Selasa, 15 Mei 2012

taubat dosa


"Apabila ditulis tajuk tulisan ‘wahai orang berdosa’, saya tidak menujukan kepada sesiapa melainkan kepada diri ini sendiri.  Ya, sayalah orang berdosa itu.  Saban hari dan minggu, ada sahaja dosa yang dilakukan samada sengaja ataupun tidak sengaja.  Apatah lagi dosa-dosa lalu yang entah bagaimana, samada masih tertulis di dalam buku amalan ataupun sudah dimaafkan oleh TUHAN Yang Maha Pemaaf dan Yang Suka Memberikan Kemaafan.

Betapa lemah dan lalainya diri ini.  KepadaNYA lah diharapkan hidayah dan taufiq.  Moga-moga dosa-dosa lalu, dosa-dosa hari ini dan dosa-dosa akan datang bisa diampuni oleh DIA.  Kerana DIA Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Dalam perjalanan kehidupan, kita kadang-kadang terlalai dan terpesona akan keindahan yang terlihat dek mata kita.  Lalu sehingga melencong masuk ke jalan atau lorong yang salah.  Kita mungkin cepat atau lambat sedar bahawa jalan yang dimasuki itu jalan yang salah.  Namun, apabila tersedar bahawa jalan itu salah, janganlah pula pasrah lalu putus asa bahawa tiada harapan lagi untuk pulang ke jalan yang asal, iaitu jalan menuju keredhaan ALLAH.

Jangan kau putus asa dengan TUHAN... 
 
Kita masih ada harapan untuk buat U-turn atau buat pusingan-U dan masuk kembali ke jalan sebenar.  Walau jauh mana pun telah kita tersesat, walau jauh mana pun kita telah terlencong, peluang untuk kembali ke jalan yang sebenar sentiasa terbuka dan malah amat dialu-alukan oleh ALLAH, Rabbul-Jalil.

Betulkah?

Ya, berikut ini ingin saya senaraikan beberapa kalam ALLAH Yang Maha Mulia dan kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bagi mencetus semangat dalam hati kita bahawa peluang untuk orang-orang yang berdosa sentiasa ada untuk kembali kepadaNYA.

1)  ALLAH suruh kita bertaubat dalam firmanNYA:

وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Yang bermaksud:  “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  (Surah An-Nur, 24:31)

2)  Peluang sentiasa ada dan jangan putus asa.  ALLAH Ta`ala berfirman:

قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُواْ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (Surah az-Zumar 39:53)

3)  ALLAH sangat gembira apabila ada hambaNYA yang bertaubat dan mahu kembali kepadaNYA.  Dari Abu Hamzah Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menjumpai kembali untanya yang hilang di tengah-tengah padang gurun.”  (HR al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat Muslim, dikatakan maksudnya:

“Sungguh ALLAH lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA ketika hambaNYA itu bertaubat kepadaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang dikenderaaninya itu lari meninggalkannya padahal di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman orang itu, kemudian dia berputus asa untuk dapat menjumpainya kembali.  Dia lantas berteduh di bawah pohon dengan membaringkan badannya sedangkan dia telah benar-benar putus asa untuk dapat menemui kembali haiwan yang dikenderaaninya itu.  Kemudian ketika dia bangkit tiba-tiba dia menemui semula haiwan yang dikenderaaninya itu lengkap dengan bekal yang dibawanya.  Kemudian dia segera memegang tali kekangnya lalu berkata dengan sangat gembira, “Wahai ALLAH, ENGKAU adalah hambaku dan aku adalah TuhanMU.”  Dia  tersilap  mengucapkan kalimah itu akibat terlalu gembira yang sangat-sangat.”  (HR Muslim)

Lihat, betapa gembiranya ALLAH Subhanahu wa Ta`ala apabila kita mahu kembali kepadaNYA.  Hadith di atas adalah perumpamaan yang dibawa oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan ia bisa menjadi motivasi buat kita apabila ada orang berbisik atau menyakat kita seperti “engkau ni tiada harapan dah nak bertaubat” atau seumpamanya.  Ketahuilah, ALLAH suka bahkan sangat gembira.  Justeru, pulanglah kepada ALLAH.

 
 
Taubat sentiasa terbuka luas selagi belum terjadi 2 perkara, iaitu: 1) Kematian dan 2) Matahari terbit dari arah barat (tanda besar Hari Qiamat).
 
4)  ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sentiasa membuka peluang yang sangat luas  untuk hambaNYA bertaubat selagi matahari belum terbit dari sebelah barat, iaitu tanda besar hampir berlakunya Hari Kiamat dan sebelum kita meninggal dunia.  Dari Abu Musa `Abdullah bin Qais Al-Asy`ari radhiAllahu `anhu, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH Ta`ala senantiasa membentangkan tanganNYA pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siangnya, dan membentangkan tanganNYA pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malamnya.  Yang demikian itu berlangsung terus sampai matahari terbit dari sebelah barat (sampai hari mahu Kiamat).”  (HR Muslim)

Dari Abu `Abdurrahman `Abdullah bin `Umar bin Khattab radhiAllahu `anhuma, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkong (sebelum sakaratul maut).”  (HR at-Turmudzi dan katanya hadith ini hasan)

5)  ALLAH sentiasa mahu memberikan keampunan kepada kita walau sebesar mana pun dosa kita, asal sahaja kita mahu kembali bertaubat kepadaNYA.  Daripada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

“ALLAH subhanahu wa ta’ala berfirman:  “Wahai anak adam, sesungguhnya jika engkau berdoa dan berharap kepada-KU, niscaya AKU akan mengampunimu dan AKU tidak akan memperdulikannya lagi.

Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu memenuhi seluruh langit, kemudian engkau memohon ampun pada-KU, niscaya AKU akan mengampunimu.

Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-KU dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menjumpai-KU dalam keadaan tidak berbuat syirik dengan apapun niscaya AKU akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi pula.”  (HR Tirmidzi, beliau berkata hadith ini hasan)


 
Walau jauh mana pun dikau tersasar dan terlencong, kembalilah. Kembalilah ke jalan menuju ALLAH. ALLAH sayang kamu.
 
Nah, bukankah kalam-kalam mulia lagi benar di atas bisa menyegarkan hati kita? Bukankah dengan membacanya terbit cahaya memancar menyinarkan harapan?  Ayuh, jangan tunggu lagi.  Kita tidak tahu saat bila umur kita akan berhenti.  Dan kita juga tidak tahu bilakah matahari akan terbit dari arah barat yang menandakan dunia ini akan mati. Disebabkan kita tidak tahu, jadi penangguhan terhadap taubat adalah suatu yang sangat merbahaya.  Ia bisa menerjah tiba-tiba pada saat kita tidak bersedia dan tidak sempat bertaubat.

Janganlah termakan kata-kata hinaan rakan atau keluarga yang mengatakan kita tiada peluang untuk bertaubat.  Jangan terhasut bisikan-bisikan halus dalam hati yang mengatakan ALLAH tidak akan menerima taubat.  Dan janganlah pula terikut dengan ajakan nafsu agar taubat itu ditangguhkan ke suatu masa yang akan datang.

Semoga ayat-ayat di atas menyerap ke dalam dada kita untuk ia dijadikan tools kit kita supaya apabila kita terlencong atau tersasar dari jalan kebenaran, yakni jalan menuju keredhaan ALLAH, kita segera dapat berhenti dan pusing kembali masuk semula ke jalan yang benar.  Sungguh, pada kalam-kalam ALLAH dan RasulNYA terdapat kekuatan yang luar biasa buat orang-orang yang beriman, juga kepada orang-orang yang belum beriman.

ALLAH sayangkan kita semua.  ALLAH mahukan kita semua masuk ke dalam SyurgaNYA.  ALLAH mahu berjumpa kita dalam keadaan DIA redha dan kita redha.  ALLAH alu-alukan taubat kita.  Justeru, bertaubatlah sekarang.  Jangan tangguh lagi.

Semoga ALLAH memberikan kita semua akan hidayah dan taufiq, amin.

Sekadar berkongsi,

13 Mei 2012

Isnin, 14 Mei 2012

Abu Yazid


"altAbu Yazid Al Bustami merupakan seorang ahli Sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya.
Ia masuk ke gereja Samaan tanpa diketahui oleh Paderi-paderi yang hadir. Dia bersama-sama paderi lain menanti kedatangan ketua Paderi. Setelah ketua Paderi datang, ketua Paderi itu tidak dapat berucap.

Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, " ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini."

Semua paderi menjadi gempar dan mereka menghendaki orang itu di bunuh. Namun ketua paderi mencegahnya, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid Al-Bustami pun bangun, tanpa rasa takut.


Menjawab 50 pertanyaan bertanya 1 pertanyaan.
Ketua paderi berkata, "Wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikuti agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuhmu."


Jawab Abu Yazid, "Baiklah! Tanyakan apa saja yang kamu ingin tanyakan."
Ketua paderi itu mengemukakan 50 pertanyaan bertubi-tubi dan kemudian Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.


Kata Abu Yazid, "Saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang apakah ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang lain?"
Semua pendeta menjawab, "tidak ada lagi,"

Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. "Beritahu saya kunci Syurga dan Neraka langit."


Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa memang mereka tidak tahu jawabannya. Baru satu pertanyaan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh pertanyaan. Mereka meminta ketua paderi menjawab, namun ia membisu.


Katanya, "Bukan saya tidak mau menjawab, tetapi saya takut kamu semuatidak sependapat." Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk menyetujui serta menerima kata-kata ketua mereka.


Kemudian ketua Paderi menjawab "Bahwa kunci Syurga dan Kunci langit itu tidak lain ialah "LAILA HAILLALLAH HU MUHAMMAD DARASULULLAH." Tegas ketua paderi.


Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, "Memang benar kata ketua kamu ini." Semua paderi memeluk Islam, Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya.


"Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya ceritakan ini adalah benar. Saya tidak dipaksa oleh siapapun dalam mengucapnya. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan masalah ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu."


"Dari mana tuan mengetahui perkara ini?" Tanya salah seorang paderi.
"Dari ketua sebelum saya." Jelas ketua paderi.
"Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahwa perkara yang dikatakan itu adalah benar." Sambung ketua paderi itu.


"Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!" Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!


Berikut ini Pertanyaan Ketua Paderi. Dan Jawaban Abu Yazid Al-Bustami
1. Yang satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu bagiNya.

2. Yang dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.



3. Yang tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allah Hu Subhanahu Wa Ta'ala.

4. Yang empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.



5. Yang lima tiada enamnya.
Islam telah memfardhukan solat lima waktu : Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.



7. Yang tujuh tiada lapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang lapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya) : Dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.



9. Yang sembilan tiada sepuluh.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya) : Di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna.

Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.



11. Yang sebelas.
Saudara-saudara Nabi Yusof AS.

12. Yang dua belas.
Bilangan bulan dalam setahun.



13. Yang tiga belas.
Mimpi Nabi Yusof AS yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof AS. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob AS bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.



15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.



16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya) : Katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.



 17. Al Zariyati Zarwa.
Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra.
Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra.
Perahu-perahu yang belayar di laut.



20. Al Mukassimati Amra.
Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap perintahKu ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, "kami akan datang kepadaMu secara patuh dan taat."



22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya.
Ikan besar yang menelan Nabi Yunus AS. Nabi Yunus AS di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh.
Waktu subuh seperti firman Allah Taala (ertinya) : Demi subuh apabila ia terlepas.



24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.
Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman AS di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan daripada punggung lelaki dan daripada perempuan.
Kibas yang di bawa Jibril AS sebagai korban ganti Nabi Ismail AS, unta Nabi Salleh AS yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam dan Siti Hawa AS.



26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk.
Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai.

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi.
Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.
Helah kaum wanita, seperti firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya tipu helah wanita adalah suatu tipu helah besar atau berat.



29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh.
Tongkat Nabi Musa AS.

30. Wanita yang paling utama.
Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.



31. Gunung yang paling utama.
Gunung Tursina.

32. Binatang yang paling utama.
Kuda.

33. Bulan yang paling utama.
Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama.
Lailatul Qadar.



35. Tentang Atta'mah.
Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan.
Pohon itu "tahun" yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat.



37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji.
Bahtera Nabi Noh Alaihissalam.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu.
Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.



39. Nakir, fatil dan kitmir.
Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad.
Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram.
Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam AS.



42. Maksud keldai Makwak.
Keldai Makwak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak.
Anjing menyalak bermaksud : Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang maha berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda.
Kuda menjerit bermaksud : Maha suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.



45. Maksud jeritan unta.
Unta menjerit membawa maksud : Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila (ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.



46. Maksud nyanyian burung Bulbul.
Nyanyian Bulbul bermaksud : Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.



47. Maksud bunyi katak.
Bunyi katak bermaksud : Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhlukNya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus.
Maksud kata-katanya : Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?



49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat.
Makhluk itu adalah lebih seperti firman Allah Taala (ertinya): Dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebih.



50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam.
Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.

wanita 4

 Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dalam kehidupan kita sama ada secara kita sedar ataupun secara tidak sedar. Dan sebaik-baik manusia ialah manusia yang segera berubah untuk memperbaiki kesilapan diri. Berikut adalah 4 jenis perempuan yang akan menjadi penghuni neraka.

1. Perempuan yang jahat mulutnya dan perbuatan atas suaminya.
Terlalu banyak komplen. Ada sahaja yang tidak kena.

” Abang ni pun satu, beli ikan kecil-kecil sangat. Belilah yang besar sikit. Susah nak siang. ” komplen Lisa pada Zack. Esoknya..

” Abang ni, beli ikan besar sangat, gelilah nak makan.” Komplen Lisa lagi. Ada sahaja yang tidak kena pada Zack, suaminya.

Suka memburuk2an suami dibelakang suami samada kpd ibu bapa, sedara mara atau kawan2nya.
Curang pada suami.

Ketika suami tiada di rumah kerana pergi kursus, balik kampung, maka si isteri mengambil peluang dengan membawa lelaki lain masuk ke dalam rumahnya. Si isteri membuat perkara haram atau bergayut atau berchatting dgn lelaki lain.

Menyakitkan hati suami dengan mengungkit segala kekurangan suami setiap hari.

” Sedarlah diri awak tu, kos perkahwinan pun saya yang keluarkan. Nak harapkan awak dan keluarga awak, tak merasalah hidup senang seperti sekarang ni tau.” sehingga suaminya tidak terkata apa-apa.

2. Perempuan yang membuat suaminya barang yang tidak mampu (memperbodohkan suami, memaksa suami membuat perkara yang di luar kemampuan suami).

Menggunakan ilmu hitam agar suami patuh dan ikut segala kemahuan isteri.

” Itulah engkau, kalau dari dahulu, kau dengar cakap aku, beri suami kau makan nasi kangkang, sudah tentu sekarang ni kau tidak dimadukan. ”

Memaksa suami untuk membeli sesuatu di luar kemampuannya atau suaminya mampu tapi suami minta tangguhkan dulu sebab ada perkara lain yg lebih perlu.

” Abang, saya tak tahu, raya nanti saya nak kereta. ”

” Abang mana mampu yang. Yang tahukan, hutang kereta yang ada ni pun belum habis pembayarannya. ”

” Itu saya tak tahu. Yang saya tahu, saya nak kereta, saya nak kereta.”

3. Perempuan yang tidak mahu menutup aurat. Yang memakai perhiasan untuk tujuan bermegah-megah.


” Amboi, cantiknya isteri abang. Bila bergaya nak keluar rumah, mengalahkan artis nak ambil award.”

” Mestilah, bila orang tanya, isteri siapa yang cantik, bergaya, rambut ikal mayang tu..ha..abang juga yang akan dapat namakan. ”

” Iya tak ya juga. Bangga abang ada isteri cantik macam kamu ni.”

4. Perempuan yang tiada cita-cita melainkan makan, minum dan tidur.

Di suruh solat, tak nak. Di suruh berpuasa, tak nak. Di suruh belajar membaca Quran tak nak. Di suruh bertudung, tak nak. Apatah lagi hendak menutup aurat. Hidupnya hanya untuk bergembira dan berseronok. Hari-harinya di habiskan dengan berseronok, makan, minum dan tidur.

Semoga artikel ini ada manfaatnya untuk semua. Kepada yang hendak sebarkan, jangan lupa linkkan semula ke blog picisan ini ya. :) 

Nota : Sumber artikel, ceramah Ustaz Kazim Elias.

cari benar


 “Bagaimana kita hendak mencari kebenaran?” tanya Prof itu tiba-tiba, seolah-olah berbisik.

Saya tersentak kerana tidak menyangka Profesor bukan Islam itu begitu berminat dengan apa yang saya sampaikan dalam kuliah ‘Mukmin Profesional’ yang baru berakhir sebentar tadi. Terus-terang dia kelihatan selamba dan bersahaja sahaja sepanjang kuliah itu. Saya difahamkan oleh pihak penganjur,  ada seorang sahaja peserta bukan Islam dalam program dianjurkan oleh badan kebajikan organisasi tersebut. Tujuannya? Sekadar ingin tahu, begitu yang diberitahu kepada saya.

“Mula-mula kita lihat dulu kaedah yang salah dalam mencari kebenaran,” jawab saya sambil tersenyum.
“Kaedah yang salah? Saya ingin tahu kaedah yang benar,” tegasnya.
Saya terus tersenyum, lalu meneruskan, “tidak mengapa. Apabila kita tahu kaedah yang salah, secara automatik nanti kita akan tahu kaedah yang betul dalam mencari kebenaran .”
Ini satu pendekatan Islam dalam menegaskan kepentingan sesuatu prinsip -  buang atau nafi  dahulu yang salah, kemudian barulah dipasak dengan masukan yang betul. Sama seperti ucapan kalimah syahadah.

“Adalah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut orang ramai,” kata saya.
Melihat dia diam, saya menyambung, “ini kerana ramai orang yang berpihak kepada kebatilan. Penyokong kebatilan sentiasa melebihi bilangan penyokong kebenaran.”
“Maksud awak, kebenaran berada di pihak minoriti?”

Saya mengangguk. Saya terbayang maksud ayat Quran yang menegaskan bahawa jika kita mengikut orang ramai, nescaya mereka akan menyesatkan kita dari jalan Allah. Begitu juga Allah telah menyatakan bahawa sangat sedikit sekali dikalangan hambaNya yang bersyukur. Jadi, kalau kita mengikut pendirian majoriti, kita terdedah kepada kesesatan dan sikap tidak bersyukur.

“Dalam realitinya, Prof lihat bagaimana? Apakah ramai  orang yang  masih mengamalkan nilai-nilai murni seperti jujur, penyayang, pemaaf dan sebagainya?” tanya saya semula.
“Tidak ramai. Kalau adapun orang yang jujur, amanah dan baik… hanya kerana adanya penguatkuasaan undang-undang, bukan dengan kerelaan hati sendiri. Faktor ganjaran hukman, bukan kerana keikhlasan dan kerelaan.”

“Itulah maksud saya. Majoriti manusia tidak boleh dijadikan rujukan untuk mencari kebenaran.”  
Melihat dia telah bersedia untuk menerima hujah yang kedua, saya meneruskan,” adalah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut pendirian orang yang berkuasa.”
Saya renung matanya. Mudah-mudahan Allah kurniakan hidayah buat cendekiawan yang mencari kebenaran ini.

“Maksud awak pihak atasan?”
Saya mengganguk-anggukkan kepala. Dalam fikiran terbayang fakta sejarah yang memaparkan bagaimana  para penguasa seperti Namrud, Firaun, Abu Jahal dan lain-lain penguasa yang menolak kebenaran. Nabi Musa AS, Nabi Ibrahim AS dan nabi Muhammad saw telah berdepan dengan para penguasa yang zalim, takbur dan mengingkari kebesaran Allah. Para pengikut nabi-nabi tersebut kebanyakannya masyarakat marhein dan orang bawahan.

“Acap kali para penguasa lupa kuasa Allah semasa mereka berkuasa. Malah ada di antara mereka yang mengaku sebagai Tuhan…”
“Seperti Firaun. Ada lagikah penguasa yang begitu pada hari ini? ” dia menyampuk.
“Memang ada. Apabila ada penguasa yang menolak sistem hidup yang ditetapkan Tuhan dan menerima sistem hidup bikinan manusia… itu sudah dikira mengambil hak Tuhan sebagai pencipta dan pentadbir hidup ini.”

