Khamis, 1 Januari 2015

Dakwah hati

“Sudah berapa lama tuan memeluk Islam?”tanya saya pendek
“Dua puluh tahun,”jawab lelaki berbangsa India itu juga dengan pendek.
“Semua keluarga turut masuk Islam?”
“Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk ibu-bapa saya,” jawabnya sambil tersenyum. Wajahnya nampak sangat tenang. Jadi senang hati melihatnya.
“Yang paling akhir?”
“Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu.”
“Alhamdulillah…”
“Tetapi ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu.”
Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.
“Masih sedih…” kata saya perlahan sambil mengusap bahunya. Separuh bertanya, separuh simpati.
“Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak.”
Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.
“Mengapa tuan rasa gembira?”
“Panjang ceritanya…”
Saya memberi isyarat yang sangat berminat mendengar. Mungkin kerana itu dia pun mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat. Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan perasaannya. Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita. Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita ‘berniqab’ yang bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.
“Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Tanpa melihat wajahnya pun, hati saya sudah terpikat. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan budinya.”
“Bagaimana menyatakannya?”
“Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat.”
“Masa tu belum Islam?”
“Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam. Itulah saya.”
“Subhanallah menarik. Bagaimana reaksinya?”
“Dia menjawab… bakal suami saya hanyalah seorang Muslim.”
“Saya tahu, itu ialah syaratnya. Lantas, saya katakan kepadanya, masih melalui orang tengah,  beri saya masa secukupnya untuk memeluk Islam. Saya rasional, saya tidak akan ikut-ikutan. Saya perlu berfikir.”
“Dia beri cukup masa untuk berfikir?”
“Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam. Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk diterokai.”
“Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini?” tusuk saya.
“Mula-mula begitulah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya jatuh cinta kepada Pencipta wanita.”
“Begitu mudah?”
“Tidak juga. Saya berfikir lama…. Hati saya selalu bertanya apa yang menyebabkan seorang wanita begitu ‘terbuka’ ketika wajahnya tertutup. Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya.  Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dari dalam dirinya yang menjadikan dia begitu.”
“Berapa lama?”
“Hampir dua tahun.”
“Dia sabar menunggu?”
“Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?”
“Wah. Itu cinta pertama?”
“Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta kepada wanita lain sebelumnya.  Pada dia cinta pertama, pada saya cinta utama. Dalam banyak-banyak cinta, cinta itulah yang paling suci dan unik.”
“Perkahwinan meriah?”
“Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria.”
Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya terus bertanya, “itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita ibu.”
“Cerita ibu dan isteri saya sangat berkaitan.”
Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Saya lihat di antara mereka yang mengikuti kursus kepimpinan Islam itu dialah yang paling bersungguh-sungguh dan fokus. Banyak pertanyaan yang diajukannya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat?
“Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat mengerjakan haji. Anak-anak kami dididik untuk mendalami agama sejak kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga orang anak kami hafaz Al Quran.”
“Bertuah. InsyaAllah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengannya?”
“Tidak boleh. Maaf, tidak boleh.”
Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Lantas bertanya, “mengapa?”
“Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat diubat lagi. Sebulan meninggal…”
Terkejut. Daripada rasa terkilan tadi, bertukar tiba-tiba kepada rasa sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangannya srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.
Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut merasainya. Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi… separuh diri kita juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah yang sangat besar impaknya dalam kehidupan. Hamka, seorang penulis yang tersohor pernah meluahkan isi hatinya ketika ditinggal mati oleh isterinya. Ketika ditanya oleh anaknya (irfan), beliau meluahkan :
“Kau tahu, Irfan. Ayah dan Ummi telah berpuluh-puluh tahun lamanya hidup bersama. Tidak mudah bagi Ayah melupakan kebaikan Ummi. Itulah sebabnya bila datang ingatan Ayah terhadap Ummi, Ayah mengenangnya dengan bersenandung. Namun, bila ingatan Ayah kepada Ummi itu muncul begitu kuat, Ayah lalu segera mengambil air wudhu’. Ayah solat Taubat dua rakaat. Kemudian Ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan memusatkan fikiran dan kecintaan Ayah semata-mata kepada Allah,” jawab Ayah
“Tetapi satu kematian yang indah…” tiba-tiba dia bersuara, memutuskan ingatan saya pada Allahyarham Pak Hamka.
“Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?”
“Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali ini dia benar-benar tenat. Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis solat sahaja, dia mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali… lalu terus menghembus nafas yang terakhir.”
“Begitu mudah?”
“Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian yang indah.”
“Al Fatihah,” ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al fatihah dan berdoa semoga rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Seseorang akan mati mengikut cara hidupnya. Jika cara hidupnya baik, maka dia akan menemui kematian dengan sebaik-baiknya. Wanita itu telah mengislamkan suaminya, melahirkan anak-anak yang baik,  bisik hati saya.
“Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan  lama bergaul dengannya.”
“Wah, mudahnya…”
“Tetapi ada  juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak isteri saya pun tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun, ajaibnya… masih isteri saya juga menjadi sebab keislaman ibu-bapa saya.”
“Macam mana tu?” tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam perbualan kami tadi. Daripada soal ibu-bapanya teralih pula kepada soal isterinya. Benar katanya tadi, soal ibu dan isteri sangat rapat dan Saling berkait.
“Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara…”
Saya benar-benar ‘suspen’. Menanti dengan penuh minat.
“Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil dakwahnya kepada ibu saya,” katanya tanpa memberi jawapan yang saya tunggu.
“Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia dahulu kemudian baru ibu tuan memeluk Islam?”
“Ya,”jawabnya pendek.
“Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan itu?” tanya saya, mengulang pertanyaan yang sangat saya dambakan jawapannya sejak tadi.
“Begini, arwah isteri saya menyatakan bahawa doa anak kepada ibu-bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah ibu-bapanya meninggal dunia, bahkan semasa ibu-bapanya itu masih hidup lagi.   Satu hari, dia sarankan saya berdoa setiap kali selepas solat dan setiap kali membaca Al Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada ibu-bapa saya.”
Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa solat dan membaca Al Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.
“Jadi tuan ikut saranan itu?”
“Ya. Saya ikut.”
“Berapa lama?”
“ Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat dan membaca Al Quran saya doakan ibu-bapa saya. Yakni, sejak hari Allahyarham isteri mencadangkannya pada saya… saya amalkan. Dia meninggal dua tahun yang lalu, ibu pula baru dua minggu yang lepas. Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya.”
“Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada kita nanti. InsyaAllah. Mudah-mudahan dia dan ibu tuan ditempatkan di kalangan roh orang yang beriman. Sama-sama akan ke syurga nanti…”
Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu dengan akhlak yang baik, kata-kata yang penuh hikmah dan doa yang istiqamah. Tanpa wajah dilihat, tetapi diri  sudah mampu memikat. Itulah mesej di sebalik ‘sayonara’ seorang isteri yang berniqab…

gentle Thief

Telefon Saniman berbunyi. Ada notifikasi dari aplikasi MyTeksi yang baharu dimuatnaiknya dua minggu yang lepas.

Ada penumpang yang mahu ke Kelana Jaya dari Gombak Setia.

Ah, jauh sangat tu. Time macam ni konfem jem lagi. Kenapa tak naik LRT je?

Saniman meneruskan pemanduannya. Tidak dinafikannya, semenjak dia mula menggunakan aplikasi MyTeksi, lebih mudah untuk dia mendapatkan penumpang. Pada mulanya, dia agak skeptikal dengan perisian itu. Ah Saniman memang skeptikal dengan apa-apa jenis teknologi pon. Dengan telefon pintar pon dia skeptikal, apatah lagi dengan aplikasi yang kononnya boleh memudahkan para pemandu teksi  untuk mencari penumpang itu?

Tetapi setelah diyakinkan oleh beberapa orang rakan pemandu teksinya yang mendakwa aplikasi itu telah banyak memudahkan hidup mereka, akhirnya Saniman akur. Namun Saniman terpaksa membeli sebuah telefon pintar dahulu. Setelah puas mencari telefon yang paling murah yang boleh didapati di pasaran, akhirnya Saniman berpuas hati dengan telefon Ninetology buatan Malaysia.

Patriotik katanya.  

Telefonnya berbunyi lagi. Ada orang yang mahukan teksi untuk ke Bukit Bintang dari Setiawangsa.

Bukit Bintang? Gila apa. Orang baru nak pergi lunch ni!

Masuk satu lagi notifikasi.

Ada penumpang yang mahu ke Bukit Antarabangsa dari Wangsa Walk Mall.

Saniman menderam jari-jemarinya pada stereng kereta Proton Saga yang dimilikinya secara sewa beli itu. Berkira-kira sama ada mahu mengambil penumpang itu atau pon tidak.

Sempat dijelingnya gambarnya pada lesen pemandu teksi yang diletakkan di atasdashboard di hadapan tempat penumpang hadapan. Tujuh tahun yang lalu. Ketika itu misainya masih tebal dan kumisnya panjang.

Hensem jugak aku. Kehkeh.

Akhirnya dia membuat keputusan. Dia menekan skrin telefonnya untuk menerima tawaran untuk mengambil penumpang tersebut.

Bukit Antarabangsa dekat je. Abes hantar dia, boleh aku patah balik ke Sri Rampai.

Proton Saga berwarna biru tua dan putih itu meluncur laju menuju ke Wangsa Walk Mall. Seminit sebelum tiba, Saniman menelefon bakal penumpangnya itu, untuk memastikan lokasi sebenarnya agar mudah Saniman menjemputnya nanti.

Suara lelaki. Muda. Saniman sedikit kecewa.

Tibanya Saniman ke lokasi, seorang lelaki tampan, berbaju kemeja putih dengan tangan yang tersingsing, berseluar khaki perang tua dengan loafer merah yang sepadan, sudah sedia menanti. Ada beg kertas besar berwarna biru tua tertulis ZARA. Baru selesaishopping agaknya. Lelaki itu tersenyum sebaik sahaja melihat kelibat teksi Saniman. Dalam lesung pipitnya. Manis.

“Assalamualaikum.”

Lelaki itu memberikan salam sebaik sahaja pintu dikuak. Semerbak bau minyak wangi menusuk hidung Saniman apabila lelaki itu menutup pintu teksinya. Saniman tidak tahu minyak wangi jenama apa yang digunakannya, tapi yang pasti, ia adalah minyak wangi yang mahal. Alah Saniman tidaklah kisah sangat pon. Ketiaknya itu pon jarang sekali disapu dengan deodoran, inikan pula mahu ambil tahu tentang minyak wangi? Lupakan.   

Saniman memerhatikan lelaki itu dari cermin pandang belakangnya. Kini struktur wajah dan fizikal lelaki itu lebih jelas. Kulitnya putih dan licin. Hidungnya mancung. Rambutnya kerinting dipotong pendek. Keningnya tebal dan bulu matanya juga tebal. Kepala Saniman berputar memikirkan sama ada dia pernah terlihat lelaki ini di mana-mana iklan atau drama Melayu.

Lelaki itu tersenyum, seakan-akan tahu yang dia sedang diratah oleh mata Saniman. Malu Saniman dibuatnya. Tersipu-sipu jadinya.

“Err Bukit Antarabangsa dekat mana Encik?”

“Oh ye. Depan sikit dari Masjid Bukit Antarabangsa tu. Atas lagi.”

“Oohh ok.”

Lelaki itu tersenyum lagi. Saniman senang dengan penumpangnya itu. Tak lokek dengan senyuman. Nampak pon baik.

Pengalaman Saniman memandu teksi selama tujuh tahun telah menemukannya dengan beraneka jenis penumpang. Yang sombong perasan macam Mak Datin ada. Yang baik hati pijak semut tak mati ada. Yang bisu sepanjang perjalanan ada. Yang terlebih ramah sehingga buat Saniman menyampah pon ada. Macam-macam ada!

Suasana di dalam teksi itu sunyi seketika, hanya ditemani dengan celoteh deejay Sinar.fm, sehinggalah teksi itu baharu sahaja melepasi Zoo Negara apabila lelaki itu memulakan biacara.

“Dah lawa bawak teksi bang?”

“Adalah dalam… tujuh tahun gitu.”

“Oh lama jugak tu. Sebelum tu abang kerja apa?”


“Macam-macam encik. Pernah jadi buruh binaan. Pernah jual jambu dan air bungkus naik motor. Pernah kerja di pejabat. Macam-macam lah.”

Lelaki itu tersenyum lagi. Ada riak kagum pada wajahnya.

“Banyak pengalaman abang ni. Kenapa pilih untuk bawak teksi?”

Saniman sedikit tersentak dengan soalan itu. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab. Jujur, dia sendiri tidak pasti mengapa.


“Entahlah Encik. Ni saja yang saya mampu buat untuk tanggung anak bini.”

“Oh. Abang berapa orang anak?”

“Empat. Hujung tahun ni masuk lima InsyaAllah.”

Kali ini Saniman pula yang tersenyum lebar.

“Wah tahniah bang!”

“Terima kasih Encik. Encik? Dah kahwin?”

Lelaki itu tertawa kecil.

“Saya? Abang rasa? Ada gaya macam suami orang tak? Hehe.”


Saniman tersenyum simpul. Dia cuba mengagak.

“Entahlah Encik. Kalau ikut firasat saya, macam belum.”

Lelaki itu tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya.

“Haha. Nampak muda lagi eh saya ni bang? Saya dah kahwin bang. Anak sorang.”

Terangkat kening Saniman mendengarnya. Sangkanya, lelaki sekacak dan sebergaya itu, pasti memilih untuk bujang lebih lama. Bertuah siapa yang menjadi isterinya.  

Saniman memberikan isyarat untuk masuk ke kiri. Teksi Proton Saga itu membelok ke kiri, bersedia untuk mula mendaki Bukit Antarabangsa. Azmin Ali tersenyum menyambut sesiapa sahaja yang mahu masuk ke kawasan parlimennya itu. Bergoyang-goyang loket kalimah Allah dan Muhammad berwarna emas yang digantung pada cermin pandang belakang teksinya itu.

Sisa-sisa tanah runtuh beberapa tahun yang lepas masih jelas kelihatan di bahagian kanan jalan. Seriau juga Saniman dibuatnya.

“Mesti macam-macam jenis penumpang abang dah jumpa kan?”

Saniman melihat cermin pandang belakangnya. Dia tidak dapat meneka motif lelaki itu bertanyakan soalan sebegitu kerana dia sedang memandang ke arah luar.

“Haah Encik. Macam-macam perangai ada.”

Lelaki itu mula menunjukkan minatnya.

“Macam-macam perangai? Contoh?”

Saniman memerhatikan sekeliling, risau jika dia terlepas simpang. Dia bukanlah selalu ke Bukit Antarabangsa itu.

“Macam-macam lah encik. Yang nak menipu ada. Yang buat-buat takde duit ada. Yang dok sibuk beromen ada. Yang pelupa ada. Yang pemurah dan baik hati pon ramai. Ada sekali tu, tambang makcik ni sembilan ringgit je, tapi makcik ni ada doploh ringgit, dia takde duit kecik. Dia kata, ‘Keep the change.’ Ha yang macam tu saya suka.”

Kedua-dua Saniman dan lelaki itu tertawa.

 “Abang selalu kena tipu?”

“Uhmm takdelah selalu. Tapi cukuplah untuk saya kenal jenis orang macam ni.”

“Iya? Macam mana?”

Saniman lega apabila dia menangkap papan tanda ‘MASJID BUKIT ANTARABANGSA.’ Dia segera mengikuti arah yang ditunjukkan papan tanda itu.

“Selalunya orang macam ni baik semacam. Macam-macam dia borak. Tanya khabar kita lah. Tanya pasal anak kita lah. Terlebih prihatin. Lepas tu dia mintak berhenti kat mana-mana, konon terlupa barang. Lepas tu nanti dia tak muncul-muncul dah. Lesap! Lelaki perempuan, sama je!”

Baik semacam. Tanya khabar. Terlebih prihatin.

Lelaki itu tertawa kecil.

“Abang tak pernah kena samun ke?”

“Alhamdulillah, belum pernah kena lagi. Depan lagi ke Encik?”

“Ha ye, depan lagi. Sikit lagi bang.”

Tersedak-sedak teksi Proton Saga itu mendaki bukit. Manakan tidak. Manual. NGV lagi. Sudah berusia tujuh tahun lebih. Memang sudah seasoned!

“Ok bang. Nampak simpang ke kiri tu kan? Ha masuk situ.”

Saniman menurut arahan. Namun dia pelik kerana sebaik sahaja dia membelok ke kiri, yang ada hanyalah semak samun dan hutan belukar di kiri dan kanannya. Mana ada kawasan perumahan di situ. Ada sebuah kereta MyVi berwarna hitam tanpa nombor plat yang diletakkan di bahu jalan.

“Betul ke ni En..”

Saniman berpaling mahu menoleh ke arah lelaki itu. Namun dia seperti terkena kejutan elektrik apabila ada benda tajam yang mencucuk lehernya.

“Minta maaf bang. Saya bukan suka buat kerja ni. Tapi terpaksa. Anak bini nak makan. Cari kerja, semua rejek. Saya terdesak bang.”

Saniman menelan air liurnya. Kering. Tiada air liur yang keluar.

Kecut perut Saniman apabila sekilas pandang pada cermin pandang belakang, benda tajam yang mencucuk lehernya itu adalah sebilah pisau Rambo. Pundi kencing Saniman seperti mahu merembes ketika itu juga.   

“Abang bagi je lah apa yang abang ada. Jangan melawan bang. Ingat, saya ni terdesak. Abang ikut je cakap saya. Saya takkan apa-apakan abang.”

Saniman mengangguk perlahan. Dia terketar-ketar.

Tiba-tiba Saniman teringat pada cerita yang sedang heboh dalam kalangan pemandu teksi di kawasan Lembah Klang itu. Perihal seorang penyamun yang begitu berbudi pekerti dan bergaya. The Gentleman Thief; gelaran yang diberikan kepada penyamun itu.

Tidak disangkanya, dia terpilih untuk bertemu dengan lelaki itu hari ini.

“Ha, kunci kereta tu sekali.”

“To..tolong Encik. Teksi ni je lah punca rezeki saya. Encik amiklah apa yang Encik mahu, tapi bu…bukan teksi ni.”

Lelaki itu tersenyum tipis. Ada bibit simpati pada wajahnya yang bersih itu.

“Jangan risau bang. Saya bukan nak amik teksi abang. Saya tak nak abang lari awal-awal je. Saya akan tinggalkan kunci abang ni kat bawah bukit, dekat dengan masjid tadi. Nanti abang carilah kat situ. Ok bang?”

Lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari beg kertas ZARA-nya.

“Maaf bang. Saya terpaksa ikat abang. SOP.”

Pucat wajah Saniman melihat tali guni entah berapa kaki yang dipegang kemas lelaki itu.

Selesai mengikat Saniman pada kerusi pemandu, lelaki itu bersiap untuk pergi.

Tiba-tiba telefon Saniman berbunyi. Notifikasi dari MyTeksi. Ada penumpang yang memerlukan pengangkutan untuk ke stesen LRT yang terdekat dari Bukit Antarabangsa.

Lelaki itu tersenyum nakal.

“Dan. Ini juga.”

Lelaki itu mencabut telefon Saniman dari pemegangnya yang dilekatkan pada cermin kereta. Dia membelek-belek telefon itu.

“Ninetology? Ada jugak orang pakai eh?”

Lelaki itu terkekeh kecil memandang Saniman.

“Ok bang. Saya mintak diri dulu. Minta maaf banyak-banyak ye bang. Assalamualaikum.”

Saniman menyumpah. Di dalam hati lah; tak sanggup dia kena sembelih dengan pisau Rambo!
Hanya ada satu perkara yang benar-benar pasti yang sedang bermain di dalam kepala Saniman; sebaik sahaja dia bebas nanti, perkara pertama yang akan dia lakukan adalah batalkan pendaftaran keahliannya dengan MyTeksi!

-gabbana-

ARMAGEDDON al-Malhamah al-Kubro

Tajuk forum: ARMAGEDDON al-Malhamah al-Kubro
31/12/2014
Oleh : u.fawwaz, u.jefri, u.hafizal
_
Pengisian :

USTAZ HAFIZAL
- berkenaan dgn 3 fasa iaitu zahir imam Mahdi, keluarnya dajjal, kematian dajjal
- almalhamah iaitu peperangan besar dunia sblm kiamat. Ia tidak melibatkn alat/senjata canggih

- sblm berlaku almalhamah, berlaku keruntuhan kota madinah, akan ad satu perjanjian damai antara umat Islam dengan nasrani. Padahal ianya palsu.
- ketika perang besar, semua umat Islam bersatu menentang musuh Allah
- hadis tntng imam mahdi bertaraf mutawatir almaknawi
- golongan yg pertama skali yg akan bersama imam mahdi iaitu asalnya dari tempat yg bernama khurasan.

- panji2 hitam berkait dgn imam mahdi dan ianya subjektif untk ditentukan iaitu siapakah tentera2 yg memegang panji hitam yg akan menuruti imam mahdi suatu masa nnt.

