Selasa, 28 Oktober 2025

Pencen senja

 NASIHAT SI PENCEN KEPADA SI MUDA


Dulu aku sangka,

Bila tiba masa pencen,

Langit jadi lapang, waktu terbentang,

Akan kuisi dengan ayat-ayat Tuhan.


Aku rancang,

Akan kupeluk kitab,

Akan kucium mushaf tiap pagi,

Akan kuhadir kuliah tanpa henti.


Tapi kini,

Rupanya masa tua bukan sunyi,

Ia sibuk dengan tangis dan janji,

Dengan temu janji doktor,

Dengan menjaga suami yang sakit,

Dengan anak yang berpantang,

Dengan waris yang pulang ke rahmat Tuhan.


Setiap hari ada panggilan,

Ziarah, menjaga, menunggu,

Dan diri sendiri pun mula rapuh,

Nafas pendek, mata kabur, sendi lemah.


Wahai anak muda,

Jangan tunggu hari tua,

Jangan tunggu waktu pencen,

Baru mahu kenal Tuhanmu.


Ilmu itu bukan untuk masa lapang,

Ia cahaya di waktu sibuk,

Bekal sebelum malam panjang.


Kerana bila usia menginjak,

Bukan masa yang banyak datang,

Tapi ujian dan kesibukan yang mendatang.


Belajarlah sekarang —

Saat lututmu masih kuat sujud,

Saat matamu masih jernih membaca,

Saat hatimu masih segar mendengar.


Jangan kau ulang silap kami,

Yang menunggu senja untuk mencari fajar.


Kerana bila senja benar datang,

Kau akan tahu,

Masa muda yang kau sia-siakan,

Takkan kembali, walau setitis pun waktu.


Kredit : utk Tn Hj Nik Mat Nik Lib

Sabtu, 25 Oktober 2025

Bela lembu

 Tak Nak Percaya Sudah


Nasihat ikhlas buat anak muda yang nak masuk bisnes ternakan. Aku bukan nak cerita yang semua negatif, tapi inilah realiti kehidupan petani dan penternak. Sebab itu dipandang miskin dan kalah. 


1. Aku dah buat macam-macam cara. Dari menternak, trading lembu kambing hinggalah menjual daging segar. 


2. Aku dapat kesimpulan yang dunia penternakan di Malaysia ni tak ada masa depan. Betul le kot tu tariff yang trump buat untuk US. Dia kenakan tariff cukai pada barang import. Sebab yang dapat keuntungan import ni dari negara pengimport. Macam JUGA daging, kita boleh dapat harga yang murah dari seberang thailand. Sama ada masak secara sah atau laluan tikus secara seludup. Orang thailand suka bela lembu tapi mereka tak makan daging lembu. Penternak tempatan tak dapat apa. Kena buli dengan pemborong dan pembeli. 


3. Potensi bisnes makanan diwarkan sangat besar kat Malaysia. Barang sentiasa tak cukup. Tapi itu semua secara data sahaja. Daging banyak dari Australia dan India. Daging kotak dia jual cakap daging lembu frozen. Kalau dah murah sama je kalau dah masuk dalam periuk org kita cakap. Dalam ekonomi yang tak menantu mana mungkin rakyat mencari harga yang mahal untuk makanan asas mereka. Rakyat tak salah. 


4. Ternak lembu dan kambing bukan tak boleh untung. Tapi kena ada padang ragut beratus ekar. Kaya dari tiga keturunan atau dari agensai yang kerajaan yang suntik modal. Kalau setakat 30 ekor bela belakang rumah, pastinya makan pangkal. 


5. Kat kelantan dan kedah dapat kambing harga RM150 sekor. Orang ambil buat kambing golek. Penternak kena ketawa dan dipaksa jual kandang. Tak ada yang bersimpati. Lagi di perli “ kenapa tak boleh jadi penternak macam di Australia, thailand boleh jual harga murah?”. Hakikatnya mereka tak faham.


6. Kambing frozen dari Australia adalah kambing feral. Kambing feral adalah kambing lepas dari bukit-bukit. Bila dah banyak mengancam keselamatan dan orang kampung. Masuk pekan buat kerajaan suruh tangkap. Coboy tangkap kurung kejap dan proses sembelih hantar negara ke tiga. Mana ada modal makan macam fitlot. Tapi orang mereka pun tak makan daging frozen. 


7. Jual sekilo RM37 katanya mahal, jual RM30 katanya pun mahal. Kampung deorang jual RM25 sekilo katanya . Penternak Dah giveup jual je murah. Deorang ketawakan je sebab bukan deorang tak beli pun sebab deorang beli daging kotak je. 


8. Saya nasihatkan. Jangan masuk dalam bidang penternakan dan pertanian. Baik kerja gomen je. Ada pencen dan boleh buat lon beli rumah. Ko mati katak seorang diri jadi penternak. Penat sendiri. Memang ramai yang tepuk tangan tapi tak ada yang boleh bersama kau menanggis. Ingat. Bukan tak ada yang untung. Beli 100 ekor, simpan dan jual untuk korban. Itu boleh untung jual nyawa. Jual daging kelaut. 


9. Biarlah deorang import daging frozen. Biarlah … biarkan. Kau berkorban macam mana pun tak memberi impak besar. Biarlah deorang besarkan kartel import banyak-banyak. Kau mesti kalah. Bila kalah nanti deorang ketawakan kau. 


10. Bila tulis macam ni biasanya ada yang kata aku meraih simpati. Kata aku koyaklah. Sedangkan aku nak cerita yang cerita sebenar. Orang politik tetap akan meraikan kemenangan. Bekumpul-kumpul berkempen nak menang lagi. Lepas sehari manang. “ maaf saya tak boleh buat apa - apa bukan kuasa saya “. Tanpa memikirkan yang talaga dah kering. 


11. Aku?. Aku duduk kampung. Aku dah terlanjur dan tua. Tak berapa berguna. Aku dah memang menternak, aku dah memang seorang petani. Muka hitam, berpeluh dan samsing. Aku akan teruskan apa yang termampu. Mencari solusi bagaimana industri ini punya masa depan untuk anak bangsa ku.


Bukan tak ada jalan nak jadi kaya dengan menternak. Tapi dari 100 penternak, kurang 9.5% sahaja yang berjaya dan untung. Jika tidak perlu berketurunan menjadi pengembala. Sistem tidak menyokong mereka bukan sebab mereka tak bagus.

Spm 2025

 Kadang-kadang rasa penat bukan sebab mengajar,

tapi sebab hati ni letih menunggu kesedaran, perubahan  dan tindakan yang tak kunjung tiba.


Cikgu tak minta banyak pun. Cikgu bukan nak minta murid² cikgu semua cemerlang dan terbaik, tapi cikgu nak minta murid² cikgu ada doa dan usaha. lulus tu biar dengan doa dan usaha sendiri. Nampak usaha nak berjaya tu.


Cikgu bukan orang hebat mana pun masa sekolah dulu cikgu, biasa-biasa je tapi ada doa dan usaha sebab cikgu tahu betapa berharganya ilmu.

Sebab tu cikgu nak murid² rasa manisnya berjaya hasil titik peluh sendiri.


Bila difikirkan cikgu mungkin dah buat lebih daripada cukup, mengajar, menasihat, suntik semangat, kadang² sampai habis tenaga dan air mata. Tapi murid² ni, sebahagiannya masih belum nampak nilai pengorbanan tu lagi.


Cikgu bukan nak bangga dengan sijil murid², tapi nak murid² rasa nikmat berjaya tu.


Cikgu marah sebab sayang, cikgu tegur sebab peduli.

Cikgu doa setiap hari, biarlah satu hari nanti kamu sedar di sebalik bebelan dan kerja sekolah yang kamu tak suka, kamu benci, ada doa seorang cikgu yang mahu lihat kamu berjaya dalam hidup.


@norhaizatmokhtarrudin

Selasa, 21 Oktober 2025

Gaji

 Suami saya kerja biasa sahaja. Kerja kilang. Shift pagi petang. Kadang dia balik rumah bau minyak, tangan kasar penuh calar. Tapi tiap kali tengok dia balik senyum sambil tanya, “Awak dah makan?”Saya rasa itulah lelaki terkaya di dunia.


Saya pula seorang cikgu. Gaji agak besar, kerja berhawa dingin. Orang luar selalu cakap, “Untung la suami kau, isteri gaji besar, boleh tanggung hidup.” Mereka tak tahu… sampai hari ini, walau gaji saya lebih tinggi, tiada satu bil rumah pun yang dibayar guna duit saya tanpa izin dia sebagai suami.


Setiap 25hb gaji saya masuk. Dalam masa yang sama, suami masih ketap dompet penuh yakin… pergi bayar eletrik, sewa rumah, air, insurans kereta, bahkan siap hulur duit belanja untuk anak dan saya.


Saya pernah tanya dia, “Abang tahu kan gaji saya lagi besar?”


Dia senyum saja dan jawab,

“Gaji awak rezeki saya. Gaji saya maruah saya.”


Air mata saya tumpah bukan sebab sedih. Tapi sebab saya takut saya dah cukup hargai lelaki ini, atau belum?


Dalam diam, saya mula guna gaji saya untuk bahagiakan dia pula. Belikan kasut baru diam-diam. Belanja makan tempat mahal sekali sekala. Bayarkan insurans kesihatan untuk dia tanpa dia tahu.

Bukan sebab saya mampu tapi sebab

dia dah lama kaya dengan tanggungjawab,

saya hanya baru belajar kaya dengan rasa syukur.


Kalau hari ini anda ada suami yang rezekinya biasa-biasa tapi masih bersungguh jaga maruah sebagai suami tolonglah hargai. Sebab lelaki begini tak selalu bising tapi diam-diam doa mereka rezeki kita tak pernah putus.


Sumber : Admin #CikguAzza

Sabtu, 18 Oktober 2025

Solat

 Saya tak risau rakyat ghozza, mereka confirm syahid dan masuk syurga Insya Allah. Yang saya risau tentang solat . 


Segelintir yang jaga solat. Kecoh anak-anak rosak dan bermasalah dan kes banyak disekolah, punca katanya ibu bapa lah paling besar. Tak dinafikan punca besar itu ibu bapa. Betul. Sebab memang ada ibu bapa yang tak solat pun. Kalau anak-anak rosak boleh disalahkan ibu bapa. Tapi kalau ibu bapa tak solat atau rosak nak disalahkan siapa? Atuk nenek dia? Usaha membangunkan ummat ni usaha ibu bapa saja ke? Ibu bapa kepada ibu bapa saja kah? 


Habis tu peranan dakwah dari kerajaan, ulama, ustaz, cikgu atau daie tak perlu? Jawapannya semua kena terlibat bangunkan sistem hidup berdasarkan sistem Al quran. Sistem Islam. Sistem kerajaan pakai sistem islam, sistem sekolah pakai sistem islam. Sistem rumahtangga pakai sistem islam. Barulah selari. Tak jadi kalau rumah je didik ajar islam. Dekat luar rumah tak guna sistem yang sama. 


Budak-budak keliru. Sebagai ibu bapa yang segelintir tu.. Saya melihat usaha untuk menjadikan ibu bapa yang selebihnya supaya jaga solat ni amatlah penting. Perlukan kesedaran dan usaha yang amat besar dari segelintir yang solat ni untuk sedarkan mereka supaya jaga solat. Kerja yang susah nak dibuat. Tapi kena buat.


 Ingat, kita bertanggungjawab untuk satu sama lain. Kalau ada dalam kalangan kita jauh dari Allah, kitalah yang akan ditanya kelak, apa kamu buat untuk agama? Allahuakbar 😭😢

Jumaat, 17 Oktober 2025

SAQAJ

 Suatu hari, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pernah dicabar oleh seorang Yahudi untuk membuktikan kewaliannya. Malah, orang Yahudi itu mempersenda kewalian Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pada saat itu.


Dia memberikan cabaran bahawa Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani harus mencari kubur datuknya yang telah meninggal 500 tahun yang lalu.


"Wahai Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, benarkah engkau ini seorang wali?" tanya orang Yahudi itu.


Mendengar pertanyaan orang Yahudi itu, Syeikh Abdul Qadir lantas bertanya apa yang dia inginkan.


"Jika benar, apa yang engkau inginkan wahai orang Yahudi?" jawab sekaligus tanya Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


"Tolong tunjukkan kepadaku, di sebelah sana ada kuburan besar dan terdapat sekurang-kurangnya 500 mayat yang dikuburkan di sana. Jika engkau memang wali Allah, tentu engkau tahu di mana kubur datukku," ucap orang Yahudi itu.


"Kalau engkau memang raja para wali wahai Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, panggillah datukku agar beliau datang kepadaku atau tunjukkan di mana kuburnya," cabar orang Yahudi itu.


Selepas itu, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani menghampiri kuburan yang berbaris itu, disertai tiga orang muridnya. Di depan kuburan itu, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani berdiam sejenak. Kemudian beliau berteriak dan berkata,


"Wahai ahli kubur, bangunlah kamu semua," ucap Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


Atas kehendak dan redha Allah SWT, bangunlah satu demi satu mayat yang berada di dalam kubur itu. Kemudian setelah para mayat itu bangkit, salah satu mayat bertanya.


"Wahai Syeikh, adakah ini sudah hari Kiamat kerana engkau membangkitkan kami semua?" tanya salah satu mayat.


"Tidak saudaraku, aku hanya ingin bertanya kepada kamu semua siapa yang memiliki cucu ini," jawab Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


Akhirnya dari belakang barisan para mayat itu datang dan muncul seorang yang mengakui orang Yahudi itu.


"Saya Syeikh, dia adalah cucuku," jawab mayat itu.


Kemudian Syeikh bertanya kepada orang Yahudi itu, adakah mayat yang mengaku sebagai datuknya itu benar-benar datuknya.


"Benarkah dia adalah datukmu?" tanya Syeikh.


"Benar sekali Syeikh. Beliau telah meninggal beberapa ratus tahun yang lalu," jawab orang Yahudi itu.


Kemudian datuk tersebut memeluk cucunya dan berpesan agar dia mengikut Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


"Wahai cucuku, ikutlah engkau akan ajaran Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, beliau adalah kekasih Tuhan yang penuh karamah," pesan sang datuk.


Pada akhirnya setelah menyaksikan kejadian luar biasa itu, orang Yahudi tersebut memeluk Islam dan menjadi pengikut Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


Dan setelah kejadian itu, tiga orang murid yang ikut bersamanya berkata,

"Wahai Syeikh, sungguh besar karamahmu. Aku belum pernah menyaksikan kejadian yang lebih menakjubkan daripada kejadian yang baru saja engkau lakukan."


Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pun berkata,

"Wahai muridku, karamah saat aku menghidupkan 500 mayat tadi adalah karamah kecil. Karamah yang besar itu adalah ketika engkau mampu mengajak seseorang yang sebelumnya berada di jalan yang salah, lalu kerana sebabmu orang itu boleh kembali ke jalan yang benar. Jika engkau mampu melakukan itu, itu bererti engkau memiliki karamah besar dari Allah SWT."

Isnin, 13 Oktober 2025

Dr. Mashali

 Dia tak ada apa. Tapi dia bagi semua.


Tak pernah ada kereta.

Telefon pun tak.

Kemewahan? Jauh sekali.


Nama dia Dr. Muhammad Mashali. Orang Mesir panggil dia “Doktor Orang Miskin”.


Lebih 50 tahun, dia jalan kaki di jalan berdebu Tanta, Delta Nil. Sampai klinik kecilnya—tempat orang datang dengan harapan, kadang-kadang cuma berduit beberapa syiling.


Setiap hari lebih kurang 40–50 orang masuk jumpa dia.

Ramai tak mampu bayar. Dia layan juga.

Kadang-kadang dia yang hulur duit supaya pesakit boleh beli ubat.


Dia lulus cemerlang pada 1967. Masa tu hidup dia berubah.

Ayahnya jual macam-macam untuk biayai pengajian.

Dia bernazar: takkan tolak sesiapa yang perlukan rawatan.


“Ganjaran saya bukan duit,” kata dia. “Cukup senyuman orang yang berhenti sakit.”


Pernah ada ahli perniagaan hadiahkan dia USD20,000, siap kereta dan apartmen.

Dia jual semua. Hasilnya dibelikan peralatan perubatan untuk orang tak berduit.


Dia tak tanya kau siapa, kau sembah apa, rupa macam mana.

Kalau kau melangkah masuk, dia rawat.


Kerja lebih 10 jam sehari. Tak bising, tak riuh.