“Mereka seolah-olah mahu jadi Tuhan?” tambah Profesor tersebut lebih bersemangat. Saya diam. ‘Neo-Firaun’ sebenarnya masih ujud dalam dunia masa kini. Penguasa yang tidak mengaku sebagai Tuhan secara terang-terangan, tetapi ‘merampas’ hak Allah sebagai satu-satu ‘illah’ (sembahan) yang berhak membuat peraturan dan undang-undang.
“Jadi bagaimana saya harus mencari kebenaran?”

“Bermulalah dengan mencari Tuhan!” jawab saya pendek.
“Mencari Tuhan?”
“Ya, kebenaran itu hanya ada pada Tuhan.” Sebenarnya, saya sedang menegaskan  maksud firman Allah, “kebenaran itu daripada Tuhanmu jangan kamu menjadi penentangnya.”
Profesor itu termenung panjang.

“Jadi, persoalan kita sudah bertukar, daripada mencari kebenaran kepada mencari Tuhan. Ya, bagaimana caranya mencari Tuhan?” Akhirnya, dia bersuara.
“Pertama, dengan akal. Kedua dengan hati,” jawab saya seolah-olah berbisik.
  “Dengan akal, membaca, mengkaji, memikir dan menimbang?” tanyanya.

“Ya, bacalah buku-buku daripada pelbagai agama. Lihat bagaimana agama-agama tersebut menerangkan siapa Tuhan yang sebenar. Kemudian buat perbandingan, agama yang mana satukah yang mampu memuaskan akal fikiran kita tentang Tuhan. Kemudian, kaji pula bagaimana agama-agama tersebut mengatur kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Buat perbandingan sistem hidup antara agama-agama itu. Dan jangan lupa juga lihat bagaimana penerangan agama tersebut tentang kehidupan selepas mati. Maksud saya, lihat agama tersebut secara multi dimensi dan holistik!” terang saya panjang lebar.

Ketika itu saya teringat impak tragedi 9 September pada rakyat di  negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Hakikatnya lebih ramai para ilmuan Barat memeluk Islam selepas tragedi itu berbanding sebelumnya. Aneh bukan? Mengapa? Ini kerana selepas peristiwa tersebut mereka mula mengkaji Islam. Oleh sebab militan Islam dituduh sebagai dalang serangan itu, maka mereka tertanya-tanya mengapa ada orang yang sanggup berbuat demikian? Apa keyakinan dan pegangan hidup mereka sebenarnya?

Maka mereka pun mengkaji tentang Islam. Pada mulanya hanya didorong oleh rasa ingin tahu dan untuk mencari keburukan Islam… namun semakin dicari kepalsuannya, semakin bertemu dengan kebenaran dan keindahannya. Akhirnya, mereka tunduk dan akur kepada Allah. Akal fikiran mereka akhirnya tunduk kepada kebenaran Islam kerana sifat Islam memang ‘mesra-akal’. Mereka bukan ‘Neo-Firaun’ yang bertuhankan diri!

Saya yakin Profesor bukan Islam di hadapan saya ini akan menggunakan seluruh potensi akalnya untuk ‘mencari’ Tuhan yang sebenar dengan melakukan kajian dan perbandingan.
“Cara kedua? Dengan hati?”

“Bisikkan ke hati Profesor selalu begini… Wahai Tuhan, aku yakin Engkau ada. Engkau Maha Pengasih, Maha Penyayang. Aku sedang mencariMu wahai Tuhan.  Tolonglah perkenalkan diri Mu kepada ku, “ ujar saya penuh perasaan.

Tanpa saya sangka, Pfofesor itu berkata, “ ini doa minta hidayah kan ustaz?” Saya terkesima, rupa-rupanya dia lebih faham dan ‘dalam’ daripada apa yang saya sangkakan. Ya Allah, bukakanlah pintu hidayah Mu buat hambamu yang sedang mencariMu ini… Dan izinkanlah kiranya aku yang berdosa ini menjadi titian hidayahMu kepadanya! Amin.

