Jumaat, 28 Oktober 2011

megi

3 perkara

Rahsia Seorang Wanita (Untuk DiKasihi dan Disayangi)Khas buat bini orang dan bakal nak jadi bini orang)
Saiyyidina Ali Karamallahuwajhah pernah berkata:
“Dikasihi seorang wanita itu kerana tiga pekara”

1- Kerana baunya yang wangi…
2- Kerana selera makannya
3- Kerana jimatnya dia berbelanja.

1- Baunya yang wangi di sini ialah kebersihan…..lelaki suka wanita yg bersih…kemas perwatakan…ceria..wangi baunya (yang ini hanya untuk suami ye)…kerana lelaki cukup bangga dengan keindahan isteri walaupun tak jelita…. Tak mengapa tapi…ingat isteri mesti berusaha untuk menghiasi diri mereka untuk suaminya…..ok..jangan bau minyak masak dan minyak gamat aje….muka tempek bedak sejuk…rambut macam Pontianak …sakit perut he he he……

2- Selera makan bukanlah bermakna buruk lantak kata orang perak…makan sampai tiga empat talam…ha ha no..no…maksudnya di sini..ada selera tu…. maknanya sihat…ya isteri kena jaga kesihatan….tubuh badan…. Cergas bertenaga bila bersama…suami akan sayang…sayang sangat-sangat…..jadi tak salah la kalau nak minum jus kacip Fatimah ke…pamoga…jamu serapat ke…janji hasilnya lumayan buuuuuu!!!!!


3- Kerana jimatnya berbelanja….antara sebab suami jadi baran ialah apabila isteri suka berbelanja dengan boros….membeli bukan ikut keperluan tapi ikut kehendak yg tak bertepian…..ingat jika kita isteri yg pandai berjimat…hanya meminta bila benda itu memang keperluan…. jika inginkan sesuatu yang mahal harganya tunggu bila suami ada kemampuan…sabar apabila suami tiada modal nak diberikan….suami sayanggggg sangat-sangat…..pada isteri yg sebegini…
Kenapa tak percaya…???? Boleh cuba maaaaa kalau talak picaaya……ini petua sahabat yg terkenal….selamat mencuba!!!!
Insyaallah suami merayu …..kasih sayang kita……..romantisnya…tak terkata…..hi hi h

Ahmad Kemin

Perjalanan penuh liku Ahmad Kemin



"JIKA kita nyatakan bahawa dunia ini tidak menyebelahi kita, maka itu menunjukkan keyakinan rohaniah kita lemah. "Keseluruhan hidup manusia pada hakikatnya seperti satu perjuangan dan peperangan, perjuangan hanya akan tamat pada akhir hayat, mereka yang mahukan kejayaan perlulah menerima hakikat tersebut."
Demikian frasa yang lahir dari hati seorang tokoh ternama negara, Datuk Ahmad Kemin, 64, membawa pengertian yang sangat mendalam.
Kata-kata itu juga sebenarnya adalah kelongsong azimat yang membawa Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd. itu menggapai kecemerlangan. Bukan hanya untuk dirinya sahaja malah untuk negara.
Mutiara Motors di bawah teraju Ahmad adalah syarikat pemegang permit import (AP) dan juga wakil pengedar kereta jenama terkemuka dunia iaitu Toyota, Artega dan Lexus.
Rintangan
Sepanjang 27 tahun beroperasi, Mutiara Motors kini turut memiliki anak syarikat lain seperti Mutiara Motors Resort Sdn. Bhd., Mutiara Motors Performance Products Sdn. Bhd., Mutiara Motorsports Sdn. Bhd., M7 Motorsports Sdn. Bhd. dan M7 Racing Sdn. Bhd.
Rentetan kejayaan Ahmad bukan semudah seperti mendendangkan sebuah cerita. Seperti kata anak kelahiran Kampung Mampan, Batu Pahat, Johor: "Saya bergelut dengan pelbagai rintangan, perit jerih, sepak terajang perniagaan, saya tetap tebalkan muka, keraskan kepala dan ringankan tulang untuk mengharunginya."
Terus-terang, seribu perasaan meledak dalam fikiran penulis ketika pertama kali bersua dengannya.
Namun, lelaki itu mewujudkan atmosfera luar biasa sehinggakan kata-kata yang terucap olehnya mewajarkan dirinya diteladani.
Bahtera kehidupan yang dilayari oleh figura itu ketika zaman kanak-kanaknya tidak akan hilang denyutnya begitu sahaja.
"Semasa kematian ibu usia saya 12 tahun, salah seorang kakak menjaga saya, ketika itu kehidupan amat susah dan memaksa saya meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja mencari rezeki," katanya yang hanya sempat belajar setakat darjah enam sahaja.

