Jumaat, 9 Disember 2011

Rumah sewa

Rumah - Beli Atau Sewa?

Beberapa artikel saya yang lalu menyentuh mengenai riba' yang mana merupakan isu yang teramat sensitif, lebih-lebih lagi didalam kehidupan serba moden (atau akhir zaman) yang mana riba' itu sudah menjadi asam garam kehidupan, tetapi pada pendapat saya ianya lebih kepada monosodium glutamate (MSG) berbanding asam garam yang mana telah menambahkan kelazatan hidup itu sendiri kerana tanpa riba' itu mana boleh manusia merasakan nikmat materialistik seperti rumah besar dan kereta baru, padahal disebalik riba' itu terselindung dosa yang lebih buruk dari berzina. Babi tetap kekal menjadi suatu yang jijik dan dielakkan kerana ada alternatif makanan lain, riba' yang kononnya tidak boleh dielakkan lama kelamaan menjadi suatu yang biasa didalam kehidupan manusia itu sendiri, maka tidak hairanlah jika terdapat hadis yang mengatakan dari setiap 1000 jumlah manusia, 999 akan dicampakkan ke neraka di akhirat nanti.

Untuk mengelak riba' terutamanya didalam dua perkara utama didalam kehidupan, rumah dan kereta, ianya boleh dilakukan samada dengan menyewa rumah ataupun membeli kereta terpakai, akan tetapi disebabkan kita telah didodoi dengan iklan-iklan dan tawaran-tawaran hebat dari penjual rumah atau kereta dan juga pihak bank yang terlalu menarik untuk tidak diendahkan, maka tawaran syurga Allah yang memerlukan frontal lobe yang kuat untuk melihatnya dilupakan (manusia didodoi dengan hiburan melalaikan yang mana tidak menggalakkan berfikir dan ini melemahkan visi hidup jangka panjang).

Merujuk kepada kereta, mungkin ada yang berkata, nak beli kereta terpakai pun bukan seratus dua, beribu-ribu juga harganya jadi kena juga membuat pinjaman. Persoalan ini berbalik kepada sekuat mana iman kita, mereka yang benar-benar beriman akan melakukan apa sahaja untuk mendapat keredhaan Allah walau apa pun harga yang terpaksa dibayar, contohnya dengan sanggup menaiki pengangkutan awam dari membeli kereta dengan riba'.

Untuk rumah pula, kebanyakan mentaliti manusia adalah,
"buat apa menyewa, bayar tiap-tiap bulan tetapi rumah itu jadi rumah orang lain"
Disini saya ingin mengajak rakan-rakan semua melihat konsep membeli rumah itu dari sudut yang berbeza, adakah benar dengan membeli dan membayar tiap-tiap bulan selama dua-tiga puluh tahun itu kita mem"bayar" pinjaman rumah itu sebenarnya? Saya akan sediakan satu contoh perkiraan untuk membolehkan kita melihat sendiri untuk siapakan kita bekerja penat lelah untuk mencari wang membayar pinjaman terutamanya dalam 2/3 pertama tempoh pinjaman tersebut.
Jumlah pinjaman : RM300,000
Kadar riba' : 6%
Tempoh pinjaman: 30 tahun

Kadar riba' atau kadar faedah saya letakkan atas dasar anggaran purata berdasarkan sejarah turun naik kadar pinjaman asas (BLR) Bank Negara. Berikut adalah carta pinjaman dari laman web BankRate untuk menjelaskan fakta sebenar berkenaan pinjaman tersebut.


Untuk pinjaman sebanyak 300K itu, dari RM 1798.65 bayaran bulanan yang dibayar, hanya RM 298.65 digunakan untuk membayar wang yang dipinjam, sebanyak RM 1500 adalah riba' atau faedah yang dikenakan oleh pihak bank. Jumlah bayaran untuk pinjaman sebenar meningkat hanya sekitar RM 2 sahaja sebulan untuk tahun pertama. Jumlah yang dibayar pada tahun pertama untuk melangsaikan hutang hanya berjumlah RM 3684.01 hanya 1.2% dari jumlah pinjaman asal iaitu 300K, manakala jumlah riba' yang dibayar adalah sebanyak RM 17,899.80 atau 5.98% dari jumlah pinjaman

Pada tahun kedua pula, jumlah pinjaman asas yang dibayar adalah RM 3911.26 dengan peningkatan hanya sebanyak RM 227.25 dari tahun pertama. Jika dikira jumlah wang yang sudah kita depositkan kedalam akaun pinjaman selama dua tahun, jumlahnya pula adalah sebanyak RM 43.167.60 yang mana hanya RM 7595.27 untuk menolak pinjaman asas. Ini bermakna, walaupun sudah membayar lebih 40 ribu, jumlah pinjaman masih melebihi 290 ribu dan wang keringat kita sebanyak lebih 35 ribu ringgit hanyalah untuk membayar riba'.

Tidakkah jumlah ini sahaja sudah cukup untuk membuka mata untuk siapa sebenarnya kita bekerja? Adakah keadaan sehingga isteri terpaksa keluar bekerja untuk membantu membayar pinjaman hingga  pelaburan saham akhirat yang utama iaitu anak-anak yang soleh terabai, isteri bercampur gaul bebas dengan lelaki lain dan pelbagai lagi penyakit sosial itu berbaloi hanya semata-mata terpedaya dengan ungkapan beli lebih baik dari menyewa?

Keadaan diperhambakan oleh bank ini berterusan hinggalah tempoh pinjaman mencecah 2/3 dari usia tempoh pinjaman. Hanya pada tahun yang ke 19 sahaja baru jumlah bayaran untuk pinjaman melebihi jumlah riba' atau faedah, dengan jumlah riba' yang dibayar hampir memcecah harga pinjaman iaitu 279 ribu, sedangkan hutang belum pun separuh dibayar iaitu masih berbaki 178 ribu.


Jumlah keseluruhan yang akan dibayar selama 30 tahun itu adalah RM 647,514.57 yang mana riba'nya sahaja adalah sebanyak RM 347,514.57, hampir 50 ribu melebihi jumlah pinjaman asal.


