Sabtu, 15 Mei 2021

Hari Guru

 Kerjaya Guru, Ibadah Aku


Usai sahaja sesi pengajaran terakhir di penghujung semester, ini menjadi ungkapan wajib aku kepada para pelajar aku,


"Izinkan Sir meminta balasan bagi setiap ilmu yang Sir telah kongsikan kepada kamu. Andai kita bersua kembali di Hari Hisab kelak, jika kamu melihat Sir bakal dicampak ke Neraka, maka segeralah menarik Sir dan menyatakan saksi akan segala ilmu dan keikhlasan yang Sir telah curahkan kepada kamu. Moga-moga Allah mengampuni dan meredhai kita semua".


Setiap kali ungkapan ini aku sampaikan kepada mereka, tampak wajah aku seolah-olah bergurau, namun jauh di sudut hati ini, remuk membayangkan kalau-kalau usaha murni mendidik anak bangsa yang aku curahkan tidak diterima oleh Allah, sebak. Walau bersahaja dalam kata-kata aku, memang benar-benar aku harapkan apa yang aku pinta kepada pelajar. Ianya tidak selayaknya dikatakan 'permintaan' tetapi lebih kepada 'amanah' aku kepada mereka.


Sering bermain di fikiran seolah-olah dialog aku kepada Allah, 


"Ya Allah, hamba-Mu ini bukanlah daripada kalangan yang baik amalannya, yang kuat imannya, yang banyak sedekahnya, malahan sering dan terlalu banyak dosa-dosa yang aku lakukan. Namun aku amat suka mengajar, aku bersungguh-sungguh dalam menjadikan pelajar-pelajar aku memahami apa yang dipelajari, kehidupan aku kini pun banyak terluang dengan kerjaya aku sebagai guru. Maka, ikhlaskanlah hati aku dalam usaha mendidik anak bangsa ini, moga-moga Engkau terimanya sebagai ibadah, menjadi asbab keampunan dan keredhaan-Mu terhadap hamba ini".


Ya, kerjaya guru buat aku bukan sekadar punca mencari rezeki! Ianya lebih besar daripada itu. Ianya ibadah buat diri aku yang serba kurang ini. 


Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Muaz bin Anas RA, bahawa Rsulullah SAW:

 

مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ


“Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang  mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236]


Menyedari akan hakikat bahawa mengajar ialah suatu ibadah, sudah pasti seboleh-bolehnya aku tidak mahu mengotorinya dengan niat dan perbuatan yang salah. Setiap kali memulakan sesi pengajaran, aku meminta agar para pelajar aku membaca doa belajar, dan aku juga tidak berkecuali. Aku titipkan doa antaranya seperti ini,


"Ya Allah permudahkanlah urusan kami khususnya dalam aku menyampaikan ilmu-Mu dan para pelajar aku memahaminya. Ya Allah, bukan aku yang memberi kefahaman, dan bukan pula ilmu yang disampaikan ini milik aku".


Apabila pelajar-pelajar, rakan-rakan sekerja memuji-muji kaedah pengajaran aku yang menjadikan mereka mudah faham, sudah pasti sebagai pendidik, aku amat gembira. Aku gembira kerana aku berpeluang memudahkan urusan orang lain dan dapat sedikit sebanyak membantu mereka.


Dari Abu Hurairah R.A., Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR Muslim, lihat juga Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi hadits ke 36).


Namun, kadang-kadang aku sedih dan takut, kalau-kalau terdetik di hati ini rasa bangga, riyak, ujub dan takbur kerana kononnya, pelajar aku mampu memahami dek kerana kehebatan diri sendiri yang hebat dalam mengajar, merasa diri ini lebih baik daripada rakan-rakan pengajar yang lainnya. Allahu...Allah jualah yang memberi izin bagi segala sesuatu untuk berlaku, sedangkan aku sama sekali tiada upaya.


Genap 5 tahun dalam ibadah khusus aku ini dan sudah pasti perjalanan aku masih jauh. Moga-moga Allah pelihara hati ini agar terus semangat dan ikhlas dalam mendidik. Keberkatan daripada-Nya aku dambakan moga-moga semakin meningkat kualiti pengajaran aku sesuai dengan keperluan zaman. 


Tulisan ini aku tujukan buat diri aku dan rakan-rakan seperjuangan dalam bidang pendidikan. Mudah-mudahan saat aku lupa dan leka, tulisan ini menjadi peringatan...BUKAN! Menjadi amaran kepada diri ini, kerjaya guru ini, ialah ibadah. Saat aku tidak yakin dengan amalan aku lainnya, aku amat berharap mengajar menjadi ibadah yang mampu menyelamatkan aku daripada kemurkaan Allah. Justeru, saat dalam ibadah, harus aku jaga kesuciannya, pelaksanaannya, bukan sambil lewa, bukan suka-suka!


SELAMAT HARI GURU!


Sir Raja,

Pendidik

Channel YouTube: https://cutt.ly/ibXYlzL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan