Sabtu, 8 Jun 2013

Rare1


Penggambaran The Matrix. Filem menggunakan teknologi tinggi (masa itu) dengan kesan visual dan animasi 3D


Pembinaan Gunung Rushmore, 1934-1939


Kapal Titanic di dok kering, 1912


Kereta jenazah Abraham Lincoln, 1865


NASA sebelum ada Powerpoint, Life Magazine


Jurutera-jurutera Jerman menguji Messerschmitt BF109 E3


Howard Carter, seorang ahli arkeologi Inggeris, memeriksa keranda terbuka Raja Tut

Samurai, 1860 – 1880

Badut asal daripada McDonald, 1963

Bob Marley main bola belakang pentas

Charlie Chaplin bersama Mahatma Gandhi

Sven-Ole Thorsen dan Arnold Schwarzenegger di set filem Conan The Barbarian

Tawakkal

Tawakal adalah sifat terpuji yang tertinggi. Ia adalah ibadah hati. Tawakal itu dirasai. Zahirnya tidak kelihatan tetapi kesannya sangat besar dalam kehidupan. Mengapa? Ini kerana hanya dengan bertawakal kita boleh menjadi hamba Allah yang sebenar. Jika tidak kita akan sentiasa terhalang, malah terhijab terus daripada menjadi akrab dengan Allah. Halangan terbesar seseorang menuju Allah ialah kekhuatiran, kebimbangan, kesibukan kesukarannya mencari rezeki. Hati dan fizikal menjadi letih dalam mencari, menjaga dan menambah rezeki. Namun dengan tawakal, segala keletihan itu akan dapat diatasi.

Apabila kita bertawakal ertinya kita mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain. Dalam konteks ini, ‘pihak lain’ itu ialah Allah. Insya-Allah, apabila kita menyerah urusan kepada Allah hati kita akan teguh dan kukuh, tidak goncang dan goyah lagi.  Ini kerana kita yakin ‘wakil’ kita itu ialah zat yang Maha Gagah, Maha kaya, dan Maha sempurna.  Keyakinan itulah yang membuahkan ketenangan.

Justeru, menurut Abu Zakaria Ansari, tawakal itu ialah “Keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain.” Bayangkan apabila seseorang Muslim dengan sepenuh hati berserah diri kepada Keagungan dan Kekuasaan Allah dalam berusaha sambil menunggu hasilnya dengan penuh sangka baik kepada Tuhannya.

Insya-Allah, seorang yang bertawakal akan mendapat sekurang-kurangan manfaat-manfaat berikut:

1)                  Ketenangan hati.
Orang yang bertawakal akan merasakan ketenangan memenuhi hatinya, yakin, mantap, optimis dan reda. Ketenangan inilah yang dirasakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika berada dalam gua. Ketika Sayidina Abu Bakar khuatir dengan keselamatan baginda, Nabi Muhammad SAW telah bersabda kepadanya “janganlah bersedih, kerana sesungguhnya Allah berserta kita. ”
Ketenangan inilah juga yang dirasai oleh Nabi Ibrahim ketika dilemparkan ke dalam api yang menyala-nyala. Baginda tidak endahkan pertanyaan manusia mahupun malaikat apabila berkata, “ Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Dialah sebaik-baik pelindung. ”

2) Kekuatan jiwa.

Bukan sahaja tenang, orang yang bertawakal juga akan mendapat kekuatan jiwa. Fitrah manusia, akan merasa kuat apabila ada sandaran atau ‘back up’  daripada pihak yang kuat. Orang yang  bertawakal merasa kuat berdepan dengan musuh yang ramai kerana merasakan Allah akan membantu mereka.
Inilah rahsia dalam medan Badar, apabila 313 tentera Badar mampu mengalahkan musuh yang lebih ramai. Firman Allah:  Ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabb (Tuhan)-mu, lalu dikabulkan-Nya bagimu, “Sesungguhnya Aku (Allah SWT) akan mendatangkan bantuan kepadamu seribu malaikat yang datang bersambungan.” Dan tidaklah hal itu dijadikan oleh Allah untukmu kecuali sebagai berita gembira dan untuk menenteramkan hatimu. Dan tiada lain kemenangan itu kecuali datang dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha bijaksana. (Al Anfal: 9-10)

4) Diri yang reda
Apabila bertawakal, hati akan reda, pasrah dan menyerah atas segala ketentuan Allah sekalipun apa yang berlaku bertentangan dengan apa yang kita inginkan.  Jiwa merasakan apa yang berlaku semuanya baik-baik belaka. Tidak ada ruang untuk kecewa, marah dan putus asa. Semua ini impak daripada sangka baik kepada Allah yang tidak akan menyusahkan apalagi menzalimi hambanya.

Orang bertawakal akan terpujuk oleh firman Allah ini: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” (Al-Baqarah: 216). Justeru, ada ulama berkata, ”Selagi aku reda Kepada Allah sebagai pelindung, maka aku akan sentiasa mendapat jalan untuk setiap kebaikan. ”.

5) Harapan yang segar.
Orang yang bertawakal tidak akan putus harapan. Harapannya sentiasa segar dan tinggi sekalipun ketika dihenyak oleh ujian yang paling menggentarkan. Allah tidak akan mengecewakan ku, begitulah detik hati orang yang berserah nasibnya kepada Allah. Sentiasa ada ‘talian hayat’ dalam bentuk doa, solat dan sabar ketika diuji. Sekalipun, seluruh manusia telah berpaling, namun mereka yakin Allah tetap tidak berpaling kepada hambaNya yang bertawakal.
Bahkan semakin cemas dan beratnya ujian yang melanda, semakin dekat mereka rasakan bantuan Allah akan tiba. 

Firman Allah: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang “Aku” maka (ketahuilah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” ( Al Baqarah: 186)

Baek

Dulu ustaz kata jika kita buat baik pasti dibalas baik, tetapi dalam realitinya kenapa tidak? “
Saya diam.

“Saya dah lama buat baik tetapi sampai sekarang tidak dibalas baik.”
Saya masih diam. Ibu  separuh umur itu saya lihat keletihan. Bukan letih badan tetapi perasaan… Raut wajahnya suram. Sinar matanya kelam.
“Sampai bila saya nak buat baik?” asaknya lagi.
“Sampai bila-bila,” jawab saya pendek.

“Berapa lama?” tusuknya dengan soalan yang seakan sama.
“Selama-lamanya, “ jawab saya dengan nada yang sama.
“Saya kecewa. Budi tidak dibalas, kebaikan tidak dikenang.”
“Oleh siapa?” tanya saya.
“Suami dan anak-anak, “katanya terus terang.
“Setiap kebaikan pasti dibalas dengan kebaikan,” tegas saya perlahan.
“Ya kah?”

“Ya. Pasti. Allah pasti membalas kebaikan sekalipun sebesar zarah. Itu janji Allah dalam Al Quran. Walaupun sekiranya anak-anak dan suami puan tidak membalasnya, Allah pasti membalasnya. Tidak di akhirat, pasti di dunia. Atau kedua-duanya sekali.”
“Payahlah ustaz kalau semuanya dibalas di akhirat… “
“Itulah iman puan. Percayalah pada Allah. Percayalah pada Hari Akhirat. Allah pasti membalas kebaikan yang kita buat di akhirat nanti.”
“Berbaloikah jika semua kebaikan hanya dibalas di akhirat?”

“Sangat berbaloi. Di akhirat balasan Allah terhadap setiap kebaikan yang kita lakukan adalah lebih baik dan lebih kekal. Malah, menurut para ulama, kalaulah kita nampak ganjaran berganda yang bakal kita nikmati di akhirat nanti nescaya kita akan meminta agar semua kebaikan yang dibuat dibalas hanya di akhirat sahaja… di dunia tidak dibalas pun tak mengapa.”
“Saya letih ustaz, “katanya terus terang.

“Membuat kebaikan memang meletihkan tetapi ganjarannya memang besar.”
“Bagaimana hendak buat kebaikan tanpa merasa letih? Maksud saya, bukan letih badan sahaja tetapi letih jiwa ustaz?”