Pemikiran membeli rumah dengan sistem riba' ini adalah lebih baik dari menyewa adalah pemikiran manusia yang telah terpedaya dengan dakyah dan tipu helah dunia yang sementara ini. Manusia menjadi hamba kepada bank dan menindas diri sendiri tanpa sedar. Disebabkan oleh sistem ciptaan Yahudi ini jugalah pelbagai masalah sosial masyarakat berlaku di zaman ini. Sebab itulah Allah mengishtiharkan perang terhadap riba' dan sesiapa yang terlibat dengan riba' baik yang mengambil, memberi, merekod ataupun menjadi saksi akan mendapat dosa yang sama. Mereka tidak sedar disebabkan perbuatan mereka itulah hidup mereka menjadi sedemikian rupa, penuh dengan keadaan tertekan, susah hati, duka dan sengsara akibat dari hutang berlandaskan riba itu tadi.

Bagaimana pula dengan bank yang memberikan pinjaman berlandaskan Islam? Bagi saya ianya sama sahaja dengan pinjaman kenvensional kerana ianya juga bertujuan mengaut keuntungan dengan menghisap darah umat Islam yang terpedaya, ianya tetap riba' akan tetapi riba' yang ikut pintu belakang bak kata Sheikh Imran Hossein. Bagaimana bank islam pasti rumah yang akan dibeli naik harga seperti harga jualan? Adakah mereka mempunyai ahli nujum yang boleh meramal masa depan? Jika harga rumah naik, sama-samalah untung, jika harga rumah turun atau tidak naik, maka pembeli menjadi hamba kepada bank yang berselindung atas nama atau pinjaman cara Islam. Adakah ini diterima walau dilihat dari segi kemanusiaan sekali pun dan bukan atas dasar islam?

Mengislamkan bank pada pendapat saya adalah antara usaha mereka yang mengaku islam tetapi mengikut jejak langkah yahudi seperti hadis Nabi SAW,
Abu Said Al-Khudri meriwayatkan Nabi SAW berkata: Kamu akan ikuti jejak langkah mereka sebelum kamu inci demi inci dan langkah demi langkah sehingga jika mereka masuk ke lubang cicak sekali pun kamu akan tetap mengikuti mereka. Kami bertanya; Ya Rasulullah, adakah maksud kamu Yahudi dan Kristian perkataan "mereka sebelum kamu"? Baginda bersabda lagi: Siapa lagi (jika bukan mereka) Sahim Muslim
Kerana apa? Kerana umat Islam yang kaya mahu menjadi lebih kaya lagi  dan kekal kaya dengan menggunakan sistem yang memastikan mereka tidak punyai risiko atau hanya risiko yang minimum, maka sistem perbankan ciptaan yahudi inilah alat yang terbaik, umpama menyembelih babi dengan nama Allah dan melabelnya halal untuk dimakan oleh umat Islam. Ya, artikel saya memang keras kerana saya menulis bukan untuk menyedapkan hati sesiapa, menulis kerana takutkan Allah kerana saya pasti masa ini kemarahan Allah sudah teramat besar dengan umat yang bergelumang dengan penindasan halus ini.
  
Allah menghalalkan perniagaan dan mengharamkan riba', bank bukan perniagaan tetapi adalah riba kerana didalam perniagaan yang sebenar terdapat risiko yang mana Allah boleh membuatkan seseorang itu untung atau rugi dan ini membolehkan kekayaan dibahagi dan tersebar dikalangan manusia. Bank pula bukan perniagaan kerana bank menutup pintu risiko atau meminimumkannya dan meletakkan risiko hanya pada peminjam, contohnya jika peminjam kehilangan kerja dan tidak boleh membayar ansuran bulanan, pihak bank akan menendang peminjam keluar dari rumah yang disangka miliknya itu. Sebab itulah nota perjanjian jual beli (S&P) yang asal dipegang oleh bank dan peminjam hanya mendapat salinannya sahaja.

Jadi jika dibandingkan dengan menyewa, realitinya adalah
"membeli rumah dengan bank dan membayar bulan-bulan belum tentu menjadi milik sendiri, lebih menjadi hamba kepada bank, lebih kurang sama keadaannya dengan menyewa"
Akan tetapi jika kita menyewa selama 20 tahun dengan mencari rumah sewa sekitar harga RM 1,000, selepas 20 tahun, kita akan memiliki wang tunai ditangan sebanyak RM 191,676. Jika sanggup mencari rumah sewa yang lebih murah maka lebih banyak yang akan terkumpul. Jika wang tersebut laburkan didalam perniagaan yang berlandaskan Islam maka ia akan bertambah lagi. Katalah anda menyimpan dengan pulangan purata 5% setahun, selepas 20 tahun dengan menyewa, lebihan dari sewa berbanding membeli sebanyak RM 798.65 sebulan itu akan mencecah hampir RM 300 ribu. Bukankah hidup sebegini lebih berkat dengan mengelak diri dari riba' dan masih ada wang ditangan yang mana boleh membeli rumah dengan tunai tanpa riba'?


Mengapa agaknya manusia tidak mampu berfikiran jauh dan melihat keburukan riba' itu sendiri pada jarak jangka panjang? Mungkin disebabkan terdedah dengan maksiat menyebabkan mereka gagal mempunyai visi yang jauh. Frontal lobe adalah bahagian otak yang membolehkan seseorang manusia itu membuat perancangan dan melihat jauh kesan akan datang akibat tindakan masa kini, jika ianya lemah akibat tidak dilatih (contohnya tidak khusyuk solat) atau jarang digunakan (lalai dengan hiburan dan permainan) maka budaya membeli rumah dan hidup kekal dengan riba' ini menjadi norma-norma kehidupan yang membinasakan tanpa disedari. Satu lagi penyebabnya adalah cinta, sains membuktikan bahawa cinta itu buta jadi apabila sudah jatuh cinta dengan rumah baru maka yang buruk iaitu akan diperhambakan selama 2-3 puluh tahun tidak akan kelihatan lagi, hanya selepas menduduki dan kemudiannya masaalah timbul untuk membayar barulah ternampak keburukannya.

Saudara eD dari Muslimvillage menulis perbandingan menarik antara membeli rumah atau menyewa sahaja, beliau juga memberi fakta dan angka-angka untuk perbandingan kita semua memikirkan cara terbaik untuk hidup bebas dari riba. 

Artikel saya ini adalah dengan niat untuk menyedarkan rakan-rakan  termasuklah diri saya sendiri rahsia sebenar terselindung disebalik pemikiran bahawa "membeli rumah itu lebih baik" beserta janji-janji manis pihak bank dan juga penjual rumah,  terpulang lah pada diri masing-masing untuk membuat penilaian berdasarkan iman untuk kesenangan akhirat atau kesenangan dunia yang sementara ini. Untuk makluman, pihak bank dan penjual rumah sebenarnya juga telah tersangkut dengan riba',  sebab itulah mereka terpaksa berusaha untuk mengaut keuntungan membayar dividen atau pinjaman kepada pelabur, yang sedihnya kebanyakan pelabur ini adalah golongan kaya yang tamak dan sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira kesan buruk terhadap masyarakat hinggalah ke persekitaran. 

