Khamis, 1 Januari 2015

gentle Thief

Telefon Saniman berbunyi. Ada notifikasi dari aplikasi MyTeksi yang baharu dimuatnaiknya dua minggu yang lepas.

Ada penumpang yang mahu ke Kelana Jaya dari Gombak Setia.

Ah, jauh sangat tu. Time macam ni konfem jem lagi. Kenapa tak naik LRT je?

Saniman meneruskan pemanduannya. Tidak dinafikannya, semenjak dia mula menggunakan aplikasi MyTeksi, lebih mudah untuk dia mendapatkan penumpang. Pada mulanya, dia agak skeptikal dengan perisian itu. Ah Saniman memang skeptikal dengan apa-apa jenis teknologi pon. Dengan telefon pintar pon dia skeptikal, apatah lagi dengan aplikasi yang kononnya boleh memudahkan para pemandu teksi  untuk mencari penumpang itu?

Tetapi setelah diyakinkan oleh beberapa orang rakan pemandu teksinya yang mendakwa aplikasi itu telah banyak memudahkan hidup mereka, akhirnya Saniman akur. Namun Saniman terpaksa membeli sebuah telefon pintar dahulu. Setelah puas mencari telefon yang paling murah yang boleh didapati di pasaran, akhirnya Saniman berpuas hati dengan telefon Ninetology buatan Malaysia.

Patriotik katanya.  

Telefonnya berbunyi lagi. Ada orang yang mahukan teksi untuk ke Bukit Bintang dari Setiawangsa.

Bukit Bintang? Gila apa. Orang baru nak pergi lunch ni!

Masuk satu lagi notifikasi.

Ada penumpang yang mahu ke Bukit Antarabangsa dari Wangsa Walk Mall.

Saniman menderam jari-jemarinya pada stereng kereta Proton Saga yang dimilikinya secara sewa beli itu. Berkira-kira sama ada mahu mengambil penumpang itu atau pon tidak.

Sempat dijelingnya gambarnya pada lesen pemandu teksi yang diletakkan di atasdashboard di hadapan tempat penumpang hadapan. Tujuh tahun yang lalu. Ketika itu misainya masih tebal dan kumisnya panjang.

Hensem jugak aku. Kehkeh.

Akhirnya dia membuat keputusan. Dia menekan skrin telefonnya untuk menerima tawaran untuk mengambil penumpang tersebut.

Bukit Antarabangsa dekat je. Abes hantar dia, boleh aku patah balik ke Sri Rampai.

Proton Saga berwarna biru tua dan putih itu meluncur laju menuju ke Wangsa Walk Mall. Seminit sebelum tiba, Saniman menelefon bakal penumpangnya itu, untuk memastikan lokasi sebenarnya agar mudah Saniman menjemputnya nanti.

Suara lelaki. Muda. Saniman sedikit kecewa.

Tibanya Saniman ke lokasi, seorang lelaki tampan, berbaju kemeja putih dengan tangan yang tersingsing, berseluar khaki perang tua dengan loafer merah yang sepadan, sudah sedia menanti. Ada beg kertas besar berwarna biru tua tertulis ZARA. Baru selesaishopping agaknya. Lelaki itu tersenyum sebaik sahaja melihat kelibat teksi Saniman. Dalam lesung pipitnya. Manis.

“Assalamualaikum.”

Lelaki itu memberikan salam sebaik sahaja pintu dikuak. Semerbak bau minyak wangi menusuk hidung Saniman apabila lelaki itu menutup pintu teksinya. Saniman tidak tahu minyak wangi jenama apa yang digunakannya, tapi yang pasti, ia adalah minyak wangi yang mahal. Alah Saniman tidaklah kisah sangat pon. Ketiaknya itu pon jarang sekali disapu dengan deodoran, inikan pula mahu ambil tahu tentang minyak wangi? Lupakan.   

Saniman memerhatikan lelaki itu dari cermin pandang belakangnya. Kini struktur wajah dan fizikal lelaki itu lebih jelas. Kulitnya putih dan licin. Hidungnya mancung. Rambutnya kerinting dipotong pendek. Keningnya tebal dan bulu matanya juga tebal. Kepala Saniman berputar memikirkan sama ada dia pernah terlihat lelaki ini di mana-mana iklan atau drama Melayu.

Lelaki itu tersenyum, seakan-akan tahu yang dia sedang diratah oleh mata Saniman. Malu Saniman dibuatnya. Tersipu-sipu jadinya.

“Err Bukit Antarabangsa dekat mana Encik?”

“Oh ye. Depan sikit dari Masjid Bukit Antarabangsa tu. Atas lagi.”

“Oohh ok.”

Lelaki itu tersenyum lagi. Saniman senang dengan penumpangnya itu. Tak lokek dengan senyuman. Nampak pon baik.

Pengalaman Saniman memandu teksi selama tujuh tahun telah menemukannya dengan beraneka jenis penumpang. Yang sombong perasan macam Mak Datin ada. Yang baik hati pijak semut tak mati ada. Yang bisu sepanjang perjalanan ada. Yang terlebih ramah sehingga buat Saniman menyampah pon ada. Macam-macam ada!

Suasana di dalam teksi itu sunyi seketika, hanya ditemani dengan celoteh deejay Sinar.fm, sehinggalah teksi itu baharu sahaja melepasi Zoo Negara apabila lelaki itu memulakan biacara.

“Dah lawa bawak teksi bang?”

“Adalah dalam… tujuh tahun gitu.”

“Oh lama jugak tu. Sebelum tu abang kerja apa?”


“Macam-macam encik. Pernah jadi buruh binaan. Pernah jual jambu dan air bungkus naik motor. Pernah kerja di pejabat. Macam-macam lah.”

Lelaki itu tersenyum lagi. Ada riak kagum pada wajahnya.

“Banyak pengalaman abang ni. Kenapa pilih untuk bawak teksi?”

Saniman sedikit tersentak dengan soalan itu. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab. Jujur, dia sendiri tidak pasti mengapa.


“Entahlah Encik. Ni saja yang saya mampu buat untuk tanggung anak bini.”

“Oh. Abang berapa orang anak?”

“Empat. Hujung tahun ni masuk lima InsyaAllah.”

Kali ini Saniman pula yang tersenyum lebar.

“Wah tahniah bang!”

“Terima kasih Encik. Encik? Dah kahwin?”

Lelaki itu tertawa kecil.

“Saya? Abang rasa? Ada gaya macam suami orang tak? Hehe.”


Saniman tersenyum simpul. Dia cuba mengagak.

“Entahlah Encik. Kalau ikut firasat saya, macam belum.”

Lelaki itu tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya.

“Haha. Nampak muda lagi eh saya ni bang? Saya dah kahwin bang. Anak sorang.”

Terangkat kening Saniman mendengarnya. Sangkanya, lelaki sekacak dan sebergaya itu, pasti memilih untuk bujang lebih lama. Bertuah siapa yang menjadi isterinya.  

Saniman memberikan isyarat untuk masuk ke kiri. Teksi Proton Saga itu membelok ke kiri, bersedia untuk mula mendaki Bukit Antarabangsa. Azmin Ali tersenyum menyambut sesiapa sahaja yang mahu masuk ke kawasan parlimennya itu. Bergoyang-goyang loket kalimah Allah dan Muhammad berwarna emas yang digantung pada cermin pandang belakang teksinya itu.

Sisa-sisa tanah runtuh beberapa tahun yang lepas masih jelas kelihatan di bahagian kanan jalan. Seriau juga Saniman dibuatnya.

“Mesti macam-macam jenis penumpang abang dah jumpa kan?”

Saniman melihat cermin pandang belakangnya. Dia tidak dapat meneka motif lelaki itu bertanyakan soalan sebegitu kerana dia sedang memandang ke arah luar.

“Haah Encik. Macam-macam perangai ada.”

Lelaki itu mula menunjukkan minatnya.

“Macam-macam perangai? Contoh?”

Saniman memerhatikan sekeliling, risau jika dia terlepas simpang. Dia bukanlah selalu ke Bukit Antarabangsa itu.

“Macam-macam lah encik. Yang nak menipu ada. Yang buat-buat takde duit ada. Yang dok sibuk beromen ada. Yang pelupa ada. Yang pemurah dan baik hati pon ramai. Ada sekali tu, tambang makcik ni sembilan ringgit je, tapi makcik ni ada doploh ringgit, dia takde duit kecik. Dia kata, ‘Keep the change.’ Ha yang macam tu saya suka.”

Kedua-dua Saniman dan lelaki itu tertawa.

 “Abang selalu kena tipu?”

“Uhmm takdelah selalu. Tapi cukuplah untuk saya kenal jenis orang macam ni.”

“Iya? Macam mana?”

Saniman lega apabila dia menangkap papan tanda ‘MASJID BUKIT ANTARABANGSA.’ Dia segera mengikuti arah yang ditunjukkan papan tanda itu.

