Sabtu, 4 Ogos 2012

Imam Abu Hanifah

AL IMAM ABU HANIFAH DAN ATHEIS

Soalan Pertama

“Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :

“Allah taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak”

Soalan Kedua

“ Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”

Al-Imam Abu Hanifah seraya menjawab :

“ Allah taala itu wujud sebelum adanya zaman, Sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya , mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya”

Soalan Ketiga

“ Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?"

Al-Imam Abu Hanifah menjawab :

“ Kamu pandai mengira?”

Kelompok Atheis itu menjawab :

“ Tentu sekali kami pandai mengira”

Al-Imam Abu Hanifah meneruskan ucapannya:

“Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor 4?”

Mereka menjawab : “ Nombor 3”

Al-Imam Hanifah : “ Nombor sebelum 3?”

Mereka menjawab : “Nombor 2”

Al-Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 2?”

Mereka menjawab : “Nombor 1”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Nombor sebelum 1?”

Mereka menjawab : “Tiada”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu memberikan penerangan :

“Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sendiri sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada Nombor itu sendiri?”

Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada al-Imam Hanifah. Ternyata mereka silap perkiraan bilamana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.

Persoalan diteruskan.

Soalan Keempat

“Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”

Mereka menjawab : “ Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah”

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “ Jika cahaya yang diciptakannya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik cahaya langit dan bumi ini sendiri?”

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada al-Imam Abu Hanifah bersorak kegembiraan . Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.

Soalan Kelima

“Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?"

Al-Imam sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh Sang Anak Muda.

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”

Mereka menjawab : “ Tentu sekali”

Al-Imam meneruskan : “ Bilamana orang sakit tadi mati. Bolehkah kamu bercakap dengannya?”

Mereka menjawab : “ Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”

Al-Imam meneruskan : “ Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya , namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”

Mereka tertawa lalu memberikan jawapan: “ Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana ruhnya telah terpisah daripada jasadnya.”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa ruhnya telah terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk ruh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk kesemua Atheis tersebut bilamana mendengar persoalan al-Imam Abu Hanifah tersebut. Ternyata olokan mereka sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.

Mereka menjawab dengan keadaan penuh malu : “ Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya”

Al-Imam Abu Hanifah lalu meneruskan bicaranya: “ Jika makhluknya seperti ruh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku. Bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Ruh serta sekalian alam ini?”

Soalan Keenam

“ Dimanakah Tuhan kamu duduk sekarang?”

Al-Imam Abu Hanifah kembali bertanyakan soalan kepada mereka : “ Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?"

Mereka menjawab : “ Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”

Al-Imam Abu Hanifah seraya berkata : “ Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya , masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini”

Soalan Ketujuh

“ Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya ( iaitu selepas dihisab oleh Allah taala di padang Mahsyar) namun bilamana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya ( maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)??”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lagi lalu menjawab : “ Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor . Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”

Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.

Al-Imam tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan. Kemudian Beliau menyambung bicaranya : “ Nah , kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu”

Soalan Kelapan

“ Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal”

Al-Imam Abu Hanifah tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab : “ Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini. Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh al-Imam Abu Hanifah dengan penuh berhikmah.

Baghdad kembali berseri selepas peristiwa tersebut. Anak muda itu semakin dikenali malah terus menerus namanya disebut orang sehinggalah ke hari ini. Walau sudah hampir ribuan tahun beliau meninggalkan kita. Namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang amsih hidup atau yang telah wafat. Al-Fatihah.
*******

Ada juga kisah yang saya dengar bahawa soalan terakhir yang ditanyakan oleh kelompok tersebut kepada Sang Imam bilamana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan : “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”

Maka al-Imam menjawab dengan tenang.

“ Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah.Jawapan hanya boleh diberikan bilamana aku berada di atas mengambil alih tempatmu”

Athies itu lalu bersetuju dengan cadangan al-Imam tersebut. Lalu mereka bertukar tempat. Al-Imam naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.

Bilamana al-Imam sudah berada di atas . Terus beliau menjawab : “ Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan al-Imam ke atas ) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan Atheis tersebut ke bawah)

Jumaat, 3 Ogos 2012

puasa dulu2

Ramadan zaman dulu-dulu tak sama dengan Ramadan hari ini. Dahulu, apabila masuk bulan puasa, agak kurang meriahnya berbanding hari ini. Iyalah, zaman dahulu mana ada bazaar Ramadan, mana ada jualan mega raya dan mana ada iklan di tv dan radio serta akhbar yang gila-gila seperti hari ini. Zaman dulu, orang sambut kedatangan Ramadan dengan satu ingatan sahaja, nak berpuasa di siangnya dan bertarawih pada malamnya.

Kadang kala, rasanya sambutan Ramadan hari ini dari satu segi jauh lebih baik berbanding zaman dulu. Dulu, masuk sahaja bulan puasa, saya tak rasa sangat aura Ramadan. Tiada banner ucapan digantung bagi mengucapkan ihya Ramadan dan sebagainya. Majlis iftar di masjid pun kurang. Iktikaf 10 malam terakhir pun tak pernah dibuat orang. Pendeknya, ia berbeza dengan sekarang.
Sekarang ini di Bandar besar, misalnya Kuala Lumpur dan Shah Alam, setiap malam di bulan Ramadan, kebanyakan masjid dan suraunya melimpah ruah. Imam dijemput khas, sama ada imam hafiz tempatan mahu pun luar Negara. Ada masjid yang solat tarawihnya sampai dua jam.

Dahulu, solat tarawihnya selalunya laju. Imam akan buat 20 rakaat; tetapi lajunya minta ampun. Sekarang, selalunya orang suka buat lapan rakaat; tetapi siap ditambahkan dengan tazkirah. Pendeknya, pengisiannya lebih bermanfaat.

Dahulu, moreh menjadi kemestian. Ada orang (selalunya tukang masak masjid) tak solat tarawih, sebab nak siapkan moreh. Tapi sekarang, orang lebih berebut nak taja majlis iftar, sampai sesetengah masjid penuh jadual sebulan ditempah orang.

Dahulu, qiyamullail di bulan Ramadan agak jarang dibuat orang. Jika ada pun, lebih bersifat individu. Sekarang, qiyamullail dah jadi macam tradisi, khususnya pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Bahkan, ada orang ambil cuti 10 hari terakhir itu untuk memudahkannya beriktikaf di masjid. Bahkan, ada orang kaya yang ambil trip ke Mekah menunaikan umrah di hujung Ramadan.

Dahulu, bila musim Ramadan, amalan sedekah hanya berlegar di sekitar rumah dan jiran terdekat. Kini, amalan sedekah di bulan Ramadan dah jadi hebat, sampai ke luar Negara, Kemboja, Palestin dan sebagainya. Hebat sungguh sedekah zaman sekarang.

Dulu, orang sambut Ramadan dengan penuh kesederhanaan, makannya ala kadar, rasanya kurang pembaziran. Sekarang, orang jadikan Ramadan peluang mengaut keuntungan, makanan tidak sedap pun tidak mengapa, asalkan habis dibeli orang. Akhirnya, Ramadan jadi pesta makanan dan banyak terjadi pembaziran.

Inilah sedikit sebanyak perbezaan Ramadan antara dahulu dan sekarang…

http://www.hamizul.com/

Khamis, 2 Ogos 2012

salam Lebaran 1433H


Salam Lebaran                         
Daripada :
Mohamad Shehdi bin Ragiun
Norhana bte Yahya
Muhammad Shakir Zufayri bin Mohamad Shehdi
 Nur Izzah Athirah binti Mohamad Shehdi
Nur Izzah Umairah binti Mohamad Shehdi
 













Telah datang pada kalian bulan dengan Allah membawa berkat, rahmat dan maghfirah.
Bulan yang paling mulia di sisi Allah.
Hari-harinya adalah hari-hari paling utama.
Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama.
Jam demi jam, detik demi detik nya adalah saat dan ketika paling utama.
Inilah bulan kamu diundang menjadi tetamu Allah dan kamu dimuliakan-Nya.

Di bulan ini segala nafas-nafasmu menjadi tasbih,
tidurmu adalah ibadah,
amal-amalmu diterima,
dan doa-doamu diijabah
.

Wahai manusia aka anak Adam!
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu,
maka
mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupkannya bagimu.
Pintu-pintu neraka tertutup,
maka
mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu.
Syaitan-syaitan terbelenggu,
maka
mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu.
Agar dapat berjumpa lagi dengan mu Ramadhan
Pada tahun yang hadapan... Amin. Insya Allah

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas

sah puasa


Assalamualaikum

Ustaz, adakah sah puasa seseorang sekiranya dia masih belum mandi wajib sehingga terbenam matahari??

Assalamualaikum,Ustaz.

Jika bersetubuh pada malamnya dan mandi wajib di pagi hari (kerana tertidur), adakah sah puasanya?

JAWAPAN

Puasa bagi orang yang terlibat dalam kedua-dua soalan di atas adalah sah sekiranya ia telah berniat untuk puasa di malam hari sebelum azan Subuh.

Kesohihan puasa orang yang belum mandi wajib ini adalah berdasarkan kepada apa yang pernah berlaku kepada Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan iaitu :-

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ كان يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ وهو جُنُبٌ من أَهْلِهِثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

Ertinya : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w  dalam keadaan berjunub hasil bersama dengan isterinya semasa sampai waktu fajar (Subuh), kemudian baginda s.a.w mandi dan berpuasa pada hari tersebut " (Riwayat Al-Bukhari, Bab As-Soim Yusbihu Junban, 2/679 ; Muslim, 2/779)

Disebutkan juga bahawa isteri Nabi s.a.w iaitu Ummu Salamah r.a pernah ditanya adakah sah puasa orang yang tatkala masuk waktu subuh berpuasa sedangkan ia belum mandi hadas.

Ummu Salamah menjawab:-

كان رسول اللَّهِ يُصْبِحُ جُنُبًا من جِمَاعٍ لَا من حُلُمٍ ثُمَّ لَايُفْطِرُ ولا يَقْضِي

Ertinya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sendiri pernah masuk Subuh dalam keadaan ia berjunub hasil 'bersama dengan isterinya' dan bukan dari mimpi, kemudian baginda tidak berbuka dan tidak pula mengganti puasanya (menunjukkan puasanya sah)" (Riwayat Muslim, 2/780 ; sohih)

Dalil di atas amat jelas menunjukkan puasa adalah sah. (al-Majmu', An-Nawawi, 6/309)  Demikian jugalah dengan keadaan wanita yang kering haidnya sebelum Subuh dan belum mandi wajib. Puasa adalah sah jika ia telah berniat. Kesemua ini adalah pendapat yan paling tepat dan merupakan pegangan majoriti ulama Fiqh silam dan terkini . Ini adalah kerana tidak termasuk dalam syarat sah puasa adalah anda berada dalam keadaan suci dari hadas besar. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd Al-Hafid, 1/215)

Tetapi ingat, jangan hanya sibuk bertanya hukum puasa sahaja, jangan lupa wajib mandi sebelum tamat waktu Subuh kerana anda perlu solat Fardhu Subuh.

Sekian

http://www.zaharuddin.net/

Selasa, 31 Julai 2012

ibadah di bulan puasa


Sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia tahun 1433 Hijrah ini, Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam yang diberi anugerah rezeki oleh Allah s.w.t bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.

Dengan itu, kami menyeru seluruh umat Islam agar menyambut bulan Ramadan yang mulia ini dengan kesedaran bahawa ia adalah suatu bulan mujahadah bagi mencapai taqwa melalui latihan kerohanian dan ketahaan terhadap dugaan syahwat yang pelbagai serta peningkatan ilmu terhadap inti Al-Quran serta menambahkan bacaannya. Allah s.w.t menyebut :

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Ertinya: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai pentunjuk bagi manusia dan bukti keterengan dari pentunjuk dan pembeza (di antara yang benar dan salah). (Al-Baqarah: 185)
Sempena bulan Ramadan, bulan tarbiah dan perjuangan ini kami ingin menegaskan hal berikut :-
1. Menyeru para ilmuan Islam dan masyarakat awam agar kembali memikir dan berusaha memberikan  fokus serta penelitian terhadap amalan dan isu-isu yang paling utama di bulan Ramadan seperti :-
a) Meraih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Hal ini ternyata dengansangat jelas melalui arahan Allah dan RasulNya. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang seseorang dari mencapai target ini perlu diberikan perhatian yang lebih utama.
b) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Allah menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebatkan.
c) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallhu ‘alaihi wasallam berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
d) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
2. Mengajak seluruh umat Islam agar mempergandakan amalan kebaikan, ketaatan, menghulurkan membantu kebendaan dan doa kepada faqir miskin dan semua yang memerlukan di Malaysia atau di luar Negara khususnya di Negara yang sedang bergolak seperti di Syria dan Rohingya, Burma. Mereka sedang menderita di tangan orang-orang zalim dan pihak pelampau sehingga menghadapi penderitaan dan kesukaran mempertahankan nyawa dan maruah selain penderitaan mendapatkan sesuap makanan, turut terganggu peluang untuk menyempurnakan ibadah di bulan Ramadan ini. Tidak ketinggalan juga menyeru agar kita mempergandakan doa bagi pembebasan bumi Palestin dan Al-Quds Al-Syarif yang diberkati.
3. Kami juga mengajak semua pemerintah dan ketua di peringkat masing-masing untuk melakukan penelitian terhadap amanah masing-masing dan keadaan semua yang di bawah tanggungjawab mereka, mengenalpasti punca kelemahan dan masalah serta penyelesaian dengan ilmu dan keinsafan. Justeru, tingkatkanlah amalan syura melalui konsultansi dan perbincangan dengan mereka yang bawah agar keadilan dapat ditegakkan dan mkanura dengan melakukan konsultansi dengan merekayang diap makananengembalikan keharmonian.
4. Mendesak dan menyeru pihak berwajib di Malaysia agar menyatakan teguran kepada pihak kerajaan Burma atas kezaliman terhadap masyarakat Muslim di Burma dapat ditamatkan dengan segera. Tindakan seperti ancaman menyekat hubungan diplomasi di antara Negara juga wajar dilakukan jika hal tersebut dibiarkan berterusan.
5. Menyeru diri kami sendiri, para ulama, golongan ilmuan agama dan masyarakat awam agar menghormati perbezaaan pandangan dan ijtihad dengan menjauhi perdebatan secara melampau dan cercaan dalam membincangkan hal-hal seperti perkara-perkara yang membatalkan puasa, jumlah rakaat solat terawih dan lain-lain hal yang diperbezakan halnya di kalangan ulama sejak dahulu. Ini adalah kerana dibimbangi, perdebatan dan kekasaran kata-kata mampu mencarikkan tuntutan penjagaaan ukhuwwah, lidah, mulut dan mengundang kemarahan di bulan yang mulia ini.
6. Menyeru kepada seluruh masyarakat agar mempertingkatkan kualiti diri di bulan Ramadan dan bukan dijadikan alasan tidak produktif. Ramadan bukan sama sekali suatu bulan yang patut dijadikan alasan penghalang produktiviti kerja. Begitu juga amat perlu menjauhi pembaziran dan pemborosan dalam makanan dan penggunaan masa.
7. Menyeru masyarakat awam mengambil peluang gandaan pahala di bulan ini dengan memperbanyakkan amalan ibadah khusus serta peluang nasihat menasihati dengan cara yang terbaik dan disenangi melalui akhlak mulia. Menjauhi sangkaan buruk dan mendahulukan sangkaan baik terhadap sesama Muslim.
8. Bagi memastikan kita mampu mencapai keampunan Allah dan rahmat apabila tamat Ramadan nanti, kami menyeru diri kami dan semua umat Islam agar menginsafi apa jua hak orang lain yang dirampas, tubuh yang dipukul, harta yang diambil tanpa izin, hutang yang sengaja dilewat dan tidak dibayar, maruah yang dicorek melalui perkataan dan fitnah, sihir yang dikenakan ke atas orang lain serta apa jua kezaliman yang dilakukan agar segera ditamatkan atau dipulang semula harta yang diambil.
9. Kami turut menyeru umat islam agar menjauhi hutang tanpa keperluan di bulan mulia ini semata-mata untuk menunjuk-nunjuk atau bermewah dengan harta yang dipunyai. Membebankan diri dengan hutang tanpa keperluan mendesak boleh membawa kemudaratan di kemudian hari.
Sekian