Isnin, 28 Mei 2012

Jentik



Masih teringat ketika masih kanak-kanak di kampung dahulu. Apabila hujan lebat, kita begitu seronok bermain air. Tidak kira di tepi sungai atau berhampiran tali air. Kita ketawa, gembira dan terjerit-jerit dengan kawan-kawan.

Tetapi tidak lama… ibu akan datang dengan ranting kayu menyuruh kita pulang. Kalau tetap berdegil, kita akan menerima habuan. Apalagi, kita pun menangis. Sewaktu itu kita tertanya-tanya, mengapa ibu menghalang kita berseronok-seronok?

Kini kita telah dewasa, kenangan itu masih basah dalam ingatan. Kita tersenyum. Kenangan itu adalah bukti kasih sayang ibu. Sekarang kita faham, ibu melarang kerana kasih. Ibu merotan kerana sayang. Bukan kerana ibu cemburu, jauh sekali benci apatah lagi untuk mendera. Ibu nampak apa yang kita tidak Nampak. Kita hanya memikirkan suka, ibu memikirkan bahaya. Ya, kerana keprihatinan ibu menjaga kita sewaktu kecil itulah menyebabkan kita masih di sini.

Begitulah dengan ujian-ujian Allah. Ia begitu perit, pahit dan menyakitkan. Kita inginkan kejayaan, Allah berikan kegagalan. Kita inginkan pertemuan, Allah takdirkan perpisahan. Manis yang kita impikan, pahit yang menjadi kenyataan. Mengapa? Jawabnya, itu adalah yang terbaik untuk kita. Ujian Allah umpama ‘rotan ibu’ kepada anaknya yang degil. Ibu merotan kesah kasih sayang, Allah lebih-lebih lagi…kerana kasih sayang Allah jauh lebih tinggi, lebih murni daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Sayangnya, kita hamba yang ‘buta’. Kita tidak nampak di sebalik segala keperitan dan kesakitan ujian Allah itu adalah kasih sayang jua. Dahulu kita adalah anak kecil yang tidak memahami di sebalik larangan dan kemarahan ibu. Kini kita adalah hamba yang jahil kerana gagal memahami dan merasai kasih-sayang Allah di sebalik segala ujianNya. Dahulu kita menangis, apabila dipukul ibu. Kini kita ‘memberontak’ dan bertanya, mengapa Tuhan takdirkan kesusahan dan kepedihan ini ke atas diriku?

Mengapa kita belum dewasa menghadapi ujian Allah? Kenapa kita belum mampu tersenyum seperti seorang anak yang telah dewasa sewaktu mengenang kembali memori silam sewaktu dia dipukul ibunya? Kita seharusnya mampu ‘tersenyum’ ketika dipukul oleh takdirNya. Atau sekurang-kurangnya tunduk akur, menyerah dan pasrah pada ketentuan-Nya. Katakan pada hati, “Ya Allah, aku layak diuji. Aku hanya hambaMu. Di sebalik ujian ini aku yakin ada kebaikannya. Cuma kerana kelemahan dan kejahilanku… aku belum nampak wahai Tuhan. Namun aku tetap yakin di sebalik semua ini tetap ada kasih sayangMu.”

Marilah kita teladani Nabi Muhammad saw apabila ditimpa ujian, baginda sering berkata, “aku hamba Allah, Allah tidak akan mengecewakanku.” Ini kerana baginda yakin bahawa pada setiap ujian Allah terselit hikmah yang pasti memberi kebaikan, lambat atau cepat, tersurat atau tersirat. Justeru, orang yang ‘arifbilllah’ (mengenal Allah) seperti Ibnu Ataillah pernah berkata, “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen­deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”  Maksudnya, seberat mana pun ujian yang Allah timpakan, pasti ada kasih sayang yang mendasari dan mengiringi  ujian tersebut. Namun, akal yang matang berfikir dan hati yang tenang berzikir sahaja dapat merasai hikmah di sebalik setiap mehnah.

Telitilah firman Allah ini, Al-Baqarah Ayat 216 : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Ilmu kita yang terbatas, tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita hanya nampak yang dekat, Allah nampak yang dekat dan yang jauh. Kita hanya nampak guruh dan hujan, rupanya Allah hendak menghadiahkan pelangi!

