Ahad, 15 Januari 2012

surat terbuka rosmah mansor

Assalamualaikum Datin Seri…
Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. Usia saya 2012 ini hampir mencecah 20 tahun beberapa bulan lagi (Julai).
Saya perkenalkan diri, sebagai remaja yang ingin tahu. Apa jua medium yang termampu saya pergunakan, saya usahakan sebaiknya agar saya dapat mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkenaan negara Malaysia yang tercinta ini.
Iya, Datin Seri. Umur saya, sangat muda. Kedudukan saya, jauh benarlah kiranya dibandingkan dengan Datin Seri. Namun, saya yakin dan percaya, andai umurlah yang menjadi penentu kelayakan seseorang untuk bersuara, tidaklah layak sama sekali untuk suami Datin Seri memegang amanah pentadbiran negara sekarang, kerana di luar sana terdapat ramai yang lebih tua usianya!
Tegas saya, saya adalah remaja yang memerhati. Saya tidak mahu, sekadar menjadi manusia yang kerjanya memuaskan tembolok sendiri. Tidak juga hanya terpaku di bilik darjah, ‘menelan’ buku teks sekolah. Saya percaya, erti hidup pada memberi!
Datin Seri Rosmah Mansur yang saya hormati,
Saya pohon jutaan kemaafan, andai surat kecil ini menyinggung Datin Seri. Saya tidak berniat untuk menyakiti hati Datin Seri, jauh sekali memburuk-burukkan. Surat kecil ini, hanyalah usaha kerdil saya, menyampaikan isi hati. Ia hanyalah suara hati dan pandangan seorang anak muda.
KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT
Datin Seri,
Pernah suatu pagi, saya dibawa ibu untuk menziarahi jenazah anak tunggal seorang jiran kami. Kanak-kanak kecil itu, baru berusia 6 tahun. Khairani namanya. Runtun rasa di hati, sebaik melihat keadaan rumah tempat tinggalnya kanak-kanak itu bersama ibunya. Saya cuba membayangkan, bagaimanalah andainya hujan lebat menimpa bumbung rumah itu. Atapnya berlubang-lubang, hinggakan saya fikir memadai dengan cahaya matahari yang ‘mencuri’ masuk melaluinya untuk menyinari ruang dalam rumah daif itu. Saya terpaksa melangkah berhati-hati, kerana lantainya berkeriut dan goyah sekali.
Hadir insaf dan syukur di dalam hati saya, bahawa betapa saya memiliki hidup yang jauh lebih baik dan selesa berbanding ramai lagi rakyat kebanyakan.
Di sekolah, saya punyai rakan-rakan yang sulit sekali melangsaikan yuran bulanan asrama. Bukan culas, bukan malas, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka. Adik-beradik ramai yang masih bersekolah, ditambah taraf hidup dan kos keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari, semuanya membebankan!
Datin Seri,
Sungguh saya tidak mampu mengelakkan rasa kecewa, apabila mengetahui yang Datin Seri bermalam di sebuah hotel di Dubai dengan kos melebihi RM100, 000 semalaman. Sehingga ke hari ini, saya masih teringatkan rumah daif adik Khairani, juga nasib ramai lagi yang saya temui sepanjang umur ini. Saya tahu, betapa besarnya urusan Datin Seri, juga kedudukan Datin Seri. Mungkin memang Datin Seri berhak, tetapi, apakah Datin Seri langsung tidak teringatkan kami, rakyat yang kesusahan? Apakah Datin Seri langsung tidak terfikirkan nasib ratusan, ribuan lagi rakyat yang tidak bernasib baik?
Apakah tiada langsung rasa bersalah di hati Datin Seri? Rasa bersalah kerana tinggal hanya untuk semalaman tetapi dengan kos yang boleh menyamai lebih kurang pendapatan selama 66 bulan bagi 40 peratus rakyat Malaysia! 40 peratus inilah rakyat yang pendapatan bulanan bagi setiap keluarga adalah lebih rendah daripada RM1500 sebulan. Bahkan setiap 3 daripada 4 keluarga ini, adalah sebangsa dengan Datin Seri, bangsa MELAYU!
