Khamis, 21 Jun 2012

jerung adobe



Gambar jerung yang diberitakan diambil di sebuah shopping mall yang menempatkan Pusat Sains Di Kuwait yang membanjiri internet sejak dua hari lalu sebenarnya bukan asli.

Gambar yang memaparkan dua ekor jerung besar berenang di ruang legar sebuah escalator itu sebenarnya adalah hasil kerja photoshop yang sangat berjaya.

Jamie King seorang yang berkemahiran tinggi dalam seni photoshop telah menghasilkan gambar tersebut dan menyebarkannya di internet sebagai satu gurauan.

King berkata, "Helah membuat gambar yang baik dan berkualiti adalah bertujuan untuk membuatkan audien menilai sendiri gambar tersebut kerana ia kelihatan sangat real dan natural."

Lihat gambar asal di bawah dan bandingkan dengan gambar photoshop yang dihasilkan oleh King.

Apa macam bro? Boleh gila dibuatnya... Memang hebat mamat nii!!

Selasa, 19 Jun 2012

Muhaya


Mohamad perancang kejayaan Muhaya



JIKA tangan seorang ibu yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, ketegasan seorang bapa pula mampu membentuk negara. Kalau syurga terletak di telapak kaki ibu, reda golongan ayah juga tiada tandingnya.
Sekeras manapun hati seorang bapa, mereka tidak pernah rela menyaksikan kegagalan anak-anak. Riak tenang pada wajah mereka sebenarnya menanggung seribu perit demi membimbing zuriat ke tempat tertinggi.
Hal itu disedari Profesor Dr. Muhaya Mohamad, 54, sejak beliau kecil. Arwah bapanya, Mohamad Busu, diibaratkan sebagai perancang kepada keseluruhan kejayaannya hari ini. Selaku seorang askar berpangkat leftenan, bapa Muhaya mengawal ketat setiap pergerakan anak-anak.
"Setiap hari, saya dan adik-beradik hanya dibenarkan bermain di luar rumah sehingga pukul 6 petang. Tiba waktu itu, kami semua wajib mandi dan siap sedia untuk solat Maghrib berjemaah.
"Siapa ingkar pasti tidak terlepas daripada dirotan ayah. Saya sendiri pernah beberapa kali dihukum tetapi disebabkan bijak memberi alasan, saya kerap terlepas," imbau Muhaya yang memanggil bapanya dengan gelaran bak.
Tambah pakar mata yang bertugas di Pusat Mata dan Lasik, Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur itu: "Walaupun dipukul dengan tali pinggang, namun ayah hanya memukul anak-anaknya di bawah lutut. Sewaktu hukuman itu, dia tidak henti-henti menyatakan bahawa dia hanya memukul perangai kami. Lama-kelamaan, saya mengerti apa yang dimaksudkannya."
Ketegasan bapa
Kali terakhir Muhaya dipukul ketika usianya 14 tahun. Detik itu beliau pulang ke kampung di Kuala Terengganu pada cuti sekolah. Akibat tidak mahu menyiapkan kerja sekolah, Muhaya dipukul dengan kuat.
Kesal dengan tindakan tersebut, arwah ibu Muhaya menyaksikan sendiri suaminya itu menangis saat hendak tidur. Jelas di sebalik ketegasan tersebut, tersimpan perasaan sayang yang amat mendalam terhadap anak-anak.
Meskipun sibuk bertugas, bapa Muhaya tidak sekali-kali mengabaikan pendidikan anak-anak. Setiap daripada mereka diberi tabung dengan simbol cita-cita masing-masing. Muhaya dihadiahkan tabung berbentuk rumah kerana dahulu beliau mahu bergelar seorang arkitek.
"Ayah mahu anak-anaknya mendapat pelajaran sempurna dan bekerja sekurang-kurangnya sebagai pegawai kelas atasan. Jadi, ketika saya berumur lapan tahun, ayah telah mengupah seorang guru mengajar saya dan kakak di rumah.
"Saya masih ingat pada Cikgu Zakaria perlu berulang-alik dari Perak ke Terengganu menaiki motosikal untuk mengajar kami bahasa Inggeris dan Matematik. Dia dibayar sebanyak RM15 dan jumlah tersebut cukup besar pada tahun 1966," singkap Muhaya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru.
Tempoh lapan tahun di STF mungkin mencipta jurang antara beliau dan bapanya. Begitupun, masalah tersebut diatasi menerusi kiriman surat-surat bapanya setiap bulan. Tanpa jemu, bapanya turut menitipkan kata-kata hikmah sebagai penyuntik semangat buatnya.

AZIMAT pesanan bapa Muhaya, selain kasih sayang ibunya, telah menjadikan beliau seorang yang berjaya dalam hidup.


'Umpama kiambang di air, akar tidak jejak ke bumi' antara peribahasa yang masih diingat Muhaya. Berbekalkan motivasi tersebut, Muhaya berjaya menyandang gelaran pelajar terbaik sebanyak dua kali di STF.
Lebih membanggakan, Muhaya terpilih antara empat pelajar yang cemerlang dalam High School Certificate (HSC) atau kini Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) seluruh Malaysia pada tahun 1978 bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Kaherah, Mesir.
Keterujaan itu terpadam apabila bapanya menidakkan kebolehan Muhaya merantau ke negara orang. Sungguh besar kekecewaan yang dialami Muhaya namun beliau sendiri berbelah-bahagi untuk pergi.
Nilai positif
"Ayah tidak percaya seorang perempuan seperti saya boleh berdikari di sana. Dia tahu ia peluang baik namun dia belum bersedia melihat anaknya terbang jauh seorang diri.
"Kebetulan pula ketika itu saya sedang bercinta dengan seseorang (kini suaminya) dan perhubungan tersebut membataskan saya untuk pergi," tutur ibu kepada dua cahaya mata itu yang kemudiannya menyambung pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Cukup terkenal dengan sikap garang, bapa Muhaya bagaimanapun seorang individu yang murah hati. Nilai-nilai positif yang ditonjolkan bapanya itu kini dipraktikkan Muhaya dalam kehidupan sehariannya.
Pada tahun ketiga jurusan perubatan di UKM, bapa Muhaya memintanya menziarahi bekas guru besar sekolah rendahnya yang terlantar di hospital.
"Ayah ingatkan saya bahawa cikgu tersebut banyak membuka peluang buat saya untuk berjaya dalam pelajaran dengan memberi kelas tambahan. Tanpa cikgu itu, saya mungkin tidak berada di posisi sekarang," tutur Muhaya yang menyifatkan ia sebagai satu pelajaran mengenang budi.
Selain itu, bapanya juga pasti membeli barang yang dijual peniaga yang bertandang ke rumah. Begitu juga dalam konsep tawar-menawar. Jika ke pasar, bapanya pasti menegur ibunya andai berlaku proses pengurangan harga.

WALAUPUN tidak menjadi seorang arkitek seperti yang dicita-citakan suatu ketika dahulu, Muhaya kini berjaya dan menjadi tokoh yang disegani dalam bidang perubatan.


"Tak baik minta kurang, kasihan mak cik tu berniaga atas simen sejuk-sejuk. Lepas tu awak minta harga murah," kata-kata bapa kepada ibunya ini cukup berbekas di dalam fikiran Muhaya.
Beberapa bulan sebelum peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) atau kini Penilaian Menengah Rendah (PMR), Muhaya dikejutkan dengan berita perkahwinan kedua bapanya bersama seorang wanita di Kedah.
Hancur hati ibu dan adik-beradiknya menanggung kebenaran yang menyakitkan itu. Muhaya sendiri pada awalnya berasa kecewa namun penjelasan oleh bapanya menjernihkan keadaan.
"Ayah bertugas jauh dan waktu itu ibu tidak mahu ikut. Akhirnya pada tahun 1976 ayah dan ibu berpisah secara baik dan bayangkan saat itu saya bakal berdepan peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) atau kini digelar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Tekanan itu memang dirasai tetapi ayah berpesan, jangan jadikan hal itu sebagai penghalang. Kata ayah, kalau kita bagus, dalam apa jua situasi pun kita boleh mencipta kejayaan. Jadi, saya belajar bahawa keretakan rumah tangga ibu bapa bukan alasan untuk anak-anak patah semangat," ujar Muhaya.

Isnin, 18 Jun 2012

dialog gagal

KAUM quraisy telah menghantar seorang utusan datang mengunjungi Rasulullah saw. Beliau bernama Utbah bin Rabiah, iaitu seorang terkemuka Arab di Mekah dan pandai. Beliau diutus bagi memujuk Nabi supaya hentikan dakwah Islam.

”Wahai Muhammad. Engkaukah yang baik atau Hasyim, ataukah Abdul Mutalib, ataukah Abdullah? Kenapa engkau begitu mencela tuhan kami dan anggap nenek moyang kami sesat?.

”Jika engkau inginkan terkenal, kami berikan kekuasaan kepada engkau sebagai raja. Atau, jika inginkan isteri kami akan kumpulkan wanita quraisy dan pilihlah yang mana engkau sukai. Malah, jika inginkan harta kekayaan, kami akan kumpulkan harta untuk engkau dan anak cucu engkau di kemudian hari?”

Demikian berkata Utbah setelah mendengar kata-kata Utbah yang manis itu. Kemudian Nabipun membacakan ayat-ayat surah Fussilat :

Ayat 1-3

1) Haa Mim
2) Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
3) Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa arab, untuk kaum yang mengetahui.

Lalu baginda terus membacanya hingga ayat 13,

13) Jika mereka berpaling maka katakanlah, ”Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir (kehancuran) yang menimpa kaum Aad dan Tsamud,”

Selesai Nabi membaca ayat-ayat itu, tiba-tiba Utbah ke depan lalu menutup mulut baginda. Rupa-rupanya ayat-ayat itu telah menggoncangkan hatinya sebagai seorang yang pandai dan tahu apa maksudnya ayat-ayat itu. Demikian, pujukan quraisy itu dijawab oleh Nabi dengan ayat-ayat Quran yang tersusun indah dan menusuk hati maknanya.

Usaha Utbah ternyata gagal, lantaran itu beliau kini diejek Abu Jahal dengan kata-kata yang menyakitkan gati kerana dikira Utbah sudah terpengaruh oleh Nabi.

”Wahai Utbah, engkau telah terpesona dengan ajakan Muhammad. Jika engkau perlu harta, kami akan sediakan harta benda yang banyak agar engkau tidak memakan makanan Muhammad,” demikian kutukan Abu Jahal.

”Kamu tahu bahawa aku seorang yang palimg kaya di kalangan quraisy,” Utbah menjawab dengan sangat marah. Lalu beliau bercerita mengenai pertemuannya dengan Muhammad dan menyampaikan ayat-ayat yang dibacakan Muhammad kepadanya.

”Kamu tahu bahawa Muhammad itu tidak pernah berdusta bila berbicara ! Aku khuatir itu tidak pernah berdusta bila berbicara ! Aku Khuatir azab Tuhan akan turun menimpa kamu sekelian,” Utbah berkata dengan suara keras.

Setelah utusan itu tidak berjaya, kini kaum quraisy memilih tokoh di kalangan mereka untuk mengadakan dialog dengan Muhammad. Seramai 13 orang telah dipilih dari kabilah quraisy untuk berdepan dengan Nabi. Diantaranya Abu Jahal, Utbah bin Rabiah, Abu sufian bin Harb, Nadr bin Haris (gelarannya syaitan quraisy) dan lain-lain.

Beberapa orang yang bukan tokoh juga turut mengiringi pertemuan itu.

Pada suatu hari yang ditetapkan, mereka pun berhimpun dekat kaabah dan Nabi telah dijemput oleh utusan mereka. Mereka menaruh harapan untuk dapat memujuk Nabi.

Nabi terima jemputan itu dengan ingatan yang baik dan berharap moga dapat ajak mereka ke jalan Allah.

”Wahai Muhammad. Kami ingin berbicara langsung dengan kau. Kami belum pernah berjumpa dengan orang dari kalangan bangsa arab sepereti kau yang bertindak merosakkan bangsanya. Engkau mencaci-maki nenek moyang kami, kau hina agama kami, kau cela tuhan kami, kau rendah-rendahkan pendapat kami dan engkau cerai beraikan jemaah kami. Dan engkau mendatangkan persoalan keji diantara engkau dan kami sekelian.

”Jika engkau tidak boleh berbuat demikian, mintalah pada Tuhanmu supaya dikirimkan Malaikat bagi membenarkan apa yang kau katakan agar kami membenarkan apa yang kau katakan agar kami percayakan kau.

”Minta dengan Tuhanmu supaya kau dibuatkan taman-taman dengan istanaz dan perbendaharaan emas dan perak yang melebihi dari kekayaan kami. Kami lihat kau memang amat memerlukannya. Kau berada di pasar seperti kami, mencari kehidupan juga seperti kami lakukan, di manakah kelebihan dan kedudukan kau dari Tuhan kau jika benar kau sebagai RasulNya sepertu yang kau katakan?”

Mereka terus memajukan perkara yang bukan-bukan. Namun Nabi hanya menjawab seperti tadi,

”Jatuhkan langit menimpa kami seperti kau katakan. Tuhanmu dapat berbuat sekehendaknya jika ia menghendakinya berlaku. Kami tidak akan beriman selagi tidak dapat berbuat demikian,”

”Jika memang benar, jika Dia kehendaki nescaya Dia lakukan. Jika kamu berkehendak demikian itu kembalilah kepada Allah,” demikian diperjelaskan oleh Nabi.

‘Wahai Muhammad. Apakah Tuhan kau tidak mengetahui kami duduk bersama kau, kami kemukakan pertanyaan dan bukti, lalu Dia ajar kau agar kami dapat mundur ! Dapatkah Dia memberitahu kau tentang apa yang akan terjadi kepada kami apabila kami tidak mahu percaya apa yang kau sampaikan?”

Kumpulan quraisy terus mengajukan berbagai pertanyaan, sindiran dan juga ancaman.

”Kami sudah tahu dari satu berita bahawa yang mengajar kau ini seorang lelaki Yaman bernama Rahman. Kami tidak akan percaya padanya selama-lamanya. Kami sudah ingatkan kau mengenai yang kami tidak suka padamu wahai Muhammad. Kami bersungguh-sungguh, demi Allah. Tidak akan membiarkan kau kembangkan ajaranmu itu,”

Demikian mereka mengancam. Sementara itu ada pula yang berkata mereka menyembah Malaiat kerana ia anak gadis Allah.

Demikianlah bermula bicara mereka, untuk memujuk Nabi sepertimana yang dikemukakan oleh Utbah dulu.

”Aku bukanlah seperti yang kamu katakan. Aku bukan inginkan harta, kedudukan atau kekuasaan. Tetapi Allah mengangkat aku sebagai Rasul dan menurunkan Kitab kepadaku. Allah perintahkan kepadaku menyampaikan berita yang menyenangkan (barisan) dan berita yang mengejutkan (nadziran).

”Aku sampaikan risalah Tuhanku dan aku memberi nasihat kepada kamu sekelian. Jika kamu terima adalah keuntungan di dunia dan akhirat. Dan jika kamu tolak, aku sabar mengangkat perintah Allah sampai datang wahyu dari Allah di antara kamu dan aku Rasul Allaj,..

Nabi menjawab dengan tegas sekali.

Mendengar jawapan itu, mereka berasa terdesak kepada pokok persoalan, tapi mereka memajukan helah yang lain pula.

”Engkau tahu bahawa negeri kita sempit dengann bukit, air sukar didapati, kehidupan sangat sulit. Jika benar Tuhan yang mengutuskan kau, mintalah kepada Tuhanmu supaya hilangkan bukit-bukit, melegakan kehidupan negeri kami dan alirkan sungai seperti Syam dan Iraq.

”Minta pada Tuhanmu dibangkitkan nenek moyang kami yang telah mati seperti Qushai bin Kilab kerana beliau orang ternama yang benar supaya kami dapat bertanyakan. Adakah kau Muhammad sorang yang benar atau sebaliknya? Jika kau dapat memperkenankan dan buktikan perkara yang diminta, maka tahulah kami kedudukan kau di sisi Allah. Benar-benar Allah telah utuskan kau sebagai RasulNya,”

Begitulah mereka memajukan masalah baru.

Namun, baginda menjawab seperti jawapan tadi juga. Yanglain pula berkata,

”Kami tidak akan beriman kepada kau sampai datangAllah dan Malaikat bersama-sama,”

Memperdengarkan kata-kata demikian itu dan melihatkan sikap keterlaluan mereka, Nabi bangun dan tinggalkan majlis dialogg itu kerana baginda berasa sia-sia menghadapi mereka.

Nabi pulamg ke rumah dengan hati yang pedih dan tidak berhasil seperti yang diharapkannya. Jurang di antara Nabi dengan golongan musyrik itu bertambah dalam.

Sewaktu berangkat pulang tadi, seorang lelaki bernama Abdullah Abi Umayah bin Mughirah iaitu dari kalamgan keluarga baginda telah mengiringinya sambil beliau menyatakan berbagai soalan bagi menambah pedih hati baginda.

”Wahai Muhammad, kaummu telah kemukakan hujah mereka tapi kau tidak mahu terima. Mereka mahu kau buktikan darjatmu di sisi Allah, maka baru mereka mahu terima. Akan tetapi kau tidak berbuat demikian. Kau tidak sanggup tunjukkan kelebihanmu kepada mereka dan kedudukanmu di sisi Allah. Mereka minta disegerakan azab yang kau katakan, tapi kau tidak melakukannya,”

Demi Allah, aku juga tidak akan percaya kepada kau sehingga aku dapat melihat kau naik tangga ke langit. Dan kembali dengan membawa kita beserta empat Malaikat sebagai saksi menyatakan engkau Rasul Allah sepertimana yang kau anggap dirimu,”

Begitulah pedih Abdullah yang memedihkan hati baginda apatah lagi beliau dari keluarga terdekat baginda sendiri. Nabi tidak menjawab sepatah jua dan meneruskan perjalanannya pulang ke rumah.

Sementara itu, tokoh quraisy itu berunding dan Abu Jahal merencanakan pembunuhan ke atas Nabi. Namun baginda dilindungi Allah dan datangnya perintah hijrah dari Mekah ke Madinah.

dahagi

Peristiwa Dahagi
Askar-askar India Muslim dan melayu dijatuhkan hukuman tembak (firing squad) dalam peristiwa Dahagi kerana menyokong Khilafah Uthmaniah dan pertahan Palestin.

Assalamualaikum,

Saya ada mengisi siri-siri kuliah sejarah bulanan di beberapa buah mesjid di Selangor. Salah satu dari kuliah tersebut ialah 'Perihal sokongan ulama tanah air kepada Khilafah Uthmaniah'. Sebagai mukaddimah saya terangkan di mana kedudukan khalifah dalam sistem politik tertinggi umat Islam dan peranannya di dalam memayungi ummah. Saya jelaskan juga apakah bencana yang menimpa umat ini apabila khilafah terakhir, Khilafah Uthmaniyah luput pada tahun 1924. Di sentuh juga sepintas lalu mengenai usaha as-Syahid Imam Al-Banna dan program maratib-ul-amal untuk mengembalikan khilafah bermula dengan pembinaan syahsiah muslimah sehingga terbitnya ustiazatul alam (Islamic world order yang memayungi seluruh dunia).

Untuk siri yang pertama ini saya bongkar hubungan perjuangan umat Islam di Tanah Melayu dengan sistem khilafah yang berpusat di Istanbul. Saya jelaskan pada hadirin bahawa kita kena letakkan ulama-ulama pejuang yang selama ini dinobat sebagai pejuang nasionalis melayu kepada para mujahiddin yang gerak kerja dan perjuangannya bersifat global dan 'alami. Ini termasuklah peranan yang dimainkan oleh Dato' Bahaman, Tuk Gajah (Imam Perang Rasul), Mat Kilau, Tuk Janggut dan Tuk Ku Paloh.

Apabila pecah perang dunia pertama, Turki Uthmaniy terseret sama ke dalam kancah global ini demi mempertahankan kedaulatan wilayah Islam dari pencerobohan British dan Peranchis. Untuk menghadapi ancaman barat ini maka khilafah telah mengeluarkan pengistiharan Jihad-i-akbar pada bulan Nov 1914. Fatwa kewajipan jihad ini telah membangkitkan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Tanah Melayu. Singapura yang merupakan pusat pentadbiran dan military base bagi British menempatkan juga askar-sakar India muslim dan melayu dalam pasukan British. Mereka akan dihantar ke tanah Arab untuk membantu 'revolusi Arab' menentang Turki Uthmani (Revolusi Arab ini dicetuskan oleh agen British T.E Lawrence atau terkenal dengan gelaran 'Lawrence of Arabia untuk mengusir Turki dari 'levant' termasuk Palestin). Askar melayu pula akan dihantar ke Afrika Timur untuk menggugat wilayah Islam seperti Somalia, Ethiopia, Eritrea, Sudan.

Seorang ulama tempatan bernama Ust Nurul Alam Syah dari Kampung Jawa, Singapura dan seorang saudagar Gujerat bernama Kassim ali telah meniup semangat jihad di kalangan tentera Islam supaya tidak patuh kepada arahan British dan sebaliknya memerangi mereka yang memusuhi Islam. Pada 15 February 1915 seramai 815 askar India Muslim dan 100 askar melayu telah menyerang kedudukan pasukan British, menyebabkan 33 orang askar British terkorban. British telah memohon bantuan dari TSN (Timbalan Setia Negeri) untuk mematahkan pemberontakan ini. Ini adalah satu episod malang di mana Tentera Setia Negeri telah digunakan untuk mengkhianati perjuangan umat Islam.

Peristiwa yang disebut sebagai 'Dahagi' (mutiny - atau pemberontakan) ini telah menyebabkan ramai askar-askar muslim dijatuhkan hukuman bunuh dengan 'firing squad'. Ust Nurul Alam dan Kassim Ali di hukum gantung.

Demikian secebis dari perjuangan umat ini yang tidak pernah diungkap dalam buku-buku sejarah rasmi negara kita. Atas kesedaran bahawa ada usaha untuk menafikan umat ini dari sejarah sebenarnya, saya akan berusaha untuk mengenengahkannya kembali melalui ucapan, ceramah dan penulisan buku insyaAllah.

Berikut saya akan kupas apakah kesan kebangkitan di Singapura ini kepada perjuangan ulama pejuang Tuk Janggut di Kelantan insyAllah.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Tuesday, June 17, 2008