“Selalunya orang macam ni baik semacam. Macam-macam dia borak. Tanya khabar kita lah. Tanya pasal anak kita lah. Terlebih prihatin. Lepas tu dia mintak berhenti kat mana-mana, konon terlupa barang. Lepas tu nanti dia tak muncul-muncul dah. Lesap! Lelaki perempuan, sama je!”

Baik semacam. Tanya khabar. Terlebih prihatin.

Lelaki itu tertawa kecil.

“Abang tak pernah kena samun ke?”

“Alhamdulillah, belum pernah kena lagi. Depan lagi ke Encik?”

“Ha ye, depan lagi. Sikit lagi bang.”

Tersedak-sedak teksi Proton Saga itu mendaki bukit. Manakan tidak. Manual. NGV lagi. Sudah berusia tujuh tahun lebih. Memang sudah seasoned!

“Ok bang. Nampak simpang ke kiri tu kan? Ha masuk situ.”

Saniman menurut arahan. Namun dia pelik kerana sebaik sahaja dia membelok ke kiri, yang ada hanyalah semak samun dan hutan belukar di kiri dan kanannya. Mana ada kawasan perumahan di situ. Ada sebuah kereta MyVi berwarna hitam tanpa nombor plat yang diletakkan di bahu jalan.

“Betul ke ni En..”

Saniman berpaling mahu menoleh ke arah lelaki itu. Namun dia seperti terkena kejutan elektrik apabila ada benda tajam yang mencucuk lehernya.

“Minta maaf bang. Saya bukan suka buat kerja ni. Tapi terpaksa. Anak bini nak makan. Cari kerja, semua rejek. Saya terdesak bang.”

Saniman menelan air liurnya. Kering. Tiada air liur yang keluar.

Kecut perut Saniman apabila sekilas pandang pada cermin pandang belakang, benda tajam yang mencucuk lehernya itu adalah sebilah pisau Rambo. Pundi kencing Saniman seperti mahu merembes ketika itu juga.   

“Abang bagi je lah apa yang abang ada. Jangan melawan bang. Ingat, saya ni terdesak. Abang ikut je cakap saya. Saya takkan apa-apakan abang.”

Saniman mengangguk perlahan. Dia terketar-ketar.

Tiba-tiba Saniman teringat pada cerita yang sedang heboh dalam kalangan pemandu teksi di kawasan Lembah Klang itu. Perihal seorang penyamun yang begitu berbudi pekerti dan bergaya. The Gentleman Thief; gelaran yang diberikan kepada penyamun itu.

Tidak disangkanya, dia terpilih untuk bertemu dengan lelaki itu hari ini.

“Ha, kunci kereta tu sekali.”

“To..tolong Encik. Teksi ni je lah punca rezeki saya. Encik amiklah apa yang Encik mahu, tapi bu…bukan teksi ni.”

Lelaki itu tersenyum tipis. Ada bibit simpati pada wajahnya yang bersih itu.

“Jangan risau bang. Saya bukan nak amik teksi abang. Saya tak nak abang lari awal-awal je. Saya akan tinggalkan kunci abang ni kat bawah bukit, dekat dengan masjid tadi. Nanti abang carilah kat situ. Ok bang?”

Lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari beg kertas ZARA-nya.

“Maaf bang. Saya terpaksa ikat abang. SOP.”

Pucat wajah Saniman melihat tali guni entah berapa kaki yang dipegang kemas lelaki itu.

Selesai mengikat Saniman pada kerusi pemandu, lelaki itu bersiap untuk pergi.

Tiba-tiba telefon Saniman berbunyi. Notifikasi dari MyTeksi. Ada penumpang yang memerlukan pengangkutan untuk ke stesen LRT yang terdekat dari Bukit Antarabangsa.

Lelaki itu tersenyum nakal.

“Dan. Ini juga.”

Lelaki itu mencabut telefon Saniman dari pemegangnya yang dilekatkan pada cermin kereta. Dia membelek-belek telefon itu.

“Ninetology? Ada jugak orang pakai eh?”

Lelaki itu terkekeh kecil memandang Saniman.

“Ok bang. Saya mintak diri dulu. Minta maaf banyak-banyak ye bang. Assalamualaikum.”

Saniman menyumpah. Di dalam hati lah; tak sanggup dia kena sembelih dengan pisau Rambo!
Hanya ada satu perkara yang benar-benar pasti yang sedang bermain di dalam kepala Saniman; sebaik sahaja dia bebas nanti, perkara pertama yang akan dia lakukan adalah batalkan pendaftaran keahliannya dengan MyTeksi!

-gabbana-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan