Selasa, 15 Oktober 2013

Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah

Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah ingin menghabiskan malamnya di sebuah masjid, tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya (mungkin kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin Hambal). Puas Imam Ahmad bin Hambal memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil.

Sehingga akhirnya Imam Ahmad bin Hambal berkata: “Aku akan tidur di atas kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hambal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hanbal keluar dari masjid tersebut.

Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam Ahmad keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.

Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.

Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar.

Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah doa itu?”

Pembuat roti pun berkata: “Aku sangat menginginkan bertemu dan melihat Imam Ahmad bin Hambal.” Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hambal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”

Bengap




Kajian – Terlalu Bergantung Kepada Google Boleh Bengap Otak? | LONDON: Seorang daripada pereka cipta terkemuka Britain memberi amaran, “generasi Google” yang terlalu bergantung kepada Internet untuk sebarang maklumat berdepan kemungkinan mengalami bengap otak atau “kematian otak.”

Pencipta radio wind up (radio berkuasa manual), Trevor Baylis, berkata kanak-kanak semakin hilang daya kreativiti serta kemahiran praktikal kerana terlalu banyak menghabiskan masa di depan skrin komputer. Kata Baylis, 75, dia bimbang generasi pereka cipta akan datang akan hilang dan kebanyakan anak muda hari ini tidak mampu berusaha sendiri untuk melakukan sesuatu.

“Namun, kanak-kanak boleh mengembalikan kemahiran penting itu jika sekolah menggunakan mainan praktikal seperti Meccano,” katanya.

Meccano adalah alat mainan menggunakan pelbagai jenis bahan terpakai, seperti kepingan keluli, skru dan nat.

Ia perlu digabungkan antara satu sama lain bagi membina pelbagai objek. Kata Baylis, kanak-kanak perlu diajar melakukan sesuatu dengan tangan, bukan bergantung kepada telefon bimbit atau komputer. “Memang mereka perlu menggunakan komputer dari semasa ke semasa, tetapi ada terlalu ramai yang menggunakan alat itu secara berlebihan.

“Mereka bergantung kepada carian Google dan ramai kanak-kanak akan menjadi seperti mati otak jika terlalu bergantung kepada Internet kerana mereka tidak mampu melakukan sendiri mengikut cara lama,” katanya. Mengenang semula bagaimana dia menjadi pereka cipta, Baylis berkata, dia bermula seawal usia lima atau enam tahun.

Ketika perang, katanya, dia tidak bersekolah dan sering merayau di kawasan rumahnya di Southhall, Middlesex, untuk mengumpul bahan terbuang. “Satu hari, saya bertemu seorang wanita yang menghadiahkan sekotak besar barang.


“Dalam perjalanan pulang, rasa ingin tahu mendorong saya membuka kotak berkenaan di pertengahan jalan dan mendapati ia adalah satu set besar Meccano,” katanya

doa

Di antara doa yg di aminkan Malaikat, justeru makbul: 

1.Org tidur dlm keadaan bersuci (wudu'), 
2.Org yg duduk tunggu waktu solat, 
3.Org yg di saf depan solat berjamaah, 
4.Org yg penuhkan saf yg kosong,
5.Org yg sebut "AMIN" selepas imam baca fatehah serentak dgn Malaikat,
6.Org yg duduk atas sejadah selepas solat,
7.Org yg solat 'asar & subuh berjemaah,
8. Org yg doakan saudaranya dlm senyap,
9. Org yg infakkan hartanya,
10.Org yg bangun mkn sahur,
11.Org yg ziarah org sakit,
12.Org yg sdg berpuasa,
13.Org yg doa semasa sujud,
14.Org yg di zalimi,
15. Pemimpin yg adil,
16. Doa semasa hujan atau bencana alam,
17. Doa masa tahajjud.

Moga kita berterusan berdoa.

Ahad, 13 Oktober 2013

jama' & Qasar

KESILAPAN SOLAT JAMAK QASAR: TAPI ANDA TIDAK PERASAN.

Menghadiri ‘conference’ dalam dan luar negara bukan perkara ganjil. Ramai yang pergi dan kembali, bahkan ramai yang berulang-alik ke pelbagai destinasi dengan niat mengembangkan ilmu. Ini perkara rutin bagi seorang researcher atau ahli akademik di universiti atau ‘research centre’. Tidak ketinggalan bagi yang suka melancong, musafir adalah perkara ‘ghalib’.

Sungguhpun setiap musafir dengan niat kerana Allah besar ganjaran pahalanya, namun harus ditelusuri feqah yang berkaitan dengan musafir tersebut, adakah bertepatan dengan syariah? Mungkin ramai yang tidak pernah mengambil kisah akan adab musafir mengikut sunnah. Amat rugi, jika kita tidak mengambil kepentingan dari perkara adab dan sunnah Rasul. Namun perkara sunat bukanlah ‘aula’ jika yang wajib masih terumbang-ambing. Antara sedar atau tidak, ramai yang melakukan kesalahan berulang akan hal yang wajib seperti SOLAT.

Walaupun isu solat jamak atau jamak qasar bukan lagi menjadi topik perbincangan mutakhir ini, namun saya melihat ianya masih lagi perlu diperhalusi kerana masih banyak salah faham yang berlaku. Malah, masalah ini seringkali berlegar-legar dalam kumpulan teman-teman yang bermusafir bersama saya. Tidak kira musafir ke tempat jauh atau dekat, isu solat tidak boleh dipandang remeh.

Lihat situasi berikut:

Sehingga ke hari ini, masih ramai yang menganggap bahawa solat jamak qasar boleh dilakukan 3 hari pertama berada di sesuatu tempat. Sedangkan menduduki tempat melebihi 3 hari tidak lagi dikira musafir tetapi ‘bermukim’ (sudah gugur taraf musafir). Jadi, solat jamak qasar sama sekali tidak ‘valid’ apabila anda telah sampai ke destinasi. Tiada nas yang membenarkan solat jamak qasar pada 3 hari pertama anda bermukim. Solat jamak qasar hanya ‘valid’ sepanjang perjalanan anda yang melebihi 89 km dan tidak ‘valid’ sebaik tiba di destinasi yang anda ingin duduki melebihi 3 hari. Sekali lagi diingatkan, jamak qasar selama 3 hari hanya dibenarkan untuk orang yang benar-benar singgah tidak melebihi tiga hari di sesuatu tempat.

Namun, anda masih diberi rukhsah untuk menjamakkan solat apabila berada dalam situasi yang sukar. Dan jamak ini dibenarkan sepanjang tempoh mukim atas sebab-sebab yang diizinkan syarak. Salah faham berlaku apabila kebanyakan kita tidak jelas akan perbezaan antara solat jamak qasar dan solat jamak. Mungkin silibus pendidikan Islam di peringkat sekolah perlu dikaji semula kerana belum mampu memberi kefahaman tentang masalah feqah yang paling utama ini. Ataupun ustaz ustazah perlu mengkaji kaedah pengajaran agar lebih berkesan dan dapat difahami oleh pelajar di sekolah.

Sedikit pencerahan tentang solat qasar dan solat jamak.

1) Solat Qasar

Sekiranya anda bermusafir ke sesuatu tempat yang perjalanannya melebihi dua marhalah atau 89 kilometer, maka diharuskan untuk mengqasarkan solat.

(Dua marhalah bersamaan empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 km.)

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…” [an-Nisa’ : 101]

Bahkan dalam satu hadith Riwayat An-Nasa’i dan Abu Daud, Rasulullah s.a.w mengharuskan para sahabat mengqasarkan solat walaupun bermusafir dalam keadaan aman.

Qasar adalah memendekkan solat, yang 4 kepada 2.

Syarat qasar :

1) Jarak perjalanan > 89 km

2) Bermusafir tidak melebihi 3 hari penuh (tidak termasuk hari berangkat dan pulang)

3) Sudah memulakan perjalanan dan keluar dari mukim atau kawasan kampungnya.

Apa bezanya solat qasar dan solat jamak?

2) Solat jamak

Pada asasnya, solat jamak tidak berkaitan secara langsung dengan solat qasar dan ianya boleh dilakukan atas pelbagai keperluan yang dibenarkan syarak. Solat jamak maksudnya menghimpunkan solat tanpa mengurangkan rakaat.

Perkara yang membolehkan jamak:

Dalam Syarah Muslim, Imam al-Nawawi r.a berkata: “Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang tidak musafir, bila terdapat suatu kepentingan, asalkan hal itu tidak dijadikan kebiasaan. Ini juga merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki, juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafi’i, juga dari Ishak Marwazi dan dari jemaah ahli hadis, serta pendapat yang dipilih oleh Ibnul Mundzir. [al-Majmu’, jil. 4, ms. 264]

Dalam kitab feqah karangan Dr. Basri Ibrahim ada menjelaskan keharusan jamak kepada beberapa golongan yang memerlukan seperti sakit, ketakutan, pekerjaan yang punya maslahat kepada umat, bencana alam dan musafir. Bahkan syarat bagi musafir untuk menjamakkan solat tidak diwajibkan melebihi dua marhalah. Waima orang yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan tidak mampu keluar dari situasi tersebut boleh berniat jamak, dan melaksanakan solat jamak ta’khir apabila sampai di rumah. Ini kerana solat jamak tidak terikat kepada syarat jarak perjalanan, musafir, bermukim dan keluar dari mukim.

2 Jenis solat jamak yang anda sedia maklum:

1. Jamak Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.

Syarat jamak Taqdim :

1) Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.

2) Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.

3) Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.

4) Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

2. Jamak Ta’khir pula ialah mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

Syarat jamak Ta’khir :

1) Hendaklah berniat jamak ta’khir dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib. Tidak sah solat jamak ta’khir yang dilakukan akibat luput waktu solat, tanpa diniatkan sedari awal waktu solat yang pertama.

Jadi, apa perbezaan jamak qasar dan jamak?

Sangat berbeza kerana,

1. Jamak qasar bermaksud menghimpunkan dan memendekkan, manakala jamak bermaksud menghimpunkan sahaja.

2. Jamak qasar hanya dibenarkan bagi orang yang sedang bermusafir melebih 2 marhalah dan singgah tidak melebihi 3 hari penuh.

3. Jamak pula dibenarkan pada pelbagai keadaan mengikut keperluan yang syari’e.

Lihat situasi berikut :

Contoh 1: Ulama membincangkan masalah solat jamak sebelum memulakan perjalanan. Jumhur ulama berpendapat, boleh menjamakkan solat sebelum bertolak sekiranya dibimbangi berlaku kesukaran untuk solat dalam perjalanan. Pendapat ini berdasarkan hadith:

"Rasulullah saw menjamakkan solat Zohor dan Asar di Madinah, pada masa itu tiada ketakutan dan tidak pula musafir, Abu al-Zubair berkata : Aku bertanya kepada Sa'ed (iaitu Ibn Jubair), Kenapa baginda melakukan begitu? Dia berkata, Aku telah bertanya Ibn 'Abbas soalan yang sama, dan dia berkata : Baginda tidak mahu sesiapa dikalangan umatnya menghadapi kesukaran" [Hadith Riwayat Muslim no. 705].

Tapi perlu diingat.. yang dibenarkan adalah solat JAMAK, bukan JAMAK QASAR.

Sekali lagi ditekankan bahawa jamak qasar hanya boleh dilakukan apabila anda sudah memulakan perjalanan dan keluar daripada mukim.

“Diantara syarat-syarat sah memendekkan (qasar) solat adalah hendaklah musafir melepasi pagar kampung (balad) yang dimulakan permusafirannya" [al-Fiqh al-Manhaji 1/187].

Contoh 2: Anda sudahpun dalam perjalanan pulang ke rumah. Akibat kesulitan sepanjang perjalanan pulang menyebabkan anda tidak mampu menunaikan solat dalam perjalanan. Sebagai contoh, jalan yang sangat 'jam' (musim perayaan) yang boleh menyebabkan terluput waktu solat. Maka dibolehkan anda jamak ta’khir di rumah. Sekali lagi ditegaskan, dibolehkan JAMAK, bukan JAMAK QASAR. Kerana jamak qasar tidak ‘valid’ apabila anda telah sampai di rumah.

Contoh 3: Apabila mengalami sebarang kesulitan di tempat anda bermukim (musafir yang melebihi 3 hari), maka dibolehkan jamak. Contoh kesulitan berbeza mengikut situasi. Berada di tempat asing memungkinkan kita berhadapan dengan pelbagai masalah. Hanya yang mengalaminya dapat merasakannya. Jangan tinggalkan solat, sebaliknya jamaklah pada sesetengah keadaan yang sulit. Allah telah memberi kelonggaran kepada hamba-hambanya pada setiap keadaan agar kita menjadi hamba yang sentiasa ta’at.

Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid juga pernah menyatakan hal ini :

"Dibenarkan bagi seseorang yang bermukim (tidak musafir) menjamakkan dua solat jika ia menjadi terlalu sukar untuk melakukan solat yang kedua pada waktunya. Kebenaran menjamakkan solat adalah LUAS berbanding dengan memendekkan solat, kerana memendek (qasar) solat hanya dibenarkan kepada musafir sahaja. Akan tetapi jamak dibenarkan kepada musafir dan bukan musafir untuk menjamak solat apabila menghadapi kesukaran menunaikan solat samaada pada waktunya atau didalam jemaah".

Dengan itu, jelas sekali ketetapan untuk solat tidak pernah gugur walaupun kita berada dalam kesulitan. Bahkan Allah telah memberi kemudahan untuk kita tetap ‘thabat’ di atas jalan-jalan orang yang abid.

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran"[al-Baqarah : 185]

"dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama" [al-Haj : 78]

_________________________________________________________________________________

Disclaimer Note : Setiap pendapat saya adalah bukan pendapat peribadi yang condong kepada mana-mana fahaman. Pangkal dalam setiap hukum syariat Islam adalah dalil dari al-Quran dan hadith. Telah berkata Imam Malik r.a, “mana-mana pendapat yang dilontarkan setiap muslim boleh diambil dan boleh ditolak, kecuali yang datang dari Muhammad s.a.w”. Jadi, sekiranya terdapat pendapat yang tersasar daripada dalil yang sahih, maka lakukan penolakan. Yusuf Qardhawi pernah mengingatkan bahawa setiap muslim adalah tawanan hujah yang kuat serta dalil yang sahih. Dr. Yusuf al-Qaradawi juga telah mengupas mengenai isu jamak dan qasar ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).

Allah Lebih Mengetahui.

ASMAH ALIAS. UiTM. AS 990, 9 Sept 2012, 22 Syawal 1433

ladam

Sheraton Huzhou Hot Springs Resort ialah sebuah hotel yang dibina di tepi Tasik Taihu Huzhou. Bangunan hotel ini berbentuk ladam dan anda boleh belayar menerusinya. Terdapat 282 bilik di dalam bangunan 27 tingkat ini. Selain itu terdapat juga 37 villa eksklusif lengkap dengan kolam air panas tersendiri. China nampaknya semakin dipenuhi bangunan yang mempunyai rekaan yang unik. 


Laporan asal Dezeen