Adam dan Hawa


Segala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja yang diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu tempat yang amat indah dan permai, menjadi idaman setiap insan. Demikianlah menurut riwayat, tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk lainnya, maka dicipta-Nya pula Adam ‘alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang dimuliakan itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).
Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara, tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, maka tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi, bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan.
Adam a.s terpikat melihatnya, rindu berkeadaan demikian. Tetapi sungguh malang, siapalah gerangan kawan yang hendak diajak. Ia merasa kesepian, lama sudah. Ia tinggal di syurga bagai orang kebingungan, tiada pasangan yang akan dibujuk bermesra sebagaimana burung-burung yang dilihatnya.
Tiada pekerjaan sehari-hari kecuali bermalas-malas begitu saja, bersantai berangin-angin di dalam taman syurga yang indah permai, yang ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum semerbak yang wangi, yang di bawahnya mengalir anak-anak sungai bercabang-cabang, yang desiran airnya bagai mengandung pembangkit rindu.
ADAM KESEPIAN
Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian seorang diri?
Itulah satu-satunya kekurangan yang dirasakan Adam a.s di dalam syurga. Ia perlu kepada sesuatu, iaitu kepada kawan sejenis yang akan mendampinginya di dalam kesenangan yang tak terhingga itu. Kadangkala kalau rindu dendamnya datang, turunlah ia ke bawah pohon-pohon rendang mencari hiburan, mendengarkan burung-burung bernyanyi bersahut-sahutan, tetapi aduh hai kasihan…bukannya hati menjadi tenteram, malah menjadi lebih tertikam. Kalau angin bertiup sepoi-sepoi basah di mana daun-daunan bergerak lemah gemalai dan mendesirkan suara sayup-sayup, maka terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu mendalam; dirasakannya sebagai derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Tetapi walaupun demikian, agaknya Adam a.s malu mengadukan halnya kepada Allah SWT. Namun, walaupun Adam a.s malu untuk mengadu, Allah Ta’ala sendiri Maha Tahu serta Maha Melihat apa yang tersembunyi di kalbu hamba-Nya. Oleh itu Allah Ta’ala ingin mengusir rasa kesepian Adam.
HAWA DICIPTAKAN
Tatkala Adam a.s sudah berada di puncak kerinduan dan keinginan untuk mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk terpekur di atas tempat duduk yang berlapiskan tilam permaidani serba mewah, maka tiba-tiba ngantukpun datanglah menawannya serta langsung membawanya hanyut ke alam tidur.
Adam a.s tertidur nyenyak, tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s  tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril a.s.
Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.
PERTEMUAN ADAM & HAWA
Hawa duduk bersandar pada bantal lembut di atas tempat duduk megah yang bertatahkan emas dan permata-permata bermutu manikam, sambil terpesona memperhatikan kecerahan wajah dari seorang lelaki kacak yang sedang terbaring, tak jauh di depannya.
Butir-butir fikiran yang menggelombang di dalam sanubari Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga elektrik yang datang mengetuk kalbu Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai mimpi yang berkesan di dalam gambaran jiwanya seketika itu.
Adam terjaga….! Alangkah terkejutnya ia ketika dilihatnya ada makhluk manusia seperti dirinya hanya beberapa langkah di hadapannya. Ia seolah tak percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring mengusap matanya beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya.
Hawa yang diciptakan lengkap dengan perasaan malu, segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan bukit-bukit di dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja, diiringi pandangan melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi hati yang melihatnya.
Memang dijadikan Hawa dengan bentuk dan paras rupa yang sempurna. Ia dihiasi dengan kecantikan, kemanisan, keindahan, kejelitaan, kehalusan, kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan segala sifat-sifat keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang mempesona serta memikat hati setiap yang memandangnya.
Ia adalah wanita tercantik yang menghiasai syurga, yang kecantikannya itu akan diwariskan turun temurun di hari kemudian, dan daripadanyalah maka ada kecantikan yang diwariskan kepada wanita-wanita yang datang dibelakangnya.
Adam a.s pun tak kurang gagah dan kacaknya. Tidak dijumpai cacat pada dirinya kerana ia adalah satu-satunya makhluk insan yang dicipta oleh Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan.
Semua kecantikan yang diperuntukkan bagi lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah yang diwariskan turun temurun kepada orang-orang di belakangnya sebagai anugerah Allah SWT  kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan diriwayatkan bahawa kelak semua penduduk syurga akan dibangkitkan dengan pantulan dari cahaya rupa Adam a.s.
Adam a.s bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Ia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Ia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Ia yakin ia tidak salah pandang. Ia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Ia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Ia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Zat Maha Pencipta.
Ia tertawa kepada gadis jelita itu, yang menyambutnya tersipu-sipu seraya menundukkan kepalanya dengan pandangan tak langsung, pandangan yang menyingkap apa yang terselit di kalbunya.
ADAM TERPIKAT
Adam terpikat pada rupa Hawa yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala puteri-puteri yang bermastautin di atas langit atau bidadari-bidadari di dalam syurga.
Tuhan menanam asmara murni dan hasrat berahi di hati Adam a.s serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam a.s ditakdirkan jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik dari segala yang cantik, yang paling jelita dari segala yang jelita, dan yang paling harum dari segala yang harum.
Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: “Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini?” Suaranya sopan, lembut, dan penuh kasih sayang.  “Aku Hawa,” sambutnya ramah. “Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika. “Aku….aku….aku, dijadikan untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan.
Tiada suara yang seindah dan semerdu itu walaupun berbagai suara merdu dan indah terdengar setiap saat di dalam syurga. Tetapi suara Hawa….tidak pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar dari bibir mungil si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan tubuhnya menimbulkan semangat.
Kata-kata yang paling segar didengar Adam a.s  ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus: “Aku….aku….aku, dijadikan untukmu!” Kata-kata itu nikmat, menambah kemesraan Adam kepada Hawa.
Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Hawa bererti cinta kepada Pencipta. Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput Hawa dengan berkata: “Kekasihku, ke marilah engkau!” Suaranya halus, penuh kemesraan.
“Aku malu!” balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya, kepalanya, memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh ketakjuban.
“Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini!” Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi harapan.
Adam tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka sejak itulah teradat sudah bahawa wanita itu didatangi, bukan mendatangi.
Hawa bangkit dari tempat duduknya, menggeser surut beberapa langkah. Ia sedar bahawa walaupun dirinya diperuntukkan bagi Adam a.s, namunlah haruslah mempunyai syarat-syarat tertentu. Di dalam sanubarinya, ia tak dapat menyangkal bahawa iapun terpesona dan tertarik kepada rupa Adam a.s yang sungguh indah.
Adam a.s tidak putus asa. Ia tahu itu bukan dosa. Ia tahu membaca isi hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak, tetapi menghindarnya itu memanglah suatu perbuatan wajar dari sikap malu seorang gadis yang berbudi. Ia tahu bahawa di balik “malu” terselit “rasa mahu”. Kerananya ia yakin pada dirinya bahawa Hawa diperuntukkan baginya. Naluri insaninya bergelora.
Tatkala sudah dekat ia pada Hawa serta hendak mengulurkan tangan sucinya kepadanya, maka tiba-tiba terdengarlah panggilan ghaib berseru:
“Hai Adam….tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”.
Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram. Kedua-dua manusia syurga itu sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.
PERKAHWINAN ADAM & HAWA
Allah SWT.  Yang Maha Pengasih untuk menyempurnakan nikmatnya lahir dan batin kepada kedua hamba-Nya yang saling memerlukan itu, segera memerintahkan gadis-gadis bidadari penghuni syurga untuk menghiasi dan menghibur mempelai perempuan itu serta membawakan kepadanya hantaran-hantaran berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu diperintahkan pula kepada malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah pohon “Syajarah Thuba”, menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.
Diriwayatkan bahawa pada akad pernikahan itu Allah SWT. berfirman: “Segala puji adalah kepunyaan-Ku, segala kebesaran adalah pakaian-Ku, segala kemegahan adalah hiasan-Ku dan segala makhluk adalah hamba-Ku dan di bawah kekuasaan-Ku. Menjadi saksilah kamu hai para malaikat dan para penghuni langit dan syurga bahawa Aku menikahkan Hawa dengan Adam, kedua ciptaan-Ku dengan mahar, dan hendaklah keduanya bertahlil dan bertahmid kepada-Ku!”.
MALAIKAT & BIDADARI MENJADI SAKSI
Setelah akad nikah selesai berdatanganlah para malaikat dan para bidadari menyebarkan mutiara-mutiara yaqut dan intan-intan permata kemilau kepada kedua pengantin agung tersebut. Selesai upacara akad, dihantarlah Adam a.s mendapatkan isterinya di istana megah yang akan mereka diami.
Hawa menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula. “Mana mahar?” tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu. Adam a.s bingung seketika. Lalu sedar bahawa untuk menerima haruslah sedia memberi. Ia insaf bahawa yang demikian itu haruslah menjadi kaedah pertama dalam pergaulan hidup.
Sekarang ia sudah mempunyai kawan. Antara sesama kawan harus ada saling memberi dan saling menerima. Pemberian pertama pada pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar. Oleh kerananya Adam a.s menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima mahar adalah benar.
MAHAR PERKAHWINAN ADAM
Pergaulan hidup adalah persahabatan! Dan pergaulan antara lelaki dengan wanita akan berubah menjadi perkahwinan apabila disertai dengan mahar. Dan kini apakah bentuk mahar yang harus diberikan? Itulah yang sedang difikirkan Adam.
Untuk keluar dari keraguan, Adam a.s berseru: “Ilahi, Rabbi! Apakah gerangan yang akan kuberikan kepadanya? Emaskah, intankah, perak atau permata?”.
“Bukan!” kata Tuhan.
“Apakah hamba akan berpuasa atau solat atau bertasbih untuk-Mu sebagai maharnya?” tanya Adam a.s dengan penuh pengharapan.
“Bukan!” tegas suara Ghaib.
Adam diam, mententeramkan jiwanya. Kemudian bermohon dengan tekun: “Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu jalan keluar!”.
Allah SWT. berfirman: “Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang membawa pernyataan dari sifat-sifat-Ku: Muhammad, cincin permata dari para anbiya’ dan penutup serta penghulu segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!”. Adam a.s merasa lega. Ia mengucapkan sepuluh kali salawat ke atas Nabi Muhammad SAW. sebagai mahar kepada isterinya. Suatu mahar yang bernilai spiritual, kerana Nabi Muhammad SAW  adalah rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam).
Hawa mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar.
“Hai Adam, kini Aku halalkan Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
Adam a.s bersyukur lalu memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa menyambutnya dengan segala keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.
Allah SWT. berfirman kepada mereka: “Hai Adam, diamlah engkau bersama isterimu di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang kamu berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana (apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim”. (Al-A’raaf: 19).
Dengan pernikahan ini Adam a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam syurga. Inilah percintaan dan pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat manusia, dan berlangsung di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu sebuah pernikahan agung yang dihadiri oleh para bidadari, jin dan disaksikan oleh para malaikat.
Peristiwa pernikahan Adam dan Hawa terjadi pada hari Jumaat. Entah berapa lama keduanya berdiam di syurga, hanya Allah SWT yang tahu. Lalu keduanya diperintahkan turun ke bumi. Turun ke bumi untuk menyebar luaskan keturunan yang akan mengabdi kepada Allah SWT  dengan janji bahawa syurga itu tetap tersedia di hari kemudian bagi hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.
Firman Allah SWT.: “Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Al-Baqarah: 38)
Allahu’alam