Jumaat, 23 Ogos 2013

Hutang tinggi

Oleh Mohammad Agus Yusoff
DALAM SISTEM KEWANGAN, penarafan kredit yang dijalankan oleh Agensi Penarafan Kredit seperti Standard & Poor's, Moody's dan Fitch Ratings adalah penting untuk mengukur tahap keupayaan kewangan sesebuah negara. Dalam hal ini, semakin rendah penarafan yang diberi bermakna semakin tinggi risiko untuk negara tersebut untuk gagal membayar hutang (bon) yang diterbitkan.


Oleh sebab itulah, tiga minggu lepas, apabila agensi penarafan Fitch menurunkan taraf unjuran kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif, ia cukup membimbangkan saya.

Mengapa Turunnya Penarafan Kewangan Negara?

Mengikut laporan Fitch, mereka menurunkan kadar penarafannya kerana melihat pengurusan kewangan kita adalah lemah. Hutang negara meningkat dari 39.8% peratus daripada KDNK (GDP) pada tahun 2008 kepada 51.6% pada tahun 2011 dan 53.3% pada akhir tahun 2012. Bajet defisit pula meningkat dari 3.8% pada tahun 2011 kepada 4.7% pada tahun 2012.

Kesan daripada penurunan penarafan ini dapat segera dirasa apabila Ringgit Malaysia susut di paras tiga tahun terendah berbanding Dollar Amerika dan 15 tahun terendah berbanding Dollar Singapura. Mata wang yang rendah ini menyebabkan barangan import menjadi semakin mahal dan barangan eksport menjadi semakin murah yang tentunya menekan kedudukan akaun semasa negara.

Selain itu, kesan penurunan penarafan ini juga menyebabkan pasaran bursa saham dan juga nilai pasaran bon jatuh. Keadaan ini menurunkan keyakinan pelabur lalu menyekat aliran tunai dan kredit di dalam pasaran. Apabila ini berlaku, ia menambahkan bebanan kewangan awam lalu menjadikan sasaran mengurangkan defisit dan hutang awam semakin jauh. Kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk membayar faedah dan mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.

Mengikut Fitch, berlakunya kelemahan pengurusan kewangan ini adalah kerana beberapa faktor. Pertama, jaminan kerajaan Malaysia kepada hutang luar jangka yang dibuat oleh agensi berkaitan kerajaan seperti 1MDB, PTPTN dan sebagainya yang meningkat kepada 15.2% daripada KDNK negara. Kedua, kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak oleh Petronas. Ketiga, janji-janji pilihan raya oleh BN yang akan menambah beban kewangan negara. Keempat, subsidi tinggi yang menyempitkan lagi ruang untuk mengurangkan defisit perbelanjaan dan hutang negara.

Selain itu, ada juga penganalisis yang menyatakan pemilihan UMNO pada 5 Oktober ini, rasuah, kronisme dan ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan turut mempengaruhi penurunan penarafan ini.

Apakah Malaysia Akan Jadi Seperti Greece dan Sepanyol?

Apabila soalan ditanya, pendapat rakyat kita terus terbahagi kepada dua, bergantung kepada parti mana yang disokong. Saya ingin mengingatkan soal kesihatan ekonomi negara adalah tanggungjawab kita bersama dan untuk itu kita tidak perlu mempolitikkan isu hutang negara ini.

Kembali kepada soal ini, jika kita melihat kepada pengalaman dua negara di atas, memang mereka menghadapi krisis kewangan kerana hutang. Greece misalnya, pada tahun 2012 mempunyai pendapatan per kapita sebanyak USD$27,875 (atau RM84,112), iaitu jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Tetapi ekonomi Greece hancur disebabkan masalah hutang kerana semua bantuan kerajaan kepada rakyatnya adalah melalui pinjaman dari bank Jerman dan Perancis. Apabila mereka menghadapi masalah membayar hutang, Jerman dan Perancis mendesak Greece menaikkan kadar bunga, mengurangkan perbelanjaan awam dan mengecilkan pekerja sektor awam. Tindakan kerajaan Greece ini menyebabkan rakyat menderita, lalu berlakulah rusuhan di negara tersebut.

Sepanyol, sebuah negara maju dengan pendapatan per kapita pada tahun 2011 sebanyak USD$32,900 (atau RM100,098) juga begitu. Negara ini terlibat dengan hutang luar yang banyak kerana berlakunya spekulasi dalam pertumbuhan sektor hartanah. Akibatnya harga hartanah melambung tinggi dan ramai rakyat Sepanyol telah berhutang untuk melabur dalam sektor tersebut. Apabila rakyat gagal membayar hutang, maka sektor perbankannya runtuh menyebabkan kerajaan Sepanyol terpaksa berhutang untuk menghidupkan kembalinya bank-banknya yang hendak bankrap. Nisbah hutang kerajaan Sepanyol berbanding KDNK adalah 55.2% pada tahun 2009, tetapi telah melonjak naik dengan cepat menjadi 90.5% pada akhir tahun 2013.

Tetapi apabila dikaitkan dengan hutang kerajaan Malaysia yang banyak dan kemungkinan akan menjadi seperti dua negara Eropah di atas, saya ‘terpegun’ apabila terdapat juga pakar ekonomi yang menyatakan Malaysia tidak akan menjadi seperti Greece. Ini kerana walapun hutang negara adalah 53.1% daripada KDNK, tetapi 88.6% hutang negara adalah dari sumber dalaman dengan 11.4% sahaja pinjaman dari luar sedangkan hutang luar Greece adalah 93.2%. Greece juga adalah sebahagian dari Eurozone, dan oleh itu tidak mempunyai kawalan ke atas pengeluaran wangnya sendiri sedangkan Malaysia berdikari kerana sumber wangnya dikawal oleh Bank Negara. Betulkah begitu?

Bagi mendapat gambarannya, mari kita lihat hutang negara kita. Mengikut Laporan Ekonomi dan Beritasemasa.com, hutang negara pada tahun 1970 ialah RM3.5 bilion, 2001 RM121.4 bilion, 2005 RM189 bilion, 2007 RM247 bilion, 2009 RM348.6 bilion, 2010 RM390.356 bilion, 2011 RM438.467, suku kedua 2012 RM476.68 bilion, suku ketiga 2012 RM484.621, suku keempat 2012 RM505.7 bilion, dan suku pertama 2013 RM547.79 bilion menjadikan purata hutang rakyat Malaysia dalam lingkungan RM17,500 seorang.

Peningkatan kadar hutang ini sangat merisaukan. Namun, terdapat pakar ekonomi yang menyatakan kita tidak perlu risau dengan keadaan ekonomi negara kerana ia dalam keadaan yang cukup terkawal.

Kata pakar ekonomi ini, memang benar kerajaan mempunyai 50% hutang dari KDNK negara, tetapi hutang tersebut adalah untuk pembangunan sesioekonomi bagi menjaga kesejahteraan serta kesihatan rakyat. Katanya lagi, “prinsip ekonomi memerlukan kerajaan memainkan peranan jentera penyelamat.” Beliau menyatakan lagi “ekonomi Malaysia begitu resilient dan Malaysia tidak merasai ketenatan yang teruk, sungguhpun pertumbuhan ekonomi terrjejas.” Beliau juga menyatakan pendapatan per kapita negara adalah AS10,075, suatu peningkatan yang cemerlang.

Sebagai reaksi kepada apa yang dikatakan di atas, saya ingin timbulkan beberapa pertanyaan. Apakah untuk membangun, negara memerlukan pinjaman yang banyak? Sejauh manakah keberkesanan pinjaman tersebut dalam melonjakkan ekonomi negara? Hujah apakah yang boleh kita gunakan untuk menyatakan hutang yang banyak itu boleh menjana ekonomi negara? Saya timbulkan pertanyaan ini kerana bimbang sekiranya Malaysia sekali lagi terperangkap dalam krisis kewangan seperti yang berlaku pada tahun 1997-1998.

Betul, jumlah pendapatan per kapita kita meningkat, tetapi apakah kenaikan per kapita ini memberi kesan positif kepada kehidupan petani, nelayan dan pekerja kelas bawahan serta anak muda yang masih terkial-kial mencari peluang pekerjaan dan kehidupan? Inilah yang menjadi keperihatinan saya. Betul, saya bukan pakar ekonomi, tetapi dalam ilmu sains sosial, ia mengajar saya hutang yang banyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Lihat sahaja kepada kes-kes gejala sosial yang berlaku pada hari ini. Tidakkah ia ada kaitan langsung dengan masalah ekonomi?

Atas hujah di atas, saya fikir sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas untuk mengelakkan satu lagi krisis kewangan berlaku. Kerajaan perlu peka kepada hutang negara kerana ia adalah bom jangka yang sedang menunggu waktunya untuk meletup. Ini bukan sekadar persepsi. Dua bulan lepas saya boleh menukar matawang ringgit dengan kadar USD1=RM2.98, tetapi pada hari ini ia telah menjadi USD1=RM3.32. Saya boleh katakan jika keadaan ini berterusan, hasrat untuk mencapai negara maju pada tahun 2020 hanyalah ilusi.

Langkah Mengatasi Masalah Hutang Negara

Hutang negara di atas adalah membimbangkan. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera—sama ada popular atau sebaliknya--untuk mengatasi masalah hutang ini. Pembentangan bajet pada 25 Oktober ini adalah peluang terbaik kerajaan untuk membetulkan kembali dasar kewangan dan fiskal negara.

Pertama, kerajaan perlu menilai semula janji menaikkan BR1M, mengkaji semula projek-projek mega yang lewat siap, mengatasi salahlaku urustadbir kewangan, menghapuskan ketirisan dan membanteras pemberian projek secara runding terus yang tidak menguntungkan negara. Projek gagal seperti PKFZ, bail-out kepada Perwaja, MAS yang melibatkan billion-billion ringgit perlu dilihat semula bagi mengelakkan kerajaan menanggung bebanan perbelanjaan dan hutang yang tidak perlu. Ini kerana kebocoran dan ketirisan ini menyumbang kepada kenaikan pinjaman dan hutang kerajaan setiap tahun.

Kedua, kerajaan perlu melihat semula keperluan memperkenalkan GST, biarpun tidak popular, tapi jika itu cara terbaik untuk kesihatan ekonomi negara, yakinkanlah rakyat bahawa ini adalah dasar percukaian yang baik. Saya faham rakyat akan membantah GST kerana yang muncul di kepala mereka ialah kenaikan harga barang disebabkan cukai yang dikenakan kerajaan, tetapi yakinlah rakyat boleh menerimanya jika penerangan yang jelas dapat diberikan kepada mereka.

Ketiga, kerajaan perlu mencari langkah untuk meningkatkan pendapatan negara. Menteri tidak boleh duduk diam. Untuk pertanian misalnya, cari jalan bagaimana hendak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar satu produk pertanian terhebat di dunia. MARDI, FAMA dan lain-lain agensi di bawah Kementerian Pertanian perlu memikirkan hal ini, tidak cuup sekadar mengadakan pameran MAHA sahaja setiap tahun tetapi tidak ada peningkatan dari segi produk pertanian.

Keempat, kerajaan perlu menghentikan budaya ‘denial syndrome’ dan bersikap jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mengajar rakyat menilai ekonomi negara dari keupayaan pemberian BRIM dan tingginya nilai saham di BSKL sahaja sedangkan realitinya ekonomi negara dalam keadaan yang lemas. Kesihatan ekonomi negara perlu dilihat dari hutang negara yang kini mendekati tahap maksimum 55% daripada KDNK, defisit belanjawan dan juga nilai mata wang Ringgit yang semakin jatuh.

Jangan bawa lagi negara kita ke arah kekacauan krisis kewangan lagi. Bawalah negara ini ke arah negara berpendapatan tinggi, bukannya berhutang tinggi. 