RAMAI mengakui bahawa Mutiara Motors memiliki pekerja yang berdedikasi dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap setiap pelanggan yang berurusan dengan syarikat itu.


Namun, momen bersama arwah ibu masih berbekas di hatinya. Ceritanya, demi mencari sesuap nasi, beliau bersama ibu pernah berjalan kaki dari Kampung Melayu Majidee untuk menjual ubat tradisional.
Ujar Ahmad, beliau telah dididik bahawa alam mempunyai banyak cara untuk menghukum kemalasan. Justeru, sejak usia 16 tahun, beliau ligat kerja. Beliaulah penghantar maklumat, beliaulah peon, pencari fail, pembantu makmal dan juga penjaga stor dengan gaji sebanyak RM180 di Jabatan Kerja Raya (JKR), Johor.
"Di luar waktu kerja, saya menjual ais kepal di warung, berniaga barangan plastik di pasar malam, menjual jam tangan, membeli kereta-kereta buruk, membaiki dan menjualnya semula," katanya dengan mata hangat berkaca.
Ceritanya tentang bibit kesengsaraannya seperti bermonolog. Namun, perlakuan itu tidak memuakkan.
Beritahu Ahmad, dia berhenti makan gaji apabila Ketua Jabatan JKR ketika itu, Yow Yuan Kow telah mencabarnya meletak jawatan lantaran lelaki Tionghua itu sedar dirinya seorang yang kuat bekerja. Ketika itu, Ahmad berusia 35 tahun.
"Perniagaan pertama saya selepas berhenti daripada JKR ialah menubuhkan Syarikat Murni Motors (bertukar nama kepada Mutiara Motors Sdn. Bhd. pada 13 Disember 1982) yang beroperasi di Jalan Dato' Abdullah Tahir, Johor Bahru, Johor dengan tiga rakan kongsi," katanya.

ANAK sulung Ahmad, Mokhtar (kiri) membantu bapanya mengurus sebuah empayar automotif yang paling berkembang di negara ini.


Semakin tinggi gunung didaki, semakin banyak onak dan duri mesti dilalui sebelum sampai ke puncak, kata aristokrat itu.
Ujarnya melondehkan kemelut yang membelenggu seawal berbisnes: "Pelbagai masalah dan rintangan bersilih ganti, modal kecil, bank sedikit pun tak memandang perniagaan saya sebagai berdaya saing dan paling perit, dendam dan hasad dengki manusia yang tak mahu lihat kita berjaya."
Peritnya 'kesakitan' itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kata Ahmad. Tahun 1985, tiada siapa menduga, pasaran saham negara jatuh merudum. Impaknya, operasi Mutiara Motors terpaksa dihentikan. Bisnes landskap yang dijalankan pada tahun berikutnya juga tidak menjadi.
Gagal berniaga
Antara tahun 1980 hingga 1990, Mutiara Motors melakukan anjakan paradigma. Apakah yang dilakukan usahawan tersohor ini? Berpadanan dengan selera generasi muda, Ahmad mengimport kereta sport. Ternyata percaturan itu berhasil.
"Walau beberapa kali gagal dalam perniagaan, tak bermakna saya kurang disiplin," tegas anak kesembilan daripada 12 beradik.
Putaran kehidupan dan hukum alam sememangnya tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Pada tahun 1997, Ahmad terpaksa memerah otak bagaimana mempertahankan Mutiara Motors tatkala negara berdepan dengan kegawatan ekonomi yang begitu parah.
"Tuhan Maha Kaya, saya dihubungi oleh rakan niaga dari Jepun, K.Yamaguchi yang bertanyakan khabar perniagaan di Malaysia. Dia memahami dan menawarkan bantuan dengan memberi lima buah kereta tanpa sebarang bayaran," katanya penuh kesyukuran.
Menyingsing alaf baharu 2000, Mutiara Motors meletakkan kembali namanya di persada permotoran negara sehingga kini.
Pasti ramai tertanya-tanya bagaimanakah seorang yang hanya bersekolah hingga tamat darjah enam boleh berjaya? Jawapannya sangat ringkas iaitu yakin.
Budaya Jepun
Seperkara lagi, Setiausaha Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) itu mengakui, sewaktu mula-mula terjun ke arena bisnes, beliau tidak fasih berbahasa Inggeris.

AHMAD bersama rakan bisnesnya, K. Yamaguchi yang banyak membantunya meluaskan perniagaannya di Malaysia.


"Ya, dulu memang saya tak tahu cakap orang putih, saya fikir bagaimana kita nak maju kalau tak tahu cakap Inggeris, tapi bila mengenangkan Jepun boleh menawan pasaran dunia walau kurang fasih, mengapa saya tidak," imbasnya.
Ahmad tidak lokek mengisahkan tentang momen pertama mengadakan rundingan dengan salah sebuah syarikat di Jepun pada awal 1980-an.
"Lucu kalau nak diceritakan balik tapi yang pasti ia agak merimaskan dan kaku kerana banyak isyarat tangan digunakan. Dah macam cakap ayam dengan itik," ujarnya yang pernah meminta rakannya yang boleh berbahasa Jepun dikenali sebagai Rahman Jepun untuk membantunya.
Itu semua kisah lama yang telah dibukukan. Kini, Ahmad lancar berbahasa Inggeris sehinggakan rakan-rakan bisnes dari luar negara kagum dengan kebolehannya bertutur.
Jepun adalah signifikan dengan perniagaan Ahmad, hatta dalam hatinya sekali pun. Katanya: "Jepun sangat dekat dengan saya, Jepun adalah rumah kedua saya dan betapa akrabnya saya dengan aura Jepun dapat ditunjukkan dalam operasi Mutiara.
"Sikap menepati janji dan masa sudah menjadi tabiat orang Jepun, mereka juga menghormati pelanggan, jadi, saya terapkan nilai itu kepada para pekerja saya. Bagi saya, pelanggan adalah raja, layanan pelanggan adalah aspek terpenting kerana selalunya pelanggan akan kembali ke tempat yang dia paling selesa."
Lelaki yang fasih bertutur dalam bahasa Jepun itu melemparkan pandangan jauh. Barangkali beliau bagaikan tidak percaya bahawa Allah menganugerahkan rezeki sehebat itu.
Kisah seperti ditipu rakan sendiri dalam mendapatkan Permit Import (AP), pekerja sendiri pecah amanah dan dengki yang tidak berkesudahan sudah dilontar jauh-jauh oleh Ahmad.
Seperti kata Ahmad: "Hidup saya sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa penuh dengan cabaran, tanpa cabaran baharu, jiwa saya menjadi lesu dan kurang bertenaga.
"Sebab itu penerokaan baharu tidak dapat dielakkan dalam perjalanan saya memenuhi tuntutan kehidupan ini."
Sesungguhnya, teguhnya bangunan Mutiara Motors yang terletak di Jalan Tebrau dan Larkin, Johor, menggambarkan prestijnya kedudukan lelaki itu

Khamis, 27 Oktober 2011

Price


Semasa zaman kanak-kanak,
Menghargai ibu dan ayah yang telah melahirkan, membesarkan, mendidik, memberikan pakaian, makan-minum, tempat tinggal, sekolah, duit belanja, permainan, dan banyak lagi.
Menghargai adik-beradik yang sama-sama di ajak bermain, along, angah, uda, alang, ateh, tam, acik, anjang, busu, yang teman menonton tv, yang teman keluar berjalan.
Menghargai saudara-mara yang ibarat mengganti keluarga di mana-mana sahaja kita berada.
Menghargai cikgu-cikgu yang telah mengajar, yang marah didalam kelas, yang senyum selalu ketika mengajar, yang memberi hadiah bila berjaya, yang menanda buku sekolah, dan macam-macam lagi yang cikgu buat.
Menghargai kawan-kawan sekolah yang baik atau nakal, yang duduk disebelah kiri kanan depan belakang, yang berjalan bersama-sama, yang makan di kantin bersama-sama, yang mengusik, yang belajar, dan banyak lagi kerenah.
Semasa zaman remaja,
Menghargai sahabat-sahabat yang mula bersama-sama mengorak langkah, membuat sesuatu yang baru, yang mengajak ke masjid, yang mengejutkan ketika tidur dalam kuliah, yang menasihati dan menegur, dan segala-galanya yang mereka lakukan.
Menghargai orang sekeliling yang banyak membantu dalam kehidupan seharian, yang memberikan senyuman sedekah, yang menguruskan urusan-urusan penting dan lain-lain lagi.
Semasa zaman dewasa,
Menghargai keluarga sendiri, suami, isteri, anak-anak, yang menjadi penawar suka dan duka, yang menceriakan kehidupan, yang mendorong bersama-sama membina keluarga bahagia, dan semuanya.
Menghargai jiran-jiran yang sedia ketika susah atau senang, walau tidak semuanya peramah dan mesra, yang menziarahi ketika sakit dan lain-lain lagi.
Dari semasa ke semasa hingga ke akhir hayat,
Menghargai cinta yang telah Allah SWT limpahkan,
Menghargai kasih-sayang yang telah Nabi Muhammad SAW curahkan,
Kesimpulan,
Adakah kita telah dan selalu menghargai daripada rasa ingin dihargai? Kenapa kali ini saya mempersoalkan tentang perkataan "menghargai" ini? Sahabat pembaca, nilai menghargai lebih mulia dari dihargai. Dihargai sudah tentulah daripada kebaikan atau keperibadian diri sendiri yang dikagumi seseorang.
Orang akan menghargai kita yang telah berbuat baik kepadanya. Orang akan menghargai kita yang telah membantunya. Orang akan menghargai kita yang telah menegurnya. Dan macam-macam lagi contoh apabila kita dihargai.
Namun sejauh manakah kita memanjatkan rasa syukur apabila kita dihargai? Berbeza apabila kita cuba menghargai sesuatu. Orang baik kita hargai. Orang nakal kita hargai. Nakal tidak bermakna kita perlu banggakan sikapnya, tetapi kita menegur dan menasihati dengan sikap berlembut dan bersopan.
Kadang-kadang kita tidak sedar akan orang-orang yang dikurniakan Allah untuk berada dekat dengan kita, tetapi kita menjauhinya atau menghinanya apabila kita menemui kelemahan dan kekurangannya. Mungkin ini adalah sebahagian ujian dari Allah untuk kita dalam menghargai setiap pemberianNya.
Dan yang paling besar dan tidak ternilai apabila kita menghargai Allah SWT. Menghargai dengan mengenalinya dengan lebih dekat, mencintaiNya setiap saat bernafas, mengingatiNya ketika susah dan senang, mencarinya tanpa tempat dan masa, dan mengabdikanNya erat dan utuh didalam jiwa.
Dan menghargai insan bernama Nabi Muhammad SAW yang berakhlak Al-Quran kalam Allah. Yang sentiasa mendahulukan umatnya walaupun pada saat akhir nafasnya menghembus kedunia. Sahabat pembaca, masih jelaskah kamu dengan erti menghargai ini? Sama-samalah kita bermuhasabah akan sifat-sifat kita yang kurang, dan berubahlah kepada yang lebih menghargai. Dan Allah Maha Mengetahui.

Rezeki ular buta


Rezeki Ular Buta

 Pada suatu hari, Imam Malik bin Dinar sedang mahu menjamah makanan yang terdiri daripada hidangan daging. Namun belum pun sempat daging itu dicapainya, seekor kucing telah terlebih dahulu menyambar daging di dalam pinggan lalu membawanya lari. 

Hairan dengan perlakuan kucing yang tidak memakan daging itu, lalu Imam Malik mengekori haiwan tersebut yang membawanya ke sebuah lubang di permukaan tanah. Sampai di situ, kucing tersebut meletakkan daging di mulutnya di tepi lubang tersebut. Beberapa ketika kemudian, muncul seekor ular dari dalam lubang, bergerak-gerak tidak menentu sehingga sampai ke tempat daging lalu memakannya. 

Subhanallah! Ternyata ular itu buta. Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah telah menetapkan rezeki ular buta itu melalui khidmat si kucing tadi. Ia adalah antara peristiwa luar biasa sebagai bukti kebesaran dan keagungan Allah SWT yang Maha Memberi Rezeki kepada makhlukNya. 

Mungkin anda juga pernah membaca kisah seekor burung gagak yang mencuri roti seorang hamba Allah dan menyuapkannya ke mulut seorang lelaki yang sedang terikat kaki dan tangan di satu kawasan yang tersembunyi dari laluan manusia. Lelaki ini asalnya adalah pedagang yang telah dirompak dan ditinggalkan supaya mati kebuluran. Allah SWT telah menyelamatkannya daripada kebuluran melalui khidmat si burung gagak sehingga akhirnya dia diselamatkan oleh hamba Allah yang dicuri rotinya tadi.