“Buatlah kerana cinta, buatlah kerana cintakan Allah,” ulang saya.
“Jadi saya letih membuat kebaikan selama ini kerana mengharapkan kasih-sayang suami? Kerana harapkan kasih sayang anak-anak.”
Saya mengangguk perlahan. Jika kita berbuat kerana manusia, pasti ada manusia yang akan mengecewakan kita. Jangan memburu cinta manusia. Tetapi burulah cinta Allah, nescaya cinta manusia akan mengekor.  Itulah bisik hati saya. Pada ketika itu juga saya segera teringat sebuah hadis yang saya temui sejak lama dahulu. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail, “Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah ia.” Jibrail pun mencintainya, lalu Jibrail menyeru penduduk langit, “Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah ia.” Maka penduduk langit mencintainya, kemudian ia mendapat penerimaan di dunia.”

“Tapi ustaz, saya bukan orang baik…”
“Puan, kita buat baik bukan kerana kita sudah menjadi orang baik… tetapi itulah usaha kita untuk menjadi baik.”
“Jadi ustaz?”

“Berterusanlah kita buat baik untuk menjadi orang yang baik…” jawab saya.
“Mengapa suami kita mengecewakan?”

“Itu soalan yang sukar dijawab. Hati orang tidak dapat diduga. Kadangkala kita buat baik, dibalas baik. Ada masanya kita buat baik dibalas sebaliknya. Madu yang kita beri dibalas tuba. Jangan bergantung pada manusia kita akan kecewa.”

“Tapi hati isteri ustaz, tetap mengharap…”
“Tidak salah mengharap. Bahkan kita disuruh untuk berdoa bagi mendapat suami yang baik. Tetapi jangan bergantung semata-mata kepada suami untuk bahagia. Bergantunglah kepada Allah. Jika suami berpaling, Allah tidak. Allah sentiasa setia menunggu cinta hambaNya.”

Saya pernah menulis tentang ‘hierarki’ cinta. Jangan tersalah meletakkan keutamaan cinta. Pada seorang isteri cinta utamanya Allah, kedua Rasulullah SAW, ketiga barulah suaminya. Namun sekarang kebanyakan wanita meletakan suami sebagai cinta nombor satu, dua dan tiganya. Akibatnya, apabila suami berubah cinta, seluruh hidupnya dianggap musnah. Padahal dia sebenarnya masih mempunyai harapan. Cinta nombor satu dan duanya sentiasa ada… sentiasa, selama-lamanya!

Isteri separuh umur itu termenung. Saya pasti akalnya mula berfikir, hati dan perasaannya mula bermuhasabah dan merenung.
“Tidak ada manusia yang menyayangi puan?” suntik saya untuk ‘mengusik’ diamnya yang agak panjang.

“Er, ramai. Ibu-bapa saya sangat menyayangi saya. Begitu juga adik-beradik. Mereka sentiasa ada di sisi dalam senang dan susah.”
“Itu juga menunjukkan kebaikan yang puan lakukan telah dibalas di dunia lagi. Puan… hilang cinta suami, tetapi cinta ibu-bapa tetap ada.  Cuma kadangkala kita lupa. Akibatnya, nikmat yang ada jarang disyukuri, nikmat yang tiada sering dirisaukan. Cinta yang telah ada, kita lupakan. Cinta yang tidak ada… itu yang kita buru habis-habisan.

“Oh, saya terlupa. Saya  terlupa kelebihan yang ada pada diri ustaz. Saya hanya fokus kepada apa yang tidak ada.  Sebab itu saya jarang bersyukur. “
“Malah, apa yang puan miliki sebenarnya lebih baik. Katalah, puan tidak dapat ganjaran di dunia, insyaAllah semoga puan dapat ganjaran di akhirat.  Akhirat itu lebih baik dan kekal. Puan tidak mendapat cinta suami tetapi puan mendapat cinta Allah. Bukankah itu lebih berharga?”
“Kalau dapat…”

“Jangan pesimis. Bersangka baiklah puan. Allah mengikut sangka hambaNya. Jika kita sangka baik, Allah akan bagi baik.”
“Saya tak layak mengatakan diri ini sudah ikhlas ustaz.”
“Siapa pun tidak layak mengatakan dirinya ikhlas. Ikhlas itu rahsia dalam rahsia Allah. Namun apabila ditanya, apakah kamu seorang yang ikhlas? Maka jawablah dengan pasti, saya sedang sedaya upaya berusaha untuk ikhlas!”
“Orang yang sedang berusaha untuk ikhlas tidak gembira ustaz?”
“Di jalan ikhlas, kegembiraan ada di sepanjang jalan, bukan hanya di hujung jalan,” kata saya.

“Jadi kalau saya belum gembira ustaz?”
“Mungkin kerana puan sudah berhenti berjalan!”
Saya tersenyum. Teringat satu ungkapan yang pernah memberi aspirasi ketika diri sendiri pernah mengalami perasaan yang sama: Sekalipun sudah berada di jalan yang benar, tetapi apabila kita berhenti berjalan, kita akan digilis dari belakang. Ya, hidup umpama mengayuh basikal, selagi tidak berhenti mengayuh selagi itulah kita tidak akan jatuh. Berbuat baik itu adalah tugas selama-lamanya, sampai bila-bila.

3P suami

Berbicara persoalan nikah ramai yang suka dengar. Orang yang duduk jauh pun akan datang dekat untuk mendengar perbincangannya. Tetapi kalau bercakap soal talak atau cerai ramai yang berkerut dahi, takut hendak membincang halnya lebih lanjut. Kenapa? Bukankah kita perlu memahami dan mendalami persoalan tentang cerai atau talak sama seperti nikah supaya hidup kita terarah kepada panduan yang betul?

Memang, orang yang tahu dan faham berbeza dengan yang tidak tahu, berbeza sifatnya, berbeza perangainya, berbeza tindakannya. Orang yang tahu dan faham hukum Allah akan berhati-hati dalam sebarang tindakan. Pada mereka, semua yang hendak dilakukan mesti mengikut kehendak Allah dan rasul-Nya.

Sebenarnya dalam Islam ada perkara yang perlu kita tahu. Hal ini kerana perkara tersebut jika dilakukan dengan serius akan jadi, dan jika bergurau juga akan jadi. Rasulullah bersabda:

Yang bermaksud: “Tiga perkara yang apabila seseorang itu bersungguh-sungguh maka natijahnya berlaku sungguh-sungguh dan apabila dia bergurau, maka natijahnya tetap berlaku sungguh-sungguh. Tiga perkara itu ialah perkahwinan, talak dan rujuk.” (Riwayat Imam Tarmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis itu, seorang bapa kepada anak dara mahupun janda tidak boleh bergurau soal perkahwinan. Kalaupun secara berseloroh dia mengahwinkan seseorang lelaki dengan anak perempuannya, maka sah. Begitu juga dengan seorang suami tidak boleh bergurau dalam soal talak, kerana talak yang diucapkan itu sudah sah. Begitu juga dengan pasangan yang baru bercerai tidak boleh bergurau soal rujuk. Rujukan suami itu akan dikira sah.

Kedudukan hukum di atas sama sahaja dengan seseorang yang berada dipentas lakonan. Sebagai contoh yang mudah, jika pelakonnya terdiri daripada pasangan suami isteri dan mereka memegang watak yang sama seperti namanya, maka ucapan talak suami ketika itu dikira sah. Walau bagaimanapun kalau kedua-dua pelakon di atas melakonkan watak orang lain, maka ucapan talak itu tidaklah jatuh dengan sebab itu. Apatah lagi kalau pelakon itu bukan suami isteri.

Kuasa Suami
Allah menetapkan lelaki sebagai pemimpin, maka sebab itu seseorang suami diberi kuasa tertentu yang kuasa itu tidak diberikan kepada isteri. Tujuan kuasa itu diberi kepada suami adalah untuk mengekalkan keharmonian sesebuah perkahwinan. Suami diberi kuasa tersebut kerana lazimnya lelaki lebih sabar, lebih berhati-hati dan lebih ilmunya.

Sebenarnya suami dibekalkan kuasa mutlak berdasarkan hadis di atas. Kuasa itu adalah alat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Namun kuasa atau alat itu perlu disimpan rapat di dalam hatinya. Kuasa yang dimaksudkan ialah talak, iaitu kuasa yang hanya boleh digunakan apabila sangat-sangat diperlukan demi kebaikan rumah tangga mereka.

Supaya suami benar-benar menjaga kuasa ini agar tidak digunakan sewenang-wenangnya, Rasulullah memberi peringatan yang berupa ancaman. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Seburuk-buruk perkara halal di sisi Allah ialah Talak.” (Riwayat Ibnu Majah)

Memahami hadis daripada Abdullah bin Umar ini, Allah mahu umatnya hidup damai dan bersefahaman. Walaupun talak itu dihalalkan oleh Islam tetapi perbuatan dan tindakannya amat dibenci Allah. Oleh sebab itu berhati-hatilah dalam menggunakan kuasa talak ini kerana padahnya bukan kepada suami sahaja tetapi kepada isteri dan anak-anaknya.

Selain kuasa suami di atas, apabila dia menjadi bapa, kuasanya ditambah lagi menjadikan keseluruhannya tiga kuasa. Kuasa ini juga perlu difahami sebaiknya jika dia sayangkan anak kelahiran mereka. Jika kuasa itu digunakan secara salah, yang menderitanya adalah anaknya sendiri. Oleh sebab itu fahamilah kuasa tersebut dengan baik.

Nikah, bapa tidak boleh sewenang-wenangnya menikahkan anak gadisnya dengan lelaki tanpa diselidiki latar belakang agama dan keturunannya. Walaupun bapa ada kuasa penuh, menikahkan anak tanpa persetuan anak sendiri adalah satu penyelewengan kuasa.

Talak, suami walapun benci kepada isterinya, tidak boleh bertindak menceraikannya kerana anak-anak mereka akan kehilangan kasih sayang ibu dan bapa. Demi anak berhemahlah dalam menggunakan kuasa talak.

Rujuk, suami yang masih sayangkan isteri dan anak-anak renunglah kehidupan lampau. Insafilah kesilapan lampau. Jika mereka benar-benar insaf dalam tempoh iddah bolehlah rujuk kembali. Tapi ingat, rujukan itu bukan kerana kehendak nafsu sahaja.

Kuasa suami ini perlu digunakan sebaiknya bagi pasangan yang rindukan kehidupan dalam syurga. Oleh sebab itu, jangan pilih jalan perceraian kerana bimbang dengan sebab itu mereka tidak berpeluang untuk masuk ke dalam syurga. Dan kalaupun salah seorang boleh masuk syurga, tentu pasangan itu tidak akan bertemu lagi. Itulah sebabnya mengapa Allah membenci talak itu.

Kunci Bahagia Pada Isteri
Selain suami perlu menyimpan kuasa talak, isteri pula perlu menjaga kunci kebahagiaan agar suami boleh masuk ke dalamnya bila-bila masa yang diperlukan. Kunci yang ada pada tangan isteri perlu berada dalam keadaan bersedia agar suami boleh masuk ke dalamnya dengan hati yang ceria dan tenang. Tetapi jika isteri menyalahgunakan kunci itu, bukan sahaja suami yang menderita malah anak-anak juga menerima nasib yang sama.

Untuk memestikan kunci itu dapat digunakan dengan baik, beberapa adab perlu diberi perhatian oleh isteri. Antara perkara yang penting ialah:

1. Jaga adab suami isteri, maka dalam hal ini isteri perlu meminta izin suami dalam semua aktiviti. Tetapi bagi suami, dia hanya cukup dengan memberitahu segala aktiviti. Selain itu isteri juga boleh meminta bantuan suami untuk membuat sesuatu bukan memerintah atau menyuruh dia membantu kerja-kerja isteri.

