Selasa, 16 Julai 2013

solat sunat rawatib

Rawatib berasal daripada perkataan ‘raatib‘ yang bermaksud berterusan. Oleh kerana itu Solat Sunat Rawatib dilakukan beriringan secara berterusan sebelum dan selepas solat fardhu lima waktu.
Solat Sunat Rawatib biasa juga disebut solat sunat Qabliyyah (sebelum) dan sunatBa’diyyah (selepas). Ia merupakan pendamping atau pelengkap bagi solat wajib yang bertujuannya untuk mencari keredaan Allah di samping menampung sebarang kekurangan ketika melakukan solat fardhu.
.
Selepas azan Zuhur dianjur mengerjakan solat Qabliyyah dua rakaat. Apabila cukup waktu kerjakanlah dua rakaat lagi. Setelah selesai solat fardhu Zuhur, kerjakanlah solat Ba’diyyah dua rakaat pula, bila ada masa tambahkanlah dua rakaat lagi.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” (H.R. Abu Daud & Tirmidzi)
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi r.a.)
Pada Solat Sunat Rawatib sebelum Asar (Qabliyyah) adalah dua hingga empat rakaat manakala selepas Asar tidak ada rawatib Ba’diyyah.  Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” (H.R. At-Tabrani)
.
Selepas solat fardhu Maghrib kita boleh melakukan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah sebanyak dua rakaat dan solat Maghrib tidak ada Rawatib Qabliyah. Pada solat Isyak terdapat dua rakaat Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan dua rakaat Ba’diyyah. Adapun untuk solat Subuh, hanya ada dua rakaat sebelumnya (Qabliyyah), Solat Subuh tidak ada Solat Rawatib Ba’diyyah malah makruh solat selepas subuh.
.
Terdapat beberapa hadis yang menerangkan mengenai keutamaan Solat Sunat Rawatib. Jumlah yang mu’akkad (digalakkan) ialah 10 raka’at atau 12 raka’at, dalilnya:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ حَفِظْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

 Dari Ibnu Umar bahawa; “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu 2 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat sesudahnya Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaatseusai Isyak (juga di rumah) dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.” (HR Bukhari-Muslim, Bukhari)
.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

 Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudahMaghrib, 2 rakaat  selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)
.
.

Solat sunat Rawatib yang mu’akkad

  1. Solat 2 raka’at sebelum solat fardhu Subuh.
  2. Solat 2 raka’at sebelum solat fardhu Zuhur atau Juma’at.
  3. Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Zuhur atau Juma’at.
  4. Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Maghrib.
  5. Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Isyak
.
Apabila ada kekuatan dan kelapangan lakukanlah 12 raka’at Solat sunat rawatib yang sudah tentunya lengkap dan sempurna. Jika kesibukan, cukuplah lakukan 10 raka’at sahaja.
.
.
CARA MENGERJAKAN SOLAT SUNAT RAWATIB
1. Cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib ini sama seperti dengan cara mengerjakan solat Subuh, hanya niatnya yang berbeza. Solat Sunat Rawatib Zuhur, berniat mengerjakan solat sunat rawatib Qabliyyah atau Ba’diyyah dan dikerjakan dengan cara individu (Munfarid, tidak berjamaah).
.
2.  Niat Solat Rawatib:
a.  Solat Sunat Rawatib Qabliyyah (sebelum)
Daku menunaikan solat sunat sebelum (Zuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.
.
b.  Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah (selepas).
Daku menunaikan solat sunat selepas (Zuhur / Maghrib / Isyak) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.
.
3.  Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
Rakaat 1:  Surah al-Kafirun
Rakaat 2:  Al-Ikhlas
.
.

Peringatan:

  • Semasa melakukan takbiratul ihram solat sunat Rawatib, wajib diniatkan sama ada solat itu Qabliyyah atau pun Ba;diyyah.
  • Solat sunat sebelum fardhu Subuh dan sebelum fardhu Asar tidak perlu disebut atau diniatkan Qabliyyah.
  • Solat-solat sunat Rawatib ini tidak dituntut berjama’ah.
  • Solat-solat sunat Rawatib lebih utama dikerjakan di rumah.
  • Jika lebih 2 raka’at, lakukan tiap-tiap 2 raka’at satu salam.
.
.