Firaun Alsisi la'natullah

Kalau mengkaji sejarah Fir’aun, terdapat persamaan antara apa yang dilakukannya dengan yang dilakukan As-Sisi saat ini. Skenario yang mereka berdua tempuh juga sama. Setidaknya scenario tersebut bisa dibagi menjadi lima episode:


Pertama, episode kudeta. Terdapat dalam Al-Qur’an dalam surat Asy-Syu’ara: 40 “Semoga kita mengikuti ahli-ahli sihir jika mereka adalah orang-orang yang menang.” Ini sama dengan pernyataan As-Sisi yang katanya merespon tuntutan rakyat dalam demo-demo 30 Juni.


Kedua, episode pemberian mandat. Terdapat dalam ayat “Dan berkata Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, karena sesungguhnya aku khawatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi.” [Al-Mu’min: 26]. As-Sisi meminta pendukungnya turun jalan besar-besaran untuk memberikan mandat agar bisa membubarkan demonstrasi dengan kekerasan. Katanya untuk meluruskan revolusi, karena Presiden Mursi sudah berbuat kerusakan.

Ketiga, episode ancaman pembubaran dengan paksa. Terdapat dalam ayat “(Fir’aun berkata), “Maka sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kaki kamu sekalian dengan bersilang secara bertimbal balik, dan sesungguhnya aku akan menyalib kamu sekalian pada pangkal pohon kurma dan sesungguhnya kamu akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksanya.” Mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak akan mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan daripada Tuhan yang telah menciptakan kami; maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan.  Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja.” [Thaha: 71-72]. Berkali-kali As-Sisi dan pejabatnya mengancam pembubaran paksa. Namun para pendukung Mursi bergeming, jumlah demonstran semakin besar saja.

Keempat, episode pembantaian. Terdapat dalam ayat “Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: “Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul.” [Asy-Syu’ara: 61]. Pembantaian segera terjadi. Orang-orang yang beriman dalam jumlah yang sedikit, dan tidak bersenjata dikepung laut dan tentara Fir’aun yang murka.

Kelima, ini episode keselamatan dan kemenangan orang-orang yang beriman.Terlihat dari keyakinan seorang pemimpin berkata kepada pengikutnya, “Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” [Asy-Syu’ara: 62]. Dibutuhkan keyakinan seperti keyakinan Musa as. kepada pertolongan Allah swt. sehingga datanglah pertolongan tersebut “Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu.” [Asy-Syu’ara: 66].

skrip penamat

Nampaknya skrip yang dikarang oleh Amerika semakin mendekati penamat. Bermula dengan hasutan tentera untuk demostrasi Anti Morsi , penggulingan Morsi, pembunuhan beramai-ramai rakyat pro Morsi hinggalah pembebasan Mubarak.

Amerika dan sekutunya di  Eropah (UE) akan berpura-pura mengutuk Mesir. Dalam waktu yang sama Amerika mengarahkan sekutunya di Timur Tengah Saudi,Kuwait dan UAE memberi bantuan dan sokongan kepada Regim Kudeta Mesir.

Dalam masa yang sama juga,Amerika mengarahkan Regim Kudeta agar mempropagandakan kononnya Amerika  masuk campurtangan di Mesir dengan memberi sokongan kepada Ikhwanul Muslimin(IM).

Tujuannya agar rakyat Mesir terpengaruh dengan propaganda itu dan membenci IM.

Regim Kudeta juga akan meletakkan senjata-senjata buatan Amerika kononnya disalurkan kepada IM.

Dakwaan Amerika menyokong IM akan terhapus apabila Amerika mengarahkan Regim Kudeta supaya mencipta dakwaan baru kononnya Al Qaeda memberi bantuan persenjataan kepada IM untuk membunuh rakyat Mesir.

Selepas ini,kita bakal melihat  Regim As Sisi ini dengan arahan Amerika membuat sabotaj mengebom tempat-tempat awam di Mesir . Taktik yang sama berlaku di Algeria.

Pembunuhan 25 askar Mesir di Sinai baru-baru ini adalah salah satu sabotaj Regim As Sisi.

Jika Amerika boleh membunuh rakyatnya sendiri seramai 3,000 orang di WTC dalam Peristiwa 9/11, mengarahkan Regim As Sisi bunuh rakyat Mesir menjadi perkara kecil sahaja. 