Alangkah indahnya kehidupan ini apabila kita sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan menerima segala ujiannya dengan sabar. Pahit, tidak cepat diluah. Pedih, tidak segera disanggah. Anak yang dewasa akan tersenyum dan berterima kasih dengan ketegasan ibu terhadapnya sewaktu dia masih kecil. Mujur ibuku memarahi ku dahulu, jika tidak… kini aku tidak berjaya. Syukur, ibuku telah merotanku sewaktu aku kecil dahulu, itulah yang menyebabkan aku menjadi ‘manusia.’

Syukur kepada Allah yang mengurniakan ibu untuk kita. Semakin tinggi rasa terima kasih kita kepada ibu, sewajarnya semakin tinggi pula syukur kita kepada Allah. Tanpa ibu, siapalah kita… namun tanpa kasih sayang Allah, tiada ibu, tiada kita. Antara nikmat Allah yang tidak boleh kita dustakan ialah nikmat ibu. Namun, lebih tinggi sepatutnya kesyukuran kita kepada Allah… yang telah mendidik kita dengan ujian-ujianNya.  Yang sering menjentik kita dengan kasihNya.

Dengan jentikan (ujian) itulah iman dan Islam kita dewasa. Dengan mehnah itulah kita mendapat hikmah. Dan dengan hikmah itulah kita menagih syurga!

Ahad, 27 Mei 2012

Tuan Guru Hj Salleh bin Musa





Nama : Tuan Guru Hj Salleh bin Musa
Tarikh Lahir : 08.02.1929
Ayah : Tn Guru Hj Musa bin Salleh
Ibu : Khatijah bt Md Saad Mehamad
Tempat lahir : Pekan Sik
Bil Adik beradik : 8 orang
Anak ke : 3

Pendidikan : 1. Sek Rendah Keb Sik (Dan ke Pondok Tn Hussin Kedah, kemudian ke Pondok Tn Guru Hj Mad Nawawi Gurun Kedah, ini kurang mashur kerana Tn Guru Sekejap sahaja disana)

2. Pondok Pak Chu Him Gajah Mati Pendang Kedah

3.Darul Ulum Makkah dan menamatkan sijil kepujian Aliy

4. Kemudian mendalami ilmu di Masjidil Haram Makkah bersama syeikh-syeikh terkemuka diantaranya Syeikh Ismail Fatani , Syeikh Yassin Al Fadani , Syeikh Abd Qadir Mandili , Syeikh Syed Alawi Al Malikki , Syeikh Syed Amin Qutubi dan syeikh muktabar lain .

Berkahwin dengan Hj Hatiah bt Hanafi Mendapat 2 orang cahaya mata semasa berlajar di Makkah. Tn Guru memiliki 11 orang cahaya mata semuanya. Kini isteri beliau sudah meninggal dunia dan Tn Guru sekali lagi berkahwin dengan Hj Sofiah bt Hj Awang Tahun 1964 Tn Guru pulang ke Tanah air dan terus berkhidmat membantu mengajar di pondok ayah beliau di Pekan Sik . Tn Guru menggantikan ayah beliau sebagai mudir Madrasah Ar Rahmaniah hingga sekarang . Sekarang Tn Guru dibantu oleh anak belaiu Syeikh Muslim sebagai Timbalan Mudir .

Tn Guru menumpukan dakwah sepenuh masa di Pondok hingga sekarang dan beliau menyampaikan dakwah di setiap daerah di sekitar negri Kedah Darul Aman .

KDYMM Sultan Kedah telah anugerahkan beberapa pingat kebesaran , diantaranya B.K.M , S.D.K dan Tokoh Pendakwah Negeri Kedah tahun 2009, Pada tahun 2010 MB Kedah YAB Dato' Seri Di-Raja Ust Azizan Abd Razak meanugerahkan Tokoh Pondok Negeri Kedah , 2011 beliau dinobat Tokoh Ilmuan Daerah Sik Oleh Pegawai Daerah Sik

SEKARANG ULAMA ARAB TERUTAMNYA YAMAN , JORDEN, MESIR SERING MENZIARAHI TN GURU KERANA TN GURU MERUPAKAN ULAMA YANG SEMPAT MENDALAMI ILMU DENGAN ULAMA MUKTABAR MASJIDIL HARAM MAKKAH SATU KETIKA DULU INSYALLAH

Antara masyaikh hafizahumullah yang menziarahi beliau :

Syeikh Yussuf Al Hassani (Lubnan)

Syeikh Muhammad Ibrahim (Mesir)

Habib Kazim ( Yaman )

Habib Abdullah ( Jeddah)

Syeikh Habib ( Jorden)

Saudara yang saya kasihi ,Tn Guru Hj Salleh merupakan ulama yang terkenal di Kedah sekarang kerana beberapa faktor ketokohan beliau , diantaranya beliau merupakan Tn Guru Pondok yang paling tua nisbah umur dikalangan Tn Guru Pondok disekitar Kedah .

-ke 2 Beliau merupakan tokoh ulama Tauhid di alam melayu sekarang , seluruh pelajar pondok seluruh Malaysia , Thailand akan berkumpul di Pondok Tn Guru Hj Salleh Sik setiap bulan Ramadan semata-mata untuk belajar ilmu tauhid dengan Tn Guru Hj Salleh

- Ke 3 Beliau sangat petah dalam penyampaian ilmu dan dakwah , mudah difahami apa yang beliau syarahkan

Kuliah minguan beliau setiap hari Jummat tidak kurang dari 3000 orang yang hadir . Setiap hari beliau gigih mengajar di Madrasah Ar Rahmaniah dan beliau keluar menyampaikan dakwah di seluruh daerah didalam Kedah , hampir 24 tempat beliau jelajah setiap bulan , Allah beri taufiq pada beliau , walau usia 83 tahun tetapi beliau masih bertenaga menyebarkan ilmu dan berjuang .

-Ke 4 Ketokohan beliau tidak dapat dinafikan oleh kawan dan lawan ,tegas dalam hukum menyebabkan ramai suka dengan beliau . Allahyarham Pak Teh Keroh pernah berpesan pada muridnya "Kamu semua kena (perlu) pakai (ikut ) segala fatwa dari Tn Guru Hj Salleh Sik"

-ke 5 Beliau sangat aktif berjuang untuk memastikan Islam tertegak didalam negara Malaysia yang kita cintai. Wadah yang beliau pilih adalah Parti Islam Se-Malaysia(PAS) kerana ini merupakan amanat dari dua orang Guru Mulia beliau di Makkah iaitu Syeikh Qadir Mandili dan Syeikh Wan Ismail ( Pak Da Eil)

-ke 6 Fikiran beliau sangat terbuka

-ke 7 Beliau merupaka tempat rujuk kepada pimpinan tertinggi parti Parti Islam Se-Malaysia Peringkat Pusat & Negeri.

Seorang ulama di negeri Kedah apabila saya ziarahi beliau, beliau berkata " Tn Guru Hj Salleh merupakan setengah daripada orang yang memiliki wilayah yang luas dan punya sahabat dan musuh semua tunduk padanya"

BERASA DOSA andai tidak perkenalkan Ulama yang dikenali kepada Umum .

Masyarakat sekarang selalunya kenal ulama setelah ulama itu meninggal , Alhamdulillah, sekarang mari kita mula berazam untuk memperkenalkan ulama tempatan seramai mungkin kepada masyarakat umum , mudahan dengan usaha ini ramai masyarakat dapat mengenali ulama kita yang masih wujud untuk kita sama ambil menafaat dengan mereka . ULAMA PEWARIS ANBIA , seharusnya kita mendekati mereka. Jangan setelah mereka meninggal barulah kita menyesal .

salman


"IslamRasulSalman al-Farisi adalah seorang hamba kepada tuannya seorang Yahudi Bani Quraizah di Kota Yatsrib. Ketika dia berada di atas pokok kurma, seseorang datang sambil marah-marah kepada tuannya yang berada di bawah pokok kurma.

“Celakalah Bani Qailah, sekarang mereka berkumpul di Quba’ menyambut kedatangan seorang lelaki dari Mekah yang mendakwakan dirinya Nabi.”

Salman teringin mendengar berita tersebut dan tidak sabar menemui  nabi yang baru datang. Lalu dia turun dan bertanya kepada tetamu tadi,  ”Apa khabar anda? Cuba khabarkan kembali kepadaku!” Tuannya terus marah dan memukul Salman sambil marah, “Kerjakan tugasmu kembali! Ini bukan urusanmu!” Salman terus sedar, dia seorang hamba.



Anak kepada seorang petani kaya dan penganut agama Majusi yang taat, Salman berasal dari Jayyan, Kota Isfahan, Persia. Bapanya juga ingin menjadikan Salman penganut agama Majusi yang taat. Salman dihantar ke kuih supaya menjaga api agar tidak padam. Jalan hidupnya berubah setelah tertarik cara orang-orang Nasrani beribadah. Dia keluar dari rumah bapanya dan mengembara dari satu gereja ke gereja yang lain sambil berguru dengan pendeta-pendeta dan akhirnya bertemu dengan seorang pendeta di Amuria.

Setelah guru terakhirnya wafat, dia mengikut satu kabilah Arab yang berjanji akan membawanya ke Tanah Arab. Sebagai imbuhan, Salman menyerahkan semua ternakannya kepada kabilah tersebut. Namun dia ditipu dan kabilah tersebut juga menjualnya sebagai hamba di Yastrib.

Keesokkan harinya Salman pergi ke Quba, menghulurkan sepiring kurma kepada Nabi dan menyatakannya sebagai sedekah. Nabi menerima kurma itu, lalu memberi kepada sahabat-sahabat sehingga habis, nabi tidak memakannya. Setelah Nabi berada di Madinah, Salman datang lagi menghulurkan sepiring kurma kepada Rasulullah, kali ini dia menyatakan sebagai hadiah. Nabi segera memakan sebiji kurma lalu mempersilakan para sahabat makan bersamanya. 

Salman berfikir apa yang dikatakan gurunya tepat, Nabi yang terakhir itu tidak menerima sedekah, tapi menerima hadiah.

Salman semakin yakin bahawa beliau sememang Nabi terakhir utusan Allah. Untuk lebih kepastian, Salman ingin membuktikan adakah tanda khatam ada pada Nabi sebagai tanda kenabian. Kesempatan itu diperolehi semasa di Baqi. Ketika itu itu Nabi mengantar jenazah seorang sahabat, Salman sengaja melingkari Nabi dan berusaha melihat tanda tersebut.

Rupa-rupanya Nabi faham dan menjatuhkan sedikit kain sehingga Salman dapat melihat tanda kenabian itu. Serta-merta dia memeluk Nabi, menciumi beliau sambil menangis. Itulah perjalanan panjang Salman mencari kebenaran. Berbahagialah Salman al-Farisi pada hari kematian dan ketika dibangkitkan kembali di akhirat. 

Wallahua’lam….

Hajah Siah - Alfatehah



Assalamualaikum, mungkin ramai yang dengar atau baca kisah ini, kisah lama yang pernah berlaku satu masa dulu dan pernah disiarkan di dalam majalah Mastika. Dikongsikan bersama sabagai renungan bersama kita.. InsyaAllah

Kisah Benar - Kubur Hajjah Siah Bercahaya

Kisah bermula di suatu tempat.. Selepas berbuka puasa pada malam bulan Ramadan, Tajuddin Ali, 31, berbual-bual dengan seorang rakannya bernama Ahlid di halaman rumahnya sambil menghembus asap rokok berkepul-kepul.Entah apa yang dibualkan mereka tapi mereka berdua rancak bercerita sementara menunggu masuknya waktu solat fardu Isyak.

Sedikit demi sedikit malam mula berlabuh, suasana jadi kelam. “Fuuuhh!” Tajuddin menghembus asap rokok melepas ketagihan sejak siang tadi. Matanya memandang kearah tanah perkuburan yang terletak di depan rumahnya di Parit 1C, Sungai Manik, Teluk Intan, Perak yang mula diselubungi malam.

Keadaan tanah perkuburan itu kelam, tiada apa yang kelihatan melainkan beberapa batang pokok kayu yang tinggi menjulang dan rendang nampak berbalam. Namun, dalam kegelapan malam tu tiba-tiba Tajuddin terlihat muncul satu cahaya aneh berwarna biru dari kawasan perkuburan.

Cahaya aneh berbentuk bulat seperti disuluh lampu limpah itu menjadi semakin besar dan menaik sehingga menjulang melebihi tiga meter. Cahaya itu tidak jauh dari mereka, lebih kurang 100 meter sahaja dari halaman rumahnya. Kawannya, Ahlid turut menyaksikan perkara yang sama, ternampak cahaya itu muncul dari batu nisan disalah sebuah kubur di situ.

Terkedu Tajuddin menyaksikan peristiwa itu sehingga sebahagian kawasan tanah perkuburan menjadi terang benderang seperti disuluh dengan lampu limpah. Hampir lima minit mereka berdua menyaksikan cahaya aneh itu bermula dari warna biru, berubah menjadi kekuningan, kemerahan kemudian beransur-ansur sirna.

Cahaya apakah itu?

Menggigil dan berpeluh Ahlid sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Sebaik sahaja cahaya itu hilang mereka berdua berlari ke dalam rumah. “Kau nampak tak apa yang aku nampak tadi Lid?” soal Tajuddin.

“Ya, aku nampak Din,” beritahu Ahlid terketar-ketar.

“Ishhhk…! Pelik betullah cahaya apa tadi tu?” soal Tajuddin lagi.

“Entahlah Din, jangan-jangan hantu tak?” balas Ahlid.

“Ishhhk…! Merepeklah, bulan puasa mana ada hantu!” balas Tajuddin.

Akibat terlalu takut, malam itu Ahlid tidak berani hendak balik tidur ke rumahnya sebaliknya bermalam di rumah Tajuddin. Keesokan harinya hebohlah seluruh pekan Teluk Intan memperkatakan tentang kejadian kubur bercahaya di Sungai Manik.

Malam berikutnya, berduyun-duyunlah penduduk kampung berkumpul berhampiran tanah perkuburan Islam Parit 1C selepas berbuka puasa. Mereka tergiur ingin melihat cahaya apakah yang telah disaksikan Tajuddin dan Ahlid, semalam.

Masing-masing bersidai didepan tanah perkuburan Islam itu dengan harapan dapat melihat cahaya muncul dari kubur tersebut. Masing-masing tertunggu-tumggu bilakah cahaya itu bakal muncul!

Ada juga yang merasa ragu-ragu, kalau-kalau Tajuddin sengaja mahu memperdayakan orang-orang kampung dengan mereka-reka cerita berkenaan. Kira-kira pukul 8.00 malam, tiba-tiba muncullah cahaya aneh yang ditunggu-tunggu. Maka bertambah gemparlah seluruh penduduk Sungai Manik apabila menyaksikan peristiwa aneh itu.

Benarlah dakwaan Tajuddin dan Ahlid apabila sebahagian besar penduduk dapat menyaksikan sendiri cahaya yang terpancar, muncul dari celah-celah batu nisan seorang wanita tua bernama Hajah Siah Haji Tamin.

Malam tersebut, cahaya aneh muncul lebih kurang dua hingga lima minit dan menerangi hampir sebahagian tanah perkuburan Islam Parit 1C, Sungai Manik. Peristiwa pelik ini sangat menakjubkan dan tersebar dengan begitu cepat bukan sahaja ke seluruh pelosok negeri Perak tetapi seluruh Negara.

Sejak itulah juga kubur Hajah Siah menjadi tumpuan ramai. Pengunjung tidak kira dari Melaka, Pulau Pinang mahupun Johor turut datang semata-mata mahu menyaksikan cahaya yang didakwa terbit dari batu nisan di bahagian kepala milik arwah Hajah Siah.

Tapi.. dalam keajaiban kejadian Allah ini terdapat pula yang cuba berniat jahat. Geram betul Tajuddin apabila ada pihak tertentu yang datang bertujuan cuba mendapatkan nombor ekor.

Orang luar yang tidak dikenali siap membawa pen dan kertas. Malah ada desas-desus menyatakan ada pihak ingin mencuri batu nisan tersebut! Tajuddin mengakui kejadian yang berlaku hampir lapan tahun lalu amat menakjubkan sepanjang hidupnya.

Peliknya, cahaya tersebut biasanya muncul antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam dan jangka masa muncul antara dua hingga lima minit sahaja. Pada mulanya ramai yang pelik mengapa cahaya ini muncul pada waktu berkenaan. Tetapi selepas mendengar cerita sebenar barulah ramai yang merasa takjub dengan allahyarham Hajah Siah.

Sebenarnya pada waktu berkenaanlah, arwah Hajah Siah suka membaca al-Quran semasa hayatnya. Ceritanya lagi, Allahyarham Hajah siah yang berasal dari Parit 4A, Sunga Manik merupakan seorang yang warak dan alim ketika hidupnya. Arwah seorang yang memiliki budi pekerti yang baik dan gemar ‘bersahabat’ dengan al-Quran.

Untuk mendapatkan kepastian, Tajuddin membawa kami menemui dua anak arwah, Haji Muhammad Haji Othman, 69, dan anak bongsunya, Jamaliah Haji Othman, 67.

Sambil dihidangkan secawan kopi, kami bertanya apakah ibadah yang selalu diamalkan oleh arwah ketika hayatnya sehingga kuburnya mengeluarkan cahaya untuk dijadikan iktibar kepada pembaca?

Jamaliah tersenyum sambil memberitahu bahawa arwah ibunya meninggal dunia sebelum azan maghrib 8 Disember 2002 di Hospital Teluk Intan ketika berusia 80 tahun, beliau tidak mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Jamaliah juga tidak mahu terlalu memuji ibunya bimbang dianggap riak pula.

Pada Jamaliah, apa yang diamalkan arwah ibunya biasa saja seperti amalan umat Islam lain iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Misalnya, semasa hayatnya, arwah Hajah Siah sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada setiap hamba-Nya. Arwah ibunya juga sering kali bersolat sebaik masuk waktu tanpa melengah-lengahkan dengan hal-hal keduniaan.

“Misalnya, sebelum masuk waktu solat Maghrib lagi mak dah ambil air sembahyang, kemudian duduk menunggu di atas sejadah sambil membaca al-Quran. “Bila azan Isyak selesai, mak terus solat. Lepas solat sambung lagi mengaji al-Quran. Masa mak banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran!

“Tengah malam mak selalu bangun buat solat Tahajud dan waktu pagi solat sunat Dhuha. Tiap-tiap hari itulah amalan mak!” cerita Jamaliah. Kami juga dimaklumkan Jamaliah, dalam setahun ibunya berkhatam al-Quran, lima hingga enam kali. Pada bulan puasa sahaja arwah ibunya khatam al-Quran sebanyak dua kali.

“Mak selalu amalkan baca surah Yasin, al-Waqiah dan surah al-Mulk. Tiga surah ini pasti mak baca pada tiap-tiap hari. Kira amalan wajib bagi mak!” tambah Jamaliah.

Amalan lain yang turut menjadi darah daging arwah Hajah Siah ialah berzikir. “Mak berzikir tak kira waktu pagi, petang atau siang. Malam pula saya tengok mak berzikir. Tasbih memang tak lekang dibilang dan dibawanya ke mana-mana.”

“Tengah berkebun pun mak bawa tasbih juga, kalau dia nak mencangkul dan menebas dia sangkutkan tasbih pada lehernya!” beritahu Haji Muhammad pula.

Zikir yang selalu diamalkan arwah ialah zikir harian yang selalu diamalkan Imam al-Ghazali. “Setiap kali berzikir arwah mak buat seribu kali setiap hari!” beritahu Jamaliah.

Selain berzikir apa lagi amalan yang paling disukai arwah Hajah Siah?

“Ishhhk! Amalan ini memang berat, susah orang nak buat. Tapi arwah mak suka sangat buat. Mak suka sangat bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid. “Mak sedekah bukan sikit tapi banyak. Arwah mak pernah sedekah sampai RM1000 untuk bina masjid. Kalau bab sedekah arwah mak memang tak sayang duit, hairan saya.

“Arwah mak ada pesan pada kami, kalau orang datang minta sedekah jangan dihampakan. Beri biarpun sikit!” ujar Haji Muhammad pula.

Semasa hayatnya, arwah Hajah Siah selalu berpesan kepada Haji Muhammad dan Jamaliah supaya rajin-rajinlah membaca al-Quran. Itulah saja penolong ketika berada di alam kubur.

“Kata mak, kalau kita rajin baca al-Quran, nanti bila dah meninggal, dalam kubur akan bercahaya terang-benderang seperti disuluh lampu. Sebab itulah saya tak terkejut sangat bila orang heboh bercerita kubur mak saya bercahaya!” jelas Jamaliah pula.

Begitulah cerita daripada anak-anak arwah Hajah Siah yang kami temui di rumah mereka di Parit 4A, Sungai Manik, Teluk Intan.

Hmm… macam mana dengan amalan kita?

Bolehkah kita tandingi kehebatan Hajah Siah, sembahyang lima waktu tepat pada waktunya, selalu baca al-Quran, setiap tahun khatam lima enam kali, berzikir seribu kali sehari dan memperbanyakkan bersedekah jariah?

Al-Fatihah buat arwah Hajah Siah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

P/s: Mohon sebarkan supaya dapat dijadikan renungan bersama kita semua..

Perkhidmatan Dobi

Assalamualaikum wr.wb.
Sheikh, tolong kempen perkhidmatan Seri Dobi Station kepada warga KMS s/ada pelajar dan staff terutamanya masa pendaftaran esok. InsyaAllah kami beri potongan 15%.

Ada apa cadangan boleh kemukakan kepada saya.

seridobi.blogspot.com
http://www.facebook.com/profile.php?id=100002539970655

Ilyasak Ahmad
013-3940108