Abdul Rahman Mustaffa,

Beberapa hari sudah berlalu, desakan yang dibuat oleh pelbagai pihak menunjukkan tiada sebarang respons yang diberikan oleh Tan Sri Rahim Nor berhubung dakwaannya menggelar Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat sebagai ‘Father of Kafir’. Malangnya, beliau ‘bijak’ pula bersandiwara dengan menafikan kenyataan tersebut. Kenyataan biadab ,melampau dan keterlaluan yang disiarkan oleh New Straits Times pada 8 Mei 2012 ini bukan sahaja mengguris hati masyarakat Kelantan bahkan seluruh pencinta-pencinta agama Islam di Malaysia khususnya, dan di peringkat dunia amnya.

Tuan Guru Nik Aziz merupakan Mursyidul Am sebuah gerakan Islam dan juga ulama’di Malaysia. Beliau merupakan penegak kebenaran dan penentang kebatilan. Bukan ‘kaki bodek’ kepada sang penguasa. Kenyataan ZALIM yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara terhadap Ulama’ tersohor ini ‘WAJIB’ disanggah berdasarkan firman Allah s.w.t

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, janganlah kebencianmu kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat kepada taqwa, Dan bertaqwalah kepada Allahsesungguhnya Allah maha mengetahui segala yang kamu lakukan.(Al-Ma’idah, ayat 8)

Menuduh orang lain dengan tuduhan kafir atau sesat adalah dosa yang besar. Jika kita tahu bahawa seseorang tidak kafir atau sesat atau fasik, tetapi kita sengaja menuduh imannya yang sah itu sebagai kafir atau sesat, atau menuduh dirinya yang tidak fasik itu sebagai fasik, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh. Sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya: barangsiapa yang menyeru seseorang yg gelaran kufur, atau memanggilnya dengan gelaran musuh Allah, sedangkan dia tidak begitu, maka panggilan itu akan kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun begitu, kita juga hendaklah sedar, di sana ada batas-batas iman dan kufur. Ini seperti sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan RasulNya, maka dia terkeluar dari Islam. Demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pegharaman arak, judi, zina dan seumpamanya. Sesiapa yang menghalalkan perkara-perkara tersebut atau menentang pengharaman perkara-perkara tersebut dari segi hukum agama, dalam keadaan sedar dan faham maka dia terkeluar dari Islam.

Namun, kita hendaklah berhati-hati apabila menghukum seseorang dengan hukuman murtad atau kufur atau sesat atau seumpamanya. Hal ini kerana, hukuman umum tidak sama dengan hukuman khusus. Hukum umum menghina hukum Islam yang jelas seperti azan membawa murtad, tetapi individu tertentu yang menghina tidak boleh terus dihukum murtad. Hendaklah dilihat keadaannya, maksud ucapannya, kefahamannya dan berbagai latar yang lain.

Firman Allah s.w.t ,mafhumnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Hujurat:11)

Larangan memanggil Muslim dengan gelaran yang buruk adalah sangat ditegah di dalam al-Quran. Sebab penurunan ayat 11, Surah al-Hujurat berkisar mengenai sahabat Nabi SAW iaitu Thabit yang memanggil seorang dengan gelaran buruk di zaman jahiliah yang menyebabkan orang itu menjadi malu. Jika memanggil dengan gelaran buruk sudah ditegah, apatah lagi menuduh seseorang Muslim itu sebagai ‘kafir’.

Justeru, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Maaruf Club membantah kenyataan biadab dan tidak bermoral yang dikeluarkan oleh oleh Tan Sri Rahim Nor selaku mantan Ketua Polis Negara terhadap Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat. Maaruf Club juga menuntut untuk mereka yang terlibat dalam hal ini agar bertaubat kepada Allah dan memohon maaf secara terbuka kerana perkara ini jelas telah memalukan nama mereka yang terlibat. Beliau seharusnya menunjukkan kredibiliti yang tinggi selaku orang pertama yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan dalam negeri suatu ketika dahulu. Tokoh-tokoh dalam negara seperti beliau seharusnya mengamalkan akhlak-akhlak islami sebagai ‘role model’ kepada seluruh lapisan masyarakat di Malaysia.
Wallahua’alam.

Penulis ialah Exco Da’wah & Tarbiyyah Maruf Club UIAM 11/12