Atau apakah Datin Seri tidur dengan lena malam itu?
Hingga hari ini, sudah bertahun saya tidak ke restoran Pizza Hut, McDonald dan seumpamanya. Kerana cukup dengan hanya melihat dari jauh, hadir rasa pilu mengenangkan saudara-saudara seagama, anak-anak muda seusia saya atau kanak-kanak, wanita dan orang tua yang dibunuh kejam di Palestin oleh rejim zalim Israel hasil sumbangan restoran-restoran ini.
Ia dipanggil, kasih sayang Datin Seri. Maafkan saya, tetapi saya terpaksa bertanya, apakah tiada langsung walau secebis pun rasa kasihan kepada rakyat Malaysia yang hidup serba kesusahan? Rakyat yang terpaksa melupakan impian dan keinginan kerana kesempitan hidup, namun terpaksa pula menanggung kos penginapan Datin Seri dan rombongan di luar negara untuk hanya semalaman!? Bayangkan pula kos penerbangan untuk keseluruhan rombongan selain daripada penginapan!
Peningkatan kos sara hidup waktu ini, sangatlah membebankan. Suami Datin Seri berterusan meminta seluruh rakyat berjimat, sedangkan isterinya? Hasil tindakan kerajaan pimpinan suami Datin Seri, mengurangkan subsidi untuk rakyat terbanyak sedangkan untuk para taukeh-taukeh besar dikekalkan, juga ‘penyelarasan-penyelarasan’ harga, teramatlah menyulitkan kami semua.
Sungguh Datin Seri, kami sangat terbeban meskipun harga petrol dinaikkan walau beberapa sen. Ia akan mempengaruhi seluruh kehidupan kami. Harga makanan, pakaian, kos pengangkutan dan semuanya akan semakin menyulitkan kami. Saban hari, saya melihat ibu mengeluh kerana gajinya sukar sekali untuk disimpan, ia sekadar mencukupi untuk setiap bulan.
Kami rakyat tidak meminta Datin Seri turut menaiki kereta biasa atau tinggal di rumah biasa seperti kami. Hanya yang kami rakyat pinta, supaya Datin Seri dan suami menyelami hakikat kesukaran yang terpaksa kami tempuhi.
Malangnya, tindakan Datin Seri berbelanja mewah begini adalah sama sekali tidak menggambarkan Datin Seri dan suami bersama-sama kami. Sungguh, ini amat mengecewakan saya. Sukar sekali untuk saya mewajarkannya. Maafkan saya Datin Seri, sungguh ia tidak dapat saya terima.
IFF dan Islam
Datin Seri yang dihormati,
Tiadalah yang lebih mengecewakan dan membangkitkan kemarahan, melainkan ketika melihat Datin Seri dan suami di Festival Fesyen Islam Monaco. Bagaimana tidak, pakaian yang diperagakanlangsung tidak menggambarkan Islam! Langsung tidak menutup aurat, menampakkan bahagian-bahagian yang sepatutnya sulit dan yang paling dahsyatnya, nama RasuluLlah SAW yang mulia tertera pada pakaian yang tidak menutup aurat!
Kalimah Nabi terbalik
Apakah Datin Seri tidak menyedari, bagaimana kemarahan yang telah Datin Seri cetuskan? Nama RasuluLlah SAW yang mulia dihina sebegitu rupa! Namanya cukup mulia, hinggakan apabila disebut namanya, dikira manusia yang paling kikir sekiranya tidak dipanjangkan nama itu dengan selawat ke atasnya. Tiba-tiba, nama itu dihina sebegitu rupa! Bahkan, Datin Seri yang menghadapi teguran, kritikan, kecaman dan tunjuk rasa langsung tidak memohon maaf. Langsung tidak!
Sedangkan para Ulama’ masih berbahas, bagaimana cara paling baik untuk mengagungkan Manusia Mulia ini, tiba-tiba Datin Seri kelihatan meredhai perbuatan yang jelas MENGHINA Baginda Nabi SAW!
Sebenarnya, Datin Seri sudah dari awal menunjukkan kecekalan Datin Seri melanggar syariat Allah. Datin Seri tidak menutup aurat, bersentuhan, berlaga pipi dan berpelukan dengan lelaki bukan mahram yang disepakati sekalian Ulama’ sebagai perbuatan yang HARAM!
Menyentuh anjing atau khinzir, hukumnya juga Haram. Namun, hilang kotornya dengan perbuatan menyamak. Malangnya, tiada apa yang mampu ‘membersihkan’ haram dan kotornya nya menyentuh lelaki ajnabi kecuali API NERAKA!
Lalu, dengan semua perlakuan Datin Seri, apakah mungkin Datin Seri fikir kami rakyat akan menerima dakwaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kerajaan pimpinannya berusaha keras berjuang demi Islam dan bangsa. Sedangkan isterinya sendiri, tidak memelihara Akhlak dan Syariat Islam, juga adab-adab kesantunan Melayu malahan!
RAKYAT MENGIKUTI PEMIMPIN MEREKA
Kata ahli hikmah, “Agama manusia itu, di atas Pemimpin mereka”. Tinggi sahsiahnya, baik akhlaknya, ikhlas hatinya, patuh dan taat kepada Allah, maka begitulah jua rakyatnya. Rakyat akan terpengaruh dengan ketua mereka.
Malaysia hari ini, dalam keadaan yang benar-benar dahsyat bagi saya. Setiap masa perlu di dalam keadaan berjaga-jaga, kerana penjenayah menunggu kita alpa. Gerun saya melihatkan kanak-kanak yang bermain sendirian di halaman rumah, bimbang kalau-kalau ada manusia busuk hati yang berniat jahat kerana jenayah hari ini langsung tidak mengenal beza usia!
Budaya Hedonisme melampau. Nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan. Remaja Melayu Muslim tidak segan silu memakai pakaian yang jauh menyimpang daripada Islam dan adab Melayu. Tidak kekok mengogok arak di pesta-pesta jamuan nafsu. Saban hari ada sahaja kes bunuh bayi lewat pergaulan tanpa batas! Hari ini, remaja mati dengan sia-sia. Samada mati dalam ketagihan najis dadah, atau kemalangan dalam perlumbaan haram!
Bahkan seribu satu lagi, penyakit-penyakit sosial yang sedang membarah, membusuk di dalam negara tercinta!
Bukanlah saya menuding jari kepada Datin Seri dan suami, saya akui malahan, bahawa Datin Seri kelihatan cuba berusaha sedikit sebanyak bagi menangani masalah-masalah ini. Namun, hakikatnya, keadaan rakyat sesuai dengan keadaan pemimpinnya!
Manusia yang jelas disabitkan kesalahan rasuah, diangkat menjadi pemimpin! Manakala pemimpin lain yang mengkritik tindakan ini, di arah supaya tutup mulut dan diambil tindakan! Apa sudah jadi pada negara!? Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Apabila amanah diberikan kepada BUKAN ahlinya, maka tunggulah KEHANCURAN!”
Pemimpin negara tidak memelihara adab pergaulan Islam, tidak memelihara batas aurat, berbelanja boros tanpa timbang rasa kepada rakyat, justeru, bagaimana mungkin kita mengharapkan yang baik-baik daripada rakyat?
Saya gerun melihat perkembangan ini, Datin Seri. Hari ini, kita mengeluh kerana ramainya anak-anak luar nikah yang didaftarkan. Bayangkanlah, apa yang mungkin kita keluhkan 5 atau 10 tahun akan datang!
Antara sifat agama kita, INQILABIYYAH Datin Seri. Ertinya, adil dan zalim mustahil begerak seiring. Kebenaran dan kebatilan sama sekali tidak akan bercampur. Syariat Islam dan yang bercanggah dengannya, pasti tidak akan ditemui titik temu antara keduanya. Justeru, Datin Seri berusahalah sehebat manapun untuk memperbaiki masalah sosial, gejala buang bayi dan sebagainya, selagi suami dan kerajaan Datin Seri terus mengesampingkan hukum Allah, dasar Allah, syariat Allah, maka Datin Seri tidak akan BERJAYA! Berani saya kata!