Sama-samalah kita berfikir arah tuju hidup kita ini samada berada di landasan yang betul atau hanya jalan yang "nampak" betul tetapi membinasakan. Memang saya akui diakhir zaman ini untuk hidup berlandaskan cara Islam amat sukar ibarat menggenggam bara api, namun ianya berbaloi untuk ganjaran masa depan iaitu akhirat yang kekal abadi, Insyaallah


Baca selanjutnya: http://syurgadidunia.blogspot.com/2010/04/rumah-beli-atau-sewa.html#ixzz1g7CuanWy

Pinjaman Rumah

Mengapa Saya Kata Pinjaman Rumah Perbankan Islam Haram?

Katalah salah seorang dari saudara saya Mat datang kepada saya dan meminta bantuan kewangan iaitu pinjaman wang untuk membeli baju sekolah anak-anaknya (yang juga sudah semestinnya saudara saya). Jumlah yang mahu dipinjam adalah sebanyak RM100 dan Mat berjanji akan membayar balik secara ansuran. Terdetik didalam hati saya,"ni boleh buat duit ni, kalau mintak faedah/bunga/riba' haram jadinya, baik aku ubah sikit".
Saya: "Okla Mat, macam ni je lah, sebenarnya dari aku bagi kat engkau lebih baik aku letak kan tabung haji, bertambah gak duit aku nanti, tapi sebab engkau saudara aku, jadi aku pinjamkan kepada engkau tetapi dengan syarat.

Mat: "Syarat macamana pulak tu?.

Saya: "Aku belikan baju untuk anak-anak engkau dengan harga RM100 dan aku jual kepada engkau dengan RM120, lepas tu engkau bayarlah bulan-bulan RM10 selama 12 bulan, bagaimana? setuju tak? Ini cara islam yang mana aku berjual-beli dengan engkau dan bukan aku kenakan faedah, kalau ada orang lain bertanya engkau cakaplah aku memberi pembiayaan kepada engkau, jangan sebut pinjaman sebab itu nampak tak islamik".

Mat: "Baiklah, sebab aku terpaksa dan tak ada cara lain lagi dah maka aku terima sahajalah syarat engkau tu lagi pun engkau dah tolong aku maka aku pun kenalah tolong engkau jugak. Tapi eloklah kita berakad untuk memastikan proses ini dikira pembiayaan dan jual beli".
Apa pendapat anda mengenai sifat saya jika kisah diatas benar-benar berlaku? Bagaimana jika saya ubah tujuan untuk membeli baju anak kepada membeli rumah untuk diri Mat dan anak-anak berlindung dengan pinjaman RM100 ribu, saya jual balik kepada Mat dengan harga RM170 ribu (kadar riba' 6% mengikut pasaran semasa) tetapi disebabkan Mat akan bayar selama 20 tahun maka bayaran bulanan menjadi RM700.

Rujuk kepada kes pertama untuk Mat membeli baju anaknya, letakkan diri anda ditempat saya, sebagai seorang saudara darah daging kepada Mat, adakah anda sanggup melakukan begitu pada saudara sendiri, sanggup menangguk di air keruh masih mahu menyedut 20 ringgit "darah" Mat dan tidak mahu membantu dengan ikhlas? Jika Mat bukan saudara sedarah sedaging sekalipun bukankah semua orang islam itu bersaudara, sanggupkah anda mengambil untung dari kesusahan orang lain?

Jika kita rujuk kes kedua untuk membeli rumah pula, tiada bezanya bagi mereka yang melabel "bank Islam" tetapi mahu memerah keringat insan lain untuk mendapatkan keuntungan atas sebab terdesaknya manusia terpaksa meminjam untuk membeli rumah. Yang membezakan adalah dizaman sekarang ini membeli rumah bukan kerana terdesak, akan tetapi lebih kepada mentaliti "beli lebih baik dari menyewa", untuk memastikan ada harta iaitu rumah dengan nama sendiri (sedangkan S&P bank simpan) dan dicanang pulak dengan iklan-iklan menawan hati oleh pemaju serta dialunkan pula dengan lagu merdu pujukan dari pihak bank, maka membeli rumah itu adalah lebih kepada desakan nafsu dan bukan desakan hidup. Didalam kes kedua (contoh Mat membelui rumah), 70 ribu "darah" Mat akan disedut hanya dengan goyang kaki sebagai pelabur menunggu masa sahaja mendapat "keuntungan", adakah wang itu bersamaan dengan masa?, adakah risiko wujud disini? Mat tak bayar, Mat kena tendang, sanggupkah anda menendang keluar saudara sendiri? Letakkan diri anda ditempat Mat, sanggupkah anda diperlakukan sedemikian?

Apa bezanya jika kita sebagai individual dengan bank memberi pinjaman dan meminta balasan dari pinjaman tersebut. Bank tidak akan peduli kesusahan peminjam kerana mereka perlu memastikan "kebajikan" pelabur. Disebabkan bank adalah institusi diiktiraf pemerintah maka pihak berkuasa akan melakukan kerja menghalau bagi pihak pelabur. Sebab itu apabila melabur di bank, pelabur tidak rasa bersalah kerana "kerja kotor" ini dilakukan oleh pihak ketiga secara sah berdasarkan undang-undang sekular. Bagi saya pula jika saya tidak suka orang lain mengambil kesempatan atas kesusahan keatas diri saya maka saya pun tidak mahu melakukan sedemikian kepada orang lain kerana saya tahu ianya akan berbalik semula kepada diri saya sendiri satu hari nanti baik didunia mahupun diakhirat. Inilah salah satu sebab manusia terpinga-pinga kehairanan mengapa manusia lain jahat atau mengambil kesempatan keatas diri mereka sedangkan mereka sendiri melakukannya tanpa sedar keatas orang lain.

Jika kita meng"islam"kan sekalipun konsep memberi pinjaman tersebut dengan pusing sana dan pusing sini, bagi nama lain "muserakah" atau "mudah rebah", pembiayaan dan bukan pinjaman, berakadlah dan sebagainya, adakah anda sanggup menjadi lintah menyedut darah saudara seislam sendiri? Kelintahan anda tidak jelas kelihatan kerana ia berselindung disebalik nama Islam itu sendiri.

Ini jika kita lihat diri kita sebagai pelabur, bagaimana pula jika kita adalah Mat atau peminjam didalam cerita ini? Ramai yang akan berkata,
"tak mengapalah, pihak bank Islam kan berjual beli dengan kita, lagi pun bank mahu membayar gaji pekerja-pekerjanya".
Ramai yang tidak sedar sebenarnya mereka telah diper"hamba"kan oleh pihak bank untuk kepentingan korporat yang mana pelabur kaya akan makin kaya dengan menyedut darah mereka yang terpedaya. Anda boleh melihat betapa agresifnya sebuah bank islam tempatan yang dibeli sahamnya oleh pelabur dari Timur Tengah, begitu rancaknya mereka bersaing dalam arena "menyedut darah" masyarakat Islam dinegara kita untuk memastikan keuntungan korporat mereka.

Baik konvensional atau islamik, manusia tetap diperhambakan oleh golongan bank ini, disini kita boleh kategorikan dua jenis perhambaan perhambaan yang berlaku,

1) Perhambaan fizikal yang mana setiap bulan selama 20-30 tahun atau berapa tahun sekalipun tempoh pinjaman, peminjam akan menjadi pembayar yang setia kepada bank walaupun rumah yang mereka beli itu terbengkalai ataupun harganya jatuh. Jika bank itu sebuah perniagaan maka bank juga harus mengambil risiko kehilangan wang apabila projek terbengkalai atau harga rumah jatuh dengan memulangkan kembali wang lebihan bayaran selepas mengira harga rumah pada pasaran selepas tamat tempoh pinjaman. Ini tidak, terbengkalai ke, harga jatuh ke, Islam tak Islam, bayar sampai habis. Adakah ini suatu yang islamik atau sesuatu yang zalim atau menindas?

2) Perhambaan mental. Katalah anda mengambil pinjaman rumah dan kereta secara Islamik, setiap bulan anda ada komitmen untuk membayar ansuran kepada bank. Satu hari anda mendapati bos anda mengambil rasuah. Jika anda lapurkan kepada pihak atasan, bos kamceng dengan pihak atasan, nak lapur pada BPR, bos anda ini ahli politik ternama, jadi disebabkan anda takut kehilangan kerja yang mana bayaran ansuran bulanan rumah dan kereta akan tersangkut , kemungkinan besar anda hanya akan mendiamkan diri sahaja terhadap kemungkaran yang berlaku didepan mata. Tindakan anda pasti akan berbeza jika anda tiada apa-apa komitmen untuk dirisaukan. Ini hanyalah satu contoh kecil yang mana disebabkan hutang baik islamik atau tidak, ramai antara kita yang sanggup menutup mata dari menghukum kemungkaran. Bagi yang tidak beriman maka dia pun akan meneladani bosnya, bagi yang masih ada saki baki iman, maka hiduplah didalam keadaan tertekan, stress dan sebagainya.

Sistem perbankan islamik diwujudkan selepas manusia bertahun-tahun hidup didalam keadaan stress dan tertekan dengan sistem konvensional. Disebabkan sistem ekonomi ala barat ini semakin hari harga barang semakin meningkat (walaupun sebenarnya nilai wang itu sendiri yang menyusut), manusia terpaksa bersaing untuk mengumpul sebanyak wang yang mungkin untuk menampung kenaikan harga barang dan semakin hari semakin tertekan.

Apabila hidup didalam keadaan tertekan, keadaan "fight or flight", mentaliti manusia menjadi lebih kepada kepentingan atau keselesaan individu (selfish) akan menyerlah berbanding dengan kepentingan kumpulan atau masyarakat. Contoh yang paling nyata amat jelas sekali didalam kehidupan seharian kita, lihat bagaimana umat Islam kita sembahyang berjemaah hari ini, masing-masing suka kepada keselesaan sendiri dan menjarakkan antara satu sama lain sedangkan Nabi sudah berpesan agar rapat antara satu sama lain ketika solat jemaah. Ini adalah antara kesan psikologi yang manusia tidak sedari sedikit demi sedikit telah mempengaruhi kehidupan dari segi tingkah laku dan perbuatan mereka, termasuklah dalam bab mencari kekayaan. Jadi mereka yang Islam dan mahu menjadi semakin kaya akan memutarbelitkan sistem perbankan dan mengislamkannya untuk memastikan duit mereka tidak hilang (kekal selesa), sedangkan wang itu sendiri bukanlah suatu untuk diniagakan, malah pada pendapat saya bank itu sendiri tidak perlu wujud sebenarnya. Jika perlu wujud sekalipun hanyalah sebagai badan untuk mejaga kepentingan seluruh umat manusia dan bukan sebagai alat atau mekanisme untuk memastikan kekayaan kepada golongan tertentu sahaja.

Hanya selepas 1100 tahun kedatangan Islam baru lah wujud "makhluk" yang dinamakan bank, dan siapa yang mengasaskannya? Tidak lain adalah Yahudi yang mengawal ekonomi British dengan penubuhan Bank of England pada abad ke 17. Dan dunia Islam yang telah lama hidup dengan sistem riba' didikan barat ini hanya memutarbelitkan proses pinjaman dengan terma, nama, akad dan sebagainya sedangkan prinsip disebaliknya adalah sama. Jangan terkejut ada "Sheikh" British yang menentang sistem jajaan Yahudi ini, siapakah "sheikh" tersebut? Tidak lain beliau adalah William Shakespere menerusi karya klasiknya "Merchant of Venice". Ini antara bukti kristian pada awal kurun ke 17-18 juga amat menentang riba' akan tetapi sebab kawalan minda yang berkesan maka sedikit demi sedikit ianya lenyap dari kamus keagamaan mereka.

Jika kita lihat wang kertas itu sendiri, adakah nilai wang itu tersimpan didalamnya? Adakah nilainya disandarkan kepada emas dan kita sebagai rakyat boleh pergi ke bank untuk menukarkan dengan emas? Mengapa inflasi tetap didalam ekonomi? Mengapa nilai wang semakin hari semakin menurun? Jika wang didalam sistem kewangan moden itu sendiri tidak wujud sebagai suatu yang nyata iaitu punyai nilai didalamnya maka bagaimana kita boleh me"niaga"kan suatu yang tidak jelas itu?

