Ahad, 8 Mei 2011

Osama Laden vs US Dollar...

 ismanusa

"
Cerita kematian Osama diterima dengan berbelah bagi oleh masyarakat dunia, walaupun Obama buat masa ini berjaya meyakinkan sebahagian besar penduduk US berdasarkan undi populariti yang dibuat oleh mereka.

Tetapi semakin hari berbagai-bagai cerita yang berlainan di berikan oleh US apabila dunia meminta bukti tentang kematian Osama. Pada mulanya mereka katakan mayat Osama dikebumikan dilaut. Kemudiannya berjanji untuk menunjukkan gambar Osama di bunuh, tetapi tidak lama kemudian menarik balik janji tersebut dengan alasan gambar amat ngeri bimbang kemarahan umat Islam. Ada lagi kenyataan rasmi bahawa Osama di tembak di kepala dan yang paling baru ialah Osama meletupkan dirinya sendiri bagi mengelakkan di tangkap oleh askar US. Semakin hari semakin terserlah pembohongan mereka, insyaAllah Allah akan menunjukan kepada kita akan kebenarannya.

Sejarah telah membuktikan semua peperangan besar antaranya perang dunia pertama dan kedua adalah kerana faktor ekonomi. Peperangan adalah diperlukan bagi memaksa dunia menerima matawang kertas terutamanya Dollar. Inilah asas utama ekonomi riba-kapitalis. Inilah juga yang mendorong Jepun terlibat dalam peperangan dunia kedua, iaitu apabila mereka melihat pihak British berjaya meningkatkan kekayaan dengan mencetak duit-duit kertas dan dengan itu dapat membiayai penjajahan bagi meluaskan empayar mereka. Seperti tertulis dalam sejarah Tanah Melayu selepas Jepun tewas, wang kertas mereka langsung tidak bernilai. Sebenarnya inilah yang sedang dilaksana oleh US sekarang ini apabila mereka mendapati matawang Dollar turun mendadak disebabkan bebanan hutang mereka yang mesti mereka jelaskan pada bulan Jun ini atau mereka akan menghadapi risiko penurunan taraf ekonomi, kesannya lebih teruk daripada krisis ekonomi tahun 30an dulu.

Pada tanggapan mereka, berita kematian Osama yang kononnya dalang serangan 9/11 akan melonjakkan pasaran saham tetapi meleset. Amat tidak berbaloi apabila dibandingkan usaha pemburuan Osama memakan masa 10 tahun dengan mengorbankan beribu-ribu nyawa dan melibatkan perbelanjaan sekurang-kurangnya 1.3 trillion dollar. Hanya berlaku sedikit kenaikan dalam indeks DXY dari 72.72 point kepada 73.04 point pada penutup ketika hari berita itu diumumkan. Perubahan kepada kenaikan nilai dollar adalah akibat manipulasi pasaran komoditi seperti emas dan perak kononnya akibat pengukuhan nilai dollar berikutan berita tersebut. Tidak ada reaksi yang sepatutnya dari pasaran Wall Street untuk menerangkan kejatuhan nilai emas dan perak melainkan terang-terang berlakunya manipulasi.

Apakah satu kebetulan apabila masa kematian Osama datang tepat pada waktunya ketika matawang dunia ini berada dihujung tanduk? Nilai Dollar sedang turun dengan membimbangkan sejak tiga bulan yang lepas, yang melonjakkan pasaran komoditi tetapi mengancam kedudukan taraf penilaian Dollar US. Keputusan "menamatkan" Osama samada berlaku atau tidak, buat masa ini berjaya mengurangkan kebimbangan penurunan penarafan nilai Dollar, buat masa ini. Rancangan jangka pendek mereka untuk mengukuhkan nilai Dollar berjaya, tapi tipudaya akhirnya kan terbongkar dan memakan diri mereka sendiri. Kita yakin dengan janji Allah bahawa mereka (iaitu Zionis dan sekutu-sekutu mereka) akan dihancurkan dengan kehancuran yang hebat akibat dari kezaliman sistem Riba-Kapitalis hingga menyebabkan dunia porak-poranda. Mereka (Zionis) itu merancang dan Allahpun merancang, tapi perancangan Allah itulah yang paling baik!

Lautan Dalam...


Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis, apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar) (Surah An-Nur 24: Ayat 40)
Ingatan Tentang Ombak
Mawujun min fauqimawjun. Dalam ayat tersebut ada menyatakan tentang kewujudan ombak yang berlapis ombak. Kejadian ini disebabkan oleh ketumpatan air laut dan suhu yang berubah mengikut kedalaman air. Ketumpatan air berubah mengikut kedalaman air disebabkan oleh daya tarikan graviti.

Senang kata, paling bawah yang paling tumpat, paling atas kurang tumpat dan suhu menjadi semakin rendah bila kedalaman bertambah. Kedua elemen ini bila kita gabungkan akan menghasilkan sifat laut yang berlapis-lapis.

Lapisan air laut ni bergerak dengan kelajuan yang berbeza dan akan bergeser antara satu sama lain lalu membentuk ombak berlapis antara satu sama lain. Pergerakan air laut ini disebabkan oleh putaran bumi atas paksinya dan juga dinamakan ombak dalaman.
Photo by: Colecovizion 
أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُّجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَبَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِن نُّورٍ
Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis, apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)
(Surah An-Nur 24: Ayat 40) 
Kegelapan Laut Dalam

Prof. Durga Rao, seorang pakar dalam bidang Geologi Marin dan bekas professor di Universiti King Abdul Aziz, Jeddah, telah di minta memberi pendapatnya mengenai ayat Al-Qur’an dalam surah yang disebutkan di atas:

Prof. Rao menyatakan bahawa hanya para saintis pada masakini dengan bantuan peralatan moden dapat mengesahkan bahawa adanya kegelapan di dasar laut. Manusia tidak boleh menyelam di dasar laut tanpa bantuan peralatan pada kedalaman melebehi 20-30 meter, dan tidak boleh hidup di kawasan dasar laut pada kedalaman melebehi 200 meter. Ayat di atas tidak merujuk kepada kepada semua lautan kerana tidak semua lautan di dapati mempunyai lapisan-lapisan tahap kegelapan. Ayat ini merujuk khusus kepada lautan dalam, seperti mana yang disebut oleh ayat ini : “kegelapan di lautan dalam yang luas.” Lapisan kegelapan di lautan dalam ini terjadi akibat dari 2 sebab:

1.    Satu sinaran cahaya terdiri daripada 7 jalur warna, iaitu ungu, biru nila (gelap), biru, hijau, kuning, oren dan merah (VIBGYOR). Sinaran cahaya ini akan mengalami pembiasan/pemantulan apabila ianya mengenai air. Lapisan air 10-15 meter teratas akan menyerap warna merah. Oleh itu jika seorang penyelam menyelam sedalam 25 meter ke bawah laut dan terluka, ia tidak akan dapat melihat warna merah darahnya, kerana sinar warna merah ini tidak dapat menembusi kedalaman ini. Begitu juga sinar warna oren akan diserap pada kedalaman 50-100 meter, hijau pada kedalaman 100-200 meter, biru pada kedalaman melebehi 200 meter, sinar ungu dan biru nila pada kedalaman melebehi dari lapisan tersebut Akibat dari kehilangan berperingkat sinar warna ini, dari satu lapisan ke lapisan yang lain, lautan menjadi bertambah gelap secara berperingkat. Kegelapan bertambah mengikut lapisan penyerapan sinar warna. Di bawah kedalaman 1000 meter , ianya menjadi gelap-gulita.

2.    Sinaran matahari diserap oleh kepulan awan ,yang mana ia membias/memantulkan sinaran cahaya mengakibatkan lapisan gelap di bawah awan. Ini merupakan lapisan pertama kegelapan.. Apabila sinaran cahaya ini sampai ke permukaan laut, ianya dibiaskan/dipantul oleh permukaan ombak menyebabkab adanya sinar pada permukaan air. Oleh itu ombak membias/memantulkan cahaya dan mengakibatkan kegelapan. Sinar cahaya yang tidak dipantul akan menembusi ke dalam lautan. Oleh itu lautan mempunyai dua bahagian, iaitu permukaan laut yang bercirikan cahaya dan kepanasan, dan laut dalam yang bercirikan kegelapan. Permukaannya pula dipisahkan daripada bahagian dalamnya oleh ombak.

Ombak dalaman menutupi air dalam di bahagian bawah lautan kerana air di bahagian dalam ini mempunyai kepadatan yang lebih tinggi berbanding dengan air di bahagian atasnya.

Kegelapan bermula di bawah ombak dalaman, sehinggakan ikan-ikan di bahagian air dalam ini tidak dapat melihat; sumber cahaya bagi mereka adalah dari tubuh ikan-ikan itu sendiri.

Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Al-Qur’an:

“Kegelapan di dalam lautan dalam yang meluas, ditutupi ombak-ombak, yang di atasnya lagi ditutupi ombak-ombak”.

Dengan lain perkataan, di atas ombak ini ada lebih banyak jenis ombak, iaitu yang terdapat di permukaan lautan. Al-Qur’an menyatakan lagi, “di atasnya ditutupi awan (gelap), kegelapan yang berlapis-lapis, satu di atas yang lain”.

Awan-awan ini adalah lapisan –lapisan penghadang , satu di atas yang lain, yang seterusnya menyebabkan kegelapan akibat penyerapan warna-warna pada peringkat-peringkat yang berbeda.
Prof. Durga menyimpulkan dengan menyatakan: “Pada 1400 tahun yang lalu, seorang manusia biasa tidak dapat menerangkan fenomena ini dengan begitu terperinci. Oleh itu keterangan ini semestinya datang dari suatu sumber yang luarbiasa”.
 Al-Quran bukan lah semata-mata untuk kita rungkai kan fakta-fakta sains sahaja,, tetapi amaran-amaran serta iktibar-iktibar yang terdapat di dalam nya juga perlu kita semadikan dalam hati. Para sahabat dahulu "Kami dengar dan kami taat" tanpa perlu pembuktian sains. mereka tetap yakin. mereka adalah Haqqul Yaqin. Semoga kita boleh mencapai darjat seperti mereka di sisi Allah Swt selepas sedikit Ainul Yaqin
sumber:iluvislam.com

Sumpah

kita pernah pergi ke Makkah, kita akan berhadapan dengan sikap orang Arab yang berniaga. Setiap ayat yang hendak diucapkan pasti dimulakan dengan sumpah. “Wallahi ya akhi” sudah biasa dibibir mereka. Sudah jadi kelaziman dalam perbualan mereka. Dan pada peniaga ini sumpah cari makan namanya. Kalau tidak, pembeli tidak yakin dengan barang jualannya.

Pasangan yang sedang bercinta, kerap juga bersumpah. Ada yang sumpah hendak hidup semati, juga sumpah tidak ada kekasih lain dan sumpah untuk buat itu dan ini demi cinta, kononnya. Inilah sumpah orang yang bercinta. Sumpah ini kadang-kadang sumpah palsu bagi tujuan mengambil hati kekasihnya. Mereka ini tidak tahu kesan kalau melakukan sumpah palsu.

Ada juga pasangan yang bergaduh membuat sumpah. Sumpah untuk tidak berjumpa lagi, sumpah untuk tidak berkahwin dan sebagainya. Inilah sumpah orang yang bergaduh, sumpah waktu marah. Sumpah ini kadang-kadang gagal ditepati. Apabila hati reda mereka berbaik semula.
Seseorang yang hendak dibicarakan di mahkamah, mereka diminta bersumpah untuk bercakap benar. Maka sebelum bicara dimulakan dengan sumpah yang dipimpin oleh petugas mahkamah. Sumpah itu dilakukan di hadapan hakim. Sumpah di mahkamah ini boleh memberi kesan jika mereka memberi maklumat palsu.
Walaupun bentuk-bentuk sumpah di atas tidak termasuk dalam perintah syarii tetapi sumpah yang diungkapkan jika dilanggar, dia telah berdosa. Walaupun sumpah ini hanya sumpah sesama manusia yang mereka sendiri kena adili tetapi Allah tetap melihat dan mendengar. Maka jika mereka engkar, mereka akan tanggung risiko sendiri. Maka bagi mengelak risiko pelanggaran, batalkan sumpah itu dan bayar kifarat.
Tetapi realitinya, umat Islam tidak faham lalu berkali-kali bersumpah dan berkali-kali pula melanggarnya. Bayangkan kalau setiap kali melanggar sumpah perlu membayar kifarat, berapa banyak yang mereka perlu tanggung dosa.

Sumpah syarii
Seterusnya sumpah yang dilakukan di hadapan Allah. Biasanya seseorang itu bersumpah itu dan ini jika mereka berjaya mendapat impiannya. Sumpah ini juga dipanggil nazar. Sumpah ini wajib mereka laksanakan. Jika mereka gagal melaksanakan sumpah itu, mereka wajib membayar denda iaitu kifarat nazar.
Wajib membayar kifarat sumpah dengan takhyir dan tartib, ertinya memilih dengan mengikut urutan seperti berikut:
1. Memerdekakan hamba atau budak; jika tidak, maka
2. Memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang fakir miskin; jika tidak
3. Puasa tiga hari.

Ada satu lagi sumpah iaitu “ila’” namanya. Ini sumpah suami untuk tidak mahu mensetubuhi isterinya dalam tempoh tertentu. Selepas habis tempoh ila’ itu dia perlu ceraikan isterinya, kalau tidak hakim boleh menceraikan isterinya bagi pihaknya. Tetapi kalau dia batalkan sebelumnya dengan mensetubuhi isterinya maka dia perlu membayar kifarat.
Akhir sekali sumpah laknat yang dalam fiqhnya disebut “li’an”. Sumpah ini hanya untuk pasangan suami isteri. Iaitu apabila suami yang menuduh isterinya berzina atau isteri menuduh suami berzina, maka mereka telah melakukan satu kesalahan kecuali kalau mereka berjaya membawa empat orang saksi. Jika tidak ada saksi, pihak yang menuduh wajib bersumpah li’an bahawa isterinya berzina atau suami berzina.
Jika tuduhan itu tersasar, sedangkan dia sudah bersumpah maka layaklah dia menerima hukuman Allah seperti yang disumpahkan. Tapi ingat sumpah ini hanya untuk suami isteri sahaja. Bapa mentua, ipar tidak boleh bersumpah dalam kes ini apatah lagi orang luar.
Ketiga-tiga jenis sumbah yang terakhir ini adalah termasuk dalam sumpah syarii. Jika mereka tersalah maka hukuman hanya Allah sahaja yang tahu. Jadi, orang yang beriman harus berhati-hati dengan sumpah ini, tidak harus dimain-mainkan kerana kifaratnya amat berat.

Cara sumpah li’an
Sumpah li’an ini dikenakan kepada pihak yang membuat tuduhan zina dalam kalangan suami isteri tetapi mereka gagal membawa empat orang saksi. Maka suami hendaklah bersumpah naknat sebanyak empat kali. Selepas selesai sumpah suami, isteri bolehlah bersumpah balas menafikannya sebanyak empat kali juga. Tetapi kalau suami sahaja yang bersumpah, isteri wajib dikenakan hukuman hudud.
Ungkapan sumpah itu pelbagai iaitu: “Saya bersaksi dengan Allah bahawa saya dalam kalangan orang yang benar pada apa yang saya tuduhkan ka atas isteri saya (sebut nama) dengan berzina.”
Atau: “Bahawa anak ini atau itu anak zina bukan anak saya.”
Dan pada akhir kedua-dua sumpah itu hendaklah disambungkan dengan ungkapan ini: “Maka ke atas saya laknat Allah jika saya dalam kalangan orang yang berdusta.”
Isteri pula selepas itu harus bersumpah menafikannya: “Saya bersaksi dengan Allah bahawa (sebut nama suami) dalam kalangan orang yang berdusta yang menuduh saya sebagai orang yang berzina.” Kemudian akhirinya dengan, “ke atas saya kemurkaan Allah jika adalah dia dalam kalangan orang yang benar.”
Jika selesai upacara sumpah itu, terlepaslah mereka berdua daripada hukum hudup iaitu qazab terhadap suami dan rejam terhadap isteri. Walau bagaimanapun hubungan suami isteri selepas itu tercerai secara automatik. Juga ternafi anak itu nasabnya walaupun sememangnya anak itu anaknya. Seterusnya diharamkan mereka berkahwin semula.
Tetapi pada hari ini, jarang kita dengan suami isteri yang melakukan li’an mungkin kerana tidak tahu atau tidak mahu. Walau bagaimanapun kita sering mendengar suami atau isteri yang membuat tuduhan terhadap pasangan masing-masing. Mereka ini secara tidak langsung telah melakukan qazab. Bayang berapa banyak dosa yang mereka lakukan dalam hal ini setiap hari.
Oleh Ust Ahmad Baei Jaafar

Islam di Mesia

Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut; "Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan, apa-apa undang-undang yang diluluskan berlawanan dengannya hendaklah terbatal setakat ia berlawanan itu." Jarum penjajah masih lagi kekal di Malaysia dengan terwujudnya Perlembagaan sebegini rupa. Ianya diwujud untuk memastikan bahawa Islam yang terwujud di Malaysia ini hanya disempitkan dengan kewujudan undang-undang syariah yang lemah dan tertakluk kepada Perlembagaan. Bukannya tertakluk kepada sumber tunggal Islam, iaitu Al-Quran, As-Sunnah dan Qias Ulama..

Maka, apa yang ada kepada Islam didalam negara Malaysia ini? Apa yang hendak dibanggakan sangat oleh umno, perkasa dan perhebat berkenaan Islam yang sungguh tidak berkuasa di negara Malaysia ini? Islam di Malaysia adalah sangat lemah dan tidak dikukuhkan dengan sesuatu yang solid didalam pentadbiran dan juga dari segi undang-undang di Malaysia..

Jika perzinaan berlaku, apa yang boleh Islam di Malaysia lakukan terhadap pesalah yang berzina itu? Denda berapa ribu RM sahaja. Esok pelaku zina akan berzina lagi. Isu arak, apa yang Islam di Malaysia boleh lakukan? Tangkap dan bayar denda tidak seberapa dan kemudian esok boleh minum arak lagi. Apa pula kes dengan judi? Berjudilah kamu sepuas-puasnya sehingga kamu masuk ke lubang neraka?.

Jika seseorang manusia Islam, tiba-tiba dimurtadkan, hanya kerana bernikah dengan kekasihnya yang bukan beragama Islam, maka apakah kuasa yang ada didalam negara Malaysia untuk mengelakkan perkara ini berlaku dengan kuasa undang-undang yang ada di Malaysia sekarang? Adakah undang-undang yang solid untuk mengelakkan perkara ini berlaku? Jawapannya tiada!. Kerana apa? Kerana enakmen murtad masih belum ada di Malaysia. Mengapa masih tiada? Kerana ianya mesti diluluskan di Parlimen dan jika dilulus pun, namun jika tidak mengikut semangat Perlembagaan, maka enakmen itu akan digugurkan secara automatik..

Pelik bukan, satu suruhan oleh Allah SWT, yang jelas dari As-Sunnah, perlu diluluskan oleh segerombolan manusia yang dipilih dalam pilihanraya kemudian mestilah mengikut kepada Perlembagaan yang dibuat oleh sekumpulan manusia yang bukan beragama Islam pun! Apa kes ini?.

Selagi umat Melayu masih berfikiran umno kolot dengan menganggap terwujudnya masjid, maka Islamlah negara itu, dengan bebas bersolat, berwirid dan merayakan hari kebesaran Islam, maka Islamlah negara Malaysia ini, maka selagi itulah Islam akan hanya menjadi bahan kosmestik didalam pentadbiran negara Malaysia. Digunakan hanya bila diperlukan dan dibuang jauh-jauh jika tidak diperlukan.. Malaysia adalah sebuah negara neo-sekular, bukannya negara Islam. Jika menuduh Malaysia adalah negara sekular, maka ianya adalah tuduhan yang agak berat dan sedikit tersasar. Namun apakah neo-sekular dan apakah juga sekular itu..