- sampai suatu masa, berlaku baiah di mekah antara imam mahdi dgn 7 org ulamak dan tentera2 Islam yg memegang panji hitam
- pokok ghorkut bnyk ditanam oleh Zionist sebagai tempat berlindung tentera Zionist daripada tentera2 Islam

- apa persediaan kite skrg ni.....
Kuliah maghrib xmai, masjid xramai, qiamullail xbuat. X dianggap bersedia lg .
- Rasulullah pernah berkata, klau kita masih hidup hingga muncul tentera2 dari khurasan maka pergilah bersama tentera2 di khurasan itu walau terpaksa merangkak diatas salji. Sbb bersama tentera td adalah khalifah Islam iaitu imam mahdi.
USTAZ FAWWAZ
- hujung akhir zaman, akan ada golongan pelarian dan golongan yg betul2 kaya.
- sblm dajjal keluar, manusia akan ditimpa kemarau 3 tahun. Tahun pertama hujan akan ditahan 1/3 tahun seumpama hanya 4 bulan hujan xturun, thun kedua hujan akan ditahan 2/3 seumpama 8 bulan hujan xturun dan tahun ketiga hujan setitis pun tidak turun.

Allahuakhbar..
- story Lord of the ring yg direka oleh barat seolah olah makhluk2 yg direka itu seperti yg wujud diakhir tanda2 besar kiamat. Padahal ianya taktik barat untk memesongkan pemikiran umat Islam dari sejarah yg sebenar tntng tanda2 besar akhir zaman.

- bukit habsyi yg diatasnya dibina istana putih, istana itulah sebagai tempat persinggahan dajjal . Dajjal membuat tipu daya besar dgn mengatakan istana putih itu adalah rumah Muhammad Saw.
- tntng Nabi Isa a.s, baginda diangkat setelah berusia 33 tahun. Kemudian baginda akan memerintah dibumi selama 7 tahun setelah turun kebumi. Maka benarlah pendapat ulamak mengatakan Nabi Isa a.s hidup sekitar 40 tahun.
- mengikut ekonomi Islam, zakat dikuatkuasakan dan cukai di hapuskan. Jika cukai dilaksanakan ia adalah satu kezaliman.

USTAZ JEFRI
- contoh story kiamat 2012 yg direka oleh barat yg mana walaupun berlaku seolah olah kiamat. Namun hero yg ad dlm cerita itu terselamat. Ianya adalah salah menurut aqidah Islam.

Aqidah kita , bahawa tiada seorang pun yg terselamat dari tragedi kiamat.
- pendapat ulamak, ilmu akhir zaman adalah rukun dlm agama. Iaitu dlm rukun iman. 

- dlm ramalan thun 2015 mungkin akan datang lg iklim kering iaitu kemarau atau saintifiknya dinamai fenomena elnino. Fenomena ini kemungkinan berlaku antara 8-9 bulan yg dijangka bermula pd permulaan tahun 2015. Jika betul ia berlaku, maka thun itu adalah tahun kedua sblm keluarnya dajjal.
Na'uzubillahi minzaalik.

- ulamak dah sebut 70 tanda2 kecil akhir zaman yg berlaku didepan mata kita, skrg ini hanya menanti tanda besar yg pertama iaitu matahari terbit sebelah barat . 

- jika setahun kemarau, maka akan berlaku pd masalah bekalan elektrik. Alatan canggih dah tidak boleh dipakai ketika itu.
- yakjuj makjuj adalah berketurunan pd zaman nabi Nuh a.s
- kaabah akan diruntuhkan oleh bukan islam selepas kewafatan Nabi Isa a.s
- munculnya binatang bernama dabbatul ar', ia bleh bercakap dgn manusia dan menandakan setiap manusia itu dgn kafir/muslim.
- sblm berlaku tanda besar pertama akhir zaman iaitu matahari naik sebelah barat, akan berlaku waktu malam selama 2 atau 3 malam. Selepas itu, matahari sudah pun naik disebelah barat. 

- selepas shj matahari terbit disebelah barat, ramai orang ketika itu sibuk berzikir dan bertaubat. Padahal semua taubat para manusia ketika itu tidak lagi diterima oleh Allah. Dan ketika berlaku waktu malam selama 2 atau 3 hari, masa itulah masa terakhir taubat kita masih diterima oleh Allah*.
Wallahu'alam....