2. Jaga syariat, selain menunaikan solat fardu dan sunat, puasa fardu dan sunat isteri perlu menjaga aurat dan maruah diri dan maruah suami. Selain itu isteri perlu taat perintah dan kehendak suami selagi perintah itu tidak melanggar syariat. Contoh mudah dalam hal ini, suami ingin bersama isteri sewaktu dalam haid, maka tiada ketaatan dalam hal ini kecuali sentuhan pada bahagian selain di antara pusat dengan lutut.

3. Jaga emosi suami. Emosi suami boleh berubah bergantung kepada apa yang dialaminya baik di pejabat, jalan raya dan di rumah. Dalam keadaan ini isteri boleh mengawal emosi suami agar tenang dan bahagia semula. Sambutlah kepulangan suami dengan senyuman walaupun anda bermasalah, berikan pelukan sayang bersama air penyejuk hati. Berikan peluang kepada suami berehat jika dia mahu. Ketika itu segala masalah yang di dalam fikirannya akan dilupakan dengan sekelip mata.

Suami Tak Cakna
Tidak dinafikan dalam banyak-banyak pasangan yang berkahwin terdapat suami yang bermasalah. Terdapat suami yang tidak cakna dalam pergaulan dengan isteri, dia tetap dengan panas barannya walaupun isteri amat penyabar. Sebenarnya suami seperti ini sememang bermasalah sebelum mereka berkahwin lagi.

Mungkin pada waktu itu wanita tersebut tidak dapat mengesan keburukan bakal suaminya. Atau mungkin sudah dapat mengesannya, cuma dia bersangka baik bahawa perangai buruknya itu boleh berubah setelah berkahwin. Atas keyakinan itu mereka teruskan niat berkahwin. Tetapi biasanya andaian itu salah.

Lazimnya lelaki seperti itu apabila menjadi suami, dia tidak boleh sabar dengan kerenah isterinya. Apabila dia menghadapi masalah dalam rumah tangga dia akan menyalahkan isterinya. Kadang-kadang boleh berlaku pergaduhan yang berpanjangan. Isu yang pada asalnya kecil bertukar menjadi besar hingga sukar dibendung lagi.

Selain itu ada juga suami yang tidak nampak kebaikan isterinya, malah isteri yang sering membantu kerja-kerjanya dia tidak mahu menghargainya. Pendek kata dia tidak peka dengan sikap isteri dan keadaan di sekelilingnya. Hasil tinjauan rambang sikap suami seperti ini berpunca daripada tidak taat kepada Allah dan tidak patuh kepada ajaran Islam.

Benar, suami seperti ini tidak solat atau cuai solat. Malah kalau isterinya hendak solat pun dia larang. Mereka ini bukan tidak tahu tentang agama tetapi lebih mementingkan kehendak nafsu. Tetapi apabila kehendak nafsu tidak tercapai akan berlaku pergaduhan. Keluarga seperti inilah yang sering membawa kepada perceraian.

Walau bagaimanapun kalau isteri pandai mengawal keadaan masalah ini tidak akan berpanjangan. Allah menyayangi hambanya yang beriman walaupun imannya senipis kulit bawang. Walaupun nafsu amarah melonjak, namun perceraian tidak berlaku. Kalaupun berlaku juga mereka akhirnya menyesal dan rindukan pasangan masing-masing.

Ya, selagi isteri dalam tempoh iddah, tentu suami ada hak untuk merujuk kembali kepada perkahwinan mereka yang asal. Dalam mazhab Syafi’I, suami ada kuasa rujuk walaupun tanpa keizinan isteri. Semoga dengan kesedaran baru ini hubungan suami isteri akan lebih baik dan bahagia.

Sungguhpun begitu, setiap pasangan suami isteri wajar terus mempelajari ajaran Islam dan memahaminya dengan betul. Percayalah dengan pengetahuan yang jelas mereka boleh hidup bahagia tanpa gangguan luaran mahupun dalaman.

Israk Mikraj

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

1. Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad SAW yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi sama ada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda SAW maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda SAW mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah,

3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa AS dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT);


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu “La Haula Wala Quwwata Illa Billah” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim AS bersabda, "Sampaikan nya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa La Haula Wa La Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

(Sumber: Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.