Seperti yang telah saya ceritakan didalam artikel Cerita Wang 1, barat menakluk hampir kesemua negara didunia ini dan meninggalkan dua virus pemusnah manusia yang utama iaitu kerajaan sekular dan juga sistem perbankan barat. Kerajaan sekular adalah kerajaan yang menidakkan hukum Allah, apa yang diharamkan oleh Allah dihalalkan contohnya riba', judi dan arak. Virus kedua pula adalah sistem kewangan berasaskan riba'. Dan apabila virus ini sudah menyelinap kedalam salur darah masyarakat maka mereka hanya perlu memberi arahan jarak jauh "remote control" sahaja untuk mengawal sesuatu negara itu, tak percaya lihatlah hutang luar negara yang tak habis-habis dibayar dan sudah semestinyalah beserta dengan riba'nya sekali.

Pada pendapat saya bank tidak sepatutnya diwujudkan sebagai perniagaan kerana wang bukanlah sesuatu yang sepatutnya diniagakan lebih-lebih lagi apabila nilai wang itu tidak berada didalam wang itu sendiri. Nilai wang kita berada didalam genggaman mereka yang mengawalnya iaitu Yahudi laknatullah dan amat sedih sekali berapa ramai pemimpin kita yang sedar akan keadaan ini?

Saya perhatikan di hospital kerajaan dengan hanya membayar RM1 sahaja kita sudah boleh mendapat rawatan doktor, maka timbul persoalan difikiran saya mengapa kerajaan tidak boleh memberi pinjaman tanpa riba' atau tanpa faedah kepada rakyat dengan mewujudkan bank yang beroperasi sedemikian dan sebaliknya mengenakan jumlah sebenar kos perubatan kepada rakyat? Bukankah tekanan atau stress itu penyebab utama peyakit merbahaya dinegara kita seperti sakit jantung dan darah tinggi yang mana jika dikaji kembali puncanya adalah dari wang. Dan apabila saya berfikir lagi saya mendapat jawapannya, kerana jika manusia tidak stress atau tertekan, mereka akan lebih sihat jadi industri perubatan swasta tidak boleh mengaut darinya. Jika kekal ikut cara biasa, dari bank boleh buat duit dan begitu juga dengan dari industri perubatan swasta, maka semakin cepatlah yang kaya akan semakin kaya dan yang miskin akan semakin miskin.


Seperkara lagi yang boleh difikirkan dalam bab menghalal atau mengharamkan sistem pinjaman islamik ini, cuba perhatikan apakah faedah yang akan didapati oleh mereka yang mencanangkan untuk menghalalkannya dan faedah bagi mereka yang mengharamkannya. Jika sistem perbankan islamik ini membayar gaji atau memberi pulangan dalam bentuk pelaburan kepada seseorang itu adakah dia akan membantahnya? Bak kata pepatah barat;
"kamu tidak akan menggigit tangan yang menyuapkan makanan kepada kamu".
Cuba perhatikan pula mereka yang mencanangkan ianya haram, adakah mereka akan mendapat faedah dari pengharaman tersebut? Sheikh Imran Hossein adalah antara ulama yang keras menentang cara yang diamalkan oleh perbankan islam, apakah faedah yang akan beliau dapat dari usaha beliau? Pada pendapat saya apa yang akan diperolehinya adalah pahala yang teramat banyak dari Allah kerana beliau boleh "melihat" kemungkaran, kezaliman dan penindasan yang berlaku disebalik sistem yang kononnya Islamik itu.

Saya memohon ampun dan maaf kiranya ada rakan-rakan yang marah atau terasa hati dengan artikel-artikel saya berkenaan riba' terutamanya yang menyentuh berkenaan bank Islam. Saya banyak merantau dan apabila pergi kenegara-negara miskin terdetik dihati saya mengapa dunia jadi begini. Hasil dari pembacaan dan berfikir secara mendalam maka jawapan yang nyata kepadanya adalah sistem riba' itu sendiri yang telah menakluk seluruh dunia dan memberi kuasa kepada pihak tertentu untuk mengawal dunia dari segenap aspek kehidupan termasuklah hingga ke tahap memastikan siapa pemimpin yang dipilih dalam pilihanraya sesebuah negara yang kritikal bagi memastikan keuntungan korporat mereka. Perhambaan fizikal telah lama berlaku akan tetapi perhambaan kewangan sedang memuncak dengan hebatnya dan sistem perbankan inilah mekanismanya.

Memang idea-idea dan pemikiran baru agak sukar diterima lebih-lebih lagi jika manusia perlu melakukan banyak perubahan dalam kehidupannya yang sudah selesa untuk menerima idea baru itu. Lihatlah apa yang terjadi kepada Galileo Galilei yang menyatakan bumi yang mengelilingi matahari sedangkan pihak gereja dari rujukan kitab Bible telah mem"fatwa"kan sebaliknya. Pada tahun 1633 beliau dibicarakan dan dijatuhkan hukuman tahanan rumah atas tuduhan mendustakan agama. Begitu hebat sekali tentangan yang dihadapinya, beliau menjadi buta dan mati pada tahun 1642, hanya selepas 370 tahun kematiannya baru pihak gereja meminta maaf atas layanan yang dikenakan terhadap Galileo. Begitu jugalah dengan Islam yang ditentang hebat semasa mula disebarkan oleh Nabi SAW.

Haramnya pinjaman perbankan islam ini adalah untuk saya dan keluarga. Ini bukan "fatwa" untuk diikuti oleh rakan-rakan sekalian. Akan tetapi jika artikel-artikel saya ini mampu memberi ketukan diminda rakan-rakan agar kembali memikirkan betulkah halal seperti apa yang dicanang-canangkan oleh perbankan islam, itu sahaja sudah cukup bagi saya untuk bersyukur kepada Allah dan berpuas hati dari usaha yang tidak seberapa ini. Moga ianya menjadi titik permulaan pemikiran baru dikalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi generasi baru iaitu adik-adik dan anak-anak yang masih belum merasai "nikmat" meminjam dan memberi pinjaman. Agak sukar untuk menerima dan berubah bagi mereka yang sudah cukup selesa dengan cara lama, kecuali jika dibuka hati mereka oleh Allah untuk menyedarinya.

Marilah bersama merenung kembali tujuan sebenar perbankan itu sendiri, adakah untuk membantu umat islam atau mengambil kesempatan keatas kejahilan umat islam itu sendiri. 
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda. (Surah Ar Rum 30:39)
Manusia akhir zaman tidak lagi percaya bahawa rezeki mereka sebenarnya datang dari Allah, maka mereka menggunakan akal pendek mereka untuk memastikan harta mereka bertambah dengan pelaburan walaupun ianya menindas manusia hatta dengan label islamik sekalipun. Apa yang saya coretkan disini hanyalah membawa pemikiran baru, terpulang kepada anda untuk menerimanya, sekurang-kurangnya tanggungjawab saya untuk menyampaikan sudah selesai, ahamdulillah. Saya hanya ingin membina minda yang bebas dari perhambaan kewangan baik yang islamik atau tidak. Tepuk dada tanya iman dan berfikirlah samada anda akan diperhambakan atau tidak dengan sistem kewangan moden ini. Bukan hak saya untuk menghalang, apa yang saya lakukan hanyalah berpesan-pesan dengan kebenaran dan beresan-pesan dengan kesabaran


Baca selanjutnya: http://syurgadidunia.blogspot.com/2010/04/mengapa-saya-kata-pinjaman-rumah_25.html#ixzz1g79uSm00

FOC

Udara yang kita semua sedut dengan kadar purata 12 sedutan seminit ini, adakah ianya percuma? Jika dilihat pada perspektif kasar, ya, memang ianya seolah-olah percuma kerana kita tidak perlukan wang atau duit membayarnya. Akan tetapi adakah segala yang kita nikmati didunia ini semestinya berurusan dengan wang atau duit? Bagaimana jika saya katakan udara yang kita sedut ini tidak percuma? Mungkin ada yang setuju dan mungkin ada yang kata tidak.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengambil hak insan lain secara sedar atau tidak, contohnya dengan mengambil rasuah, mencuri, makan harta anak yatim, menipu dan mana ini adalah secara langsung. Yang terselindung pula adalah riba' samada faedah dari bank ataupun saham tidak halal yang mana manusia mengambil hak insan lain samada secara paksa (riba' dengan Along) ataupun secara sukarela (riba' atau pembiayaan jual beli dengan bank).

Bagaimana pula dengan skim cepat kaya atau yang berselindung disebalik MLM dengan menjual produk sambil memperdayakan ahli mencari ahli yang lain dan kemudiannya yang menjadi mangsa selalunya adalah mereka yang berada dibawah sekali dalam tingkat piramid? Malah ada syarikat yang menggunakan konsep ini sambil menjual barangan berunsurkan Islam.

Tiada yang percuma didunia ini dan apa yang dinikmati dan nampak seolah-olah percuma itu sebenarnya ada harga yang mesti dibayar. Disini saya akan membawa rakan-rakan sekalian untuk kembali merenung dan berfikir dari asas kehidupan itu sendiri hinggalah kepada mengapa Allah melarang kita mengambil hak orang lain samada mencuri, mengambil rasuah, makan harta anak yatim dan terutamanya riba' yang mana Allah dan rasul mengishtihar perang terhadap mereka yang berbuat demikian.



Sebelum wujudnya wang samada kepingan emas, perak ataupun wang kertas, bagaimanakah caranya manusia mendapatkan barang keperluan contohnya makanan? Manusia harus berusaha mencarinya kerana ianya tidak datang bergolek didepan mata. Ada yang mencarinya dihutan dengan memetik buah-buahan ataupun memburu. Makin lama muncul pula pengkhususan dimana manusia mengusahakan sawah atau ladang. Bagaimana pula jika manusia inginkan barangan lain selain dari apa yang diusahakannya? Maka muncul pula situasi dimana manusia mula bertukar-tukar barangan (barter).

Ini bermakna, jika saya ada mahukan sesuatu contohnya beras, maka saya perlu berusaha menanamnya atau mencari sesuatu yang berguna, punyai nilai dan dikehendaki oleh manusia lain contohnya seberkas kayu api, dan saya juga perlu berusaha mencari sesiapa yang punyai beras dan mahukan kayu api. Apabila bertemu maka saya harus berbincang dan bersetuju mengenai kadar pertukaran, mungkin seberkas kayu api saya itu boleh saya tukarkan dengan secawan beras. Saya juga harus berakad untuk menyempurnakan urusan seumpama jual beli ini. Jika tidak dengan bertukar barangan, saya boleh juga menukar beras itu dengan skil yang ada pada diri saya, contohnya menuai padi untuk pemunya sawah dan kemudiannya dia mengupah saya dengan sejumlah beras.

Ini bermakna, jika saya tidak punyai apa-apa iaitu suatu yang bernilai atau skil berguna yang memberi perkhidmatan kepada manusia lain, maka tidak mungkin saya akan memperolehi sesuatu barangan lain kecualilah jika saya menjadi peminta sedekah ataupun mencuri. Semua harus didahulukan dengan usaha dan usaha memerlukan tenaga, saya mesti punyai suatu yang bernilai dahulu sebelum boleh ditukarkan dengan suatu yang bernilai dan tukaran itu juga mestilah setanding dengan barang yang mahu ditukar dan disusuli pula dengan persetujuan (akad) untuk proses tersebut.

Sekarang saya cuba kaitkan pula proses ini dengan fizik, usaha memerlukan tenaga dan ini bermakna tanpa melibatkan tenaga, sesuatu hasil (barang atau perkhidmatan) tidak akan diperolehi. Menurut teori relativiti Einstein, berdasarkan formula E=MC2, tenaga dan jirim (mass) adalah dua benda yang sama tetapi dalam bentuk yang berbeza dan kedua-duanya saling bertukar. Ini bermakna dari tenaga yang kita keluarkan, ia berubah manjadi suatu yang nyata, jelas dan fizikal (jirim). Menurut hukum pengekalan tenaga (Law of conservation of energy) pula, tenaga didalam suatu sistem tertutup itu tidak boleh dihasilkan atau dimusnahkan, ia hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain samada melalui kinetik, induksi, konveksi ataupun radiasi.

Allah menjadikan matahari sebagai punca utama tenaga didunia ini dan dari tumbuh-tumbuhan, tenaga mathari tersebut bertukar menjadi sesuatu yang berguna untuk umat manusia, baik untuk makanan mahupun barang diguna pakai, dari makanan ruji seperti gandum dan beras hinggalah kepada minyak yang mana ianya adalah hasil dari reputan tumbuh-tumbuhan dan dinasour beribu-ribu tahun dahulu yang juga mendapat tenaga dari matahari. Tenaga tersimpan dalam bentuk suatu yang wujud (jirim) ataupun gelombang seperti gelombang bunyi ataupun gelombang haba. Tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain dan pertukaran ini nampak seperti suatu yang boleh dikawalsecara mutlak sedangkan pada hakikatnya itu tidak dapat dicapai sama sekali dimana jika dilihat dari sudut sub-atomik, ianya hanyalah kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Einstein sehingga akhir hayatnya tidak dapat menerima hakikat bahawa dunia sub-zarah memang terbukti suatu yang tidak boleh ditentukan hingga ungkapan beliau "Tuhan tidak bermain dadu" masih diungkapkan didalam kebanyakan buku falsafah fizik. Jadi adakah Allah SW "bermain dadu" dan membiarkan dunia tenaga atau sub-zarah ini dengan ketidak tentuan?

Sejak lebih 300 tahun dahulu kebanyakan kita diasuh dengan fizik klasik yang dikemukakan oleh Newton berdasarkan asas yang diberikan oleh Descartes, Galileo, Kepler dan Copernicus, dan melaluinya konsep sesuatu yang berlaku ada penyebabnya (causality), dengan menggunakan hukum gerakan Newton, kehidupan didunia ini boleh dikira baik dari perlanggaran biji guli hinggalah kepada menerbangkan roket keangkasa. Manusia percaya kepada suatu yang jelas, yang nampak, yang boleh diuji dan dikaji, maka dalam bab mengambil rasuah, makan riba', mencuri dan sebagainya ini, manusia percaya dengan kuasa, kebijaksaaan, kelicikan dan sebagainya yang ada pada diri mereka, mereka dapat mengira, mengagak dan mengawal harta atau wang ringgit yang didapati dengan cara tidak sah itu. Akan tetapi dunia yang jelas memang boleh dikawal, diagak dan sebagainya, tidak didalam dunia zarah sub-atomik.

Pada pendapat saya menerusi pengamatan dan penelitian, Allah tidak membiarkan dunia zarah sub-atomik ini dengan ketidak tentuan, Allah telah pun meletakkan undang-undang tertentu tetapi tidak disebut secara langsung kepada umat manusia. Ini kerana Allah SW mahu menguji hambanya dan mahukan hambaNya yang berfikir akan tetapi diakhir zaman ini amat kurang sekali umatnya yang berbuat demikian kerana telah tenggelam dengan hiburan, kesenangan dan kemewahan. Cuma mereka yang benar-benar beriman sahaja yang tidak perlu tahu mengapa Allah SW memerintahkan sedemikian kerana mereka yakin dan percaya apa yang diperintahkan Allah itu ada hikmahnya. Manusia akhir zaman dengan punyai ilmu yang sedikit bongkak bangun menentang apa yang diperintahkan Allah dengan alasan sudah jumud, menindas dan menyalahi hak kebebasan memilih, hak individu dan sebagainya. 

Allah maha adil, itulah undang-undang atau hukum yang menidakkan ketidaktentuan dunia sub-zarah atau dunia tenaga. Setiap apa yang kita nikmati baik dari udara yang disedut, wang dan kekayaan yang diperolehi mestilah secara adil. Jika kita tidak menjaga alam sekitar (tumbuh-tumbuhan) bahananya adalah perubahan cuaca dunia. Jika kita mendapat kekayaan dengan mengambil hak insan lain, terjadilah pelbagai penyakit sosial masyarakat terutamanya kecurian, penipuan, rasuah dan sebagainya dan ia akan berbalik kepada diri kita sendiri. Semua yang kita nikmati ini ada tanggungjawab dan harga yang terpaksa dan perlu dibayar.

Bermula dengan pertukaran barang, kemudiannya emas atau komoditi sebagai wang hinggalah kepada penggunaan kertas yang mewakili wang, jika difikirkan secara mendalam, wang sebenarnya hanyalah mewakili sebanyak mana tenaga yang kita usahakan dan tenaga ini bertukar bentuk dari usaha atau kerja kepada wang dan kemudiannya dari wang itu kita mendapat sesuatu yang lain. Contohnya kita bekerja dan hasil dari kerja itu kita mendapat gaji dalam bentuk wang, dan dengan wang itu kita boleh mendapatkan khidmat usaha manusia lain ataupun barangan yang diusahakan oleh orang lain. Semuanya berbalik kepada usaha dan usaha itu asalnya dari tenaga. Dan melalui interaksi sesama manusia inilah (jualbeli dan perkhidmatan), tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Persoalannya, adakah tenaga yang kita perolehi (yang diwakili oleh wang itu) benar-benar milik kita?

Apabila kita hanya mengambil tenaga dari insan lain contohnya dengan riba' iaitu memberi pinjaman dan mengambil faedah lebih dari yang dipinjamkan, insan yang meminjam itu terpaksa memberikan tenaga yang diperolehinya (dari usahanya sendiri) kepada kita tanpa timbal balas yang adil, perumpamaan yang saya boleh berikan adalah ibaratkan diri kita secawan air yang mana dari tenaga insan lain (yang kita paksa mereka berikan kepada kita) maka suhu kita (air) tersebut akan meningkat. Maknanya tenaga dari insan lain beralih kepada diri kita dan diri kita mempunyai lebih tenaga (suhu tinggi dari persekitaran). Ini boleh dilihat dengan mereka yang kaya raya dimana mereka lebih bertenaga dan berkuasa sedangkan yang miskin lemah dan tidak punyai tenaga hatta untuk menanggung diri sendiri sekalipun.

Dan ini yang dapat kita lihat keadaan didunia ini sekarang dimana perbezaan yang ketara antara yang kaya dan yang miskin. Akan tetapi Allah itu maha adil dan zarah sub-atomik yang mana ianya merupakan gumpalan tenaga (quanta) ini akur kepada perintah Allah. Tenaga ini akan keluar dan kembali semula kepada pemunya asal tenaga tersebut. Rujuk kembali kepada perumpaman secawan air itu tadi, jika suhu persekitaran rendah berbanding suhu air tersebut, lama kelamaan suhu air didalam cawan itu akan kembali kepada suhu persekitaran. Jika kita letak air tersebut didalam thermos sekalipun lama kelamaan suhunya tetap akan turun juga menyamai persekitaran dan ini yang cuba dilakukan oleh mereka yang kaya dengan hasil usaha insan lain (riba', rasuah, menipu dan sebagainya).

Perumpamaan memasukkan air tersebut kedalam thermos adalah dengan memasang grill pada rumah, meletakkan pengawal keselamatan ataupun alat penggera yang mana manusia cuba menghalang tenaga (wang ringgit) tersebut kembali kepada pemunya asal, akan tetapi tenaga itu tetap akan lari dengan cara lain samada hilang ketenangan dan kegembiraan, dan manusia perlu mengeluarkan wang (tenaga yang disimpan) untuk mencarinya (ketenangan) ataupun hilang kesihatan yang mana akan hilang juga wang (tenaga yang disimpan) untuk mengubatinya. Apabila ekonomi masyarakat berasaskan riba', rasuah ataupun penipuan, maka ketidak adilan akan berlaku maka suhu yang kaya akan semakin meningkat dan suhu yang miskin akan semakin rendah. Bagi miskin yang tidak beriman mereka akan merompak, dan bagi kaya yang tidak beriman mereka akan cuba menghalang wang yang mereka perolehi secara tidak adil itu dengan pelbagai sistem dan alat keselamatan.

Kekayaan atau kemewahan yang sebenarnya adalah apabila seseorang manusia itu memberi sesuatu yang memberi lebih nilai kepada insan lain, yang akan menaikkan suhu atau tenaga insan lain. Contohnya jika saya bukukan artikel blog ini dan menjualnya dengan harga sepuluh ringgit dan hasil dari pembacaan artikel saya itu pembeli buku saya itu menjadi lebih positif hidupnya dan lebih beriman (insyaallah) maka tenaga (wang) yang saya perolehi dari pembeli itu akan menaikkan suhu diri saya (makin kaya) dan pada masa yang sama suhu pembeli juga akan meningkat hasil dari perubahan cara berfikir dan juga cara hidup yang lebih baik. Barulah keadilan wujud disini dan kedua-dua pihak iaitu saya dan pembeli buku saya mendapat kebaikan dari urusniaga tersebut. Wang yang saya perolehi akan kekal pada diri saya kerana jumlah tenaga saya dan masyarakat sekitar menjadi sama.

Bagaimana pula jika saya mendapat kekayaan dengan mengambil rasuah? Apakah nilai yang telah saya berikan kepada insan lain? Tenaga didalam diri saya akan meningkat akan tetapi persekitaran semakin rendah. Bagaimana pula dengan cara menipu? Bagaimana pula dengan cara memanipulasikan harga barangan contohnya menyorok gula atau beras dengan harapan harga akan naik dan kemudian baru menjualnya? Bagaimana pula dengan mengumpul kekayaan dengan riba'? Tenaga (wang ringgit) yang saya dapati itu tidak akan kekal dan akan mengalir keluar dengan pelbagai cara dan sudah semestinya dengan kepayahan dan kesusahan. Dan inilah janji Allah bagi mereka yang hanya mahu mengambil tetapi tidak mahu memberi (rujuk Surah Al-Lail 92:8-10).

Semua larangan Allah itu adalah kerana Allah itu maha penyayang dan tidak mahu hambaNya mendapat kesusahan baik didunia mahupun diakhirat, akan tetapi manusia semakin hari tidak percayakan Allah dan apatah lagi tamadun manusia itu sendiri tidak pernah meminta manusia untuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku keatas diri mereka dan menganggap apa yang terjadi keatas diri mereka hanyalah kerana mereka adalah mangsa dan manusia lain itu penyebabnya. Fizik kuantum telah melenyapkan tanggapan ini dan meletakkan apa yang terjadi didalam hidup manusia itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri (rujuk Surah Ar-Rum 30:41).

Hasil dari urusan sehari-harian samada kerja ataupun urusan jualbeli, amat sukar untuk mempastikan apa yang kita perolehi itu benar-benar milik dan hak kita. Contohnya masa kerja yang kita sepatutnya berikan adakah benar-benar kita telah berikan kepada majikan kita dengan sepenuhnya? Begitu juga dalam urus niaga jual beli, mungkin ada terkurang timbangan yang mana mungkin tanpa sedar kita telah menganiaya insan lain. Maka disinilah pada pendapat saya kelebihan zakat yang mana zakat itu yang kita berikan akan menaikkan kembali suhu persekitaran dan kekayaan yang kita perolehi itu akan benar-benar dirahmati Allah SW dan zarah sub-atomik (tenaga) yang kita perolehi itu akan kekal bersama kita dan tidak lari mengalir keluar.

Begitu jugalah dengan bersedekah yang mana apabila kita memberi kepada insan lain, ini juga akan memberi tenaga (melalui sedekah itu tadi) kepada insan lain lantas menaikkan "suhu" tenaga mereka, maka barulah kita akan mendapat masyarakat yang hidup aman dan harmoni. Hidup sebenarnya adalah untuk memberi dan apabila kita memberi itu balasan itu hanyalah dari Allah (Surah Al Lail 92:5-7) maka akan Allah permudah jalan bagi kita. Allah SW telah memberi perumpaan bahawa mereka yang bersedekah dan mengharapkan balasan hanya dari Allah itu pula adalah umpama biji benih yang kemudiannya menumbuhkan tujuh tangkai (Surah Al Baqarah 2:261), bagaimana tenaga ini akan kembali kepada kita? Jika anda telah membaca artikel Fizik Dosa dan Pahala, anda pasti akan memahaminya. Seluruh makhluk, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang berzikir dan akur kepada perintah Allah dan melalui mereka jugalah tenaga yang kita berikan kepada insan lain akan kembali semula kepada kita.

Udara yang kita sedut ini tidak percuma, sebaliknya ianya adalah proses pertukaran antara kita manusia dan juga tumbuh-tumbuhan yang mengambil karbon dioksida dan memberikan kita oksigen untuk hidup. Semua ini telah berlaku secara adil dengan ketentuan Allah dan apabila manusia tidak sayangkan alam sekitar dan memusnahkannya, maka kesan buruk itu jugalah yang menimpa manusia itu kembali. Begitulah juga dengan hubungan antara manusia dengan manusia yang lain, mestilah dilakukan dengan seadil-adilnya, jika tidak penyakit masyarakat akan berlaku dan dunia secara sendirinya berubah menjadi neraka. Tiada yang percuma didunia ini, semuanya ada harga yang terpaksa dibayar. Celakalah mereka yang mengambil hak insan lain dan tidak menyumbang untuk menaikkan taraf hidup (suhu dan tenaga) insan lain. Moga artikel ini dapat menerbitkan pemikiran baru bagaimana kita semua melihat dunia ini, insyaallah.


Baca selanjutnya: http://syurgadidunia.blogspot.com/2010/07/tiada-yang-percuma-didunia-ini.html#ixzz1g76d7bbl