Bagaimana tidak? Datin Seri berusaha mengelakkan masalah bunuh bayi yang kita semua maklum ia bermula daripada pergaulan bebas, sedangkan hub hiburan malam, lesen judi dan konsert-konsert mega sebenarnya adalah penyumbang besar kepada masalah ini! Kerajaan pimpinan suami Datin Seri, umpama membina dan meruntuhkannya semula. Bina dan runtuh, kemudian bina dan runtuhkan lagi. Itulah kitarannya.
KUASA
Datin Seri ke luar negara untuk bertemu pemimpin negara luar, pernah juga Datin Seri menyambut kehadiran Perdana Menteri luar negara ke Malaysia, dana RM111 juta untuk PERMATA, pertemuan First Lady dan liputan-liputan meluas setiap aktiviti Datin Seri di media dalam dan luar negara, itu bagi saya menunjukkan yang Datin Seri seolah-olah punya kuasa di dalam pentadbiran negara.
Justeru, sebagai anak muda yang penuh persoalan di minda, saya bertanya dengan baik, bagaimana ini semua berlaku? Sedangkan, kami rakyat tidak pernah melantik Datin Seri sebagai pemimpin negara. Suami Datin Seri yang memimpin kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui proses Pilihan Raya! Atau apakah dengan hanya menjadi isteri kepadanya, menjadikan Datin Seri turut berkuasa?
Datin Seri pasti tahu, berkenaan kebangkitan rakyat yang menyemarak di Timur Tengah. Kerajaan yang tidak bertimbang rasa diterjah dan dihalau rakyat! Antara isunya ialah bagaimana berkuasa dan kaya rayanya isteri kepada pemimpin-pemimpin yang telah tumbang itu.
Saya cintakan negara saya. Tidak sanggup saya melihat negara porak peranda, namun, kiranya Datin Seri berterusan mengikut jejak langkah isteri-isteri pemimpin yang tumbang itu, maka mungkin Datin Seri dan suami boleh menerima nasib yang sama. Kami rakyat semakin tidak tertanggung lagi dengan tekanan-tekanan kewangan dan keperluan hidup sekarang!
Datin Seri,
Surat ini bukanlah ancaman, bukan juga ugutan. Ia sekadar luahan rasa, nasihat dan pandangan yang cuba seorang anak muda sampaikan. Ingin benar saya ingatkan, kedudukan yang Datin Seri nikmati hari ini, adalah kerana rakyat memilih suami Datin Seri. Kuasa di tangan kami, untuk menentukan jatuh dan bangunnya Datin Seri dan suami. Dan sebenarnya, kami rakyat hanyalah ‘jalan’ bagi Allah untuk mengatur ketentuan ini, Allah jualah yang meletakkan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Justeru, berbaiklah dengan kami. Patuhilah suruhan Allah. Kami tidak pinta lebih, sekadar bertimbang-rasa untuk kami.
Datin Seri yang dihormati,
Surat ini mungkin sampai ke tangan Datin Seri. Mungkin sampai sendiri, atau terhenti di tangan pembantu-pembantu Datin Seri atau tidak mampu hampir sama sekali. Kiranya ia selamat sampai ke tangan Datin Seri, saya pohon maaf, kalaulah surat kecil saya ini mengguris rasa Datin Seri. Maafkan saya, kalau ia kerana kesilapan-kesilapan bahasa dan cara penulisan. Namun, andainya Datin Seri terasa hati kerana menerima teguran, tidak akan saya pohon maaf untuk itu! Teguran ini adalah benar, justeru tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kebenaran. Ia pasti menang dan tertegak! (edisi Weblog M@RHAEN)
Inilah PENCAK kami! PENCAK ANAK MUDA!
Oleh: Muhammad Muizzuddin Bin Zaini

