Ahad, 19 Ogos 2012

Banner raya

































kad raya





























Fail Baru


Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik… didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya. “Apabila saya meletakkan kata-kata ini dalam FB saya, ada yang bertanya samada secara terus atau melalui sms, bagaimana jika kita sudah dianiaya oleh orang yang sama berulangkali. Patutkah kita terus bersangka baik kepadanya?

Soalan yang sukar dijawab jika diserahkan kepada akal dan rasa hati untuk menilainya. Maklum sahaja, akal dan rasa hati kita masih tidak kebal daripada bujukan nafsu dan tipu daya syaitan. Kita manusia biasa, banyak kelemahan dan kekurangan. Namun, kekurangan dan kelemahan itu pun hakikatnya suatu kelebihan dan kekuatan jika kita mahu belajar dan mengambil iktibar daripadanya.

Tidak ada jalan keluar, melainkan kita pasrah berdoa dengan memohon taufik dan hidayah Allah selalu. Agar Allah pandu dan pacu hati kita ke arah kebenaran. Dan jika tersalah juga, mudah-mudahan Allah buka pintu hati kita untuk bertaubat. Kita mesti bergaul dengan manusia yang berbagai ragamnya ini. Kita mesti sabar dengan karenah mereka sepertimana mereka pun bersabar dengan karenah kita.

Jalan-jalan menuju keredhaan Tuhan meliuk lentuk di celah-celah simpang siur karenah insan. Maafkan mereka, jika ingin keampunan Allah. Bantulah mereka, jika ingin bantuan Allah. Hubungan antara sesama manusia itulah medan bagi Allah mendidik sifat sabar, pemaaf, pemurah, redha, sangka baik dalam diri hamba-hambaNya yang soleh. Untuk akrab denganNya, Tuhan menguji kita melalui hamba-hambaNya.

Pegang prinsip ini  selalu…  jangan cuma melihat ‘gerakan’ tetapi lihatlah pada ‘Penggeraknya’. InsyaAllah, jika itu yang tersemat di hati, akan redalah sedikit kemarahan, akan teduh sementara  jiwa yang bergoncang. Jika kita sudah sayang kepada Pencipta, tentu kita akan sayang segala ciptaanNya. Majnun akan terasa indah, sekalipun hanya dengan melihat bumbung rumah Laila. Dia tahu, Laila kekasihnya sedang berada di bawah bumbung itu…
Salam buat semua yang berada di akhir Ramadan ini. 

Semoga kita terus bersama Roh Ramadan yang sentiasa  menyala di hati kita buat menyuluh seluruh dan sepenuh kehidupan dunia yang penuh ujian ini. Dalam kegelapan fitnah akhir zaman kita mengharapkan akan sentiasa ada ‘Lailatul Qadar’ yang membawa sinar iman dan taqwa di hati kita. Biarlah zaman gelap, jangan digelapkan lagi oleh dosa-dosa kita. Biarlah malam-malam kita… sentiasa ditemani oleh iman kepada ‘Pencipta Lailatul Qadar’ itu. Jika demikian, ya Allah… setiap malam adalah Malam Al Qadar!

Untuk mereka yang bertanya, ku gagahi jua menulis, cuma sekadarnya...

CUKUP HANYA SEKALI!  
  
“Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik… didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya!”  Maksudnya, kita akan menilai seseorang dengan fikiran, hati dan perasaan kita. InsyaAllah, jika kita dapat melihat sisi baik pada diri seseorang itu petanda fikiran, hati dan perasaan kita juga baik. Syukurlah. Namun, jika sebaliknya, berhati-hatilah… itu petunjuk akan kejahatan diri kita bukan orang yang kita lihat.

Begitulah dalam hidup ini, kita mesti memulakan kebaikan daripada diri kita sendiri. Caranya? Bermula dengan sangka baik. Lihat yang baik-baik. InsyaAllah, lama-kelamaan kita akan jadi baik dan mendapat kebaikan. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi Isa AS melalui seekor bangkai kambing bersama-sama para pengikutnya. Ketika para pengikutnya, memalingkan muka dan menutup hidup kerana jijik dan terhidu bau busuk, Nabi Isa sebaliknya berkata, “aku lihat bangkai kambing ini mempunyai gigi yang putih.”

Mengapa penting kita bersangka baik dalam hidup? Ini kerana itu akan menentukan bagaimana kita melihat atau menilai sesuatu perkara, seseorang atau kejadian.  Dan bagaimana kita melihat akan sesuatu atau seseorang, akan menentukan apa yang akan kita dapat daripadanya. Ungkapan terkenal dalam bahasa Inggeris, “ what you see, is what you get – apa yang kita lihat, itu yang akan kita dapat.”

Jika kita ingin kebaikan dalam interaksi dan komunikasi daripada seseorang, bermulalah dengan bersangka baik kepadanya. Mana mungkin kita akan mendapat apa yang baik-baik daripada jika kita mula dan terus bersangka buruk kepadanya. Jangan ‘menghukum’nya awal-awal lagi. Itulah préjudis. Satu sikap yang negatif yang merosakkan perhubungan yang baru bermula atau yang telah lama terjalin. Tidak sewajarnya kita merasa tidak suka akan seseorang tanpa asas yang kukuh dan jelas.

Orang yang sibuk ‘menghukum’ tidak akan sempat memberi kasih sayang. Begitulah yang pernah diungkapkan oleh orang yang bijak pandai. Kekadang, belum pun mula berkenalan, apalagi bercakap-cakap… baru melihat wajahnya sahaja, terus hati terdetik akan keburukan dan kelemahannya. Acapkali kita menghukum orang lain dengan ‘fail’ lama, sedangkan mungkin dia telah berubah. Mahukah kita kalau dihukum dengan kesalahan yang kita telah kita perbaiki berkali-kali?

Ya Allah, jahatnya hati kita. Siapa kita? Hamba, tuan atau Tuhan? Dengan ilmu dan maklumat yang sangat terbatas kita berani melampaui batas seorang hamba Allah, yang kaya dengan kelemahan dan kejahilan. Tuhan yang Maha Sempurna itupun pun tidak kejam. Allah Maha Adil, Maha Sayang… sentiasa membuka ruang untuk hambaNya memperbaiki diri dan membuka ‘fail’ baru. Bukankah selepas Ramadan yang Mubarak, Haji yang Mabrur… seseorang dijanjikan bersih dari segala dosanya yang lampau lalu menjadikannya seperti seorang  bayi yang baru dilahirkan?

Justeru, Allah SWT dengan tegas melarang kita bersangka buruk sesama manusia.  Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Ada orang yang sering mengeluh, malah mengutuk nasib dirinya yang malang, “mengapa yang buruk-buruk, sedih, gagal dan malang sering menimpa hidupku?” Lalu sibuklah dia menyalahkan sipolan dan sipolan, itu dan ini… semuanya tidak kena. Padahal, yang tidak kena itu acap kali dirinya sendiri. Dia yang memandang gelap, buruk dan busuk dalam hidup… lalu dia terpaksa menuai apa yang disemai!

Saya teringat satu cerita lucu bagaimana seorang perompak yang telah merompak  sebuah rumah. Kejadian itu disedari oleh tuan punya rumah yang tidur di tingkat atas. Walaupun begitu dia tidak berani melawan kerana perompak itu bersenjata. Cuma sebelum perompak itu keluar dengan barang-barang rompakannya, tuan rumah berkata, “ sebelum kamu pergi jenguklah isteri saya yang berada di tingkat  atas… dia telah menunggu kamu selama 15 Tahun.”

Apa maksudnya lelaki itu? Maksud lelaki itu, selama 15 tahun isterinya dalam keadaan bimbang, takut dan sentiasa bersangka buruk yang rumah mereka akan dirompak. Dan kali ini apa yang disangkanya itu telah benar-benar telah terjadi. Ya, walaupun itu sekadar sebuah cerita… tetapi realitinya memang berlaku dalam hidup ini.

