Pesanan utk semua
JANGAN SOMBONG KETIKA WABAK.
Musim wabak melanda ialah musim yang sepatutnya menjadi ruang untuk kita bermuhasabah dan bertaubat kepada Allah. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, Ahli Bait عليهم السلام, para sahabat عليهم الرضوان, salafus soleh dan para wali Allah. Musim wabak menuntut kita untuk sentiasa merendah diri di samping berikhtiar untuk keluar daripada wabak dengan pelbagai sebab duniawi dan ukhrawi yang ada.
Namun sayangnya, ketika pandemik C19 sedang melanda negara kita dan dunia umumnya, ada segelintir orang yang bersikap sombong. Kesombongan ini dipamerkan melalui ketidakpatuhan pada SOP, acuh tak acuh pada jangkitan wabak, cemuhan, cacian dan kejian pada pihak-pihak tertentu. Sikap sombong inilah yang menyebabkan balasan Allah datang dengan segera.
Ketika wabak mula-mula melanda negara, ada penduduk kampung yang dengan angkuh berkata bahawa wabak ini tidak akan sampai ke kampung. Namun, balasan Allah segera sampai. Ada kampung yang terpaksa dikenakan PKPD kerana penularan wabak. Ada masjid di kampung yang terpaksa ditutup malah muncul juga kluster masjid yang terletak di kampung.
Ketika kami menjalankan pemantauan di beberapa masjid dan surau berkaitan kepatuhan SOP, ada jemaah yang kurang senang. Malah ada rakan-rakan penguatkuasa agama yang dicemuh, “Saya Dato’ ......., you gred berapa? Siapa pegawai atasan you? Saya nak cakap pada pegawai you tu...,” kata seorang yang bergelar Dato’ apabila ditegur kerana tidak patuh SOP. Dia lupa bahawa apabila kematian akibat Covid melanda, pangkatnya itu tidak berguna lagi. Malah, dia mati seorang diri. Waris terdekat tak dapat menatap wajahnya, tak boleh menguruskan jenazahnya dan tak boleh mendekatinya. Siapa yang uruskannya? Petugas kesihatan dan petugas urusan jenazah C19.
Pernah ada kes kematian akibat C19, seorang waris terdekat pun tak dapat hadir untuk pengecaman kerana semuanya dikuarantin dan dimasukkan ke wad akibat positif. Terpaksa menanti waris jauh untuk hadir melakukan pengecaman. Sedih dan simpati melihat keadaan ini. Mati seorang diri tanpa orang tersayang di sisi, diuruskan oleh orang yang tak dikenali dan dikebumikan tanpa waris dapat mendekati.
Sekarang pun dapat dilihat betapa banyak kluster berkaitan keagamaan yang muncul. Majoritinya daripada masjid dan surau. Institusi suci dan mulia ini tercemar akibat kesombongan segelintir ahli masjid wal surau. Cemuhan, cacian, dan kejian dihamburkan kepada penguatkuasa agama. Bermula cacian peringkat rendah hinggalah peringkat tinggi. Tanggung dosalah, jawablah di akhirat nanti, anjing kerajaan, walaun, binatang yang terkeji lagi hina, lebai Covid, ahli bidaah, munafik, kafir dan sebagainya. Ya, balasan Allah itu segera. Kini masjid dan surau pun tak terlepas daripada diserang wabak.
Sikap ini juga tanpa sedar turut disuburkan oleh segelintir agamawan. Menerusi kuliah agama dan tulisan di media sosial, mereka menyindir, menghukum pihak tertentu sebagai jahil, takutkan virus, tak takut Allah dan seumpamanya. Orang awam pun terjebak sama ekoran sikap segelintir agamawan ini yang akhirnya mengheret para mufti dan alim ulama ke dalam kancah untuk dihina, dicaci, dicemuh dan pelbagai lagi sikap buruk. Tambahan pula dengan kemunculan golongan teori konspirasi.
Sombong ialah maksiat. Malah sombong yang bersarang di hati walaupun sebesar atom boleh menghalang daripada masuk ke syurga. Lebih malang lagi apabila kesombongan bergabung dengan kebodohan sebagaimana yang ditunjukkan oleh segelintir orang.
Apa yang saya coretkan di sini adalah berkenaan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir orang. Walaupun segelintir, mereka inilah setitik nila yang merosakkan sebelanga susu. Sombong tidak mengenal sesiapa. Lebih malang apabila agamawan dan ahli masjid wal surau ditimpa penyakit hati ini. Kami memohon ampun dan ‘afiah daripada Allah.
Inilah coretan pengalaman yang disulami dengan luahan perasaan. Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan selalu bertaubat. Moga Allah ampuni saya dan kita semua serta mengangkat wabak ini dengan segera.
Patuhi SOP itu sebahagian ikhtiar kita. Sebahagian lagi melalui doa, munajat, rasa rendah diri, rasa berdosa dan taubat.
Allah jaga kita.
Kredit:
Ust. Danial Farhan Dolmat.
JHEAINS.
دانيال فرحان دولمات