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip teras ajaran tasawuf di dalam Islam.  Dengan bahasa yang sederhana, ditambah oleh contoh-contoh yang kontemporari serta tamsilan-tamsilan yang rengkas, buku ini akan menyentuh soal yang paling berat dan besar dengan pendekatan yang ringan dan mudah. Mudah-mudahan kalangan masyarakat tidak kira dari golongan mana, setinggi atau serendah mana tahap pengetahuan agamanya, akan dapat memahami dan menghayatinya.