Qada solat Rawatib

Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan dan menjaga solat-solat sunat, terutama yang mu’akkad.  Rasulullah SAW bersabda; “Dua rakaat sunat Subuh, lebih aku sukai daripada seisi dunia.” (Hadis riwayat Muslim)
Masuknya waktu solat sunat qabliyyah adalah ketika masuknya waktu solat tersebut dan ianya berakhir setelah masuknya waktu solat selepasnya. Apabila Rasulullah SAW tidak dapat melakukan pada waktunya, Baginda SAW pasti akan mengqadakan solat tersebut pada waktu berikutnya.
.
Daripada Aisyah r.a.; “Bahawa jika Rasulullah SAW tertinggal solat empat rakaat sebelumZuhur, maka Baginda SAW melakukannya selepas Zuhur.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)
Daripada Kitab ‘Mughni al-Muhtaj’“Seandainya terluput akan solat sunat yang berwaktu, disunatkan mengqadakannya.”  Maka solat sunat yang berwaktu boleh diqadakan sama seperti solat fardu.

Penjara Medan



masa

“Kalau kita mahu ajak orang Jepun kepada Islam, apa yang Islam hendak tawarkan kepada orang Jepun?” soalan yang sering saya ajukan di dalam ceramah.

Pada memahami erti menjadi seorang Muslim.

“Terimalah Islam agar kamu lebih menepati masa? Sebab di dalam Islam ada Wa al’Asr! Begitukah?” soalan saya berbentuk provokasi.

Mengajak satu kaum yang bermasalah kepada Islam, untuk menyelesaikan masalahnya dengan Islam sebagai penyelesaian, mungkin jelas hujung pangkalnya.

Namun, bagaimana hendak mengajak satu kaum yang begitu kemas tatacara hidupnya? Sebuah negara yang begitu maju, bersih, dan menepati masa seperti Jepun, apa lagi sebab untuk mereka merasa perlu kepada Islam?

Lebih membingungkan, kalau persoalan ini dibaca begini, “jika tanpa Islam pun Jepun boleh maju, mengapa perlu kepada Islam?!”

Sudah tentu, ketepatan masa yang sering dikaitkan dengan pencapaian ketamadunan Jepun akan mengambil sistem keretapinya sebagai contoh. Ketepatan masanya bukan lagi jam dan minit, malah dalam senggang hanya beberapa saat! Purata kelewatan bagi keretapi laju Tokaido Shinkansen hanyalah 0.3 minit. Jika keretapi terlewat sehingga lima minit, pengumuman memohon maaf akan dibuat dan syarikat keretapi akan mengeluarkan ”delay certificate” kerana pengguna tidak boleh membayangkan keretapi boleh selewat itu! Itulah ketepatan masa sistem pengangkutan sebuah negara bernama Jepun.

Perlu lagikah mereka kepada Wa al-’Asr?

Tragedi keretapi Amagasaki 2005

Seorang anak muda bernama Ryūjirō Takami ada ceritanya.

Pemandu keretapi berusia 23 tahun itu dihantui oleh ”Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang!”

Program ini diangkat menjadi satu bentuk latihan profesional untuk mendisiplinkan pemandu keretapi dan pekerja-pekerja lain agar serius dalam menepati masa. Namun Tamrin Siang itu mengundang risiko yang amat besar. Ia dilihat sebagai salah satu punca utama yang membawa kepada tragedi berdarah keretapi Amagasaki pada pagi 25 April 2005. Sebuah keretapi yang dipandu melebihi had laju telah terbabas, merempuh sebuah apartment dan mengakibatkan kematian 107 orang termasuk pemandu manakala 562 lagi cedera.

Ryūjirō Takami pagi ini bertugas memandu keretapi syarikat JR Fukuchiyama dari Takarazuka ke Dōshisha-mae. Sejurus selepas waktu kemuncak, keretapi yang dipandu oleh Ryūjirō Takami sudah mengalami kelewatan beberapa minit.

Beliau tidak sanggup menghadapi tekanan dan rasa malu yang bakal dihadapinya di dalam Tamrin Siang, apabila pemandu yang mencetuskan kelewatan akan dipaksa memotong rumput di siang hari, mencuci mangkuk tandas dan terus menerus dimarah dengan maki hamun sebagai satu program yang dianggap sebagai latihan profesional untuk mendisiplinkan pekerja pada masa itu. Tertekan dengan keadaan itu, penyiasat percaya ia mewujudkan tekanan yang begitu tinggi hingga Ryūjirō Takami teragak-agak untuk menggunakan brek kecemasan walaupun masih mempunyai masa beberapa saat untuk berbuat demikian.