Bila ubat tak mampu menyembuhkan… dia sembuhkan dengan kebaikan.


Dr. Mashali meninggal dunia pada 2020, umur 76.

Tak tinggal harta. Dia tinggal sesuatu yang lebih berat nilainya—belas kasihan.


Tiada jubah wira.

Hanya stetoskop… dan hati yang besar. ❤️


#kiniviral


Moral

 "Kalaulah budak perempuan tu kelar diri dia atau apa-apa jadi dekat dia. Semua tu salah kau! Tahu?", marah pengawai akhlak pada seorang remaja sewaktu sesi mahkamah.


Semua peguam lain di mahkamah menyaksikan prosiding itu mendengar nasihat dan teguran pada tertuduh remaja ini. Masing-masing menyaksikan sambil menanti sesi kes mereka dipanggil.


Saya baru tiba, perbicaraan kes saya akan bermula jam 11 pagi di Mahkamah. Saya sampai awal. Sempatlah saya menyaksikan prosiding kes ini juga.


Sebelum saya masuk bilik mahkamah, saya lihat semua orang ada awam di luar. Jadi saya tahu prosiding ini untuk mahkamah kanak-kanak. Tertutup. Hanya peguam-peguam dibenarkan masuk.


"Kau dengan kawan-kawan kau, sama-sama buat. Bila dah jadi kes macam ni, yang ada bukan kawan-kawan kau. Tengok bapa kau yang kena datang dan sama-sama. Kesianlah dekat dia".


Pegawai ini jenis tegas. Bila bercakap mukanya serius. Suaranya lantang. Tak beri muka. Bagus. Tegas. Setiap perbuatan salah perlu ada tindakan.


Saya jadi tertanya-tanya apa kesalahan remaja ini kerana masuk separuh jalan prosiding.


Ada 2 pegawai yang bersidang bersama di Mahkamah Kanak-Kanak hari itu. Lelaki dan perempuan. Dua-dua tegas. 


Mereka berikan giliran si bapa berikan alasan-alasan kepada mahkamah kenapa teruduh tidak patut dihantar ke pusat pemulihan akhlak.


"Saya akan pantau penggunaan telefon dia. Sebab dia banyak masa dengan telefon. Saya dan isteri akan pastikan sentiasa pantau dia", terang si bapa.


"Anak encik ada anak yang lain juga ni. Encik berniaga dan isteri pun kerja. Nanti takut tak sempat nak pantau dia. Selain dari Encik cakap ni, ada apa-apa lagi kaedah untuk pemulihan dia?", tanya salah seorang pegawai.


Bapanya si tertuduh jawab tentang pembahagian masa antara dia dan isteri. Tak mahu beri telefon. Kemudian lepas balik sekolah, ada jadual disediakan.


"Lagi?", tanya pegawai. Si bapa diam. Barangkali dia sedang memikirkan apa lagi kaedahnya. 


Kemudian pegawai itu sambung, "Dari segi agamanya encik? Moralnya? Apa encik nak buat? Apa usaha untuk perbetulkan untuk masuk dalam jiwa dia. Terangkan. Kami nak dengar. Kita nak dia betul-betul berubah".


Sesuatu yang sering dilupakan. Agama. Benarlah sepanjang memberi segala alasan. Bab agama ini, tidak langsung disentuh.


Realitinya, makin pudar amalan ibu bapa dulu-dulu yang selalu berpesan. "Kau jangan begitu, kau jangan begini". "Berdosa. Allah marah" "Jangan usung anak orang merata". "Bersentuhan haram". "Berzina haram".


Makin pudar sehingga remaja berpeleseran di sana sini. Mengadakan seks awal usia sudah tidak salah. Melahirkan anak nikah semakin diterima. Ada ibu bapa yang sekarang mengizinkan anak remaja bercinta, keluar masuk rumah seperti tiada apa.


Kalau dulu, masih ingat lagi babak dalam filem 'Ali Setan', si Tipah tertipu mengandungkan anak luar nikah. Mengamuk Jins Samsudin memegang senapang.


Bapa tertuduh ini terangkan pada mahkamah. Kemudian mahkamah perintahkan bon kelakuan baik dan beberapa perintah lain. Dia tidak dimasukkan dalam pusat pemulihan. 