Maksud sekular adalah sebuah negara yang ditadbir dengan memisahkan secara total antara pemerintah dengan agama. Dunia untuk pemerintah dan akhirat untuk agama. Ianya sebuah doktrin pemisahan Gereja didalam pentadbiran negara orang Kristian..

Manakala maksud neo-sekular pula ialah, terdapat pemisahan antara pentadbiran negara dengan agama, tetapi ada diselit dengan perkara-perkara agama yang ringan didalam pentadbiran itu. Ianya banyak berlaku didalam negara umat Islam. Contoh terbaik di Malaysia. Salah satu caranya ialah pentadbiran berlandas Perlembagaan dipisahkan sedikit dengan pentadbiran berlandas syariat. Contohnya Mahkamah Syariah untuk orang Islam diwujudkan tetapi mempunyai bidang kuasa yang kecil dan masih dibawah takluk Perlembagaan Malaysia..

petikan; http://ibnmustaffa.blogspot.com/"

Sabtu, 7 Mei 2011

Bapa Mithali...

Guagnxi Zhuang, China- Seorang bapa, Lu Tan, 39 terpaksa bertindak keras ke atas anak lelakinya berusia 14 tahun dengan mengheretnya dalam keadaan tangan terikat di belakang dan telanjang setelah didapati anaknya tidak menghiraukan nasihat dan amaraannya supaya jangan lagi menghabiskan masa dengan bermain permainan komputer.

Hampir setiap hari Xiaomeng, 14 tahun menghabiskan masanya sepanjang hari dengan memerap di dalam biliknya kerana ketagihan bermain permainan komputer.  Amaran yang diberikan berpuluh kali terhadap anaknya seolah-olah seperti sampah.  Setelah komputer di rumahnya di humban ke tempat pembuangan sampah oleh ayahnya, Xiaomeng mencuri-curi keluar ke siber kafe pula dan membelanjakan banyak wang. 

Akhirnya kesabaran seorang ayah hilang lalu bertindak di luar kawalan.  Dia menyerbu siber kafe tersebut, menampar, mengikat tangan dan membogelkannya.  Kemudian dia mengheret anaknya di hadapan rakan-rakanya dengan tujuan memberi pengajaran dan kesedaran kepada anaknya bahawa masa depannya bukan bergantung kepada permainan komputer tetapi perlu menumpukan pelajarannya di sekolah dan membantu ayahnya di rumah.  
Isteri  Lu Tan meninggal dunia ketika anaknya berusia 9 bulan.  Semenjak itu dia bekerja keras menanggung keluarga. Akibat terlalu kecewa dengan sikap anaknya dia bertindak demikian demi masa depan anaknya.  Dia mahukan anaknya sedar dan menjadi orang yang berguna kemudian hari.
 
Ulasan
[ Gejala ketagihan permainan komputer [video game] sebenarnya sudah meluas di kalangan kanak-kanak bawah umur di negara kita.  Dengan kewujudan banyak  siber kafe yang menyediakan kemudahan  permainan komputer di pekan dan bandar tambah merumitkan masalah sosial di kalangan anak-anak Melayu terutamanya.

Ibu bapa harus bijak mengawal dan menangani anak mereka agar tidak terjebak dengan masalah ini.  Permainan komputer dengan cara yang betul sebenarnya dapat membantu anak-anak kita mengembangkan minda kreatif, membantu meningkatkan penguasaan pemahaman dalam bahasa Inggeris  dengan syarat ibu bapa mestilah mengawasi dan memastikan had masa mereka bermain, serta jenis permainan yang sesuai dengan tahap umur anak.  Lebih baik jika kemudahan komputer dapat disediakan di rumah untuk mengelakkan anak-anak daripada melepak di siber kafe.
Penguatkuasaan yang longgar juga antara punca gejala buruk ini menghantui kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.  Pihak berkuasa pula harus lebih tegas terhadap pengusaha siber kafe supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Tindakan tegas dan penguatkuasaan hukuman mestilah dilaksanakan terhadap pengusaha yang melanggar undang-undang.]