Ahad, 7 Ogos 2011

Guru disiplin


BEZA ‘budak sekolah’ dulu dengan ‘budak sekolah’ sekarang begitu ketara di mana pelajar zaman dulu, apabila dirotan hingga lebam di tapak tangan atau di punggung kerana tidak membuat kerja sekolah yang guru berikan adalah perkara biasa.
Mereka tidak akan mengadu kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana jika mereka tahu, akan bertambah lebam kena rotan.
Pelajar sekarang terlalu manja. Jika dijentik sedikit atau dicubit oleh guru yang ada bekas lebam saja, mulalah ibu bapa datang ke sekolah mengadu kepada guru besar.

Tidak cukup dengan itu, mereka akan buat laporan polis dan memanggil pemberita untuk kejadian disiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.


Jika inilah sikap kebanyakan ibu bapa yang kerjanya suka mengadu hingga ke peringkat Kementerian Pelajaran hanya kerana denda cubit atau sebagainya. Tindakan ibu bapa murid manja ini akan mematahkan semangat guru untuk mengajar adat dan adab ketika belajar dan berikutan itu, ada antara guru kini membiarkan saja murid nakal dan tidak berdisiplin itu.

Maka lahirlah murid tidak lagi menghormati guru kerana kini di belakang pelajar ada ibu bapa yang sanggup ‘menyerang’ sesiapa saja yang cuba ‘mencubit’ anak mereka.

Ibu bapa perlu lebih rasional kerana tiada guru yang merotan hingga patah tangan atau patah riuk tulang muridnya kerana segala yang dilakukan itu hanya sebagai pengajaran yang menunjukkan keprihatinan guru yang sayangkan muridnya supaya jadi manusia berguna.


SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban

Soalan untuk diri sendiri .

BAGAIMANA AKU HENDAK JADI SEORANG KHALIFAH ?

"Allah jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifa-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka;khalifah yang berkuasa;dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang diredhaiNya untuk mereka" (An-Nur:55)

KENAPA AKU DICIPTAKAN ?

"Aku tidak jadikan jin dan manusia keuali supaya mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" (Adz-Dzariyat:56)

APAKAH TUJUAN HIDUPKU ?

"Katakanlah, solatku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan Semesta Alam" (Al-An'am)

APAKAH ITU KEBENARAN ?

"Yang demikian ialah kerana Allah itulah yang benar dan segala apa yang mereka sembah selain dariNya itulah yang palsu dan Allah itulah Tuhan Yang Maha Tinggi dan Maha Besar" (Luqman:30)

KALAU BETULLAH KEBENARAN ITU, KENAPA AKU TIDAK NAMPAK ?

"Dan kami jadikan (sifat tamak dan gila kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka drpd memandang kpd keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka drpd memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari Kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka;maka dengan itu mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)". (Yaasin)

SIAPAKAH GOLONGAN YANG BERJAYA ?

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia" (Al-Mukminun)

APA LANGKAHKU SETERUSNYA ?

"Wahai orang-orang beriman, Masuklah kamu ke dalam agama Islam itu dengan sepenuhnya". (Al-Baqarah)

KENAPA AKU MASIH RAGU-RAGU DENGAN AYAT-AYAT ALLAH ?

"Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

AKU TUNAIKAN SURUHAN, TAPI DALAM MASA YANG SAMA AKU BERBUAT MAKSIAT.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya". (At-Taubah:42)

ADAKAH HIDUPKU SUSAH BILA BERADA DALAM SISTEM ISLAM ?

"Kami tidak turunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (pada Allah)". (Taha)

GEMBIRAKAH AKU SETELAH MENJADI ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH ?

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman". (Ali-Imran:139)

Banyak lagi persoalan kita yang telah sedia ada dijawab didalam Al-Quran. Adakah kita masih tidak mempercayai Kalamullah itu? Binasalah kita jika membelakangkan Al-Quran dengan hanya menggunakan akal fikiran semata.



Sekian...

Lubang


Udachnaya Pipe, Russia - Merupakan tempat simpanan berlian di Daldyn-Alakit padang kimberlite di Republik Sakha, Russia. Udachnaya ditemui pada 15 Jun 1955, 2 hari selepas penemuan paip berlian Mir oleh ahli geologi Soviet Vladimir Shchukin dan kumpulannya.


Bingham Canyon Mine - Terletak di Salt Lake City, Utah, USA. Merupakan lombong terbuka yang mengekstrak simpanan tembaga Porphyry, di pergunungan Oquirrh. Menurut Kennecott, ia merupakan lubang yang terbesar digali dengan mesin penggali (excavator).


Chuquicamata, Chile - Lombong tembaga di utara Chile.


Darvaza Gas Crater, Turkmenistan - Pada tahun 1971, para geologist menjumpai timbunan gas asli bawah tanah yang banyak di tapak ini. Semasa menggali lubang untuk mendapatkan gas tersebut, (alat penggali) nya roboh dan meninggalkan kesan lubang yang sangat besar. Untuk mengelakkan gas2 beracun daripada keluar, lubang tersebut dibiarkan untuk terbakar hingga ke hari ini tanpa henti.


Diavik Mine, Canada - Lombong berlian di wilayah barat daya, Canada. Lombong ini dimiliki bersama oleh Harry Winston Diamond Corporation dan Diavik Diamond Mines Inc., anak syarikat kepada Rio Tinto Group.


Great Blue Hole, Belize - Sebuah lubang dalam air yang sangat besar terletak di perairan Belize. 



Guatemala Sink Hole - Pada tahun 2007, sebuah lubang terjadi sedalam 300 kaki yang telah menelan berdozen rumah di Guatemala. 2 orang terbunuh dan beribu-ribu orang terpaksa dipindahkan. Lubang ini terjadi disebabkan hujan dan laluan pembuangan kotoran bawah tanah.


Kimberly Diamond Mine - Merupakan lubang terbesar, lombong berlian yang digali menggunakan tenaga manusia, iaitu menggunakan cangkul dan pencungkil. 


Mirny Diamond Mind, Siberia - Lombong yang dalamnya 525 meter dan diameter 1200 meter. Merupakan lombong berlian yang pertama dan antara yang terbesar di Russia.


Monticello Dam - Sebuah empangan di Napa County, California yang dibina antara tahun 1953 dan 1957. 

otak akal & fikiran


Bismillahirrahmanirrahim...
Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Dialah yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah daripada segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Daripada segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Otak, akal dan fikiran adalah suatu nikmat dan anugerah Allah S.W.T kepada manusia. Seringkali ketiga-tiga kurniaan ini diaggap sama namun hakikatnya otak, akal dan fikiran adalah suatu yang berlainan tetapi saling berkaitan. Otak ialah ciptaan Allah yang bersifat konkrit dan kelihatan. Bagi yang belajar subjek Biologi tentu biasa mendengar teori Roger Sperry yang menyatakan otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Kedua bahagian ini mempunyai daya fikiran yang berbeza. Bahagian otak kanan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan berimaginasi sebaliknya bahagian kiri otak membolehkan kita berfikir dengan logik dan analisis.

Akal pula adalah suatu ciptaan Allah yang unik. Tidak seperti otak, ia bersifat abstrak atau tidak kelihatan. Namun, ia tetap wujud. Jika anda melihat pembedahan otak dilaksanakan, yang anda akan lihat hanyalah otak bukan akal. Akal ialah anugerah yang besar daripada Allah S.W.T kepada kita semua makhluk-Nya yang bernama manusia. Dengan akal darjat kita ditinggikan berbanding makhluk Allah yang lain seperti tumbuhan dan binatang. Dengan adanya otak dan akal barulah fikiran boleh dihasilkan.

Perumpamaan otak dan akal adalah umpama hardware dan software dalam komputer. Kita andaikan otak kita adalah hardware manakala akal ialah software. Kedua-dua unsur ini perlu digabungkan untuk berfungsi dengan baik. Seperti yang kita tahu, setiap hardware memerlukan software untuk berfungsi manakala tanpa hardware pula, software tidak dapat digunakan. Mustahil untuk menggunakan komputer tanpa software dan mustahil untuk menggunakan software tanpa adanya komputer.

Begitulah juga hubungkait antara otak dan akal manusia. Tanpa wujudnya otak, akal tidak dapat digunakan dan tanpa akal pula, mustahil otak dapat digunakan. Jika kedua-dua otak dan akal digunakan maka akan wujudlah fikiran. Dengan wujudnya fikiran maka manusia boleh berfikir. Fikiran pula wujudnya dalam dua keadaan iaitu fikiran keadaan sedar dan fikiran bawah sedar. Dari sudut ilmiah, fikiran sedar digunakan dalam empat tahap iaitu mengenal pasti maklumat, membuat perbandingan, menganalisis dan membuat keputusan terhadap sesuatu maklumat.
Maklumat dikenalpasti dengan menggunakan pancaindera kurniakan Allah S.W.T iaitu bau, sentuhan, penglihatan, pendengaran dan perasaan/ rasa). Perbandingan dilakukan dengan merujuk kepada bahan dan pengalaman setiap manusia seterusnya dianalisis sebelum fikiran memutuskan sesebuah maklumat itu. Sungguh hebat ciptaan Allah, hanya beberapa saat sahaja otak kita mampu memproses dan menerima berjuta-juta maklumat. Subhanallah.

Firman Allah S.W.T:
"Yang telah menciptakanmu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuhmu) seimbang, dalam bentuk apa yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu". (al-Infitar:7-8)

Minda bawah sedar pula adalah suatu keadaan di mana manusia berfikir di luar tahap kesedarannya. Mengikut teori pakar hipnosis, Milton Erickson, kemampuan berfikir di tahap bawah sedar adalah jauh lebih tinggi daripada fikiran sedar. Beliau menisbahkan kemampuan berfikir bawah sedar adalah sembilan kali ganda lebih tinggi daripada kemampuan fikiran sedar. Kadang-kala kita merasakan sesuatu memori itu telah dilupakan namun pada suatu ketika kita dapat mengingatinya kembali tanpa menyedari memori itu tersimpan di dalam otak. Maka ketika itulah fikiran bawah sedar akan keluar dan digunakan.

Sesungguhnya rahsia ilmu Allah itu sangat luas dan hakikat yang sebenar hanya Allah yang lebih mengetahui. Merenung penciptaan tiga anugerah Allah bernama otak, akal dan fikiran ini akan membuatkan kita berasa kerdil nya diri kita. Biarpun kita digelar manusia terpintar didunia ini, adalah mustahil bagi kita untuk mencipta satu ciptaan yang menyamai ketiga-tiga benda ciptaan Allah ini. Moga kita menggunakannya ke arah kebaikan dan diredha Allah S.W.T bukan sebaliknya kerana kita perlu ingat siapa yang menciptakan kesemuanya.

sumber : ILUV.ISLAM.COM

Sabtu, 6 Ogos 2011

Uwais AlQarni

"Setiap orang yang masih mempunyai ibu wajar menimbang-nimbang hubungannya dengan orang yang telah mengandungnya selama sembilan bulan. Sembilan bulan penuh sabar dan payah membawa bebanan dalam kandungan yang berat. Kemudian bertarung nyawa dihiris kesakitan ketika melahirkan si anak. Dijaganya sejak bayi ditatang sehingga besar.

Apakah bayi yang merah itu kini sudah menjadi tuan-tuan kepada orang yang melahirkannya? Apakah ibu-ibu tua ini sekarang sedang menyepi hiba di rumah kebajikan orang-orang tua? Untuk semua dari kita yang masih mempunyai ibu, terutamanya ibu yang sudah lanjut usia dan uzur, marilah kita renung sejenak pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kisah kasih sejati seorang anak terhadap ibunya.

 Mudah-mudahan baki usia ibu yang sudah tidak beberapa lama lagi mengungsi alam fana ini menjadi masa keemasan bagi anak yang soleh untuk berbakti kepada ibu yang tiada lagi ganti sekiranya mereka menyahut panggilan Ilahi nanti.
 
 Nabi Muhammad  s.a.w. pernah meminta Saidina Umar dan Saidina Ali  r.a. agar berjumpa dengan Uwais al-Qarni di Yaman. Tujuannya hanya agar dua orang sahabat Baginda itu meminta kepada Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka agar diampunkan dosa oleh Allah.  Apakah rahsia besar kelebihan Uwais al-Qarni hingga Rasulullah s.a.w. mengangkat namanya begitu tinggi dalam sejarah kemuliaan seorang insan?

Uwais al-Qarni ialah nama kecil di sebuah perkampungan di Yaman. Dia menghidapi penyakit kulit (sopak).  Suatu hari ibunya yang sudah tua berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah. Sebagai keluarga yang miskin tentulah mustahil baginya untuk membeli atau menyewa unta untuk dijadikan pengangkutan bagi perjalanan yang amat jauh itu. Namun sebagai anak yang meletakkan ibunya di singgahsana hatinya,  dia tidak sesekali berkata tidak. Dia berjanji kepada ibunya untuk memenuhi hajat ibunya yang sudah uzur itu. Walaupun, dia tidak mampu mencari kenderaan untuk perjalanan yang jauh itu, Uwais menggunakan sedikit wang yang dimilikinya untuk membeli seekor anak lembu.

Dibuatnya sebuah kandang di atas bukit. Pagi, dia akan mengendong anak lembu itu turun untuk diberi makan. Petang, dia akan mengendong anak lembu itu ke atas bukit untuk disimpan di kandang tersebut. Cukup 8 bulan, besarlah anak lembu itu.

Apabila tiba saat yang sesuai, Uwais berkata ibunya, “wahai ibu, bolehlah kita mula berangkat ke Mekah kerana musim haji tiba tidak berapa lama lagi.”
“Habis Uwais, di manakah kita akan mendapatkan kenderaan untuk ke sana?” tanya ibunya.
“Jangan bimbang wahai ibuku. Saya akan mengendong ibu di bahagian depan saya dan barang bekalan di belakang saya.”
 
Terkejut si ibu mendengarkan jawapan si anak. Demikianlah besarnya tekad Uwais demi ibunya. Rupa-rupanya dia membeli lembu dan mengendongnya naik dan turun bukit adalah sebagai latihan jasmani agar dia kuat mengendong ibunya yang sudah uzur.
 
Berangkatlah Uwais al-Qarni dengan mengendong ibunya dan bekalan. Akhirnya sampailah mereka di Mekah. Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i, mulut Uwais tidak putus-putus membaca sesuatu. Lalu ibunya bertanya, “apa yang kau baca tidak putus-putus wahai anakku. Sila beritahu kepadaku.”
“Ibu, saya hanya membaca doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu.”
 
Demikian sikap terpuji seorang anak yang sukar ditemukan dalam hidup ini.
Lalu berkata ibunya lagi,” Kalau begitu, ibu mahu engkau berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit sopakmu.”
“Ibu, masakan saya hendak menolak anugerah Allah kepada saya. Sopak ini adalah pemberian Allah kepada saya. Saya tak akan menolaknya, ibu.”
“Tidak. Sekali ini, ibu mahu engkau ikut cakap ibu.”

Maka tidaklah mampu lagi Uwais mengecewakan harapan ibu kesayangannya. Dengan hati yang amat berat, maka berdoalah Uwais dengan kata, “Ya Allah, kerana mentaati kemahuan ibuku, aku bermohon agar Engkau sembuhkanlah penyakit sopakku. Tetapi tinggalkan sedikit pada tubuhku agar aku tidak kufur akan nikmat-Mu.”

Apabila Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. berjumpa dengan Uwais al-Qarni, benarlah ada tanda sebesar duit syiling di belakang tengkuknya. Itulah bekasan penyakit sopak yang masih terdapat pada tubuh Uwais. Lalu dua sahabat Rasulullah s.a.w. itu meminta Uwais berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w. itu.

Demikianlah kisah seorang insan kecil yang besar di sisi Allah. Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa yang sudah tua. Mereka berpeluang berbakti kepada ibu bapa seperti yang telah dilakukan oleh Uwais al-Qarni ini. Di samping itu, jangan lupa untuk perbanyakkan istighfar. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. masih diminta memohon ampun, apa lagi kita yang belum tentu ke mana langkah penamat kita. WalLahu ‘alam.

Nota: Semoga Allah melimpahkan pahala kepada guru-guruku yang telah menitiskan ilmu kepadaku