Akibatnya, keretapi yang dipandu dengan kelajuan  116 km sejam (had laju yang ditetapkan hanya 70km sejam) tergelincir di landasan semasa melalui sebuah selekoh lalu merempuh apartment kediaman berhampiran.

Tragedi menyayat hati pagi ini mendesak pelbagai rombakan dibuat membabitkan jadual keretapi JR West yang terlalu padat, serta ”Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang dirombak semula dalam modus operandi latihan syarikat. Biar pun menepati masa itu mulia dan diangkat sebagai petanda kemajuan sebuah tamadun, bezanya ketepatan masa di dalam budaya Jepun, dengan menepati masa yang dianjurkan oleh Islam adalah pada memposisikannya sebagai proses atau output.

Di dalam budaya Jepun, menepati masa itu menjadi objektif yang hendak dicapai. Apabila ia dicapai, objektif terhasil dan jika gagal dicapai, ia merupakan sebuah kemunduran. Motif menepati masa berlegar pada soal memenuhi keperluan manusia, hingga manusia tenggelam punca pada menentukan mereka mereka perlu menepati masa pada harga yang begitu mahal, membunuh manusia sendiri?

Mesej demi masa


“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian yang sebenar-benarnya. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Serta berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” [Surah al-'Asr : ayat 1-3]

Allah bersumpah dengan masa.

Tandanya masa itu amat penting.

Apa sahaja yang Allah sumpah di dalam ayat-ayat al-Quran, ia memberitahu kita akan kepentingannya.

Masa yang tidak dijaga menjadikan manusia hidup dalam kerugian. Masakan tidak, masa itu adalah umur. Sesaat yang berlalu, adalah lebih jauh daripada 100 hari yang belum tiba. Betapa pentingnya manusia yang menghargai kehidupan, sensitif dengan masa.

Namun memuliakan masa itu ada rangkanya.

Kita memuliakan masa kerana memuliakan masa itu adalah ibadah kita kepada Allah. Tanda keimanan kita kepada-Nya. Ibadah-ibadah kita sangat banyak yang disandarkan kepada masa. Lima waktu solat, permulaan puasa dan berbuka, Ramadan dan Shawal, hawl untuk zakat, musim haji, dan amalan-amalan sunat yang disandarkan kepada masa-masa yang tertentu, adalah modus operandi Islam agar sensitiviti terhadap masa adalah dengan dorongan iman.

Akauntabiliti kita kepada Allah.

“Jangan kamu mencela masa, kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa!” [HR Muslim]

Ertinya, masa itu Allah secara eksklusif mengendalikannya. Tanpa campur tangan makhluk. Panjangnya siang dan malam, cepat atau lewatnya perjalanan masa, semuanya dalam kekuasaan Allah dan kita sebagai manusia dipertanggungjawabkan dalam keadaan beriman dan beramal soleh, untuk mengatur hidup dalam ruang lingkup masa yang ada.

Manusia yang berjaya, dibekalkan 24 jam dalam sehari.

Manusia yang gagal, juga dibekalkan 24 jam sehari.

Mereka yang berjaya, memanfaatkan masa. Mereka yang gagal, mensia-siakan masa.

Islam memberikan ketepatan masa suatu motif yang lebih tinggi daripada sekadar memenuhi keperluan manusia. Menepati masa adalah untuk merealisasikan sifat kita sebagai hamba kepada Tuhan, bukan hamba sesama manusia.

Dan untuk mencapainya, siang dalam malam kita ditamrinkan dengan berpesan-pesan dengan apa yang benar, dan berpesan-pesan dengan penuh kesabaran.

Jepun yang sudah begitu menepati masa, memerlukan Islam untuk menyuntik sebuah MOTIF.

Kerana kebaikan tanpa MOTIF yang benar, adalah sebuah kekosongan makna yang menghilangkan erti sebuah perbuatan.

Menepati masa untuk menunaikan KEPERLUAN, kepada menepati masa untuk menunaikan TUJUAN.

