*[ Fekah Ketika Banjir ]*
1. Air banjir dikira sebagai air mutlak walaupun berwarna coklat disebabkan kuantiti air yang banyak melebihi 2 qullah (270 Liter). Jadi ia boleh digunakan untuk beristinjak, berwudhuk, mandi janabah dan mandi jenazah.
2. Pakaian yang terkena lumpur sah dibawa solat kerana lumpur adalah suci.
3. Dibolehkah solat secara duduk diatas sampan kerana bimbang jika melakukan solat secara berdiri sampan akan terbalik, ini telah difatwakan oleh mufti wilayah pada 20 Februari 2017.
4. Jika sampan berpusing sehingga berubah arah kiblat, maka wajib ke atasnya untuk memusingkan dada menghadap ke arah kiblat semula. Ini dinyatakan dalam Kitab Misbahud Duja, Karangan Ustaz Muhadir Bin Haji Joll.
5. Ketika ribut disunatkan menambah lafaz dalam Azan :
أَلَا صَلُّوا فِي بُيُوْتِكُمْ
Maksudnya : Hendaklah kamu solat dirumah kamu"
Ini dinyatakan dalam Kitab Sabilal Muhtadin Li Tafaqauh Amruddin Syeikh Arsyad Al-Banjari.
6. Dibolehkan rukuk dan sujud secara isyarat ketika banjir, namun sujud mestilah lebih rendah daripada level rukuk. Ini dinyatakan dalam Kitab Fiqh Islami Wa Adilatuhu Karangan Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili.
Sah sujud dalam air dan duduk antara dua sujud dalam air, namun perkara ini patut dielakkan kerana dibimbangi akan mengakibatkan lemas atau hanyut serta membahayakan kesihatan mangsa banjir.
7. Solat jumaat tidak diwajibkan ketika bencana alam seperti banjir dan ribut, ini selaras dengan fatwa Darul Ifta' Misriyyah.
8. Petugas dan mangsa banjir tidak dibolehkan solat jamak, kerana Nabi SAW solat jamak ketika hujan dan bukan ketika banjir dan diqiaskan salji dengan hujan, inilah yang telah difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 10 Februari 2016.
9. Zakat boleh diberikan kepada mangsa banjir, kebanyakan ulama’ memasukkan golongan terkena banjir dalam Asnaf Al-Gharimin iaitu orang yang berhutang, ini bertepatan dengan Fatwa Mufti Wilayah pada 10 disember 2014.
10. Penempatan mangsa banjir lelaki dan perempuan bujang yang ajnabi perlu diasingkan dan wajib menjaga aurat masing-masing.
11. Mangsa banjir yang berkeluarga boleh ditempatkan sekali dengan dipisahkan melalui khemah atau langsir atau pemisah yang lain yang dapat menjaga aurat mereka sekeluarga.
12. Boleh dibuat kaunter Lost & Found, Barang yang tercicir semasa banjir termasuk dalam Bab Al-Luqatah :
-jika barangan mudah rosak dan susut nilai, si penemu boleh menggunakannya atau memakannya dan wajib dipulangkan barangan itu atau dibayar gantinya jika tuan empunya sudah ditemui.
-jika barangan itu jenis yang tidak mudah rosak, disimpan ia dan wajib di iklankan selama setahun, selepas setahun si penemu boleh memiliki harta tersebut, namun jika tuan empunya ditemui dan meminta kembali hartanya wajiblah dikembalikan semula barangan itu.
Iklan boleh dilakukan sebanyak dua kali sehari selama seminggu, kemudian tiap-tiap hari sekali selama seminggu, kemudian setiap tujuh hari sekali selama tujuh minggu, setelah itu setiap sebulan sekali sehingga cukup setahun.
Hukum memungut barangan Al-Luqatah ini :
Wajib ► Jika diyakini akan hilang sekiranya dibiarkan.
Sunat ► Jika berhasrat untuk menolong orang yang keciciran harta tersebut.
Harus ► Jika tidak dibimbangi akan hilang.
Makruh ► jika mengambilnya ia merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.
Haram ► Bagi orang yang berniat jahat.
13. Mati kerana lemas dikira sebagai mati Syahid Akhirat, Nabi SAW bersabda :
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ .
Maksudnya: Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Wajib dimandikan keatas jenazah yang mati tenggelam walaupun badannya masih basah.
Sekian,
Mohammad Illiyas Bin Habulat
Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Fauziah
Pemegang Tauliah Agama Islam Negeri Kedah
#Betulkan_Saya_Jika_Saya_Salah