Allah mengingatkan kita melalui sebuah hadis Qudsi: “Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk).”

Namun, perlu diingat bahawa sangka baik perlu diimbangi oleh sikap berhati-hati. Sepertimana perlunya bersangka baik, begitulah juga kita perlu berhati-hati. Jangan lurus bendul. Kita mesti bijak agar sifat sangka baik itu tidak dieksploitasi dan dimanupulasi oleh musuh atau orang yang berkepentingan. Apa itu sikap berhati-hati? Itulah usaha kita mencari fakta, dalil, ilmu dan bukti yang berkaitan dengan seseorang, sesuatu perkara atau peristiwa.

Sikap berhati-hati juga dibina oleh pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung maka terbinalah sikap matang dalam bersangka baik. Kita bersangka baik, tetapi tidak mudah untuk ditipu dan dikhianati. Sikap berhati-hati dan belajar daripada pengalaman ini sangat penting agar sikap bersangka baik kita tidak diputar-belitkan, dikhianati dan diperalatkan oleh orang yang berniat jahat.

Jika kita berdepan dengan seseorang yang sudah punya rekod buruk, reputasi negatif serta kita pernah mengalami pengalaman-pengalaman yang pahit akibat angkaranya, jangan bersangka buruk… tetapi berhati-hati. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Berilah peluang untuk dia dipercayai, dan pada kita sendiri untuk mempercayainya… namun jangan jatuh dalam ‘lubang’ yang  sama dua kali atau berkali-kali. Ingatlah pesan Nabi: Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali!”

Sunnah Raya

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman,16 Ogs 2012

Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan.

Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW menyambut Hari Raya, antaranya ialah;

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama‟ telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ia juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4. Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas‟ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik.

Kata ulama, “Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.” Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik

6. Berpakaian baru/cantik di hari raya
Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.

7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.
iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

8. Solat Hari Raya. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.

Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat kedua ada lima kali takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi SAW.

b-Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A‟la dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasyiah berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi SAW.

c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas katanya:
“Aku menyaksikan Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”

d- Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: “Telah sepakat para fuqaha‟ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”

9. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]

Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawaduk dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”

Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

10. Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

11. Zakat Fitrah. Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam al-Bukhari meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

Kesalahan yang dilakukan pada hari raya
Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita telah mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakn lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.

Semoga ‘Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan.

http://www.abuanasmadani.com

hudud

1) Hukum jenayah Hudud dibezakan daripada hukum jenayah yang lain kerana sebutannya secara jelas di dalam al-Quran. Ia tiada campur tangan akal manusia bagi menentukannya demi kemaslahatan dan kebaikan manusia. Ia hukuman langsung daripada Allah.

Oleh sebab agama itu adalah demi kemaslahatan manusia, maka sebutan hudud yang jelas di dalam al-Quran memberi makna bahawa hukum hudud itu penuh dengan kebaikan dan kemaslahatan untuk manusia di dunia dan akhirat.

Ini adalah iman orang yang beriman kepada al-Quran. Kejelasan kebaikan dan kemaslahatan hukum itu mungkin dilihat melalui penjelasan al-Quran sendiri, ataupun dibiarkan saja manusia menerokainya dengan akal mereka agar pengkajian dan pengamatan itu menjadi satu kecantikan dalaman dan ibadah berfikir yang menyeronokkan dan menenangkan iman.

Justeru, penjelasan mengenai hukum hudud akan menghasilkan suatu yang pasti iaitu keindahan hukum jenayah Islam. Tiada sebarang pernyataan al-Quran terhadap sesuatu kecuali telah ditemui ketepatan, kebenaran dan kebaikannya untuk kehidupan manusia. 

Walaupun ramai yang masih gagal melihatnya, tetapi telah terbukti semakin ramai pula yang mula melihat kembali kegelojohan awal dan akhirnya, akur dengan kehebatan hukum Islam yang sentiasa memperagakan kesyumulan, kesempurnaan, kesederhanaan dan kehadirannya di zaman moden ini, bahkan di sepanjang zaman.

2) Perlu difahami bahawa segala hukum Allah di dunia adalah untuk mendidik dan mengembalikan manusia kepada-Nya dengan taubat. Jika dia tetap enggan kembali dan taubat, maka hukum tersebut berguna untuk orang lain meneladani dan menginsafinya. Kesakitan di dunia bukan kesakitan di akhirat. Di dunia, kita menjadi sedar dan insaf, lalu kembali. Di akhirat nanti, hukuman dan kesakitan sudah tidak berguna lagi. Tiada lagi pintu taubat.

Hatta, kejadian bala tuhan di dunia seperti tsunami dan gempa, ia masih menonjolkan kebaikan agar manusia kembali kepada Allah dan tidak lalai. Begitulah hukuman Allah ke atas sesuatu, contohnya hukum hudud yang disebut jelas oleh Allah di dalam al-Quran, ia mengandungi seribu hikmat demi kemaslahatan dan kebaikan manusia di dunia dan akhirat juga.

Perhatikan sebagai contoh, dunia tahu bahawa arak dan zina adalah satu keburukan yang besar yang mengundang pelbagai masalah masyarakat dan kehidupan. Tetapi manusia barat dan dunia bukan Islam gagal menyekatnya kerana nafsu yang tidak terhalang. Justeru, mereka membiarkannya, bahkan berusaha menjustifikasikan kebaikannya dengan pelbagai nama, lambang dan helah. Tetapi lihatlah kerosakan yang berlaku kerana keduanya tidak dapat dibendung lagi. Manusia hilang keturunan, maruah, akal dan sering berperang dek hati menjadi keras kerana fungsi akal yang kalah kepada gejolak nafsu.

Allah mengetahui kesukaran manusia membendung penyakit ini. Dengan iman kepada keburukannya sekalipun, umat Islam akan tetap berselisih mengenai hukuman ke atasnya. Di situlah al-Quran campur tangan dengan menetapkan beberapa hukum dan hukum itulah dinamakan hudud. 

Zina yang jelas dan cukup bukti sebagaimana tuntutan al-Quran dihududkan. Zina yang samar pembuktiannya dihukum takzirkan, iaitu diserah kepada undang-undang negara dan hakim memutuskannya. Apabila hudud terlaksana, pesalah yang dihukum dan masyarakat yang melihatnya akan merasai hukuman Allah sedang berlaku dan saat itu, ketakutan dan hubungan dengan agama menjadi hidup dan segar di dalam sanubari dan jiwa yang beriman. Mereka tidak berdendam dan kecewa kerana mahkamah hanya melaksanakan ketetapan tuhan yang maha adil dan penyayang.

3) Berbalik kepada dakwah dan seruan kepada hukum hudud, ia perlu difahami melalui beberapa dimensi;

Pertama, ia adalah satu kewajiban agar masyarakat Islam kembali kepada hukum Allah. Ia dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran bahawa umat Islam tiada pilihan lain ke atas sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebarang perlanggaran merupakan perlanggaran terhadap iman dan merosakkannya. 

Justeru menyeru pemerintah Islam agar melaksanakan hukuman Islam adalah kewajiban umat. Ia adalah pernyataan dan tanda iman seseorang kepada kekuasaan Allah. Pemerintah dan umat adalah berdosa jika mereka saling menyembunyikannya, malah melebihkan hukuman akal manusia ke atas hukum Allah.

Kedua, ia adalah demi kemaslahatan dan kesejahteraan negara yang ditimpa pelbagai masalah kronik disebabkan jenayah masyarakat yang tak terbendung seperti zina, curi, arak dan lain-lain. Ia bukan hanya merosakkan agama, bahkan masyarakat hidup dalam ketakutan akibat jenayah curi, rompak, bunuh, buang bayi dan pelbagai lagi yang begitu menular. 

Telah terbukti dalam sejarah perlaksanaan undang-undang sepanjang zaman, hukum hudud Islam dapat menyelesaikan masalah masyarakat dengan mudah, konsisten dan membina sekali. 

Justeru, perlu difahami bahawa seruan kepada perlaksanaan hukum hudud adalah satu jalan terbaik ke arah pembinaan sebuah negara moden yang lebih dinamik dan harmoni untuk semua lapisan masyarakat.

Ketiga, ia adalah sejajar dan bersekali dengan kewajiban seruan kembali kepada Islam yang syumul dan sempurna. Keadilan dan kehebatan Islam hanya terserlah dengan sempurna apabila Islam dilaksanakan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan.

Islam memperagakan kehebatannya melalui sentuhan ajaibnya di dalam seluruh medan dan genre kehidupan. Ia memperkenalkan kekuatan dan  keadilannya di dalam aspek sosial, pendidikan, sains, ekonomi, politik, undang-undang, hiburan, kesihatan, bahasa, kesusasteraan, hubungan antara kaum sehinggalah hubungan diplomatik dan politik dunia yang bergerak laju. Hukuman hudud mengambil salah satu sudut pembinaan itu iaitu pembinaan masyarakat melalui pengubatan ke atas jenayah masyarakat yang mesti dihalang daripada merebak dan merosakkan kemajuan fizikal dan spiritual negara.

Justeru, adalah salah sama sekali jika seruan kepada hukuman jenayah hudud Islam itu dilihat secara bersendirian tanpa seruan kepada aspek kesempurnaan Islam yang lain, seolah-olah Islam itu kesempurnaannya hanyalah pada hukum hudud semata-mata. Ia salah sebagaimana juga salahnya seruan ke arah keadilan Islam tanpa memasukkan elemen keadilan undang-undang Islam di dalam seruan tersebut.

Keempat, ia bukan seruan yang meliputi rakyat non muslim. Walaupun hukum hudud adalah untuk keadilan sejagat di dunia ini, tetapi tiada elemen paksaan ke atas rakyat bukan Islam. Sebagaimana mereka tidak dipaksa masuk Islam, solat, puasa dan sebagainya, begitulah mereka tidak boleh dipaksa dengan ketetapan hukum hudud yang bukan hanya disyarakkan untuk kebaikan di dunia, malah untuk maksud kejayaan di akhirat dan bertujuan menguji ketundukan iman setiap muslim juga. 

Justeru, hukuman kesalahan jenayah berkaitan hendaklah ditentukan oleh negara dalam hukum sivil yang diterima mereka. Malah, mereka pula diberi hak untuk menerima hukum hudud tersebut atau sebaliknya dan berbeza hukuman dengan masyarakat Islam. Masyarakat Islam pula tiada pilihan selain berhukum dengan hukuman agama mereka.

4) Berhadapan tentangan pelbagai pihak terhadap perlaksanaan hukum hudud, samada oleh kelompok ‘berpenyakit’ daripada kalangan umat Islam sendiri atau daripada majoriti non muslim yang masih keliru, beberapa kefahaman awal perlu diterapkan agar dapat memudahkan  lagi ke arah penyelesaian berjangka pendek dan panjang. 

Pertama, kekeliruan umat Islam terhadap hukum hudud adalah berpunca daripada kefahaman dan penyakit sekularisme barat yang membarah secara jelas selepas penjajahan barat ke atas negara-negara umat Islam. Ia bukan hanya isu umat Islam di Malaysia, bahkan ia adalah isu umat Islam sejagat yang secara terang menolak sistem dan hukum Islam di dalam pemerintahan. 

Maka penentangan umat berpenyakit ini bukanlah suatu yang pelik. Penyakit yang dibawa penjajah barat ini memerlukan rawatan penuh kesabaran dan hikmat. Tetapi ia bukanlah suatu yang baru. Bukankah Islam itu sendiri adalah ubat dan penawar? Seorang doktor sentiasa berwibawa untuk mengubati penyakit yang dipakarinya. Islam adalah pakar di dalam semua penyakit manusia.

Dakwah ke arah hukum hudud terus dilaksanakan bersekali dakwah ke arah perlaksanaan Islam yang syumul dan komprehensif. Tanpa henti dan tanpa ketakutan. Hasilnya, daripada suara minoriti pejuang Islam, hari ini sambutan dan keinginan umat Islam untuk kembali kepada hukum Islam semakin kuat dan mencipta majoriti dengan izin Allah. 

Hanya pemerintah negara yang menjadi punya penyebaran penyakit sekularisme sahaja yang masih berperanan aktif menolak hukum hudud. Ia hanyalah cerita pencuri yang enggan hukuman berat ke atas pencuri dilaksanakan. Ia mudah difahami.

Kedua, untuk lebih berwibawa dan mudah diterima, seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud perlulah diselarikan dengan seruan ke arah penyelesaian Islam yang menyeluruh terhadap segala masalah negara. Aspek keadilan Islam melalui hukuman jenayah hudud akan lebih mudah difahami jika jalan penyelesaian Islam di dalam aspek-aspek lain turut diketengahkan.

Justeru, perbincangan penyelesaian Islam haruslah melampaui perbincangan berlegar hudud semata-mata. Para pendakwah mestilah mesra di dalam berbicara mengenai penyelesaian Islam di dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan, hiburan dan pelbagai lagi. Mereka perlukan menonjolkan kehebatan pensyariatan zakat, waqaf, ekonomi tanpa riba, kemartabatan wanita, sosial tanpa pergaulan bebas, kekeluargaan, kesenian, hiburan Islam dan lain-lain lagi. Islam perlu ditonjolkan dengan alternatif daripadanya yang menarik.

Dengan itu, seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud akan lebih difahami dengan baik dan memikat hati masyarakat sama ada muslim atau non muslim sekalipun.

Ketiga, adalah salah menerima seruan sesetengah pihak daripada kalangan cerdik pandai moden muslim  agar seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud diketepikan atau ditangguhkan atau dibekukan terlebih dahulu, sebaliknya diketengahkan aspek kebaikan dan keadilan umum Islam agar lebih memikat semua pihak. 

Seruan ke arah ini mengajak para pendakwah agar menumpukan kepada maqasid syar’iyah atau matlamat umum pensyariatan hukum Islam yang adil. Menurut gelombang ini, oleh kerana hukuman hudud penuh kontroversi, mengundang perdebatan dan sukar diterima oleh dunia moden hari ini, wajarlah penbincangan, bahkan perlaksanaan ini diketepikan terlebih dahulu dan ditumpukan seruan kita kepada perbincangan mengenai keadilan umum Islam di dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. 

Seruan ini ditolak dari tiga sudut;

3.1 Ia bukan daripada sunnah dakwah para rasul. Rasulullah SAW sendiri tidak merujuk di dalam seruan dakwah baginda kepada persoalan mudah dan payah. Baginda bermula dengan seruan akidah tauhid, satu seruan yang paling sukar diterima masyrakat jahiliyah berbanding seruan ke arah keadilan sosial, akhlak dan hak kekeluargaan. 

Persoalan mendahulukan yang mudah ke atas yang payah hanyalah melibatkan teknik untuk menarik perhatian ke arah memahami Islam yang syumul dan ia sesekali tidak membantutkan, melengahkan, membekukan dan menangguhkan seruan ke arah Islam yang syumul, sama ada mudah difahami atau sebaliknya.

Ertinya, dakwah kepada Islam mestilah berjalan serentak agar mudah difahami dan tidak mengelirukan.

3.2 seruan ke arah Islam mestilah jelas dan terang. Adalah salah disembunyikan aspek yang berat dan sukar demi menarik sokongan masyarakat, terutama daripada kalangan non muslim kepada Islam. Dakwah jenis ini akan menyebabkan Islam difahami secara salah. 

Akan wujud kelompok yang memuji Islam dalam aspek tertentu sahaja seperti soal hak-hak asasi dan kebebasan, tetapi mencela Islam di dalam soal-soal lain yang gagal difahami kerana diketepikan perbincangannya seperti hukum faraid yang membezakan pewarisan harta antara lelaki dan perempuan, pengehadan pergaulan antara jantina dan juga persoalan hukum hudud. 

Keadaan mungkin menjadi parah jika mereka rasa tertipu saat memberikan sokongan kepada Islam kerana penerangan keadilan Islam yang terpilih dan mudah sahaja. 

3.3 sebagaimana seruan dakwah kepada keadilan hukum hudud mestilah diteruskan, begitu juga perlaksanaannya mestilah dilakukan setelah kekuasaan pemerintahan diperoleh tanpa ditangguh dan dibekukan. 

Kerana itu, walaupun hudud masih disangsikan di negeri-negeri lain, tetapi ia mesti dilaksanakan di Kelantan selepas sokongan rakyat dan kekuasaan penuh diperoleh. Menanti sehingga seluruh rakyat Malaysia menerima hukum ini adalah kesalahan dan perlanggaran terhadap hak Allah yang mewajibkan hukuman-Nya dilaksanakan sebgai bukti iman dan ketaatan hamba-Nya kepada-Nya. 

Para ulama memperincikan persoalan ini dengan dalil yang jelas bahawa hukum hudud tidak boleh ditangguhkan perlaksanaannya saat tiba masanya. Apapun, artikel ringkas ini tidak akan memperincikannya di sini.

Keempat, kekeliruan non muslim terhadap perlaksanaan hukum hidup bukanlah suatu yang sukar difahami. 

Perhatikan sebab-sebab berikut secara ringkas. Pertama, pengetahuan mereka mengenai Islam sendiri agak rendah. Justeru mereka memerlukan masa yang lebih lumayan untuk diberikan penjelasan. 

Kedua, maklumat mereka mengenai undang-undang Islam terlalu naif, apatah parti pemerintah muslim sendiri tidak pernah memartabatkan undang-undang Islam dalam sistem pemerintahan negara. Malah, sebaliknya gambaran negatif pula yang diberikan. 

Ketiga, kekeliruan mereka bahawa sebuah negara Islam akan membawa kesan buruk kepada kebebasan dan keadilan terhadap masyarakat non muslim. 

Keempat, kalangan umat Islam yang berpenyakit terutama pemerintah sering menakut-nakutkan mereka dengan isu negara Islam. 

Kelima, dunia dakwah terhadap non muslim dan dialog antara agama di negara kita agak ketinggalan dan kurang digerakkan secara lebih padu dan sistematik.

Justeru, adalah salah untuk mengatakan bahawa selama-lamanya masyarakat non muslim akan menolak hukum hudud yang tidak pun melibatkan mereka. Ia hanya ketakutan sementara yang boleh diatasi melalui penerangan yang berterusan dan sistematik.

5) PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang menerajui seruan ke arah perlaksanaan hukum Islam yang menyeluruh, termasuk hukum hudud berhadapan isu-isu berkaitan dan perlu membina pendirian yang jelas mengenainya agar dimanfaati dengan baik oleh seluruh rakyat.

Pertama, seruan ke arah perlaksanaan hukum Islam adalah secara demokratik. Rakyat dan kuasa undi merekalah yang akan menentukan masa depan perlaksanaan syariah di negara kita. Ini adalah cara dan seruan yang  sah di sisi undang-undang negara dan sistem demokrasinya. 

Kedua, PAS, di dalam seruannya ke arah perlaksanaan hukum hudud,  bersandar teguh kepada hukum agama yang mewajibkan umat Islam hidup berpandukan hukum syariat demi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Justeru, asas seruan PAS cukup gagah, jelas dan wajib. Ia sesekali bukan seruan sekadar menarik undi politik, bahkan ia adalah kewajiban dan amanah dakwah.

Ketiga, seluruh umat Islam, apatah jentera dakwah masyarakat wajib menyokong dan bersama PAS menyeru kepada perlaksanaan hukum Islam yang menyeluruh. PAS menginsafi sesetengah kelompok dakwah yang masih meragui kesungguhan PAS yang sejak sekian lama berjuang ke arah Islam yang syumul dan terus berharap agar mereka meredakan pertikaian yang tidak bermanfaat tersebut.

Keempat, Umno mestilah menyedari bahawa mereka begitu ketinggalan di dalam usaha dakwah kembali kepada Islam. Mereka bertanggung jawab melemahkan keinginan umat untuk kembali kepada Islam. Penentangan dan sekatan-sekatan yang berterusan membuktikan mereka berdolak-dalih, bahkan mengambil jalan berlawanan dengan aspirasi umat yang ingin kembali kepada ugama.

Kelima, DAP yang masih menentang perlaksanaan hukum hudud sama ada secara keras atau lembut, bukanlah penyebab utama terbantutnya usaha ke arah perlaksanaan sistem undang-undang Islam. Hubungan PAS dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat telah banyak membantu PAS meyakinkan non muslim dengan kebenaran dan keadilan hukum Islam. Jika secara rasminya mereka masih menolak, tetapi ramai di antara mereka (non muslim) yang mula menerima dan tidak menentang perlaksanaannnya ke atas masyarakat Islam.

Oleh itu, pertikaian dengan DAP bukanlah suatu yang di luar jangkaan PAS. Di atas premis inilah, PAS membina jambatan perbincangan dengan masyarakat non muslim. Umno berusaha membakarnya.

Keenam, penyebab utama, di samping sebab-sebab lain, lambatnya penerimaan masyarakat terhadap hukum hudud adalah Umno. Daripada kata-kata buruk terhadap hukum-hukum Islam oleh para pemimpinnya sehinggalah amaran bertulis oleh Tun Dr Mahathir kepada kerajaan negeri Kelantan suatu ketika dulu, semua itu memberi kesan negatif yang menakutkan masyarakat untuk menerima hukum dan syariat Islam secara menyeluruh. 

Ketujuh, PAS akan terus menyeru kepada perlaksanaan syariat Islam yang menyeluruh. Ia adalah keadilan, kesaksamaan dan keharmonian yang diimpikan oleh rakyat seluruh negara. Jika majoriti umat Islam dan walau sedikit daripada non muslim berjaya memberi sokongan majoriti kepada PAS, maka ia adalah pembuka pintu besar kepada kedaulatan Islam di negara tercinta. Umno sepatutnya merasa malu dengan sikap mereka sendiri yang mencemarkan kesucian syariat Islam. 

Hari ini, sokongan kepada perlaksanaan hukum hudud dan syariat Islam semakin bertambah. Anak-anak muda dan generasi baru mula melihat keindahan Islam yang tidak dapat dihalang lagi. Paling menarik, masyarakat non muslim, di sebalik kehangatan perbincangan, semakin terbuka untuk bertanya dan berbicara mengenai Islam dan kesaksamaan syariatnya.

Adapun Karpal Singh itu, maka ia adalah.. adapun Tun Dr Mahathir itu.. 

Apa beza? Ya, agama bezanya. Saya tidak bertanya soal agama. Saya tanya soal penentangan mereka terhadap hukum hudud.

Justeru hujah-hujah yang dihulurkan kepada Karpal Singh, itulah yang dihulurkan buat Tun Mahathir. Jika Karpal Singh terus menentang, apa bezanya dengan Tun? Bahkan apa bezanya dengan Mmno? Bahkan lagi, perhatikan, selama mana DAP menentang hudud, udara keruh berjerebu itu akan dihirup segamaknya oleh Umno. 

Siapa boleh menghalang PAS? Allah bersama orang-orang yang membantu agama-Nya. Jika anda mahu bersama Allah, maka PAS sentiasa mahu bersama Allah. Mengapa kita harus berbeza? Undilah PAS untuk hukum hudud, hukum Islam, syariat Islam dan keadilan Islam yang agung. 

http://nikabduh.com