5arahan


Catatan SakuAbu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.

Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya.
Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula.

Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.
Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."


Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

selepas ...

 1.      Sekalipun selepas kematiannya…
“Saya tidak akan maafkannya,” tegasnya berkali-kali.
Saya tunduk simpati.
“Saya tidak akan maafkannya.”

Dia semacam tidak puas dengan penegasannya. Mengulangnya lagi.
“Apa untungnya puan tidak memaafkan?”
“Perbuatan dia menduakan saya sangat menyakitkan hati. Tidak sangka ada wanita lain di hatinya selain saya.”

“Puan… bukankah suami puan sudah meninggal dunia. Apa salahnya puan maafkan dia. Tidak ada apa-apa yang nak dicemburukan lagi. Terimalah hakikat dan susun semula kehidupan baru dengan anak-anak. Itu yang lebih utama. Semuanya sudah berlalu, hadapi yang sekarang.”
“Sayidatina Aisyah lagikan cemburu kepada Sayidatina Khadijah yang telah meninggal dunia, apatah lagi saya, seorang wanita biasa,” tekan wanita itu tanpa peduli kata-kata saya.

“Subhanallah, Sayidatina Aisyah cemburukan kebaikan Siti Khadijah yang selalu disebut-sebut oleh Rasulullah walaupun setelah kematiannya. Cemburu kepada kebaikan madu yang masih disebut suami walau setelah kematiannya berbeza dengan sikap tidak memaafkan suami yang telah mati kerana berpoligami secara sembunyi-sembunyi,” nasihat saya.

“Apa kurangnya saya? Bayangkan pada hari kematiannya baru saya dapat tahu dia telah menikah lagi. Sudah lama pula tu. Sudah 5 tahun. Bayangkan ustaz, depan saya nampak baik, solat, tutur kata lemah lembut,  bertanggung jawab, semua makan-minum, rumah dan nafkah kami sekeluarga dijaganya… tetapi tak sangka sezalim itu dia pada saya…”

“Suami yang berpoligami tidak zalim, tidak jahat. Jika semuanya terjaga baguslah tu. Suami yang tidak berpoligami pun ramai yang tidak macam tu. Isteri yang cuma satu itu pun tidak dilayan dengan baik, makan-minum terbarai!”

“Ustaz, salah kah saya?”
“Cemburu tidak salah. Itu fitrah di kalangan dua insan yang saling sayang menyayangi. Tetapi membenci, marah dan tidak memaafkan itu yang salah. Apatah lagi kepada suami sendiri, dan dia telah meninggal dunia. Adabnya, kita sebut yang baik-baik sahaja pada orang yang telah meninggal dunia.”
“Saya rasa tertipu…”

“Dia cuma tidak memberitahu,” ujar saya membetulkan.
“Mengapa?”
“Saya tidak dapat menjawabnya. Hanya Allah yang tahu. Bagaimana sikap dan kelakuan Allahyarham semasa hidupnya.”
“Alhamdulillah, semua baik. Dia suami yang baik. Saya sangat menyayanginya. Ustaz, orang yang paling kita sayanglah yang paling mampu menyakitkan kita. Dia yang paling saya sayang, dia yang menyakitkan. Cuma satu… poligami ini. Itulah yang meragut segala-galanya.”

“Puan, sayangilah dia setelah matinya seperti puan menyayangi dia semasa hidupnya. Jika begitulah akhlak dan keperibadiannya seperti yang puan ceritakan, saya pasti, insyaAllah dia punya sebab serta alasan yang syari’e untuk berpoligami…”

“Terfikir begitu juga ustaz. Saya dapat tahu madu saya tu err, err… seorang janda anak tiga. Dengan suami saya  dapat anak seorang lagi.”

Saya sedih, gembira, senyum dan suram berselang-seli. Perasaan bercampur-campur. Saya kenal dari jauh Allahyarham. Memang dia seorang yang baik akhlak dan ibadahnya. Mungkin dia juga ‘terperangkap’ antara keinginan yang kuat hendak membantu dengan menjaga kasih sayang terhadap isteri.
“Kenapa suami saya tidak berani berterus-terang?”

Saya diam…. diam yang panjang. Di dalam hati saya meneka-neka akan jawapannya. Kalau beginilah reaksi isterinya setelah dia mati, bayangkan betapa ‘hebatnya’ reaksi itu semasa dia hidup. Saya simpan jawapan itu. Saya juga seorang lelaki yang terus cuba memahami hati seorang wanita.
“Apa yang patut saya buat ustaz?”

“Puan sayang suami puan?” jawab saya dengan satu pertanyaan.
“Saya menyayanginya dengan seluruh jiwa saya ustaz…”
“Buktikan sayang itu dengan memaafkan. Sekiranya puan masih sukar memaafkan ertinya puan bukan menyayanginya tetapi menyayangi diri sendiri. Maafkanlah dia kerana Allah, jika benar puan cinta dia kerana Allah.”
Kali ini dia terdiam. Ada rintik-rintik air mata yang mengalir di pipinya. Itulah hati seorang isteri. Benci, marah, kecewanya… semuanya berbaur dan bergaul kerana terlalu cinta.

“InsyaAllah saya cuba ustaz. Selain itu?”
“Cuba berfikir bagaimana agaknya Allahyarham suami puan berfikir jika dia masih hidup. Apa yang akan dilakukannya?”
“Tentu dia akan melaksanakan tanggung jawabnya. Dia suami yang sangat bertanggung jawab.”

“Puan, cinta itu tanggungjawab. Tanggung jawablah yang menjaga cinta, apabila cinta diuji. Cinta dan tanggung jawab tidak akan terpisah oleh kematian salah seorang daripada dua orang yang bercinta. Puan tentu arif apa tanggung jawab suami puan bukan?”
Dia mengangguk perlahan. Saya tidak dapat menahan air mata…. Hakikatnya saya pun akan ditinggalkan isteri atau dia yang dahulu akan meninggalkan saya. Ya Allah, semoga semua cinta dan kasih sayang ini kerana Allah. Maha suci Allah, cinta orang beriman tidak akan dapat digugat oleh apa pun sekalipun poligami!
  1. 2.      Mengapa yang muda?
“Saya tidak faham kenapa suami saya pilih yang muda? Ini semua kahwin kerana nafsu. Cakap sahaja kerana pembelaan, sunah lah. Semua alasan…” kata wanita itu di hujung talian.
Sudah hampir sejam saya memberi laluan untuk dia bercakap. Saya masih banyak mendengar. Seperti yang selalu saya katakan, dalam banyak keadaan manusia bukan mencari penyelesaian tetapi hanya memerlukan didengar.
“Ustaz, semuanya kerana nafsu!”

“Benar. Orang yang tidak ada nafsu haram berkahwin,” kata saya perlahan.
“Jadi bolehlah ikut nafsu?”
“Ikut nafsu tak boleh, uruskan nafsu. Perkahwinan termasuk yang berpoligami adalah cara menguruskan nafsu.”
“Kahwin yang muda-muda ustaz…”

“Seseorang mendapat balasan atau ganjaran berdasarkan niatnya. Jika niatnya baik, tidak kira anak dara atau janda, semuanya dapat pahala. Tetapi jika niat tidak baik, berpoligami dengan siapa pun tidak berpahala.”
“Betul ke ustaz?”

“Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. wanita yang dinikahinya ada yang anak dara, ada yang janda, ada yang langsing dan ada yang berbadan besar…”
“Kenapa?”

“Pelbagai tujuan Rasulullah SAW. Ada yang bertujuan pembelaan. Ada yang merapatkan hubungan. Ada yang untuk meraikan pemberian atau hadiah. Ada pula yang bertujuan untuk menjadi simpanan ilmu. Lihat perkahwinan Rasulullah dengan Saudah. Lihat pula perkahwinan dengan Aisyah mahupun dengan Mariah Qibtiyah. Semua ada maksud dan tujuan berbeza… tetapi niatnya cuma satu, untuk mendaulatkan Islam.”
“Apakah benar suami-suami yang ada ini nak mencontohi nabi dalam berpoligami?”

“Sukar mengetahui niat dan hati seseorang. Cuma boleh lihat luarannya sahaja. Kalau dia komited dengan Islam, kemudian setelah poligami dia berlaku adil dan perjuangan Islamnya kita meningkat… insyaAllah moga-moga itu mencontohi nabi,” jelas saya.
“Saya geram mereka yang pilih muda-muda…”

“Saya kenal ramai mereka yang memilih janda dan wanita lanjut usia, “ balas saya.
“Saya dengar banyak cerita lelaki poligami tidak bertanggung jawab.”
“Saya juga banyak mendengar suami yang tidak berpoligami tidak bertanggungjawab.”

“Apa yang ustaz cuba sampaikan ni? Ustaz minta semua wanita terima poligami? Ustaz minta semua lelaki berpoligami?”
“Tidak begitu. Bagi saya  poligami persoalan kedua atau ketiga, persoalan pertama ialah mendidik lelaki agar bertaqwa dan adil, wanita yang sabar dan redha… serta masyarakat prihatin yang penyayang!”
“Eh, ke situ pula?”

“Kerana di situlah pangkal segala kebaikan. Didikan. Bila tidak terdidik, semua jadi masalah. Yang poligami ada masalah, yang monogami pun sama. Suami yang tidak bertanggung jawab, tetap tidak bertanggung walaupun isterinya seorang. Isteri yang derhaka tetap derhaka walaupun tidak dimadukan. Masyarakat yang tidak terdidik, akan memandang serong semua syariat Islam bukan hanya poligami.”

“Saya benci orang mengambil kesempatan dengan mengamalkan syariat dan sunah konon…”
“Jangan bimbang. Syariat Allah, Allah akan jaga daripada dinodai. Lelaki yang mengambil kesempatan akan terdera dengan sikapnya yang mengeksploitasi poligami. Perempuan yang tidak simpati kepada wanita lain yang ingin juga mendapat seorang suami dalam hidupnya juga akan diuji dengan masalah walaupun cuba lari daripada ujian poligami.”

“Ustaz tak memahami rasa hati seorang wanita…”
“Benar. Tetapi saya yakin wanita beriman tidak akan tercalar keimanan dan kesabarannya menghadapi seorang suami, sama yang berpoligami atau tidak berpoligami.”

“Semua dikaitkan iman…Kalau semua kuat iman ok lah. Sedangkan kita masih di peringkat mujahadah.”
“Bilangan lelaki dan wanita dekat-dekat sama sahaja. Malah ada statistik, lelaki lebih ramai daripada wanita. Poligami tak perlu!”

“ Ada kebenarannya. Tetapi ada statistik berapa ramai lelaki yang beriman yang benar-benar bertanggung jawab? Bagaimana pula jika dibandingkan dengan wanita yang benar-benar beriman yang mampu menjadi isteri yang baik?”

“Ustaz pro poligami sebab ustaz lelaki.”
“Ini bukan soal pro atau kontra. Bila sesuatu ada dalam syariat, pasti ada manfaatnya. Bagi saya poligami hanya soal ‘jarang-jarang’, dan ‘kadang-kadang’. Ia seumpama pintu kecemasan sahaja pada sebuah bas. Ramai orang yang masuk dan keluar ikut pintu biasa sahaja. Tetapi jangan nafikan kepentingan pintu kecemasan… ada masanya ia sangat perlu pada waktu khusus dan keadaan yang tertentu. Jadi, tidak bijak membuang pintu kecemasan itu!”

“Pilih yang cantik sahaja…”
“Baiklah, jika suami awak pilih janda atau wanita yang lanjut usia yang punya wajah biasa-biasa sahaja, awak setuju bermadu?”
Diam diam. Diam wanita yang berkahwin bukan tanda setuju!

Ah, poligami… sering tersepit dan terfitnah antara lelaki yang suka mengeksploitasi dan zalim dengan dan wanita yang tidak rela berkongsi dan punya kepentingan diri.