Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan "Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
TERSENTUH hati ini apabila mendengar khabar sejumlah bakal haji musim 1433 Hijrah (sekarang ini) yang nama mereka sudah tersenarai (ada yang sudah diberikan rantai tangan) dibatalkan pemergian mereka ke Tanah Suci. Seorang ustaz bercerita, ada seorang jemaah datang kepadanya, menangis teresak-esak menyatakan dia menerima panggilan telefon menyatakan dia tidak dapat 'lampu hijau' ke Tanah Suci sehari sebelum dia dijadualkan berlepas. Maka menangislah dia mengadu nasib.
Seminggu dua ini berdesing-desing telinga ini mendengar kisah bakal haji yang tak dapat ke Makkah dan juga kisah jemaah haji yang 'last minute' (waktu terakhir) dapat juga akhirnya ke sana.
Pelbagai pihak memberitahu 'suasana kelam-kabut' dalam mengatur jemaah ke Tanah Suci tahun ini disebabkan pihak berkuasa Malaysia gagal mendapat kuota tambahan jemaah haji. Biasanya selain kuota biasa 28,000 jemaah (1 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 28 juta orang), pihak Arab Saudi membenarkan tambahan jemaah, ada kalanya sehingga 10,000 orang.
Tahun ini tiada tambahan jemaah haji dengan pihak berkuasa Arab Saudi memberitahu hal itu disebabkan kegiatan pembangunan dan pengubahsuaian di kawasan sekitar Masjidilharam tetapi sesetengah pihak di Malaysia termasuk sesetengah pemimpinnya tidak habis-habis mempropagandakan hal itu disebabkan perhimpunan segelintir rakyat Malaysia dalam apa didakwa demonstrasi Bersih tempoh hari.
Berbual dengan bakal-bakal haji ini dan beberapa ustaz terdengarlah rintihan hati mereka yang saya celotehkan (coretkan) di sini. Kata seorang jemaah yang mendapat panggilan pengesahan ke Tanah Suci pada 'last minute' (dia sudah berangkat, didoakan dia mendapat haji mabrur): "Kenduri sudah saya buat sebulan lalu. Hampir setiap kali ke masjid, jemaah akan bertanya; 'ehh tak berangkat lagi?' Saya naik malu dibuatnya. Syukur, alhamdulillah dapat juga saya ke Tanah Suci."
Namun pada masa yang sama dia sempat menyindir dengan berkata: "Orang macam kita ini sudah lama mendaftar. Sudah dipilih dan disenaraikan untuk pergi tahun ini. Sudah ikut kursus termasuk kursus haji perdana. Namun Tabung Haji tidak mengesahkan tarikh pemergian kita sehingga 'last minute'. Ada orang tak mendaftar pun. Tak ikut kursus pun. Tak berhajat pun nak pergi haji. Tup-tup dia dapat surat suruh dia bersedia pergi haji. Ini apa hal ni?"
Jemaah ini merujuk kepada jemaah haji yang ditaja oleh pemerintah melalui kuota PM, menteri, kerajaan negeri, setiausaha kerajaan negeri dan sebagainya. Dikhabarkan PM menaja ratusan jemaah, ada pejabat setiausaha kerajaan negeri menaja 50 orang; jadi daripada semua negeri berapa ramai jemaah yang pergi secara ini? Mereka terdiri daripada imam, bilal, pengerusi JKKK, pemenang anugerah kecemerlangan dan sebagainya. Kalau satu negeri 500 orang yang pergi cara ini, daripada 13 negeri sudah ada 6,500 jemaah. Jadi baki kuota yang terbuka kepada orang awam cuma 21,500 jemaah.
Itulah sebabnya mengapa sukar benar pegawai Tabung Haji hendak 'release' nama dan tarikh jemaah yang dapat pergi haji. Kasihan petugas Tabung Haji. Mereka kena ikut arahan atasan sedangkan jemaah asyik menghubungi mereka, bertanya, "dapat ke tak dapat" atau "bila nak berangkat ni?" Pening juga petugas Tabung Haji. Ada 'tangan ghaib' lebih berkuasa yang membolehkan 6,500 jemaah pergi tanpa ikut proses biasa - mendaftar, menunggu bertahun-tahun lamanya; orang 'terpilih' ini tup-tup saja dapat pergi haji...ewah begitu mudah sekali.
Seorang jemaah lain memberi cadangan ini: "Kalau nak bagi hadiah kat orang-orang yang banyak jasa dan bakti itu, bagilah mereka buat umrah, kan umrah itu boleh dibuat bila-bila masa. Untuk haji ini bagilah orang yang benar-benar nak buat haji, mereka dah lama menunggu, kasihanilah mereka...ada lebih 900,000 orang dalam senarai menunggu. Apa pasal orang tak mendaftar haji pun boleh pergi dulu?"