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mereka memperhambakan diri beribadah kepada-Ku.” [Surah al-Dzariyat : ayat 56]

Ryūjirō Takami tidak sempat menerima mesej ini. Masanya tamat dalam sebuah hambatan masa.

Moga menjadi iktibar buat kita semua yang sudah Muslim, namun masih panjang perjalanannnya untuk menepati masa.

http://saifulislam.com/

inbox

Suatu hari, seorang gadis jelita menerima satu private message di INBOX Pecebuknya. Ditiliknya dulu siapa sender. Kalau muka hensem, baru buka. Kalau DP kartun, ignore. Kalau DP Islamik, ignore. Kalau DP politik, block.

Kebetulan yang inboxnya itu jejaka kacak. Dibukanya mesej dan dibalas sapaan jejaka itu.

Jejaka: Terima kasih sudi approved saya jadi kawan awak.

Gadis: Sama-sama

Jejaka: Boleh saya tanya soalan tak?

Gadis: Saya single. Jangan risau, bukan tunang sesiapa. Bukan awek sesiapa. Bukan isteri sesiapa. Saya hak milik ibu dan ayah saya. Jelas?

Jejaka: Bukan itu yang saya nak tanya.

Gadis: Habis tu?

Jejaka: Saya nak tanya, awak dah minta izin ibu ayah awak ke letak gambar posing banyak-banyak ni kat Pecebuk? Dah tanya pendapat ustaz dan ustazah?

Gadis: !!!!!!!!!!!!!!!!

Jejaka: Takpe. Kalau belum, minta dulu kebenaran ya. Saya bukan apa, mak saya suruh cari yang taat pada ibu ayahnya. Hormat ustaz ustazah. Itulah baru calon isteri mithali.

Gadis: !!!!!!!!!

Jejaka: Kenapa awak taip "!!!!" je?

Gadis: Boleh tak awak lenyap sekarang juga dari mata kitee? Sakit pullak hati kitee ni!

Jejaka: Ops. Baiklah. Mak saya ada pesan, nak cari isteri tu carilah yang boleh dengar nasihat, boleh dibimbing dan dengar kata serta penyabar lagi sopan santun orangnya. Assalamualaikum.

Gadis tu terus memblock jejaka itu tanpa segan silu lagi. Panas hatinya.

Tiba-tiba masuk mesej baru di INBOXnya. Eh, muka jejaka tu lagi. Kan dah block tadi.

Jejaka: Sori, ni akaun ke-2 saya, cuma nak bagitau...awak tak jawab salam saya lagi tadi tau.

Gadis: "WAALAIKUMUSSALAM WARAHMATULLAHI WABARAKAAAATUHHHH!!!"

Cerita: Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

Isnin, 15 Julai 2013

suami isteri syurga

Adakah Suami Isteri Akan Kekal Sebagai Suami Dan Isteri Di Akhirat Kelak?
1. Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin. Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin akan dikahwinkan oleh Allah SWT di syurga kelak dengan seorang lelaki di kalangan ahli syurga. Rasullullah SAW bersabda ‘ Tiada si bujang di dalam syurga’ (Muslim). Ini kerana ada juga lelaki belum berkahwin yang meninggal dunia.

2. Wanita yang meninggal dunia setelah diceraikan dan tidak berkahwin sesudahnya. Wanita ini juga akan dikahwinkan oleh Allah SWT dengan lelaki daripada ahli syurga.

3. Wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya tidak masuk syurga. Begitu juga wanita yang meninggal dunia yang masuk syurga sedangkan suaminya tidak masuk syurga, akan di kahwinkan oleh Allah dengan serorang daripada lelaki yang masuk syurga.

4. Wanita yang meninggal dunia setelah berkahwin. Wanita ini akan berada bersama suaminya di syurga kelak sekiranya suaminya masuk syurga.

5. Wanita yang kematian suami dan tidak berkahwin sesudahnya. Wanita ini akan tetap bersama suaminya yang dikahwini di dunia sekiranya suaminya masuk syurga.

6. Wanita yang kematian suami dan berkahwin sesudahnya. Wanita yang kematian suami dan berkahwin lain akan bersama lelaki yang terakhir dikahwininya di dunia tidak kira berapa kali dia berkahwin. Suami yang terakhir adalah suaminya di syurga sekiranya suami itu menjadi ahli syurga. Rasullullah SAW bersabda.. ‘wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir.
.