Khamis, 1 November 2012

AdD



































































adab belajar

“Wahai Musa, sesungguhnya aku mempunyai ilmu daripada ilmu Allah yang diajarkan-Nya Dia kepadaku yang tidak engkau ketahui. Dan engkau pula mempunyai ilmu daripada ilmu Allah yang diajarkan-Nya Dia kepadamu yang tidak aku ketahui!” kata Khidir.

Hamba Allah yang soleh itu disifatkan sebagai seorang yang lebih mengetahui, berbanding Musa.

Musa menempuh perjalanan yang panjang mencarinya.

Khidir, yang bakal mengajarnya sesuatu yang tidak diperolehnya daripada guru yang lain.

Musa amat berkehendakkan bimbingan Khidir.

Tetapi Khidir memposisikan Musa pada tahap yang istimewa. Bukan tinggi atau rendah, tetapi SAMA.

Antara yang mengajar dan yang belajar, bukan antara yang lebih tahu dengan yang kurang tahu. Tetapi kita boleh saling belajar antara satu sama lain.

Ia seperti akhlaq Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Biar pun Baginda seorang Rasul, murabbi, guru, semulia-mulia insan dan makhluq ciptaan Allah, Baginda membahasakan mereka yang belajar dengannya sebagai SAHABAT.

Bukan murid, bukan orang suruhan, bukan orang bawahan. Jauh sekali untuk mereka itu disuruh mencium tangannya atau memuliakan Baginda, lebih daripada hakikat yang paling Baginda gemari, bahawa dirinya adalah ABDUHU dan RASULUHU.

Hamba-Nya.

Utusan-Nya.

Semasa Khidir dan Musa memulakan perjalanan mereka, Hadis  3220 dalam Sahih al-Bukhari menyambung kisah.

Datang seekor burung, hinggap di tepi kapal yang mereka naiki. Burung itu mematuk setitik atau dua titik air laut yang yang luas.

Khidir menarik perhatian Musa.

“Wahai Musa, tidaklah ilmuku dan ilmumu mengurangkan apa-apa daripada ilmu Allah seperti titisan air oleh patukan burung itu tadi, berbanding air laut yang luas ini.” ujar baginda.

Khidir menetapkan asas yang tiada khilaf, bahawa kita semua perlu menginsafi kelemahan diri. Biar bertambah sebanyak mana pun ilmu, kita masih dan kekal hamba-Nya. Jangan lupa merendah diri.

Andai ilmu itu diumpamakan seperti air, maka sudah tentu tanah yang paling rendah, bakal menakung air terbanyak. Rendahkanlah diri, nescaya rahmat Allah akan berpihak. Beroleh kurnia ilmu yang membentuk akhlak.

Tiada Subjek Khusus
Apabila kita belajar agama secara formal di universiti-universiti, tidak ada subjek yang khusus mengajar tentang akhlak, tentang adab. Tiada subjek bernama Akhlaq 101. Pengajian akan langsung menjurus kepada menghuraikan disiplin-disiplin ilmu serta tidak mensesiakan masa melainkan mesti diguna untuk menguasai ilmu dan faham akan butiran maksudnya.

Jika akhlak tidak diajar, di manakah pelajar ini boleh belajar tentang akhlak?

Siapa yang mahu mengadabkan mereka?

Atau dibiarkan sahaja mengaji menjadi pandai, tetapi akhlak tidak terbeza daripada yang jahil tidak mengaji?

Terkenang saya kepada guru-guru yang pernah mengajar kami. Ramai daripada kalangan mereka, dalam mengejar silibus untuk disempurnakan pengajaran dan pembelajaran sebagai amanah, mereka akan mengadabkan kami, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Secara sedar atau sebaliknya.

Belajar ilmu bukan sekadar belajar ilmu dan mengajarnya pula.

Ilmu mesti beriring dengan Rahmat Allah.

Ilmu penunduk, yang menundukkan mereka yang mempelajarinya agar merendah diri, dan mulia diri sejajar dengan bertambah pengetahuan yang dipelajari.

Tanggungjawab Pengajar
Di dalam masyarakat kita hari ini, para ustaz, pendakwah, pensyarah, guru, ada tanggungjawab bukan hanya pada memandaikan hadirin dengan ilmu yang diajar, tetapi masyarakat mengaji ini perlu kepada adab.

Mereka perlu diadabkan.

Dengan adab seorang guru.

Jangan nanti menjadi kebiasaan, yang lebih mengajinya, kurang beradab pula.

Khidir mengadabkan Musa.

Kita membiadabkan massa.