Selesai sesinya, kemudian masuk tertuduh kedua dan seterusnya tertuduh ketiga.


Rupanya mereka ini kawan-kawan. Semua mereka berusia 14 tahun. Di sekolah tertuduh pertama ada girlfriend berusia 14 tahun. Mereka bercinta. Dipujuknya tertuduh pertama hantar gambar bogel. Maka girlfriend ini pun hantar gambar. 


Budak perempuan ini pun satu hal juga. Tolonglah tekankan pada anak-anak perempuan. Jaga maruah, jangan jadi bodoh. Bercinta habis semua dibaginya. Baru 14 tahun.


Dapat sahaja gambar tertuduh pertama hantar pada tertuduh kedua dan tertuduh ketiga. Sama-sama seronok bergelak ketawa. Tak cukup dengan itu mereka tularkan satu sekolah. Semua orang di sekolah dapat gambar bogel gadis ini.


Bila tular satu sekolah, cikgu dapat tahu. Cikgu kemudiannya hubungi keluarga pelajar perempuan dan keluarga buat laporan polis. Maka remaja lelaki ini semua dituduh bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Waktu tertuduh kedua diberikan nasihat, ceramah oleh pegawai akhlak di hadapan lebih kurang 10 peguam lain yang sedang menanti kes mereka sepatutnya malu dan kesal.


Saya sempat berpusing ingin melihat muka wajah tertuduh kedua ini. Kita jadi tertanya-tanya. Ingin melihat wajah-wajah generasi pelapis yang..entahlah. 


Saya pusing seketika melihat wajahnya. Dia perasan saya pusing. Dia berpaling dan merenung saya kembali. 


Entahlah, saya tak nampak rasa penyesalan lebih kepada seperti marahkan saya sebab menyibuk halnya. Matanya merenung marah umpama "Apa tengok-tengok?". Entahlah. Tiada penyesalan. 


Sama ada pengalaman di mahkamah itu, siasatan, penahanannya dan segala proses itu memberi pengajaran padanya atau menjadikan dia selepas ini lebih licik untuk 'tutup' jejak jenayah selepas hukumannya selesai.


Benarlah kata pegawai akhlak "Agamanya? Moralnya?". Kita hendak ubah itu ini. Hukum itu ini tetapi dalam jiwanya yang telah jauh dan rosak. Bagaimana? Bab agama dan moral ini sebenarnya dipupuk dari kecil. Baru akan sebati dengan jiwanya.


Kes ini bukan berlaku di luar negara. Dalam negara kita sendiri.


Berpesan-pesanlah pada anak-anak lelaki kita, jangan jadi kejam begini. Ikut suruhan agama dan moral. Tanam sifat kemanusiaan.


Berpesan-pesanlah kepada anak perempuan kita. Jaga diri. Jaga maruah. Ikut suruhan agama. Jangan jadi bodoh dan jangan jadi mangsa.


Oleh Nor Zabetha

Jumaat, 10 Oktober 2025

Realiti

 Kita bukan ciptaan kilang.

Tapi entah sejak bila, tubuh pun perlu diservis ikut jadual.

Kononnya untuk sihat ; tapi makin ramai yang sakit.


Tubuh ini bukan milik sistem.


Tubuh manusia bukan mesin untuk diservis setiap kali mereka cipta “penyakit baharu”.

Bukan makmal untuk diuji bahan kimia atas nama sains.


Dulu sihat cukup dengan jaga makan dan jaga hati.

Sekarang sihat bergantung pada jarum dan jadual cucuk.


Mereka ajar kita takut pada demam,

tapi suruh percaya pada racun yang disuntik.

Mereka kata nak dapatkan perlindungan,

tapi kenapa makin banyak yang sakit selepas “dirawat”?


Anak-anak bukan robot untuk dikawal setiap dos.

Mereka manusia ; lahir dengan sistem imun yang Allah cipta, bukan buatan kilang.


Dan kita,

tak lahir untuk dikejar jarum,

tapi untuk hidup dalam fitrah.


Bila manusia terlalu percaya pada sistem,

di situlah bermulanya kehilangan iman terhadap fitrah. 


Hidup yang indah jadi komplikated bila anda memilih menjadi provaksin. Sedarlah.