Sabtu, 14 Januari 2012

La Tahzan...

PERCAYA TAK KITA? Ketika Allah merindui hambanya, Allah akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah UJIAN…

Dalam hadith qudsi Allah berfirman:

“Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.”(HR. Thabrani dari Abu Umamah)

Abu Said dan Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda:

“Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya.”
(H.R. Bukhari dan Muslim)

Jangan sedih apabila orang lain tidak memahami anda..
Tapi sedihlah kerana anda tidak mahu memahami orang lain.

Jangan sedih apabila orang lain tidak mempercayai anda..
Tapi sedihlah kerana anda tidak percaya diri sendiri.

Jangan sedih bila orang lain tidak memberi kesempatan kepada anda..
Tapi sedihlah kerana anda belum buat persiapan.

Jangan sedih apabila orang lain tidak menghargai anda..
Tapi sedihlah kerana anda tidak bisa menghargai orang lain.

Jangan sedih apabila orang lain menghina anda..
Tapi sedihlah kerana anda membuat hina diri sendiri.

Jangan sedih apabila orang lain memaki anda..
Tapi sedihlah kerana anda bermulut jahat pada orang lain.

Jangan sedih orang selalu mengritik kita..
Tapi sedihlah karena anda tidak pernah mahu memperbaiki diri.

Jangan sedih kerana anda selalu jatuh..
Tapi sedihlah kerana anda tidak mahu bangkit kembali.

Jangan sedih kerana perjalanan hidup anda pahit getir..
Tapi sedihlah kerana anda tidak pernah belajar dari pengalaman.

INGATLAH..
Kunci masalah selalu ada dalam diri, bukan di luar...

Tahfiz di kati

SEKUMPULAN sepuluh pelajar berjalan penuh ceria menuju ke surau Maahad Tahfiz AnNuri untuk meneruskan pengajian. Pada masa tertentu, mereka bebas menunggang basikal di sekitar resort atau mandi-manda di sungai yang mengalir jernih di tepi madrasah.
Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar sekolah tahfiz itu yang memulakan pengajian sejak enam bulan lalu. Mereka berusia di antara 10 hingga 20 tahun.
Belajar di sini kedengaran mengujakan. Tiada yuran pengajian dikenakan bahkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dibiayai sepenuhnya oleh pihak sekolah.
Semua kemudahan ini disediakan sehingga mereka memasuki universiti atau berhenti daripada sekolah berkenaan.
Maahad Tahfiz AnNuri berbeza berbanding sekolah tahfiz lain di negara ini kerana lokasinya di dalam kawasan resort ladang Syamille Agro Farm & Resort, terletak di Kampung Chuar Hulu dekat pekan Kati, Kuala Kangsar, Perak.
Jurutera

PANORAMA indah vila yang terdapat di Syamille Agro Farm & Resort.


Di sini, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan ilmu al-Quran bahkan boleh mempelajari cara menternak kambing, lembu dan rusa pada hujung minggu.
Haiwan itu juga merupakan sumber makanan utama mereka selain menjadi punca pendapatan sekolah berkenaan.
Malah, seorang pelajar dari Pengkalan Chepa, Kelantan, Muhammad Aiman Akraf Shamsuriah, 14, menyifatkan aktiviti memasak makanan bersama rakan lain merupakan pengalaman paling menarik di situ.
"Biasanya kami masak daging ayam kampung, rusa, kambing dan lembu yang baru disembelih.
"Kami juga berpeluang menikmati madu lebah di resort ini," katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.
Selain menghafal 30 juzuk al-Quran dan belajar agama, pelajar turut didedahkan dengan kurikulum pendidikan yang sama seperti di sekolah biasa.
Aktiviti sekolah tahfiz ini bermula pukul 5 pagi setiap hari. Selepas solat sunat tahajud dan diikuti sembahyang Subuh, barulah rutin pembelajaran dilakukan sehingga pukul 9 malam.
Rezeki

RUSA yang pada mulanya diternak sebanyak lima ekor kini membiak kepada 27 ekor.


"Sistem tahfiz yang diterapkan di sini berbeza kerana ia mengikut sistem Turki berbanding maahad tahfiz lain di Malaysia yang menggunakan sistem hafalan al-Quran seperti di Pakistan dan Bangladesh.
"Mengikut sistem Pakistan dan Bangladesh, pelajar perlu hafal daripada surah pertama sehingga akhir secara berturutan.
"Sebaliknya bagi sistem tahfiz ala Turki pula ia boleh melompat surah lain tanpa ikut turutan tetapi konsepnya sama iaitu menghafal keseluruhan surah yang ada dalam al-Quran," beritahu seorang tenaga pengajar, Akmal Jamaluddin, 25.
Akmal yang berasal dari Johor Bahru memberitahu, sekolah tahfiz itu mengutamakan pengambilan pelajar yatim piatu atau daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Mereka datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Sebenarnya, anak yatim piatu dan orang miskin lebih komited untuk belajar kerana mereka sedar akan kesusahan keluarga mereka.
"Tahun ini kami akan mengambil seramai sepuluh lagi pelajar," ujar Akmal.

PEMBIAKAN lebah madu turut diusahakan di resort ini.


Pencetus idea sehingga wujudnya Maahad Tahfiz AnNuri bukan calang-calang orang.
Walaupun bukan lulusan bidang agama, penasihat dan Ketua Pegawai Eksekutif Syamille Agro Farm Sdn. Bhd., Mohd. Zainuri Mohd. Idrus mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi.
Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu bersyukur kerana beliau dikurniakan rezeki yang lebih baik akhir-akhir ini.
"Rezeki yang kita terima sebenarnya ada bahagian untuk orang lain. Itulah antara punca saya membina sekolah tahfiz di sini," ungkap Zainuri yang berasal dari Perlis tetapi menetap di Subang Jaya, Selangor.
Beliau juga mahu sekolah tahfiz itu menjadi contoh dari segi kos operasi.

KOS pengajian pelajar tahfiz ini ditanggung sepenuhnya sehingga mereka menamatkan pengajian di universiti.


"Kerana itu pelajar mengusahakan sendiri ternakan kambing dan lembu yang mana hasil jualannya digunakan mereka sendiri.
"Malah, konsep ini juga akan dikembangkan di sekolah tahfiz lain dengan memberi mereka haiwan ternakan untuk dijadikan sumber pendapatan mereka," jelasnya.
Berbicara mengenai resort, beliau berkata, Syamille Resort lebih menampilkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)
Pada mulanya, kawasan seluas empat hektar termasuk tahfiz itu hanya terhad untuk pembinaan sekolah tahfiz serta lima buah resort untuk kegunaan keluarga. Bagaimanapun, idea itu semakin bertambah.
Kini, resort itu mengandungi sebuah vila, sepuluh bilik resort dan empat bilik asrama.
Resort

AKTIVITI penduduk pekan Kati tertumpu kepada pertanian dan juga menoreh getah.


Bagaimanapun, ia belum membenarkan kehadiran pelancong asing kerana dikhuatiri cara pemakaian mereka boleh mengganggu tumpuan pelajar menghafal al-Quran.
Di sini juga terdapat 27 ekor ternakan rusa, kambing (836) dan lembu betina (23 ekor). Ia turut mengusahakan ternakan ikan tilapia, keli, ayam kampung dan itik selain dusun buah-buahan.
Najis haiwan itu pula tidak dibuang begitu sahaja. Sebagai contoh, najis lembu dan kambing digunakan untuk menjana gas metana bagi tujuan memasak.
Bagi pekerja resort, tempat ini banyak kelebihannya. Seorang pekerja, Muslim Mardenir, 40, yang berasal dari Jakarta, Indonesia menganggap resort berkenaan sebagai tempat kerja dan universitinya sekali gus.
"Saya dapat menambah ilmu agama dan mendalami al-Quran. Sambil bekerja saya boleh menuntut ilmu agama," katanya.
Pengurus Syamille Resort, Norzihan Abdul Halim, 32, pula berasa lucu apabila teringat gelagat segelintir pengunjung yang terkejut kerana dapat makan buah-buahan seperti langsat, rambutan serta nangka tanpa dikenakan bayaran.
"Ada pelanggan yang makan buah-buahan tersebut sehingga kembung perut. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan yang melaksanakan kursus di sini," cerita beliau.
Seorang lagi pekerja, Rafidah Rafee, 26, ingin mempelajari cara menternak kambing dan lembu sebelum dapat menjalankan perniagaan sendiri.
"Memang bau kambing dan lembu busuk tetapi jika kita bersabar dan bersahabat baik dengan haiwan ternakan itu, hasilnya lumayan kelak," terangnya berfalsafah.