Ini berkenaan cara rezeki yang luar biasa datangnya dan tidak disangka-sangka. Rezeki yang sudah ditetapkan untuk seseorang juga tidak akan dapat ditolaknya. 

Saya teringat kisah seorang hamba Allah yang mahu menguji tentang hakikat rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah untuk sekelian makhlukNya. Hamba Allah ini pun keluar bermusafir dan duduk mendiamkan diri di satu kawasan yang sunyi dan tidak pernah dikunjungi manusia lalu duduk berzikir. Tidak berapa lama kemudian, tiba-tiba lalu satu kafilah dan telah ternampak lelaki yang duduk bersendirian ini. Ketua kafilah dan orang-orangnya cuba mengajak lelaki itu berbicara tetapi tidak disahutnya. Orang-orang itu mula mengandaikan dia sedang sakit lalu menyuakan makanan, namun tidak dijamahnya. Akhirnya setelah berbagai usaha mereka untuk membuatkan lelaki itu bercakap tidak berjaya, mereka mencuba membuka mulutnya untuk menyuapkan makanan, dengan andaian dia terlalu sakit sehingga terlalu lemah untuk membuka mulut dan bersuara. Melihatkan kesungguhan kumpulan manusia yang terlalu prihatin dengan keadaannya itu, sang lelaki yang mahu mencari bukti kebesaran Allah tidak mampu menahan dirinya daripada tertawa lalu menjelaskan keadaan dirinya yang sebenar.

Ternyata rezeki setiap makhluk telah siap di dalam senarai Allah SWT dan Dia tidak pernah cuai menguruskan makhlukNya. Dek kerana itu, sekiranya tidak ada rezeki, pinggan hidangan di depan sila pun boleh tertolak dari capaian tangan kita. Sebaliknya, kalau sudah direzekikan buat kita oleh Allah, walau bagaimana aneh jalannya, akan sampai juga kepada kita. InsyaAllah. 

Dan sebaik-baik rezeki adalah rezeki iman di hati, pancaran hidayah dan taufikNya serta taqwa. Inilah rezeki yang berpanjangan tidak berkesudahan 'mengenyangkan' roh manusia di sepanjang perjalanan hidup. Alangkah sedih dan ruginya andai hati sepi dari mengingati Allah, sehingga jiwa menjadi kosong dan terus mencari hiburan sementara yang melalaikan. Dengan hati yang lalai, mudahlah musuh utama manusia iaitu syaitan menghasut dan menganggu fikiran sehingga terus menerus leka dengan keduniaan yang sementara. Timbullah perlakuan yang tidak mendapat pimpinan Allah. Jadi ingatlah apabila lupa kepadaNya, Dia pun akan melupakan kita. 

Semoga kita semua termasuk umat akhir zaman yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Walaupun jalannya sangat sukar, sehingga mungkin terpaksa merangkak di atas salji untuk mendatangi kebenaran. Di ketika waktu berputar semakin laju dan Islam kembali menjadi sangat asing. Dan orang-orang berbuat kebaikan hanya untuk berbangga-bangga, menyimpan mushaf di rak yang berdebu dan terpesona dengan urusan dunia. 

Ya Allah, terimalah solat kami dan berilah kami nikmat kusyuk dalam solat. Selamatkanlah kami daripada fitnah akhir zaman. Jadikanlah kami orang-orang yang sabar demi keredaanMu. Sembunyikanlah keaiban kami dan ampunilah segala dosa-dosa kami. Pimpinlah kami dan janganlah biarkan kami. Hanya kepadaMu tempat kami mengadu dan berserah diri, tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

  • Menangislah kerna tangisan itu mengingatkan kita kepada dosa-dosa yang dilakukan.
  • Bersabarlah di atas musibah, mungkin ia kifarah dosa.
  • Anak-anak adalah cahaya mata, penyejuk hati penghibur jiwa. Pimpinlah anak-anak supaya menjadi Mukmin sejati, bukan Nasrani atau Yahudi atau Majusi.
  • Janganlah kita bertelagah sesama muslim. Sebaliknya sayang menyayanglah kamu antara satu sama lain.
  • Allah tabur rezekinya di sekitar bumi ini...marilah kita mencarinya. Wallahualam...

~6666~
 ·  · Kongsi